Wednesday, April 4, 2018

TEASER DIAKAH CINTA?





TEASER 1

Ayuni tersedar saat terasa ada sentuhan lembut di bahunya. Perlahan mata dibuka. Wajah Danial yang tersenyum nipis menyapa pandangan.
“Kita dah sampai,” beritahu Danial sambil tersenyum nipis.
Ayuni meliarkan pandangan ke luar. Mereka kini berada di kawasan tempat letak kereta R&R. Mata Ayuni kembali beralih ke arah Danial yang masih merenungnya.
“Sorry, saya tertidur. Kesian awak drive sorang-sorang.” Malunya... tebal rasa muka. Boleh pulak dia tertidur.
Danial melebarkan senyuman.
“Saya tak kisah, asalkan awak dengan saya. Jadi driver awak seumur hidup pun saya sanggup.” Nakal senyuman yang terlirik di bibir Danial.
Ayuni juling mata ke atas. ‘Oh... sweet talker!’
“Tapi saya lagi suka kalau awak tertidur.”
Ayuni kerut dahi.
“Kenapa pulak?”
“Sebab saya boleh tengok awak puas-puas.” Danial sudah tergelak-gelak.
“Danial!” Bulat mata Ayuni. Bibir diketap rapat. Spontan beg tangan di atas riba diayun mengenai bahu Danial. Geram dengan tingkah Danial yang sering mengusiknya.
“Aduh...” Danial mengaduh sambil sebelah tangan mengusap-usap bahu. Namun, bibir masih tidak lekang dengan senyuman. Wajah memuncung Ayuni mencuit hati. Apatah lagi dengan jelingan itu yang mampu membuatkan jantungnya berdegup lebih laju daripada biasa.
“Tak baik pukul bakal suami. Kalau dah kahwin nanti, jangan buat macam ni, tak cium syurga.”
Ayuni mencebik.
“Siapa nak kahwin dengan awak?”
“Awaklah! Siapa lagi? Selagi awak tak setuju, selagi tu saya akan terus berusaha.”
“Malaslah layan awak ni. Lagi layan lagi menjadi.” 
“Kita solat dan makan dulu ya sayang. Lepas ni kalau nak sambung tidur pun tak apa,” kata Danial sambil tersenyum-senyum.
“Elok juga tu... saya pun dah lapar sangat ni. Rasa macam nak makan orang aje,” balas Ayuni. Matanya melirik tajam sebelum melangkah keluar dari kereta.
Danial tergelak. Dia turut melangkah keluar dari kereta. Sebaik kereta dikunci, liar pandangannya mencari kelibat Ayuni. Mana pulak dia ni? Takkan laju benar jalan.
“Saya kat belakang awak ni.”
Teguran itu hampir membuatkan Danial terloncat. Diusap-usap dadanya meredakan rasa terkejut.
“Bila pulak awak ada kat belakang saya?”
“Mana nak sedar, asyik gelakkan orang. Tolong buka bonet kereta saya nak ambil telekung,” arah Ayuni seraya berpaling membawa langkah ke arah belakang kereta.
Terasa dengan kata-kata itu, Danial hanya tersenyum sumbing.


TEASER 2


Ayuni benar-benar gelisah. Tidak tahu mahu melakukan apa lagi bagi menghilangkan kegelisahannya daripada terus menyapa dan bergalau dalam fikiran. Niatnya ingin pulang agak lewat kerana hendak menghabiskan kerja-kerja yang tertangguh. Tetapi satu kerja pun tidak jalan saat jiwanya sedang tertekan. Masanya banyak dihabiskan dengan melayan perasaan. Dia betul-betul kurang senang dengan situasi yang mula menghantui fikirannya kini.
“Kau nak dengar citer hot tak?”
“Citer apa?”
“Aku syak Encik Danial ada hubunganlah dengan PA baru dia tu. Hari-hari aku tengok datang kerja sama-sama. Balik kerja pun macam tu.”
“Pandailah kau ni! Tak elok buat fitnah tau. Tahu kat Encik Danial, mampus kau kena tendang dari syarikat ni.”
“Aku tak fitnah. Kalau kau tak percaya, cuba tanya Tini. Dia pun ada nampak. Kalau diaorang tak ada apa-apa takkan boleh datang balik kerja sama-sama? Habis tu Cik Zara macam mana pulak? Setahu aku, girlfriend Encik Danial, Cik Zara.”
“Biarlah diaorang. Tak ada kena mengena dengan kita pun. Tak payahlah ambil tahu.”
“Aku bukan nak ambil tahu... cuma nak cerita kat kau aje.”
“Dalam surau pun nak bergosiplah kau ni. Lebih baik kau pergi solat, dapat pahala dari duk menambah dosa.”
Ayuni yang ketika itu berada di luar pintu surau tidak jadi melangkah masuk. Apa yang mampu dia buat saat itu, hanya mendiamkan diri. Dia tidak mengenali gadis-gadis itu kerana mereka di jabatan berlainan. Lagipun dia masih baru di sini. 
Kalau diikutkan rasa hati, memang dia mahu terangkan kedudukan yang sebenar. Menafikan atas tuduhan itu. Tapi apa gunanya, mulut tempayan mampu dia tutup, tetapi mulut manusia bukan boleh ditutup pun. Malah, semakin dinafikan, akan bertambah pula cerita yang ditokok tambah. 
Sudahnya, dia angkat kaki berpatah balik ke tempatnya. Kejap lagilah dia solat. Tidak mampu dia hendak berhadapan dengan mereka yang sibuk memperkatakan tentang dirinya.
Ayuni mendengus perlahan. Sudahnya dia bangkit kemaskan meja, dan beg tangan dari dalam laci diambil. Lebih baik dia balik saja. Ayuni terus berlalu pergi tanpa memberitahu Danial terlebih dulu seperti kebiasaannya.
“Yuni!” panggil Danial.
Tidak perlu berpaling, dia sudah tahu siapa pemilik suara itu. Ayuni tidak mengendahkan suara itu.
“Ayuni Aisya!” tegas nada suara Danial memaksa Ayuni menghentikan langkahnya.
“Nak apa?” tanya Ayuni seraya berpaling ke belakang. Tubuh Danial yang begitu dekat dengannya menarik kaki Ayuni mengundur setapak ke belakang. Apatah lagi sepasang mata Danial tajam menikam pandangannya.
“Ikut saya,” arah Danial serius.
“Tak nak! Saya nak balik,” balas Ayuni. Dia berpaling ingin berlalu pergi, namun Danial lebih cepat merampas beg tangannya. Segalanya berlaku agak pantas membuatkan Ayuni tergamam.
‘Kenapa dengan dia ni? Sudahlah hari ni asyik nak marah-marah saja. Semua yang aku buat, ada saja yang tak kena,’ degus Ayuni dalam hati. Masuk ke pejabat pagi tadi, Danial terus saja masuk ke bilik. Sedikit pun tidak berpaling ke arahnya. Sepanjang hari ini, seksa jiwa raganya menghadap wajah serius Danial yang boleh disamakan dengan singa. Silap sikit pun dah nak melenting marah.
“Kenapa tak tunggu saya?”
Ayuni mengeluh panjang.
“Saya segan hari-hari awak ambil dan hantar saya. Awak tahu tak, orang dah mula cakap pasal kita?”
 “Biarlah diaorang nak cakap apa pun. Kita tak buat salah apa-apa pun.”
“Senang saja awak cakap.”
Ayuni mendengus tidak puas hati.
 “Jom, saya hantar awak balik.”
“Tak payah, saya boleh balik naik teksi.”
Danial menghela nafas dalam. Geram jugak dia dengan perangai Ayuni. Degil! Tapi, yang degil inilah yang dia tergila-gilakan.
“Baliklah,” ujar Danial seraya melangkah ke arah keretanya.
“Beg...” Belum sempat Ayuni menyudahkan kata, Danial sudah jauh ke depan meninggalkannya. Macam mana dia nak balik tanpa beg tangannya. Nak bayar tambang teksi dengan apa? Takkan dengan air liur kut?
Ayuni mengeluh berat. Mahu tidak mahu, dia terpaksa membawa langkah ke arah kereta lelaki itu. Dia mula tidak senang dengan pandangan orang sekeliling, dan juga berhadapan dengan Danial yang suka memendam rasa marah buat helaan nafasnya terasa tidak lepas dari rongga hidung. Danial sudah meloloskan diri ke dalam kereta. Kaku di tempat memandu menunggu dia masuk ke dalam kereta. Dari sisi, jelas riak bersahaja di raut wajah itu.
Dengan perasaan geram, Ayuni membuka pintu kereta di sebelah penumpang. Kasar dia melabuhkan punggung di kerusi. Berdentum kuat bunyi pintu kereta ditutup menyebabkan Danial berpaling ke arahnya. Ayuni buat tidak tahu. Hanya menutaskan pandangan ke hadapan.
“Kut ya pun marahkan saya, jangan pintu kereta tu jadi mangsa.”

Ayuni hanya mendiamkan diri. Sambil berpeluk tubuh, dia membawa pandangan ke luar.