Monday, March 28, 2011

Tika Hati Berbicara 1











Tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang Qaseh mempercepatkan langkahnya. Sesekali dia menoleh ke belakang. Aku mesti keluar dari tempat ini sebelum mereka sedar. Kenapa kau bodoh sangat Qaseh!! Kenapa kau mudah percaya sangat dengan cakap Zakri yang tak akan berubah sampai bila-bila. Bisik Qaseh di dalam hati sambil terus melajukan langkahnya. Dia cuba menyelit-nyelit di antara orang ramai yang memenuhi kelab itu. Tidak dipedulikan lagi keadaan di situ, yang penting dia mesti keluar dari tempat ini.



"Hoi!! Jangan lari!!"



Langkah Qaseh terhenti lalu dia berpaling ke belakang. Dua lelaki yang berbadan tegap berdiri tidak jauh di belakangnya dan melemparkan pandangan yang tajam ke arahnya. Tanpa berlengah Qaseh mengorak langkah pergi dari situ. Debaran dadanya berdegup laju dek perasaan takut dengan kedua lelaki itu. Keadaan kelab itu yang agak gelap menyebabkan Qaseh tidak tentu hala tujunya. Nasibnya baik kerana dia menemui pintu belakang kelab itu. Bila dia berjaya keluar dari kelab itu. Lorong yang sunyi menggerunkannya. Melihat tingkah manusia yang berjalan terhoyong hayang menakutkannya. Kakinya laju melangkah untuk segera keluar dari lorong itu. Sesekali dia menoleh ke belakang takut dua lelaki itu dapat mengekorinya. Namun tanpa disedari Qaseh dia telah sampai ke jalan utama.



BUMM!!!



Sebuah kereta tidak sempat memberhentikan keretanya apabila tiba-tiba Qaseh keluar dari lorong itu. Mujur kereta itu tidak laju. Tubuh Qaseh terdampar di atas jalan raya. Seorang lelaki pantas keluar dari bahagian penumpang kereta itu dan meluru ke hadapan kereta. Dia terkaku seketika apabila melihat tubuh Qaseh terbaring tidak sedarkan diri. Kemudian perlahan lelaki itu mengangkat tubuh Qaseh dan dipangkunya. Darah mula mengalir perlahan di dahi Qaseh.



"Malik kita bawa dia pergi hospital!!" kata lelaki yang memangku Qaseh itu.



"Baik bos," sahut lelaki yang bernama Malik itu.




Lantas lelaki itu mencempung tubuh Qaseh dan di bawa masuk ke dalam kereta. Lelaki itu turut duduk di tempat duduk belakang. Kepala Qaseh di letakkan di atas ribanya dengan penuh berhati-hati. Kemudian kereta BMW X5 itu meluncur laju menuju ke hospital.




Sebaik tiba di bahagian kecemasan hospital. Kakitangan yang bertugas segera membawa Qaseh masuk ke dalam bilik kecemasan. Pada mulanya lelaki itu ingin turut masuk ke dalam bilik kecemasan itu tetapi dihalang.






"Kita tunggu kat luar saja bos... bilik kecemasan memang tidak dibenarkan masuk," kata Malik pada bosnya. Jelas terpancar riak keresahan di wajah bosnya itu. Aku yang langgar perempuan tu, tapi bos aku pulak yang terlebih risau.



Di bahagian menunggu lelaki itu tidak senang duduk sahaja tingkahnya. Malik yang melihat tingkah bosnya sedari tadi merasa pelik. Rimas pula bila melihat bosnya berjalan berulang alik di hadapannya.



“Siapa agaknya perempuan tu Malik?” tanya lelaki itu sebaik melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan Malik.



“Entahlah bos, tadi saya betul-betul tak perasan... perempuan tu tiba-tiba keluar dari lorong gelap tu,” beritahu Malik walaupun terasa tidak logik pertanyaannya tuannya itu. Aku bukannya nujum boleh tahu siapa perempuan tu.



Tiba-tiba pintu bilik kecemasan terbuka. Muncul seorang doktor dari dalam bilik kecemasan itu. “Macam mana doktor?” Lelaki itu terus menerpa mendekati doktor itu.




“Boleh saya tahu hubungan encik dengan pesakit?” tanya doktor itu sebelum menjawab pertanyaan lelaki itu.







"Saya Arief." lelaki itu memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan berjabat salam. “Err.... sebenarnya pembantu saya tidak sengaja terlanggar perempuan tu. Jadi kami terus bawa dia ke hospital. Kami pun tak kenal siapa perempuan tu,” beritahu Arief. Malik hanya menjadi pemerhati di sebelah tuannya.



“Oh... kalau begitu kita kena tunggu pesakit sedar dululah kalau macam tu.”



"Tapi saya ada kad pengenalan diri perempuan tu. Saya terpaksa geledah beg perempuan tu untuk pendaftaran tadi," tiba-tiba Malik mencelah. Kad pengenalan diri di tangan Malik bertukar tangan. Tetapi bukan di tangan tuan doktor tetapi tuannya yang sedang melemparkan pandangan tidak puas hati padanya mungkin kerana tidak memberitahu perihal kad pengenalan diri perempuan itu kepada tuannya itu.







Arief mengamati nama yang tertera pada kad pengenalan di tangannya Nur Qaseh Qalesya.



“Macam mana keadaan perempuan tu doktor?” tanya Malik setelah melihat tuannya hanya membisu seperti terleka sahaja.



“Mengikut pemeriksaan saya tiada kecederaan dalaman hanya kepalanya sahaja mengalami sedikit hentakan. Buat masa ni pesakit masih tidak sedar," jelas doktor itu.



Ada riak kelegaan terbias di raut wajah Malik. Syukur kerana tidak ada perkara serius berlaku pada perempuan itu. Malik berpaling ke arah tuannya yang masih membisu. "Bos ada apa-apa lagi nak tanya pada doktor?" tanya Malik cuba menyedarkan tuannya yang seperti telah melayang jauh fikirannya.



"Huh!" Arief terpinga. "Boleh saya masuk tengok dia sekejap doktor?" pinta Arief penuh berharap.



"Boleh tapi sekejap saja sebab pesakit perlu berehat," beritahu doktor itu.



"Terima kasih doktor," ucap Arief berpuas hati.



Pintu bilik di kuak perlahan. Tubuh yang terbaring di atas katil diamati lama oleh lelaki itu. Wajah mulus itu menjadi santapan sepasang matanya yang seolah terpaku pada raut wajah itu. Kemudian Malik menyusul masuk ke dalam bilik itu dan berdiri di sebelah tuannya. Dia turut menatap wajah perempuan yang terbaring itu. Riak wajah Malik tiba-tiba berubah. Spontan dia bersuara. "Bos..." sebutnya sambil beralih pandang pada tuannya. Kini barulah dia tahu mengapa tuannya berperangai pelik sedari tadi. Kenapa dia sendiri tidak perasan tadi?



"Wajah dia Malik, saling tak tumpah kan?" ucap Arief perlahan seperti berada dalam dunianya sendiri. Matanya tidak beralih dari menatap wajah Qaseh.



Kelu lidah Malik mendengar suara tuannya yang sayu itu. Mungkinkah kejadian ini ada hikmah. Sesuatu yang akan merubah kehidupan tuannya. Dia tidak pernah putus berdoa semoga suatu hari nanti tuannya akan menemui sinar hidupnya kembali.



8 comments:

blinkalltheday said...

best2, lagi, next n3 pleassss........

Gee Muszisya said...

terima kasih yuna :) nantikan sambungannya ya :)

Anonymous said...

snggah...
next n3 pliss
tpi prggan pertma
sesekali dia tertoleh ke belakang. tertoleh atau menoleh ke belakang..berlaku kekeliruan disini

>>i<<

Gee Muszisya said...

Anonymous > terima kasih atas teguran... k gee dh tukar ;p

Anonymous said...

teruskan....best ceta dia.....

anor.adilla said...

k.gee, bestnya THBR ni! tak sabar tunggu next entry :) moga2 dpt idea yg mencurah utk smbung kisah JL jgk ;)

ezz an said...

nice intro....dah terlekat nie....so please cepat sambung yer....

Anonymous said...

Permulaan yg mnarik ni...
Roza mamat