Friday, January 12, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 7



Assalamualaikum semua...
sambungan Diakah Cinta? Bab 7
terima kasih kepada semua yang sudi follow Diakah Cinta?
Kepada yang berminat nak miliki novel  Diakah Cinta? boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda atau order online dari Penerbitan Lovenovel. 
Whatsapp 0134226431 / 0133698404 / 0134888095 / 0196789181

BAB 7


 "Jangan lambat sangat pergi rumah Mak Long Munah. Orang masjid mai lepas Isyak. Pergi awai sikit, tolong apa yang patut. Anak dara kenalah ringan tulang, baru orang tengok berkenan."
Berdesing juga telinga Ayuni yang sedang berbaring santai di sofa sambil menonton TV.
`Aduhh... siren dah berbunyi. Masak kalau aku tak pergi jugak ni. Malas sebenarnya.’ Teringatkan peristiwa petang tadi, terus hilang keinginan Ayuni untuk pergi. Khuatir bertembung dengan si dia lagi. Entah kenapa, dia rasa tidak sedap hati pula.  
"Ingat pesan mak, Yuni."
"Yalah mak, nanti Yuni pergi dengan Fira."
"Eh, mana Fira? Dari tadi mak tak nampak."
"Katanya nak pergi bilik air. Entah apa yang dibuatnya lama sangat."
"Mak pergi dulu, Yuni."
"Elok-elok jalan malam-malam ni mak. Mak ada bawa lampu suluh dak?"
"Ada ni." Puan Jamilah menunjukkan lampu suluh di tangan.
Pandangan Ayuni jatuh pada kaki Puan Jamilah yang sedang menyarung selipar. Entah kenapa, hati terasa sayu tiba-tiba melihat raut wajah ibunya yang sudah dimamah usia. Pemergian ayah menyambut panggilan Ilahi betul-betul menguji mereka sekeluarga. Sejak itu ibunya menjadi ketua keluarga. Ibunya tidak pernah merungut. Pernah dia bersuara dengan ibunya hendak berhenti sekolah. Tetapi cadangannya itu hanya menimbulkan kemarahan Puan Jamilah. Seminggu ibunya merajuk. Pengorbanan Puan Jamilah sentiasa menggamit perasaan sayu di hatinya. 
Selepas berjaya mendapat segulung ijazah, dengan berbekalkan semangat, dia memberanikan diri ke bandar mencari pekerjaan. Alhamdulillah, rezeki menyebelahinya apabila dia mendapat kerja di sebuah syarikat swasta. Walaupun permulaan gaji tidak tinggi, tapi cukuplah untuk menampung mereka sekeluarga.
 Kiriman wang setiap bulan ke kampung tidak pernah diabaikan. Ibunya pernah berura-ura ingin menjual kereta peninggalan arwah ayah. Tetapi dia melarang keras. Itu saja satu-satunya kenangan arwah ayah. Kereta itu langsung tidak membebankan mereka, malah berguna untuknya berulang-alik ke tempat kerja walaupun kadang-kadang meragam juga. Maklumlah kereta sudah berusia. Mujur kereta itu sudah langsai hutang dengan pihak bank. Kalau tidak, mungkin cadangan ibunya terpaksa juga dipertimbangkan.
Namun, pada tahun lepas dia terpaksa melepaskan kereta itu memandangkan kerap sangat meragam. Puan Jamilah juga mencadangkan supaya dia membeli kereta baru bagi memudahkannya ke tempat kerja. Tidak berbaloi dengan kos yang terpaksa ditanggung untuk membaiki kereta lama itu.
"Mak pergi dulu."
"Hati-hati mak," pesan Ayuni lagi.
Setelah emaknya berlalu pergi, Ayuni merapatkan pintu dan menguncinya lalu duduk di sofa kembali. Tidak lama kemudian, datang Afira bersama kerut di muka sambil tangan menekan-nekan perut seperti menahan sakit reaksinya.
"Kenapa ni dik?" soal Ayuni kepada Afira yang sudah duduk di sebelahnya.
"Sakit perutlah kak. Dah tak larat ulang-alik masuk bilik air."
"Makan apa tadi?"
"Rasanya makan rojak kat tepi jalan tu. Teringin sangat. Belasah sampai dua bungkus. Kalau ikutkan nak tambah lagi sebungkus," jawab Fira sambil tersengih-sengih.
