Wednesday, January 10, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 5





BAB 5





“Yuni!!”
Ayuni berpaling. Sebuah motosikal semakin menghampiri. Dia meneruskan kayuhan. Tidak peduli si pemanggil yang mengejar. Tiba-tiba motosikal itu menghalang laluannya memaksa Ayuni menghentikan kayuhan secara mengejut.  
“Apa hal ni?” Lelaki ini tidak pernah putus asa. Sejak zaman sekolah sampai sekarang, jadi pengganggu hidup orang. Zakry! Terkenal dengan gelaran pembuli, ketua samseng sekolah dan ketua ponteng sekolah.
 “Aku nak cakap sikit.”
“Nak cakap apa lagi Kry? Jangan kacau aku, boleh.”
Payah! Mamat ni memang tak ada kerja lain. Hanya tahu mengacau anak dara orang. Mentang-mentang bapa orang senang. Tak payah kerja, hanya tolong bapanya kutip hutang. Bapa Zakry, Tuan Darus terkenal dengan gelaran Orang Kaya Darus. Menawarkan perkhidmatan pinjaman kewangan kepada penduduk kampung.
Pernah satu masa dulu, Tuan Darus menawarkan pinjaman kepada Puan Jamilah. Ketika itu, memang mereka kesempitan wang. Tetapi emak menolak. Kata ibunya, kalau sudah mula berhutang dengan Tuan Darus, sampai cucu-cicit belum tentu akan habis bayar. Baginya Tuan Darus mengambil kesempatan pada orang susah. Memberi hutang dengan bunga yang berkali-kali ganda. Degan kata lain, Tuan Darus ini bolehlah digelar Ah Long Kampung.  
“Hang nak apa sebenarnya Kry? Aku nak cepat ni.” tanya Ayuni endah tidak entah saja.
“Aku nak tanya, apa kurangnya aku sampai hang tolak pinangan aku?” tanya Zakry. Tegang raut wajahnya.
Ayuni menghela nafas. Semalam dia dikejutkan dengan kedatangan orang tua Zakry, Tuan Darus dan Puan Roziah. Kedatangan mereka mengundang seribu pertanyaan dalam benak fikirannya. Dari celah pintu dapur, dia mencuri dengar perbualan Tuan Darus dengan ibunya. Apabila Tuan Darus bersuara menyampaikan hajat kedatangan mereka, terasa hendak melompat dia ke ruang tamu. Janganlah emak terima. Mujur ibunya sangat memahami, ditolak dengan lembut.
“Anak-anak la ni tak berapa nak setuju orang tua yang tentukan jodoh mereka. Lebih suka dengan pilihan sendiri. Nak kenai hati budi dulu sebelum kahwin.” kata Puan Jamilah memberi bunga-bunga alasan untuk menjawab risikan orang tua Zakry.
“Ayuni dah ada pilihan sendiri ka, Milah?” tanya Tuan Darus.
Senyap.
`Apasal mak senyap pulak ni?’ Dada Ayuni mula berdebar-debar.
“Dah ada kut, Tuan Darus.”
“Apa kut-kut pulak, Milah? Kamu sendiri pun tak pasti si Ayuni dah ada teman lelaki ka dak lagi.” balas Tuan Darus tidak berpuas hati.
“Macam ni lah Tuan Darus... saya kalau jodoh anak-anak, tak berapa suka nak memaksa. Takut apa-apa jadi ke depan disalahkan kita balik. Biarlah diaorang tentukan jodoh sendiri. Asalkan lelaki yang dia pilih elok perangainya, boleh jadi pemimpin dalam rumahtangga ke jalan Allah, ada pekerjaan yang halal... itu dah cukup bagi saya.”
Terdiam Tuan Darus dibuatnya. 
`Fuh! Cayalah mak!’
Sebaik orang tua Zakry balik, terus dipeluk cium ibunya. Terima kasih sebab cukup memahami anaknya.
“Berapa kali aku nak cakap, Kry? Aku memang tak boleh nak terima. Tak boleh ka hang anggap kita tak ada jodoh.” Ayuni cuba berlembut. Pesanan ibunya segar dalam ingatan. Tolak dengan cara lembut. Jangan kasar bahasa. Jangan biar dendam melekat dalam hati. Perangai manusia kalau dikuasai marah macam-macam dia boleh buat. Kalau dah syaitan beraja dalam hati, lebih dari binatang dia boleh bertindak.
Masalahnya sekarang, sikap tidak faham bahasa mamat ini buat dia hilang sabar.  
“Buat apa hang nak teruk-teruk kerja kat bandar tu? Kahwin dengan aku. Hang akan hidup senang. Aku boleh bagi apa saja yang hang nak.”
Ayuni menarik nafas panajng. Menggeleng beberapa kali mendengar bicara Zakry.
“Hang ingat dengan duit boleh beli segalanya ka, Kry?”
“Belajar tinggi-tinggi, tapi bila keluar... menganggur jugak,” sinis raut wajah Zakry.
Ceteknya pemikiran mamat ini. Tidak tahukah dia mengejar ilmu itu satu ibadah? Satu pengorbanan dan perjuangan. Dengan menuntut ilmu juga semakin mendekatkan kita dengan Allah.
“Hang ingat menuntut ilmu ni semata-mata nak kerja saja ka, Zakry. Ilmu jugalah sebagai panduan hidup kita. Mematangkan fikiran manusia supaya bertindak dengan lebih bijak. Ilmu ni seperti air laut yang tak akan pernah kering. Dunia pekerjaan juga satu ilmu. Dengan bekerja, kita dapat pengalaman. Tapi ikut kerja apa yang kita buatlah. Kalau kerja baik, baiklah pengalaman yang kita dapat. Tapi kalau kerja yang selalu menyusahkan orang, bukan pengalaman yang kita dapat, tapi dosa pula yang dapat.”
“Hang perli aku, Yuni?”
“Sapa perli hang, yang hang nak terasa sangat pasai apa?”
“Hang jangan nak bagi tazkirah kat aku sangatlah. Aku dengan bapak akulah yang banyak tolong orang dalam kampung ni. Diorang nak pinjam bank, tapi susah dapat kelulusan. Sebab tu orang kampung datang cari kami.”
“Anak dengan bapak sama ja. Kalau betul nak tolong, kenapa bunga yang dikenakan tak munasabah langsung. Mengalahkan ceti haram. Hang ingat orang kampung banyak duit sangat.”
“Itu masalah dioranglah. Kalau dah sanggup pinjam, kenalah sanggup bayar.”
 “Hang kena ingat... kemewahan yang hang ada bukan untuk dimegah. Kalau senang daripada kesusahan orang lain bukan rezeki yang berkat. Rezeki itu daripada Allah. Bila-bila masa saja Allah boleh tarik balik. Tak payahlah nak berbangga dengan kekayaan yang ada di dunia ni. Tak boleh bawa masuk kubur pun nanti.”
“Hang ni dah lebih, Yuni.” Keras suara Zakry mendengar bicara Ayuni.
“Aku cakap benda betul. Cuba hang tengok Mak Nab. Walaupun sakit, dia pergi juga menoreh sebab nak bayar hutang yang tak pernah habis tu. Hang tak kesian kat orang tua tu?”
“Itu masalah Mak Nab. Sapa suruh dia berhutang dengan bapak aku? Kalau dah berhutang, kenalah bayar.”
“Sampai bila nak habis hutang kalau asyik naikkan bunganya saja. Eh, hang ni tak ada perasaan belas kasihan langsung kat Mak Nab tu ka?. Yang hangpa ingat, senang korang saja.”
“Eh, Yuni, yang hang beria-ria bela Mak Nab ni pasai apa? Aku jumpa hang bukan sebab nak sembang pasai orang tua tu. Hal kita belum selesai lagi.”
“Hal kita dah lama selesai. Aku harap, lepas ni jangan ganggu aku lagi. Jangan ingat semua boleh dibeli dengan duit. Hati manusia bukan untuk dijual beli. Lagipun nak cari suami biarlah yang boleh memimpin isteri ke jalan yang benar dan diredhai Allah.”
Tajam renungan Zakry tepat ke wajah Ayuni. Dadanya berombak mendengar sindiran sinis yang terbit dari bibir gadis itu.
“Ayuni! Jangan suka cabar kesabaran aku.” 
“Kalau dah tak boleh sabar dengan aku, lebih baik jangan kacau aku lagi. Buat apa nak menghadap perempuan yang tolak hang mentah-mentah?”
“Ayuni Aisya!!!” Jari jemari bertaut kemas. Zakry menahan marah yang mula membakar perasaan. Tanpa sedar lengan Ayuni disambar.
“Apa ni! Lepaskan tangan aku!” Ayuni cuba meleraikan genggaman Zakry, namun gagal. Tangan itu begitu kejap mencengkam lengannya.
“Lepaslah!!!” jerit Ayuni. Perasaan takut mula menerjah diri. Tindakan kasar Zakry betul-betul buat dia kecut perut. Sedaya upaya dia cuba melepaskan lengannya yang mula terasa sakit dari genggaman kuat tangan Zakry.
“Aku takkan lepaskan hang, Ayuni. Kenapa hang tak tahu nak hargai perasaan aku? Kenapa susah sangat hang nak terima aku? Kenapa cinta aku hang pandang macam sampah???”
Piinnnn!!! Piinnnn!!!
Serentak mereka berpaling. Tidak dapat digambarkan betapa dia leganya Ayuni  apabila melihat motosikal Yusri semakin menghampiri.
Sebaik memberhentikan motosikal, Yusri terus mendekat. Raut wajah Ayuni yang seperti mahu menangis dipandang seketika sebelum berpaling ke arah Zakry.
“Apa hang buat ni, Kry? Lepaskan Yuni!”
“Hang jangan masuk campur, Yus. Ni antara aku dengan dia.”
“Tak boleh ka berbincang elok-elok. Yang hang pegang ni, bukan mahram hang. Tak kan hang tak tau haram hukumnya. Tak malu ka kalau orang nampak hangpa macam ni? Akan menimbulkan fitnah nanti.”
“Hey, Yus! Hang jangan nak jadi ustaz pulak kat sini. Telinga aku dah sakit dengaq hang dengan Yuni asyik nak bagi tazkirah kat aku. Ini antara aku dengan Yuni, tak ada kena-mengena dengan hang. Jadi, lebih baik hang blah.”
“Lepaskan dia!” Tiba-tiba Danial mencelah. Keras nada suaranya. Anak matanya tajam menikam wajah Zakry.
Seketika Zakry terpaku mengamati wajah yang berani bersuara keras terhadapnya. Kemudian riak wajahnya mula berubah. Dia kenal lelaki itu.
“Danial,” bisiknya perlahan. Dia berpaling mencari wajah Ayuni.
“Hang tolak pinangan aku sebab dia, kan?” tuduh Zakry.
“Jangan nak kaitkan dengan orang lain. Aku memang tak nak kahwin dengan hang!”
Berkerut wajah Ayuni menahan sakit apabila genggaman tangan Zakry semakin kuat mencengkam.
“Lepaslah, sakit...” suara Ayuni sudah berubah merayu.
“Lepaskan Ayuni, Zakry!” Danial semakin mendekat. Wajah Zakry ditatap tajam. Tidak mampu lagi membendung perasaan yang mula menyirap melihat Ayuni dikasari Zakry. Mata yang mula berlinang air mata dan wajah yang sesekali berkerut menahan sakit mengundang rasa marah dalam diri.
“Kalau aku tak nak lepas?” cabar Zakry. Melawan pandangan tajam Danial.
“Kau jangan cabar aku, Zakry.” Nafas dalam ditarik. Cuba menahan rasa yang semakin membara. Tangannya sudah digempal kejap.
 “Nal! Kry! Jangan hangpa nak bergaduh pulak kat sini. Kry, sudahlah tu. Lepaskan Yuni. Kalau orang kampung nampak, kecoh pulak nanti.” Yusri mula campur tangan apabila keadaan semakin tegang. Dia tidak mahu berlaku pergaduhan pula di sini nanti. Bukan dia tidak kenal dengan sikap Zakry yang pantang dicabar. Silap percaturan, boleh bertumbuk kalau tidak dileraikan.
Mendengar kata Yusri, tangan Zakry mula longgar. Sudah banyak kali Tuan Darus memberi peringatan supaya jangan cari pasal lagi dengan budak muda kampung. Nama bapanya sudah tercemar gara-gara dia yang suka mencari gaduh dengan budak muda kampung yang tidak menyokongnya.
“Baik! Kali ini aku lepaskan. Tapi jangan ingat aku dah lupa apa yang berlaku hari ni. Yuni, antara kita belum selesai,” kata amaran meluncur dari bibir Zakry. Renungannya tajam memanah wajah Ayuni. Pantas Ayuni berpaling melarikan pandangan dari bertentang mata dengan Zakry. Pandangan lelaki itu begitu menakutkan.
“Hang ni Yuni, dah tahu perangai Kry macam tu, lagi nak cari pasal.”
“Aku bukan cari pasal pun dengan dia. Dia yang tiba-tiba halang jalan aku.”
“Kenapa dia marah sangat kat hang?”
“Sebab aku kata dia makan duit orang kampung.”
“Beraninya hang.” Bulat mata Yusri. Tidak sangka Ayuni berani berkata begitu pada Zakry a.k.a samseng kampung.
“Aku dah tak peduli, Yus. Aku kesian kat Mak Nab, sakit-sakit pun menoreh kat hujung kampung tu. Mak Nab beritahu, hutang dengan Tuan Darus tak habis lagi bayar. Macam mana nak habis, kalau sesuka hati naikkan bunga,” beritahu Ayuni meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Hang kena hati-hati sikit dengan Zakry, Yuni. Bukan hang tak tau perangai dia tu. Kalau dia nak sesuatu, mesti dia akan dapatkan walau dengan apa cara sekalipun.”
“Tak apalah, Yus. Aku dah lambat ni. Nanti bising pulak mak aku. Terima kasih tolong aku tadi.”
“Bukan aku, tapi Nal.”
Perlahan pandangan beralih kepada Danial yang berdiri tidak jauh dari sisinya. Lidahnya kelu. Setiap kali bertentang mata dengan lelaki itu, pasti debaran di dada berdetak laju. Sepasang mata itu tidak lepas daripada wajahnya. Entah mengapa, dia mati bicara.
‘Terima kasih,’ ungkapan itu hanya mampu bergema dalam hati.
Ayuni melarikan pandangan. Memandang Danial seketika tadi membuatkan dia tertanya-tanya. Renungan itu tidak pernah berubah. Tetap sama seperti dulu. Menatapnya dengan rasa cinta yang membuai perasaan. Adakah lelaki ini Danial Haikal yang sama seperti dulu? Tidak! Dia tidak mahu membiarkan dirinya terus dibuai dengan perasaan sendiri. Semua itu akan mengundang kembali harapan yang telah terkubur.
“Aku pergi dulu, Yus.”

Ayuni meminta diri. Tidak sanggup lagi berlama di situ. Menanggapi lelaki itu seumpama mengundang luka lama. Sakitnya masih bersisa. 



No comments: