Tuesday, January 16, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 14

Assalamualaikum semua...
sambungan Diakah Cinta? Bab 14
terima kasih kepada semua yang sudi follow Diakah Cinta?
Kepada yang berminat nak miliki novel  Diakah Cinta? boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda atau order online dari Penerbitan Lovenovel. 
Whatsapp 0134226431 
                   0133698404
                   0134888095
                   0196789181



BAB 14

“Ayuni!!!”
“Oii!! Terkejut Ayuni dengan sergahan Shafiqa.
“Apa hang ni... terkejut aku.” Riak geram terpamer di wajahnya.
“Dah aku panggil hang buat derk ja.” Entah apa yang dimenungkan Ayuni. Sejak balik dari pasar, sahabatnya ini asyik mengelamun saja.
“Aku tengah susah hati ni,” luahnya.
“Susah hati pasal apa? Meh makan putu buluh. Aku beli kat kedai depan tu.” Dengan mulut yang penuh Shafiqa mempelawa Ayuni.
“Aku jumpa Danial tadi.”
“Hah! Hang jumpa Danial Haikal!” Tersembur putu buluh dari mulut Shafiqa sehingga mengenai muka Ayuni.
“Weh... kut ya pun terkejut, takkan sampai muka aku jadi mangsa? Tak senonoh punya kawan.”
“Sorry, sorry...” Tisu di atas meja di tarik. Pantas dilap ke wajah Ayuni yang masam mencuka mengalahkan asam kecut.
“Okay, aku dah lap muka hang bersih-bersih. La ni hang boleh citer kat aku macam mana hangpa dua boleh jumpa.” Riak teruja jelas terpamer di raut wajah Shafiqa. Sepenuh perhatian diberikan kepada Ayuni. Kalau boleh, dia tidak mahu ketinggalan walau satu perkataan pun.
“Pagi tadi aku nak pergi pasar. Tiba-tiba ada kereta cium kereta aku dari arah belakang.”
“Hah! Teruk tak?” Buntang mata Shafiqa terkejut. Belum sempat Ayuni menyudahkan cerita, dia lebih dahulu memintas.
“Apa yang teruk? Aku ka kereta?”
“Kereta la. Aku tengok hang elok ja berjalan tadi. Tak ada capik kat mana pun. Tak nampak luka kat mana-mana.”
“Luaran memang tak nampak. Tapi dalaman ni hang tak tau,” beritahu Ayuni. Sebelah tangan dilekap ke dada.
“Nak buat macam mana benda dah nak jadi. Teruk ka kereta?”
“Tak teruk mana... kemik sikit kat belakang.”
“Hang minta ganti rugi tak?”
“Mau tak mintak. Mestilah mintak. Dia yang langgar kereta aku.”
“Eh, kejap. Apa kaitan kes langgaq dengan Danial pulak?” Berkerut dahi Shafiqa. Tanda tanya terbias di raut wajahnya.
“Dia yang langgar kereta aku.”
“Apa? Danial Haikal yang langgaq kereta hang.”
Wajah Shafiqa tampak semakin teruja. Bibir melirik sengih panjang.
“Eh! Hang ni awat? Aku tengah sakit hati, hang boleh tersengih-sengih pulak.”
“Sebab hang accident dengan Danial Haikal. Kalau hang accident dengan orang lain, aku boleh jadi back up hang mintak tambah ganti rugi. Mesti sweet kan hangpa. Gaduh-gaduh manja gitu.”
Ayuni melirik geram.
“Gediknya kawan aku ni...”
Boleh tahan gatai juga Shafiqa ni kalau dengar nama Danial Haikal. Dulu sahabatnya inilah yang menjadi radio karatnya. Kalau ada sebarang cerita mengenai Danial Haikal, mesti hendak direpot kepadanya.
“Sebab aku tengok hang dengan dia secocok. Aku rasa Danial ada hati kat hang. Takkan hang tak perasan cara dia renung hang? Renungan yang mencairkan.”
Tetapi kenapa lelaki itu sanggup sakitkan hatinya? Persoalan itu sering bermain dalam mindanya? Adakah lelaki itu telah berubah? Kata-kata yang terbit suatu ketika dulu dari bibir Danial Haikal buat hatinya betul-betul terluka.  
“Sejak bila taste kau budak kampung?”
Itu pertanyaan daripada sahabat baik Danial, Fakrul Ridzuan yang datang melawat Danial seminggu selepas mereka menduduki peperiksaan SPM. Menurut Yusri, Fakrul sahabat baik Danial sebelum dia berpindah ke kampung. Sikap Fakrul memang jauh berbeza dengan Danial. Ada ketika mereka akan berkumpul melakukan aktiviti bersama. Namun, ada satu perkara yang dia tidak suka dengan lelaki itu. Pandangan yang sering mengundang rasa tidak selesa dalam dirinya.
“Apa kau cakap ni?” tanya Danial seakan tidak mengerti pertanyaan Fakrul itu.
“Aku tengok kau rapat dengan Ayuni.”
“Mana ada rapat? Aku kawan biasa aje dengan dia.”
Senyuman sinis jelas terpamer di bibir Fakrul.
“Kau jangan nak tipu aku. Aku tahu, kau sukakan Ayuni, kan?”
“Apa kau merepek ni? Kau pun tahu taste aku macam mana. Takkan budak kampung yang kolot macam tu jadi pilihan aku. Kalau setakat nak suka-suka, bolehlah.”
Hati Ayuni saat itu bagaikan direntap. Sungguh perasaannya sangat tergores dengan kata-kata Danial. Sejak itu, dia berjanji pada dirinya akan menjauhkan diri daripada hidup lelaki itu. Masih jelas di ruang mata riak selamba lelaki itu apabila menyedari kehadirannya. Tiada ungkapan yang mampu terluah, hanya pandangan kecewa dilemparkan sebelum dia berlalu dan tidak berpaling lagi. Sejak itu, nama Danial Haikal seakan mahu dipadamkan dalam kotak fikirannya. Namun, tidak mudah memadam perasaan itu dari dasar hatinya.
“Bukan apa... hari tu masa kat kampung, hangpa terjumpa balik setelah bertahun-tahun tak jumpa. Bukan saja terjumpa, dia jadi penyelamat hang lagi. Ni accident dengan dia pulak. Hang tak rasa hangpa ni ada jodoh ka?”
Sekembali Ayuni dari kampung, terus sahabatnya itu bercerita tentang kejadian yang berlaku antaranya dengan Danial. Paling mengejutkan apabila Ayuni hampir diperkosa. Mujur ada Danial sempat menyelamatkn Ayuni. Tidak dapat dibayangkan andai Danial tidak muncul ketika itu.
Mendengar suara Shafiqa, memori lama itu menjauh pergi dari kotak ingatannya. Pandangannya kembali fokus pada raut wajah Shafiqa yang seperti nujum pak belalang saja rupanya.
“Aku tengah susah hati ni, hang cakap pasal jodoh pulak. Semua tu hanya kebetulan,” tekan Ayuni cuba menafikan kata-kata Shafiqa.
“Hang nak susah hati kenapa?” tanya Shafiqa.
Ayuni melepas keluh. Tubuhnya disandarkan ke sofa.
“Entahlah.” Dia tiada jawapan. Dia sendiri tidak mengerti dengan perasaannya saat ini. Sejak peristiwa di kampung tempoh hari, dia akui ingatannya sering singgah pada lelaki itu.
“Apa yang bermain di fikiran hang la ni?” tanya Shafiqa.
“Entah kenapa aku kerap pulak jumpa dia...”
“Haaa... sebab tu aku kata hangpa dua ada jodoh.”
Ayuni buat muka bosan, kepala digeleng perlahan.
“Hang jangan nak merepek lebih-lebih. Semua tu hanya kebetulan.”
“Jodoh pertemuan ketentuan Allah. Kalau dah jodoh hang dengan Danial Haikal, lari ke hujung dunia pun hang akan jumpa dia jugak.”
Ayuni senyum sinis  sebelum senyuman itu perlahan-lahan menjadi pudar.
“Hang tak ingat apa yang dia kata pasal aku? Aku ni hanya gadis kampung yang kolot. Dia tak pernah suka aku, Fiqa. Aku ni hanya diperlukan untuk mengisi rasa kekosongan hati dia.”
“Aku tak percaya Danial macam tu.”
“Telinga aku yang mendengar dan mata aku sendiri yang melihat setiap apa yang dia katakan pada Fakrul. Tak mungkin aku boleh silap mendengar dan melihat Fiqa.”
“Tapi... semua tu dah lama berlalu, Yuni.”
“Walaupun sudah lama berlalu, tetapi entah kenapa begitu payah hendak dilenyapkan dari ingatan aku.”
“Sebab hang betul-betul sukakan Danial, kan? Sebab tu kata-kata dia begitu memberi kesan dalam diri hang.”

Ayuni terdiam. Kelu lidahnya mendengar kata-kata yang terbit dari bibir Shafiqa. Lelah rasanya saat ini kala berperang dengan perasaan sendiri. Perasaan apakah ini? Perasaan yang membuatkan dia dalam panasaran. Dan hanya lelaki itu yang mampu membuatkan perasaannya jadi huru-hara begini.

No comments: