Sunday, June 3, 2012

Tika Hati Berbicara 10


* Sorry dah lama x upload new n3, ada perkara yang perlu didahulukan.  
  Semoga n3 ini mengubat rindu anda pada Arief dan Qaseh.
  Selamat membaca & semoga terhibur. ( ^ _ ^ ) 



Zakri menapak perlahan masuk ke dalam rumah. Berhati-hati dia melangkah dalam suasana yang hanya disirami cahaya neon dari lampu tidur di ruang tamu itu. Dia menoleh ke arah pintu bilik mamanya yang tertutup rapat. Khuatir kepulangannya akan disedari oleh mamanya nanti.
“Kamu ke mana Zakri, baru sekarang nampak batang hidung kamu?” Ketika tangannya ingin memulas tombol pintu bilik, suara mamanya bergema memecah keheningan.
Tersentak Zakri, perlahan tubuhnya berpaling ke belakang. Zakri menjadi kecut melihat mamanya yang bercekak pinggang dengan renungan yang cukup tajam memandang tepat ke wajahnya.
“Zakri ada hal sikit ma, tu yang balik lambat,” Tipu Zakri. Padahal setiap malam dia menghabiskan masa di kelab malam tempat biasa dia melepak bersama teman baiknya Amir.
“Hal apanya... hari-hari balik lambat. Kamu ke mana sebenarnya Zakri.” Semakin meninggi suara Puan Samsiah. Alasan yang acap kali diberikan oleh anaknya itu sudah tidak boleh diterima oleh makcik Samsiah lagi. Zakri seperti menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya.
“Alah ma... Zakri kerja la ma, kalau Zakri membuta kat rumah mama bising. Bila Zakri keluar kerja pun mama bising.”
“Kerja apa yang kamu buat balik tengah-tengah malam ni. Hasilnya mama tak nampak pun.  Kamu jangan buat kerja yang tak senonoh Zakri! Ni mama nak tanya macam mana dengan duit tiga puluh ribu yang mama bagi kat kamu dulu. Kamu cakap nak pulangkan pada mama, tapi sampai sekarang tak nampak satu sen pun.”
 “Hish, mama ni. Takkan Zakri nak buat kerja tak senonoh. Pasal duit tu nanti Zakri bayar la ma. Projek yang Zakri buat tu ada masalah sikit. Zakri tengah cari modal lagi sekarang ni. Bila semua dah selesai Zakri bayar balik duit mama tu,” jawab Zakri berdalih. Wajahnya cuba beriak selamba, tidak mahu mamanya terkesan sesuatu. Bagaimana dia hendak mendapatkan duit sebanyak tiga puluh ribu itu?
“Baik, kali ni mama percaya cakap kamu tapi kalau mama dapat tahu kamu joli dengan duit tu, nahas kamu,” keras kata-kata yang terluah dari bibir Puan Samsiah berbaur amaran.
“Okeylah ma... Zakri masuk dulu.”
Zakri ingin cepat-cepat beredar masuk ke dalam bilik, tidak mahu mamanya bersoal jawab lebih panjang dengannya. Khuatir tembelangnya akan pecah nanti.
“Tunggu dulu! Mama belum belum habis cakap lagi,” larang Puan Samsiah.
“Apa lagi ma...” rungut Zakri. Dia menggaru kepala mulai bosan dengan kerenah mamanya yang mengalahkan pegawai siasatan.
“Mama nak tanya..” kata-kata Puan Samsiah terhenti sebaik mendengar pintu rumah terkuak.
Susuk tubuh Elyana yang muncul di balik pintu menarik pandangan Puan Samsiah dan Zakri. Elyana yang baru menyedari mama dan abangnya di ruang tamu terpaku di muka pintu.
“Ni sorang lagi. Kamu ke mana Yana sekarang baru nampak batang hidung. Semalam kamu tak balik, kamu pergi mana?” Lantang suara Puan Samsiah menghamburkan pertanyaan.
“Yana tidur rumah kawan,” jawab Elyana acuh tak acuh sahaja. Tanpa menghiraukan teguran mamanya, dia melangkah ke arah biliknya.
“Selalu sangat kamu tidur rumah kawan. Kamu dah tak ada rumah sendiri,” sinis bicara Puan Samsiah membuatkan Elyana mempamerkan riak wajah bosan.
“Yana bukan ke mana pun, lepak dengan kawan-kawan aje. Duduk dalam rumah ni pun tak ada apa nak buat,” jawab Elyana menyambung langkah ke biliknya.
 “Nak ke mana tu? Mama belum habis cakap lagi!”
“Tidur lagi baik dari dengar mama membebel.”
“Elyana!”
Elyana hanya meneruskan langkahnya dan sebaik masuk ke dalam bilik, dia menghempas kuat pintu biliknya.
“Kamu tengok adik kamu tu Zakri, makin lama makin menjadi pulak perangainya. Cuba kamu nasihatkan sikit adik kamu tu.”
“Yelah ma... nanti Zakri nasihatkan si Yana tu,”
“Zakri masuk tidur dululah ma... mengantuk sangat dah ni,”ujar Zakri mula mengorak langkah ke biliknya.
Puan Samsiah mengeluh kuat. Pening kepala memikirkan perihal anak-anaknya. Hanya hendak menyusahkan hatinya sahaja tidak pernah nak menyenangkan jiwanya.  
Manakala di dalam bilik, tubuh Elyana tersandar di muka pintu. Warna biru muda yang menghiasi dinding bilik tidurnya tidak mampu membawa ketenangan dalam dirinya, terasa begitu kosong sekali. Perasaannya kembali tertekan dengan kejadian yang tidak pernah terduga akan berlaku ke atas dirinya. Raut wajah kepuasan Farouq kembali bermain dimindanya membuatkan perasaan benci dan geram membuak di dalam dirinya. Elyana membaling beg sandang yang berada di tangan ke dinding melepaskan perasaan yang mencengkam di dada. Dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Bantal di hujung katil ditarik rakus lalu digenggam kuat. Aku benci kau, Farouq! Aku benci kau! Aku benci! Benciii!!!!!
Jerit Elyana lalu menyembam mukanya ke bantal. 


*********************

Hari ini awal-awal pagi lagi Qaseh sudah bangun untuk mengemas dan menyediakan sarapan pagi. Mengikut perancangan awal, mereka akan bertolak balik ke kampung pada waktu pagi. Sebaik selesai mengemas Qaseh kembali ke dapur untuk menghidangkan sarapan pagi. Nasi goreng bersama roti bakar sudah tersedia di atas meja.  Air neslo panas kegemaran Arief juga tidak dilupakan.
Qaseh menoleh ke arah jam dinding. Melihat waktu sudah berganjak ke angka lapan pagi membawa langkah Qaseh ke muka pintu bilik Arief.
Kesepian Arief menyesak dadanya. Peristiwa semalam kembali berlegar di ruang mata. Pelawaan Azman untuk menghantarnya pulang ditolak dengan penuh budi bicara. Haru jadinya apabila sekali lagi dia bertembung dengan Azman di pintu utama pejabat sewaktu dia melangkah keluar. Kelibat kereta Arief sudah kelihatan di luar pejabat. Perbualan mereka berlanjutan agak lama. Sesekali dia menjeling ke arah kereta Arief. Nasib baik kereta Arief bercermin gelap, gusar hatinya jika ada sesiapa yang menyedari Arief di situ.
Sebaik dia melangkah masuk ke dalam kereta, senyuman yang dilemparkan langsung tidak bersambut malah wajah serius Arief terus mematikan senyumannya. Arief terus membisu sepanjang perjalanan pulang. Mati kutu dibuatnya dek perangai Arief yang tidak menentu itu.  
Qaseh mengetuk perlahan pintu bilik Arief.
“Encik Arief...” panggil Qaseh.
Seketika kemudian, Arief membuka pintu bilik. Segaris senyuman nipis dilemparkan kepada Arief. “Saya dah siapkan sarapan. Encik Arief tak nak makan dulu,” tanya Qaseh lembut.
“Kejap lagi, saya ada kerja sikit nak siapkan. Awak makanlah dulu,” jawab Arief hambar.
Qaseh mengamati wajah Arief yang serius dan seperti tiada perasaan itu. Apa yang tidak kena dengan Encik Arief ni? Asyik moody aje dari  semalam. Mengalahkan orang perempuan pulak.
“Encik Arief banyak kerja ke? Habis tu pukul berapa kita boleh bertolak?”
“Lepas siap kerja saya ni kita bertolak. Tak lari ke mana kampung tu.”
Tersirap darah Qaseh mendengar kata Arief itu. Raut wajah Arief yang berlagak selamba diamatinya.
“Encik Arief ni kenapa? Hari tu Encik Arief yang beria-ia nak ikut saya balik kampung. Saya tahu Encik Arief banyak kerja tapi Encik Arief kata akan uruskan sebelum kita balik kampung. Kalau macam ni biar saya balik seorang saja. Saya tak nak menyusahkan Encik Arief, saya boleh balik sendiri.”
Qaseh berpaling ingin berlalu pergi, namun baru beberapa tapak dia melangkah, kakinya terpaku apabila pergelangan tangannya dipaut kemas oleh Arief.
“Qaseh...” panggil Arief lembut.
Qaseh terus menyepi membisu. Wajah Arief tidak dipandangnya hanya membiarkan tangan Arief melekap di pergelangan tangannya.
“I’m sorry...” lembut suara Arief menyapa halwa telinga Qaseh.
Qaseh cuba menarik tangannya namun genggaman Arief semakin kuat mencengkam pergelangan tangannya.
“Lepaskan tangan saya Encik Arief.” Perasaan geram mula membaluti diri. Geram dengan sikap Arief yang sukar difahami. Ikut kepala angin dia saja.
“Qaseh, please... jangan macam ni,” pujuk Arief. Perasaan bersalah mula melingkar dalam dirinya. Dia mula mengutuk dirinya sendiri. Entah kenapa setiap kali melihat Qaseh berbual mesra bersama Azman perasaan cemburu sukar dibendung .
“Saya tak nak menyusahkan Encik Arief.”
Pautan di lengan Qaseh semakin dikemaskan. Terasa pedih mendengarkan ungkapan yang terbit dari bibir Qaseh.
“Awak tak pernah menyusahkan saya, Qaseh. Jangan awak beranggapan begitu pada saya.”
“Tapi itu yang saya rasa selama ini,” ujar Qaseh perlahan sambil tertunduk melarikan pandangan apabila Arief sudah berdiri bertentang dengannya.
Arief mula resah. Dia meraup rambut ke belakang. Wajah Qaseh ditenung tanpa jemu. Raut wajah itu tetap tampak berseri walau tanpa sebarang calitan solekan. Wajah putih bersih itu yang sentiasa bermain di ruang matanya sejak dulu. Tiada siapa yang tahu rahsia hatinya. Tiada siapa yang tahu hatinya telah terpaut sejak pertama kali dia terpandang pada wajah itu.
“Okey, saya janji, lepas saya siapkan kerja ni kita terus bertolak.”
Bersungguh Arief memujuk Qaseh yang terusan membatu diri. Arief menyentuh lembut dagu Qaseh yang sedari tadi menunduk. Qaseh mengangkat muka dan pandangan  mereka berpadu.
“Pleasee....” pujuk Arief lagi. Qaseh hanya memandang mimik muka Arief yang berkerut-kerut itu. Semakin lama dipandang mendatangkan perasaan lucu pula dalam dirinya.
“Sarapan dulu,” ujar Qaseh menyimpan senyum. Matanya dilirikkan ke arah lain, masih menunjukkan rasa rajuk yang sudah terpujuk.
“Awak jangan selalu buat macam tu kat saya.”
“Buat apa?” Berkerut dahi Qaseh bertanya.
“Mata awak tu buat saya tergoda. Saya tak kuat iman. Saya takut tak tahan digoda awak nanti.”
Membuntang mata Qaseh. Wajahnya mulai merona. “Encik Arief!”
Qaseh ingin segera berlalu pergi dek perasaan malu yang mula menjalar dalam diri. Namun, genggaman tangan Arief menyekatnya dari melangkah. “Tadi ajak saya sarapan. Ni nak ke mana pula?”
“Sarapan kat sana bukan kat sini, Encik Arief.” jawab Qaseh cuba membendung perasaan malu.
Tersenyum lebar Arief melihat tingkah Qaseh yang malu-malu itu. Dia tahu hati Qaseh sudah terpujuk. Sikap Qaseh sentiasa mencuri perhatiannya. Tingkah Qaseh sering mengundang debaran di dada. Siapa tidak bergelora nalurinya melihat kecantikan asli yang dimiliki Nur Qaseh Qalesya. Hanya Tuhan saja yang tahu gelodak hatinya setiap kali wajah itu menyapa ruang matanya.  

8 comments:

Anonymous said...

Best... tp nak lg.. selalu rasa cam x cukup

NurAtiZa said...

Best...walaupun jarang update.

Anonymous said...

akhirnya ada juga new entry..
best..tp cm x puas je baca..

Kak Sue said...

Lamanya tunggu.... tapi bestttt...
Arif berterus terang ja lah masa di kampung kkkk....

cik ct payung said...

Nak lagi nak lagi nak lagi...

Gee Muszisya said...

Anonymous, NurAtiZa, Rya Yuni, sue & cik ct payung : terima kasih sudi komen... insyaallah akan disambung lg nanti :)

Achaq said...

cepat la sambung.......tak sabar nak tahu kisah seterusnya.....

Anonymous said...

Bila plak ni nk smbung...jgn lama2 sb nk tgu diorg bsama...
Roza mamat