Monday, January 15, 2018

TEASER DIAKAH CINTA?


Salam semua...
Hari ni gee nak bagi teaser Diakah Cinta?
Terima kasih yang sudi follow citer Diakah Cinta?


teaser


Ayuni masuk dalam kereta dengan muka yang cukup kelat. Belum apa-apa sudah pandai hendak beli jiwa. Semasa Puan Jamilah menyuruh Ayuni ke pasar, terus saja Danial mempelawa diri untuk pergi bersama. Tapi memandangkan dia tidak ada kenderaan untuk ke pasar yang agak jauh dari rumah, jadi diterima saja pelawaan itu. Lagipun ada perkara yang hendak dibincangkan.
“Kenapa masam sangat ni? Senyumlah sikit sayang...” Lembut Danial bersuara sebaik menggerakkan kereta. Dia tahu Ayuni marahkannya. Tapi dia perlu lakukan sesuatu. Dia tidak mahu hanya berserah pada takdir tanpa berusaha. Separuh jiwanya boleh menarik nafas lega kerana telah mendapat izin daripada ibu Ayuni. Cuma sekarang hati Ayuni yang perlu ditaklukinya.
“Yuni...” panggil Danial apabila Ayuni terus diam membisu. “Kenapa marah sangat ni? Awak marah pada saya ke?” tanya Danial.
Mendengar pertanyaan Danial itu, terus Ayuni berpaling ke arah Danial.
“Awak tanya saya kenapa saya marah? Awak tak tahu atau buat-buat tak tahu? Awak tahu tak sekarang ni saya rasa nak cekik-cekik awak, lepas tu humban awak dalam sungai.”
“Kejamnya.... sanggup awak buat macam tu kat saya. Saya separuh nyawa sayangkan awak, tapi awak pulak nak humban saya dalam sungai.”
“Kalau sungai tu ada buaya lagi bagus. Biar awak dibaham buaya.”
“Ayuni!!” Bulat mata Danial berpaling sekilas pada Ayuni yang hanya beriak selamba. “Melampau la tu...”
“Habis tu apa yang awak buat tadi tak melampau? Kenapa awak tak berbincang dengan saya dulu?”
Danial mengeluh berat. Terus dia memberi isyarat ke tepi. Perlahan kereta diberhentikan di bahu jalan. Dia berpaling ke arah Ayuni. Raut wajah Ayuni ditatap lama membuatkan gadis itu melarikan pandangan.
“Kenapa awak tak nak pandang saya? Tadi awak nak marah saya sangat kan? Sekarang awak luahkan apa yang awak tak puas hati pada saya? Kalau awak nak cekik dan humban saya dalam sungai bagi buaya makan pun saya sanggup, jika itu yang dapat meredakan rasa marah awak pada saya.”
Ayuni diam. Agak lama suasana hening antara mereka.
“Besar sangatkah kesalahan saya, Yuni... sampai awak tak boleh maafkan saya?” keluh Danial perlahan.
Ayuni terus mematung diri. 
“Kalau saya berbincang dengan awak, adakah saya akan dapat kata putus daripada awak? Boleh tak jangan nak marah-marah sangat?”
Ayuni berpaling melawan pandangan Danial.
“Awak tak tahu rasa sakitnya. Tiba-tiba awak kembali muncul dalam hidup saya dan mahu saya lupakan rasa sakit yang awak tinggalkan. Senangnya.” Ayuni tergelak kecil. Sinis.“Saya tak tahu apa sebenarnya yang membuatkan awak kata macam tu pada Fakrul? Mungkin awak malu bila Fakrul dapat tahu kita berkawan rapat. Malu berkawan dengan perempuan kampung yang kolot macam saya,” serang Ayuni lagi.
Danial meraup muka. Berat keluhan terbit dari bibirnya.
“Perkara dah lama berlalu, Yuni. Fikiran kita pun belum cukup matang. Saya mengaku salah saya.  Jadi, apa yang awak nak saya buat supaya awak dapat maafkan saya?”
“Saya dah lama maafkan awak. Tapi hati saya masih ada rajuk yang bersisa. Saya perlukan masa Nal...” jawab Ayuni.
Seketika mata bertentang sebelum Ayuni menundukkan wajah. Melihat riak kecewa di wajah Danial menggamit satu perasaan dalam hatinya. Ada rasa pelik yang menjalar halus melingkar relung hati. Sungguh! Serba salah perasaannya. Membuatkan lelaki di hadapan ini kecewa seumpama mengecewakan hatinya jua. Kenapa dia boleh berperasaan begini? `Tuhan... adakah aku mula menyayangi lelaki ini?’



 

Sinopsis

Tiba-tiba lelaki itu muncul kembali setelah hati AYUNI AISYA digores luka. Pertemuan yang tidak disengajakan dengan DANIAL HAIKAL telah menggamit kembali kenangan lama. Mengapa begitu payah untuk dia melupakannya? Lagi haru-biru apabila dia terpaksa menjadi pembantu peribadi lelaki itu.

“Tapi aku sangat tak suka dia! Tak suka! Tak suka! Tak suka!” – Ayuni
“Orang kata; kita jangan tak suka sangat kat seseorang tu. Sebab perasaan tak suka tu boleh jadi suka. Hang jangan tak suka sangat kat dia. Kut tak suka, sat gi jadi sayang sangat kat dia kut... Masa tu baru hang nak menjerit. Aku cinta! Cinta! Cinta dia!!!” – Shafiqa

Kata-kata itu seakan sumpahan. Lelaki itu seperti ada aura yang buat dirinya kalah melawan perasaan sendiri. Danial telah berubah 100%. Bicara lelaki itu seakan ais yang menyirami hatinya. Pelik! Walau dilukai, hati masih mampu menyayangi.

Bagi Danial, pertemuan kembali dengan Ayuni membuatkannya kembali ‘hidup’. Sejak dulu cintanya untuk Ayuni. Kerana kesilapan diri, gadis itu membencinya. Dia nekad! Cinta gadis itu akan kembali ditakluki. 

“Kita boleh jadikan perkara ni bukan lagi satu pembohongan.” – Danial
“Macam mana?” – Ayuni
“Kita kahwin.” – Danial
“Awak sedar tak apa yang awak cakap ni?” –Ayuni
“Sedar.” - Danial.
“Awak ni kadang-kadang bercakap ikut hati awak saja. Tak fikir panjang langsung. Awak ingat nikah kahwin ni macam main pondok-pondok?” –Ayuni
“Awak ingat saya main-main pasal hal nikah kahwin ni?” – Danial


Perancangan keluarga hendak menjodohkannya dengan Izara memaksa Danial mengatur rancangan gila. Dan mungkin dengan cara itu juga dia dapat memiliki gadis yang dicintainya. Namun, Datuk Zahari meletakkan syarat sekiranya Danial tetap mahu mengahwini Ayuni. Danial nekad, untuk melepaskan gadis yang dicintai tidak sama sekali! Adakah syarat itu akan mengeruhkan lagi hubungan Datuk Zahari dengan Danial yang sudah sedia dingin sejak dulu?


No comments: