Sunday, February 5, 2012

Tika Hati Berbicara 7 bahagian a



Qaseh di bawa ke meja yang telah di tempah. Segaris senyuman dilemparkan dengan ucapan terima kasih diucapkan sebelum pelayan itu berlalu pergi. Qaseh meliarkan pandangan ke sekeliling. Tampak mewah dan selesa susun atur hiasan dalamannya.

“Assalamualaikum,” sapa satu suara menyapa hampir di telinganya.

Qaseh sedikit tersentak. Ucapan salam dijawab perlahan sambil berpaling ke arah suara itu. Raut wajah tampan lelaki itu melekap dipandangannya. Sebaik terpandang senyuman itu bibirnya turut melirik senyuman nipis.


“Sorry lambat...” ujar Arief sebaik melabuhkan punggung di kerusi. Nafasnya sedikit mengah kerana bergegas ke sini sebaik mesyuarat tamat sebentar tadi.

“Encik Arief dari mana?” tanya Qaseh.

“Saya dari meeting tadi,” jawab Arief sambil merenggangkan tali lehernya. Kemudian lengan baju di lipat sehingga ke paras siku.

Seorang pelayan menghampiri dan Arief berkata sesuatu kepada pelayan itu. Qaseh hanya diam memerhati.

Sebaik pelayan itu berlalu pergi, Qaseh mula membuka bicara. “Kalau Encik Arief sibuk kita boleh lunch lain kali, kan?“ ujarnya.

“Qaseh, saya hari-hari sibuk. Tak pernah tak ada hari yang tak sibuk.”

Qaseh hanya melirik senyum. Betul apa yang dikatakannya oleh Arief itu. Rutin harian Arief Hakimi sentiasa padat. Abang Malik selalu juga bercerita dengannya rutin kerja lelaki ini. Katanya Arief seorang yang begitu komited dengan kerja. Tidak bosankah lelaki ini. Kerja! Kerja! Kerja!.

“Itu memang tidak dinafikan,” jawab Qaseh mengiyakan kata Arief itu.

“Boleh ke Encik Arief cuti panjang nanti?” soal Qaseh apabila teringatkan Arief ingin turut mengikutnya balik ke kampung.

“Berapa hari kita balik kampung?” soal Arief kembali.

Sepasang mata Qaseh seolah terpaku dengan pertanyaan Arief itu. Entah mengapa saat mendengar perkataan ‘kita’ hatinya terasa sesuatu. Satu perasaan yang amat dalam menyentuh lubuk hatinya.

“Seminggu,” jawab Qaseh. Dia terus mengamati reaksi raut wajah Arief.

“Hmm... okay,” jawab Arief yakin.

“Okay? Sure Encik Arief?” tanya Qaseh inginkan kepastian.

Pandangan Arief melekap ke wajah Qaseh yang menanti jawapan. Raut wajah Qaseh seperti tidak yakin dengan jawapannya.

“Yes, sure Cik Qaseh,” jawab Arief seraya meletakkan ke dua lengannya di atas meja dan wajah Qaseh diamati lama.

Qaseh mula dilanda debaran dengan renungan itu.

“Okay, we will see...” jawab Qaseh. Katanya terselit nada usikan. Senyuman yang terukir di bibirnya menarik perhatian Arief.

“Tak percaya ya,” tanya Arief. Melihat riak wajah Qaseh sudah menjelaskan kepadanya.
Qaseh hanya diam. Senyuman terus terukir di bibir.

“Saya juga perlukan rehat, Qaseh. Lagipun dah lama saya tak bercuti,” beritahu Arief. Selama ini hanya kerja yang difikirkannya. Namun, sejak kehadiran Qaseh di sisinya, dia dapat merasakan satu perasaan telah membenih di sanubari. Debaran di dada sering hadir dalam dirinya. Dia sendiri tidak pasti bila perasaan itu berputik di lubuk hatinya.

“Tahu pun, Encik Arief ni kerja mengalahkan Menteri,” perli Qaseh.
Arief tergelak.

Seperti biasa, gelak tawa itu menarik mata hitam Qaseh ke raut wajah Arief. Dia suka melihat wajah ceria Arief. Sehingga kini, lelaki ini masih misteri dalam hidupnya. Walaupun dia cuba mencungkil perihal peribadi Arief daripada abang Malik. Namun, lelaki itu juga seperti mengelak daripada terus bercerita tentang Arief Hakimi.
“Boleh Qaseh tanya sesuatu?” tanya Qaseh.

Arief terdiam. Wajah Qaseh dipandang dalam. “Tanya apa?” soal Arief tenang.

“Err... sebenarnya... Qaseh nak tanya...” Tiba-tiba Qaseh terasa gugup untuk meluahkan perkara yang bersarang di benaknya sedari tadi.

Berkerut dahi Arief. Melihat Qaseh yang teragap-agap untuk berbicara. “Qaseh nak tanya apa?” tanya Arief sekali lagi.

“Sebenarnya, Qaseh cuma nak tahu. Kenapa hari ini Encik Arief ajak Qaseh makan kat sini? Ada perkara yang nak dibincangkan ke?” Suaranya agak perlahan meluahkan kata.
Arief tersenyum nipis.

“Mesti ada hal ke baru saya boleh ajak Qaseh keluar makan?” pertanyaan di jawab pertanyaan oleh Arief. Dia terus merenung wajah Qaseh yang seolah terkedu dengan katanya.

“Bukan itu maksud Qaseh. Macam mana nak cakap ya...” Qaseh sedikit buntu. Terasa sukar pula untuk menyusun kata meluahkan rasa yang bertamu di benaknya. Tingkah Arief agak berbeza dirasakannya.

Arief menggeleng perlahan.”Kalau tak tahu tak payah cakap. Anggap ini satu permulaan,” ujar Arief. Gayanya cukup bersahaja. Ungkapannya itu tersirat seribu makna.

“Permulaan?” soal Qaseh kembali. Berkerut dahinya mengungkap kata. Persoalan demi persoalan menerpa kotak fikirannya.

Qaseh ingin bersuara lagi tetapi terbantut dek kehadiran pelayan yang membawa hidangan untuk mereka. Satu persatu hidangan di letakkan di atas meja. Arief memilih masakan ala Thai dan sudah pasti kesukaannya, tomyam. Aromanya pun sudah cukup membangkitkan selera. Setelah segalanya siap terhidang, Arief sudah mencapai sudu dan garpu.

Wajah Arief jelas teruja dengan hidangan yang terhidang di depan matanya. Tiada tanda-tanda Arief akan memberi menjawab persoalan yang masih bersarang di benak fikiran Qaseh. “Permulaan untuk apa?” tanya Qaseh sekali gus mengingatkan perbualan mereka yang masih tergantung tadi.

“Kita makan dulu, okay,” putus Arief lantas mencapai kain napkin di atas meja dan perlahan di letakkan di atas riba Qaseh. Kemudian barulah dia meletakkan kain napkin di atas ribanya pula. Sudah kebiasaan bagi Arief dan sikap itulah yang menawan hatinya dalam diam.

Qaseh menghela nafas perlahan. Arief terlalu baik padanya. Kekadang dia takut. Takut dengan hatinya sendiri. Takut dia jatuh cinta pada lelaki ini. Padahal hubungan mereka begitu samar hala tujunya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana corak yang perlu dilakarkan hubungannya dengan Arief. Masih banyak tanda tanya yang belum terjawab. Perkahwinan mereka pasti ada alasan yang kukuh. Mana mungkin Arief mengahwininya hanya kerana kemalangan itu. Tidak masuk dek akal bila difikirkan.

“Qaseh, kalau saya minta Qaseh cuti separuh hari ni, boleh?” tanya Arief.
Belum sempat suapan sampai di mulutnya, permintaan Arief itu menyebabkan dia meletakkan kembali sudu yang berisi nasi itu ke dalam pinggan. “Kenapa?” tanya Qaseh.
“Saya nak ajak Qaseh temankan saya.”

“Ke mana?” tanya Qaseh sambil mencapai gelas di sisinya.

“Shopping,” jawab Arief sepatah dengan senyuman mekar di bibir.

Qaseh yang sedang menghirup air sekadar membasahkan tekak tersedak. Arief pantas mengusap belakang Qaseh yang terbatuk-batuk. “Sorry saya tak bermaksud nak buat Qaseh terkejut,” kata Arief.

Mereka berpandangan seketika. Qaseh berdeham beberapa kali menghilangkan rasa perit di tekaknya. Tingkah Arief menjentik perasaannya. Usapan itu dirasakan seperti belaian saat ini. Perasaan malu mula menerpa dalam dirinya.

“Tak ada hari lain ke nak shopping Encik Arief,” kata Qaseh sebaik batuknya beransur reda.

“Saya rasa nak shopping dengan awak hari ni,” jawab Arief selamba.

“Pelik perangai Encik Arief hari ni,” luah Qaseh. Wajah Arief di tatap lama.

Permintaan Arief itu diluar jangkaannya. Tidak pernah Arief mengajaknya keluar bersama sebelum ini. Apa kena dengan Encik Arief hari ni?”
Arief hanya tersenyum nipis.

“Perangai saya memang selalu pelik,” balas Arief.

“Kalau saya kata tak boleh?” ujar Qaseh ingin menduga.

Dengan gaya yang cukup bersahaja, Arief merenung Qaseh dengan senyuman nakal di bibir. “Saya akan buat Qaseh kata boleh juga,”jawab Arief. Sepasang mata Qaseh direnung lama.

“Kalau macam tu, tanya dengan tak tanya sama aje,” ujar Qaseh terselit kata sindir.
Arief hanya tersenyum.

“Boleh ya?” tanya Arief seperti memujuk sahaja gayanya.

Qaseh tidak terkata apa. Entah kenapa tingkah Arief mengikat pandangannya pada wajah itu. Senyumannya yang mampu mencairkan hatinya. Apatah lagi gayanya yang mempesona. Auranya seolah melingkar di segenap jiwanya. Dirinya tidak mampu menolak kerana dia juga berkemahuan untuk berada di samping lelaki itu.

Akhirnya Qaseh menelefon Diana untuk memberitahu dia tidak dapat masuk ke pejabat kerana urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan. Tersenyum lebar Arief mendengarnya.

sedikit sambungan kisah Arief dan Qaseh
akan bersambung lagi nanti
sudi-sudikan komen ya



6 comments:

zm said...

aww windunye dkt dorg,,,, bila la agaknye dorg nk brbahagia mcm org lain

Kak Sue said...

Arief nak ambil hati Qaseh tu....
Arief dah terjatuh suka dan hati pada isteri sendiri....
Arief cakap ja terus terang bila hati dah suka.... jangan sampai bos Qaseh yang cakap dulu.... hahaha

Gee Muszisya said...

zawani mukhtar > hehe... moga terubat rindu zawani... masih banyak ranjau yang perlu mereka tempuhi sebelum mengecap kebahagiaan... nantikan sambungannya ya :)

sue > Arief tengah memikat hati Qaseh tu sue...;)
Mampukah Azman menawan hati Qaseh?
ahak! ;D

Anonymous said...

suka sgt citer ni....nk entry baru....

Anonymous said...

Alahai pendeknyer n3. x puas laa, lain kali panjg2 sikit yer. jgn marah.

Gee Muszisya said...

Anonymous-1 > thanks sudi follow citer THBR akan bersambung dlm masa terdekat ni :)

Anonymous-2 > hehe...mengaku n3 ni pendek aje...nanti gee sambung lagi ya...thanks sudi layan citer ni ;)