Membuntang mata Ayuni mendengarnya. Kemudian dia menggeleng perlahan.
"Mak aiii... kebulur ka apa? Itu bukan makan, itu dah melantak namanya," perli Ayuni.
Afira hanya tersengih.
"Kalau macam tu, tak payahlah kita pergi rumah Mak Long Munah. Risau pulak kak nak tinggalkan Fira sorang kat rumah."
"Eh mana boleh! Kak pergilah. Fira bukan sakit teruk sangat pun."
"Malas nak pergi."
"Kak Yuni jangan cari pasal. Marah mak nanti. Kak bukan tak tahu mak tu. Tak pasal-pasal Fira pula yang kena nanti.”
"Okey juga tu. Kak bagi alasan nak temankan Fira kat rumah."
"Fira bukan budak lagilah nak berteman. Tengok orang arr..."
"Eleh, berani sangat kononnya tu." Mencebek Ayuni dengan tingkah Afira yang berlagak berani.
"Dah! cepat pergi siap, dah lambat ni," arah Afira sambil menarik tangan Ayuni. Sedikit mendesak.
Dengan lemah Ayuni menggagahkan diri untuk bangun. Afira hanya memandang langkah kakaknya masuk ke bilik. Tiba-tiba rasa sakit perutnya datang lagi.
`Alamak! Sakit balik. Tidur dalam bilik air jawabnya aku malam ni. Afira bingkas bangun dan berlari anak menuju ke bilik air.’ Makin lama semakin memulas rasa sakitnya.
Bersuluhkan cahaya dari lampu suluh, Ayuni berjalan perlahan meredah malam sambil bernyanyi dengan nada perlahan, hanya dirinya sahaja yang mendengar. Dia mendongak ke langit, malam ini bulan penuh menyinari langit. Menghayati seketika keindahan alam ciptaan Ilahi. Kemudian kembali mengalih pandang ke hadapan seraya mengatur langkah meneruskan arah tujuan. Pada awalnya dia ingin menunggang basikal, tetapi memandangkan lampu basikal itu sudah tidak berfungsi, maka berjalan kaki saja pilihan yang dia ada. Takkan hendak naik kereta? Bukan jauh sangat pun.
"Haii..."
Hampir terlepas lampu suluh di tangan apabila mendengar teguran secara tiba-tiba dari arah belakang. Pantas Ayuni menoleh ke belakang, melihat gerangan orangnya. Kelihatan dua susuk tubuh lelaki sedang tersengih memandangnya mengundang perasaan takut dalam diri. Namun, tidak sedikit pun ditonjolkan perasaan gementar yang bertandang.
Tanpa menghiraukan mereka, Ayuni berpaling ingin berlalu pergi. Ayunan langkahnya dipercepatkan. Degupan jantung terasa begitu kencang tika ini. Perasaan cemas mula menguasai diri apabila terasa langkahnya diekori. Dengan keadaan gelap dan sunyi, menambahkan rasa takutnya. Terasa perjalanan ke rumah Mak Long Munah jauh pula.
Makin laju langkahnya diatur. Namun, tiba-tiba lengannya dicengkam dan ditarik kasar oleh seseorang menyebabkan dia terdorong ke belakang. Ingin dia menjerit meminta tolong, tetapi mulutnya telah dicekup kuat. Ayuni meronta-ronta ingin melepaskan diri. Tapi apa sangat kudratnya jika hendak dibandingkan dengan dua lelaki itu. Dia diheret masuk ke dalam semak yang berhampiran. Walaupun dia meronta dengan sekuat hati tetapi tidak juga berjaya. Malah, terasa tangan dan kakinya semakin kuat dicengkam sehingga ke tulang rasa sakitnya.
Apabila lelaki itu melepaskan tekupan di mulutnya, segera Ayuni mengambil kesempatan. Sehabis kuat dia menjerit menyebabkan salah seorang lelaki tersebut menampar pipinya. Ayuni mula bertindak meronta-ronta dengan kudrat yang berbaki dalam diri.
"Lepaskan aku!!!" jerit Ayuni berang.
"Diam!!!" jerkah salah seorang daripada mereka.
Ayuni tersentak.  
"Apa hangpa nak hah!!!"
"Mestilah kami nak cik adik manis ni. Kalau cik adik bagi kerjasama pada kami, lagi cepat urusan kita selesai..." jawab salah seorang daripada lelaki itu.
Pipi Ayuni disentuh. Namun, pantas dia menepis kasar seraya mengesot ke belakang menjauhkan diri daripada lelaki itu yang semakin mendekat. Walaupun dalam gelap, dia perasan pandangan liar lelaki itu pada tubuhnya. 
"Binatang!!! Aku sanggup mati dari gadaikan maruah aku pada hangpa. Manusia tak guna! Setannnn!!!" pekik Ayuni sekuat hati.
Kata-kata Ayuni hanya disambut tawa kuat oleh mereka berdua. Sedikit pun tidak terkesan, malah semakin galak melayan hawa nafsu yang semakin memuncak.
Ayuni meronta-ronta cuba melepaskan diri. Tiba-tiba lelaki yang memegang tangan Ayuni di belakang telah melucutkan tudungnya. Rambutnya yang panjang terurai lepas. Lelaki yang berada di hadapan Ayuni pula makin melebar sengihnya. Nafsu jantan membuak-buak melihat keadaan Ayuni tika itu.
Kecut Ayuni melihatkan lelaki itu mula menyentuh dan mengusap pipinya lembut. Dia menggeleng laju mengelak daripada pipinya diusap lelaki itu lagi.
"Tolonglah lepaskan aku. Aku merayu pada hangpa. Jangan buat aku macam ni..." rayu Ayuni merintih hiba. Air mata mula mengalir di pipi. Keberaniannya bagai direntap apabila melihat kedua-dua lelaki itu semakin berani bertindak terhadapnya.
`Ya Allah... tolonglah hamba-Mu yang lemah ini. Janganlah apa-apa berlaku kepada diriku, ya Allah. Hanya pada-Mu aku berserah. Aku memohon perlindungan daripada-Mu ya Allah. Mak... tolong Yuni,’ rintih hati Ayuni sayu.
"Takkan kami nak lepaskan macam tu saja sebelum merasa," balas lelaki yang sedang memegang tangannya pula.
"Tolonglah lepaskan aku. Apa salah aku pada hangpa? Aku merayu... tolonglah jangan apa-apakan aku..." rayu Ayuni bersama esakan tangis yang semakin kuat menyesak dada. Perasaan takut menyelubungi jiwa sehingga menggigil seluruh tubuhnya.
"Hoi!!! Lepaskan dia!!!"
Terkejut kedua-dua lelaki itu apabila disergah. Serentak mereka menoleh ke belakang.
Ayuni yang turut menoleh cuba memfokuskan matanya mengecam gerangan lelaki itu. Berkali-kali dia mengelipkan matanya yang berlinang dengan air mata. Sekali lagi pandangannya difokuskan pada raut wajah lelaki itu. Dalam samar kegelapan malam yang hanya disinari cahaya bulan, akhirnya dia dapat mengenal pasti lelaki yang berdiri tidak jauh dari mereka saat ini. Perlahan, raut wajah Ayuni berubah riak. Saat itu tidak terkira rasa kesyukurannya kepada Tuhan.
"Danial!!! Tolong Yuni!!!" jerit Ayuni.
Terkejut Danial. Walaupun wajah perempuan itu tidak jelas pada pandangannya tetapi dia kenal dengan suara itu. Ayuni! Tiba-tiba perasaan geram dan marah memuncak dalam diri melihatkan Ayuni diperlakukan begitu.
"Hey, hang jangan masuk campur urusan kami. Baik hang blah dari sini." Keras amaran daripada lelaki yang berada di hadapan Ayuni.
"Aku cakap lepaskan dia.!!!" pekik Danial. Tangannya sudah mengepal penumbuk menahan marah.
"Hang ni sapa nak membela dia? Baik hang pergi dari sini. Kalau tidak, teruk hang kami kerjakan."
"Korang ingat aku takut? Kalau berani, cubalah. Jangan berani pada kaum yang lemah saja," cabar Danial tidak sedikit pun gentar dengan ugutan lelaki itu.
"Kurang ajar!" Salah seorang daripada lelaki itu menerpa ke arah Danial. Cubaan lelaki itu melepaskan tumbukan ke muka Danial telah tersasar menyebabkan dia terdorong ke depan. Ini memberi kesempatan untuk Danial menendang belakang lelaki itu. Tertiarap lelaki itu mencium bumi. Dengan perasaan geram, pantas lelaki itu bangkit dan meluru ke arah Danial lagi. Namun tindakan pantas Danial menendang ke arah perut lelaki itu telah menyebabkan lelaki itu terduduk sambil mengerang kesakitan. Danial yang mempunyai ilmu persilatan yang dipelajari semasa tinggal bersama pak long dulu dipraktikannya sebaik mungkin.
Melihat rakannya telah tumpas dengan mudah di tangan Danial, teragak-agak seorang lagi lelaki tersebut bangun, cuba menyerang Danial.
Ayuni tidak sanggup lagi melihat pergaduhan di depan matanya. Dia mengesot ke belakang. Badannya menggigil ketakutan bersama esak tangis yang semakin lama semakin kuat. Air mata bagaikan hujan mengalir di pipi. Kedua-dua lututnya dirapatkan ke dada dan dipeluk kejap sambil menunduk menyembunyikan muka. Apa yang berlaku di sekelilingnya tidak diambil peduli lagi. Dia mahu menangis semahunya.
Sementara itu, dua lelaki tersebut masih tidak putus asa menyerang Danial. Setiap serangan dengan mudah dapat dipatahkan. Akhirnya dua lelaki tersebut berundur membawa kesan penangan balas Danial Haikal.
Sebaik kedua-dua lelaki itu melarikan diri, tangisan Ayuni terus menarik perhatian Danial. Melihat Ayuni begitu, hatinya terasa tertusuk. Ketika dia hendak bergerak menghampiri, matanya terpandang tudung Ayuni tidak jauh dari tempat dia berdiri. Cepat-cepat dia mengambil tudung itu dan melangkah ke arah Ayuni.
Ayuni yang terus larut dalam rasa ketakutan diperhatikan dengan rasa simpati. Tudung yang diambil tadi diletakkan ke atas kepala gadis itu.
Terasa sentuhan di kepalanya,  Ayuni terkejut. Pantas dia mengesot ke belakang. Perasaan takut yang semakin reda kembali memuncak dalam diri.
"Tolong jangan apa-apakan aku..." rayu Ayuni tanpa memandang susuk tubuh yang juga bergerak menghampirinya.
"Jangan!! Jangan sentuh aku!!" jerit Ayuni sambil tangan tergawang-gawang menepis tangan yang cuba menyentuhnya.
"Ayuni!!! Pandang sini, awak dah selamat sekarang."
"Tidak!!! Tipu!!! Tipu!!! Pergi!!! Jangan dekat dengan aku!" Makin laju dia mengesot ke belakang sehingga terhenti pada batang pokok kayu yang besar. Ayuni ingin bangun, cuba untuk lari dari situ, tetapi ditahan. Dia meronta-ronta untuk dilepaskan. Dia cuba pula merangkak, namun cengkaman pada pinggangnya menyebabkan dia terduduk kembali.
"Ayuni!!! Dengar sini! Pandang saya!"
"Tidak! Tidak! Awak tipu!!
"Ayuni! Saya Danial! Awak dengar tak!!!!" pekik Danial. Kedua-dua bahu Ayuni digenggam lantas digoncang beberapa kali untuk menyedarkan gadis itu.
Terdiam Ayuni. Terkaku dia di situ. Tanpa riak, dia memandang susuk tubuh yang berada di depannya di balik helaian rambut yang hampir menutupi muka. Ayuni terus terkaku apabila rambutnya dirapikan ke belakang telinga. Dia hanya diam memerhati lelaki itu meletakkan tudung ke atas kepalanya.
Hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya saat ini. Tidak dapat dibayangkan apa yang bakal terjadi jika lelaki ini tidak datang menyelamatkannya. Melihat raut wajah Danial, air mata kembali berlinang di kelopak mata. Spontan dia memeluk Danial erat.

Tergamam Danial dengan tindakan Ayuni yang tidak diduga. Hebat degupan jantungnya berdetak. Melihat Ayuni teresak-esak menangis di dadanya menjentik satu perasaan di lubuk hatinya yang dalam. Perlahan tangannya dibawa ke belakang kepala Ayuni dan diusap perlahan menenangkan gadis itu.


No comments: