Wednesday, April 4, 2012

Tika Hati Berbicara 9

“Kenapa pulak dengan kereta ni?” rungut Qaseh. Qaseh cuba beberapa kali menghidupkan enjin keretanya tetapi tidak berjaya. Lantas dia membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Sebaik membuka bonek kereta, dia hanya meliarkan pandangan pada enjin kereta itu. Melihat sahaja wayar-wayar yang bersirat di sana sini. Langsung tidak berani menyentuhnya.

Tidak pernah kereta itu mengalami masalah sebelum ini. Kereta kancil terpakai yang dibelinya sejak empat bulan yang lalu untuk kemudahannya bergerak ke mana sahaja tambahan lagi ke tempat kerja. Walaupun Arief ada bersuara supaya membeli kereta baru tetapi Qaseh menolaknya. Cukuplah, tidak terbalas budi lelaki itu. Kereta ini pun Arief yang dahulukan wang pendahuluan. Selebihnya Qaseh membuat pembayaran secara ansuran setiap bulan.

Tiba-tiba terlintas difikirannya untuk menghubungi seseorang yang mungkin dapat membantunya. Lantas Qaseh kembali ke dalam kereta dan mencapai tas tangannya. Sebaik telefon bimbit berada di tangan, pantas jemarinya mencari nombor yang ingin dihubungi.

“Mana pulak abang Malik ni.” Raut kecewa jelas terpancar di wajah Qaseh apabila panggilannya tidak berjawab. Qaseh mencuba lagi tetapi talian masih sama hanya peti suara yang menjawab panggilannya itu.

Qaseh buntu. Sedikit kalut tingkahnya. Dia kembali bergerak ke hadapan kereta. Sambil menggigit jari matanya meliar ke arah enjin kereta itu. Satu tabiatnya dikala fikiran diserang kebuntuan. “Apa aku nak buat ni...?”

“Kenapa ni?” Tiba-tiba seseorang menegur Qaseh dari arah belakang.

Qaseh tersentak. Pantas dia menoleh ke belakang. Melihat Arief yang melangkah ke arahnya meredakan sedikit rasa kebuntuannya.

“Entah, buat hal pulak kereta ni,” adu Qaseh sebaik Arief menghampirinya. Tingkah Arief yang menyentuh beberapa komponen enjin kereta hanya diperhatikan sahaja.

“Encik Arief tahu kenapa kereta ni tak boleh start?” soal Qaseh turut memerhati enjin kereta itu.

“Mungkin sebab bateri,” jawab Arief.

“Tak apa, macam ni... biar saya hantar awak ke pejabat. Kereta awak esok Malik akan uruskan. Hari ni dia cuti.” pelawa Arief sambil menutup bonek kereta.

“Eh, tak payahlah Encik Arief saya boleh naik teksi aje,” tolak Qaseh.

“Susah nak dapat teksi time ni kan?”

“Tak apa Encik Arief, saya masuk lambat sikit office pagi ni,” jawab Qaseh masih beralasan menolak pelawaan Arief.

“Apa salahnya kalau saya hantar awak. Takkan saya nak biarkan isteri saya naik teksi,” kata Arief sikit tegas nadanya. Raut wajah serius Arief membuatkan Qaseh diam membisu seketika.

“Apa salahnya naik teksi...” perlahan suara Qaseh menjawab. Dia hanya menunduk tidak berani melihat wajah Arief.

“Habis tu saya kat sini buat apa? Sudah, pergi ambil beg awak. Mana kunci kereta?”
Tiada apa lagi yang boleh Qaseh katakan apabila Arief sudah bertegas begitu. Hatinya mula diserbu rasa resah. Bagaimana jika ada mata yang terpandang dia bersama Arief nanti? Sebaik mengambil tas tangan dari dalam kereta, Qaseh menyerahkan kunci keretanya kepada Arief.

Raut wajah Arief masih serius seperti tadi. Qaseh hanya membisu. Perlahan langkahnya di atur ke arah kereta BMW X5 Arief yang di parking tidak jauh dari kereta kancilnya. Dia tidak mengendahkan Arief yang sesekali menoleh ke belakang memandangnya. Sengaja dia berjalan lambat untuk menunjukkan rasa ketidakpuasan hatinya kepada Arief.

“Jangan buat muka macam tu boleh tak?” soal Arief sebaik mereka masuk ke dalam perut kereta.

“Nak buat muka macam mana lagi kalau dah kena paksa,” jawab Qaseh sambil berpeluk tubuh.

Arief menghela nafas. Kemudian dia berpaling ke arah Qaseh. Tangannya di letakkan santai di atas stereng kereta. Wajah Qaseh menjadi tatapannya kini. Dia tahu Qaseh tidak mahu mereka dilihat bersama. Walaupun dahulu mereka telah bersetuju untuk merahsiakan perhubungan ini tetapi kini dia tidak peduli lagi. Sampai bila hubungan mereka akan berkesudahan begini. Sudah sampai masa dia berbuat sesuatu dengan ikatan suci yang telah terjalin sejak setahun yang lalu.

“Awak tak suka bersama saya?”

“Kenapa Encik Arief cakap macam tu?”

“Cara awak seolah awak tak suka bersama saya.”

“Encik Arief tahu kan pandangan orang di luar sana kalau nampak kita bersama. Mesti Encik Arief boleh agak apa soalan yang akan diajukan mereka nanti.”

“Saya dah tak kisah kalau orang tahu tentang hubungan kita Qaseh. Sampai bila kita nak selindungkan hubungan kita. Lambat laun akan diketahui jugak,” kata Arief meluahkan apa yang tersirat di hatinya.

Qaseh terpana. Sepasang matanya menatap wajah Arief tidak berkedip. Tidak menyangka kata-kata itu terluah dari bibir Arief. “Bukankah dulu Encik Arief kata hubungan kita hanya sementara. Lebih baik terus begini kalau kita tahu perpisahan menjadi noktah pada hubungan kita,”perlahan Qaseh bersuara.

Benak fikirannya mula memutarkan kembali memori duka setahun yang lalu. Kepedihan mula menapak di jiwa. Hanya Allah sahaja yang tahu kesengsaraan yang dialaminya. Hidup bersama keluarga tiri yang tidak henti-henti mengherdik dan menderanya begitu menekan batinnya.

Kehadiran Arief telah mengubah segalanya. Walaupun beribu persoalan menerpa benak fikiran dengan tindakan Arief tetapi dia bersyukur Arief telah menyelamatkannya dari terus hidup terseksa bersama keluarga tirinya itu.

Arief ternyata terkejut dengan kata-kata Qaseh itu. Dia mula resah. Memang benar, dia telah menyatakan bahawa perkahwinan mereka hanyalah sementara sahaja. Namun ketika itu, dia tidak ambil peduli apa yang terungkap di bibirnya asalkan Qaseh sanggup berkahwin dengannya. Langsung dia tidak menyangka kata-katanya itu meninggalkan kesan di hati Qaseh sehingga kini.

Arief meraup muka. “Qaseh... sebenarnya...”

“Encik Arief, saya dah lambat. Kita cakap hal ni lain kali saja ya. Buat masa ni biarlah hubungan kita terus begini. Satu hari pasti sampai masa dan ketikanya untuk kita akhiri perhubungan kita ni. Waktu itu segalanya terletak di tangan Encik Arief. ” pinta Qaseh. Mengapa hatinya bagai dihiris-hiris? Mengapa kesedihan bertamu dalam dirinya? Tidak! Dia mesti membuang jauh perasaan yang terus memerangkap dirinya. Dia tidak sepatutnya berangan-angan dan memberi harapan pada perhubungan yang hanya berlandaskan simpati.

Kelu lidah Arief. Entah mengapa otaknya tiba-tiba beku. Melihat raut wajah keruh Qaseh, tidak terluah dengan kata-kata. Perasaan bersalah pula berganti dalam dirinya. Dia tidak menyangka sama sekali kata-kata yang terungkap dari bibirnya setahun yang lalu telah menyukarkan lagi hubungannya dengan Qaseh. Alangkah baiknya jika dia mempunyai kuasa yang mampu melenyapkan kata-kata itu dalam diri Qaseh.

Sepanjang perjalanan ke pejabat Qaseh, hanya lagu dan muzik menemani mereka. Masing-masing seperti mati bicara. Tidak tahu bagaimana ingin menghidupkan kembali suasana suram antara mereka.

“Encik Arief berhenti kat depan tu, boleh?” Tiba-tiba Qaseh bersuara memecah kesepian.

“Kenapa?”soal Arief. Sekilas dia memandang ke arah Qaseh.

“Saya nak beli kuih,”jawab Qaseh.

“Tadi bukan dah breakfast?”tanya Arief. Setahunya Qaseh mesti mengambil sarapan pagi sebelum keluar ke pejabat.

“Teringin nak makan kuih makcik tu... sedap kuih-kuihnya.”

Arief memberhentikan kereta berhampiran gerai menjual kuih yang ditunjukkan Qaseh. Tanpa membuang masa Qaseh menanggalkan tali pinggang keselamatan dan mencapai tas tangannya.

“Lagi satu, office saya dah tak jauh dari sini. Saya boleh jalan kaki aje. Nanti Encik Arief lambat pulak sampai office. Terima kasih tolong hantarkan saya ke pejabat ya, menyusahkan Encik Arief aje,” laju Qaseh meluahkan apa yang telah dirancang di benak fikirannya tadi dan tanpa berlengah lagi dia membuka pintu kereta.

Namun belum sempat dia melangkah keluar Arief terlebih dahulu bersuara. “Kenapa pulak nak jalan kaki? Kan jauh lagi tu.”

“Tak apa Encik Arief, depan tu aje office saya, dah tak jauh. Bukannya saya tak biasa.” Qaseh masih beralasan.

“Dah jangan banyak cakap, tadi kata nak beli kuih kan. Jom kita beli kuih dulu, lepas tu saya hantar sampai depan office awak. Kalau nak saya hantarkan sampai ke dalam office pun boleh jugak. My pleasure...” Tegas Arief bersuara.

Qaseh ingin membalas tetapi Arief terlebih dahulu melangkah keluar. Qaseh mengeluh. Aduh... susah betul dia ni. Qaseh menghela nafas berat. Timbul rasa geram dengan sikap Arief. Langsung tidak memikirkan akibatnya jika mereka kelihatan bersama. Melihat Arief menantinya, akhirnya Qaseh turut melangkah keluar dari kereta. Dengan wajah masam dia mendekati Arief yang tersenyum nipis memandangnya.

“Kenapa kau lambat?” soal Diana. Qaseh yang ketika itu sedang menyimpan tas tangan di dalam laci meja tersentak dengan sapaan Diana secara tiba-tiba itu. “Kau ni lain kali boleh bagi salam tak dulu, jangan nak main sergah macam tu.” Perlahan tangannya mengusap dada meredakan debaran.

“Sorry, sorry, sebenarnya aku ada hal cari kau ni. Kenapa kau lambat pagi ni?” ulang Diana lagi.

“Kereta aku meragam,” jawab Qaseh sambil mengeluarkan fail yang perlu dikemaskini pagi ini. Semalam dia tidak sempat memandangkan ada repot yang perlu disiapkan untuk mesyuarat minggu hadapan. Memandangkan minggu hadapan dia akan bercuti panjang, repot itu akan diserahkan kepada Wati untuk dibentangkan dalam mesyuarat itu nanti. Oleh itu, dia mesti memastikan tiada apa yang tercicir.

“Habis tu siapa yang hantar kau?”

“Abang driver,” jawab Qaseh selamba. Matanya seolah melekat pada bungkusan kuih di atas meja. Tanpa disedari bibirnya terukir senyuman halus. Tingkah Arief yang akhirnya akur dengan katanya kembali bermain di minda.

“Encik Arief turunkan saya kat tepi jalan tu aje, kalau tidak saya tak nak naik,” tegas Qaseh membatukan diri di luar pintu kereta sebelah penumpang.

“Kenapa degil sangat ni?”

Kata-kata Arief itu langsung tidak memberi kesan kepada Qaseh malah dia hanya berwajah selamba di hadapan Arief yang mulai geram dengan sikapnya. Qaseh memberanikan diri melawan pandangan Arief yang mengundang debaran di dada. Raut wajah serius Arief menarik perhatiannya. Qaseh masih dapat melihat sepasang mata Arief yang tajam merenunginya di balik kaca mata hitam yang menyerlahkan lagi ketampanan wajah Arief itu. Gayanya tampak berkarisma dengan kemeja biru lengan panjang yang tersarung pada susuk tubuh sasanya. Apatah lagi wangian berjenama yang dipakai Arief begitu menggoda nalurinya. Dia begitu tertarik dengan penampilan Arief, namun ditepis jauh perasaan yang mulai merantai dirinya. Siapa yang tidak tergoda dengan orang seperti Arief. Mesti ramai gadis yang tergila-gilakannya.



“Ye lah, yelah.” Akhirnya Arief akur dengan kehendak Qaseh. Qaseh pula tersenyum kemenangan. Dengan senang hati dia meloloskan diri ke dalam perut kereta tanpa dipaksa oleh Arief lagi.


“Qaseh! Sempat pulak mengelamun perempuan ni,” sergah Diana apabila pertanyaannya hanya dibiarkan sepi. Segaris senyuman yang tiba-tiba menghiasi bibir Qaseh menjadi tanda tanya.

Tersentap Qaseh. Matanya difokuskan pada wajah Diana yang berkerut dahi memandangnya. Entah kenapa sikap Arief menghiasi segenap kotak fikirannya saat ini. Lekas-lekas dicantas perasaan itu dan kini dia perlu menumpukan perhatian pada Diana yang sudah memandangnya semacam.

“Tadi kau kata ada hal cari aku,”soal Qaseh cuba menarik perhatian Diana pada tujuan asalnya.

“Kau ni okay ke tak Qaseh, semacam aje aku tengok kau ni. Tersenyum-senyum." Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan oleh Diana. Dahinya berkerut merenung wajah Qaseh. Pelik dengan sikap Qaseh yang tiba-tiba mengelamun sendiri.

“Tolonglah Diana jangan tengok aku macam tu. Renungan kau tu macam boleh tembus ke belakang.” Pecah tawa Qaseh melihat raut wajah serius Diana yang tajam memandangnya.

“Eh, kau tu tiba-tiba boleh tersenyum buat aku hairan tau. Berangan apa? Semacam aje aku tengok kau ni Qaseh...”

“Tak ada apa-apalah. Apa hal kau cari aku ni... cepatlah beritahu banyak lagi kerja aku nak buat dari melayan kau ni cik Diana oii...” soal Qaseh cuba mengubah topik.

“Encik Azman pagi-pagi dah cari kau. Dia suruh sampaikan pesan suruh kau jumpa dia. Cepatlah pergi Qaseh.”

Qaseh menoleh ke arah pintu bilik bosnya yang tertutup rapat. Macam mana dia boleh tidak perasan bilik bosnya yang terang benderang di balik dinding cermin yang di tutupi langsir itu. “Eh, Encik Azman dah balik ke? Bukan sepatutnya dia kat Johor lagi hari ni?” Berkerut dahi Qaseh tidak menyangka bosnya itu telah masuk ke pejabat hari ini. Mengikut jadual bosnya sepatutnya berada di Johor selama seminggu.

“Entahlah... dah tak tahan rindu kut,” kata Diana terselit nada usikan.

Qaseh menjeling geram. Pantas tangannya menampar bahu Diana. Diana selalu mengusiknya begitu.

“Ye lah... dia kan baru balik outstation. Dekat seminggu tak tengok muka kau mesti rindu,” usik Diana lagi. Panjang sengihan dilemparkan pada Qaseh yang memandangnya geram.

“Diana!” Kali ini satu cubitan mengenai lengan Diana. Terjerit Diana. “Sakit la Qaseh.” Berkerut-kerut wajahnya sambil mengusap-ngusap lengannya yang berbekas dengan cubitan Qaseh.

“Padan muka. Sudahlah, aku pergi jumpa Encik Azman dulu, layan kau ni sampai bila tak habis,”ujar Qaseh sambil bangkit dari tempat duduk. Sebatang pen dan buku nota di atas meja diambil untuk catatan.

“Ini ada kuih, pilihlah yang mana kau nak. Tapi jangan habiskan tau.” Pelawa Qaseh menghulurkan bungkusan plastik berisi kuih yang dibeli bersama Arief tadi.

“Rezeki ni... aku pun belum breakfast lagi.” Melerek senyuman Diana sambil mengambil bungkusan yang dihulurkan Qaseh itu. “Banyaknya kau beli,” kata Diana sebaik melihat kuih muih di dalam bungkusan plastik itu.

“Bukan aku beli, ada orang belanja,”jawab Qaseh.

“Siapa?” soal Diana ingin tahu.

Namun pertanyaan Diana itu hanya dibiarkan sepi. Qaseh melangkah perlahan ke arah bilik bosnya.


bersambung (^_^)

12 comments:

AniLufias said...

geee...woowww tergoda dgn kekacakan Arief dan kecomelan si Qaseh...
tersenyum2 bc n3 kali nie...dalam hati ada taman nie...:)

geemus said...

hihihi...dlm hati dah berbunga k ani...hehe...thanks k ani sudi layan dan komen. ..gee sangat2 hargai sokongan yg diberikan...;D

sue said...

Rindu betul dengan Qaseh dan Arief ni...
Arief kalau dah sayang cakap ja.... jangan sampai Qaseh jatuh kt tangan orang lain baru nak menyesal...
menanggis x berlagu nanti....hehehe

geemus said...

Thanks sue sudi lyn thbr...byk lg dugaan diaorng ni...terima kasih juga sudi komen...gee sangat2 hargai dgn komen yg diberikan...:D

Anonymous said...

best citer ni..tak sabar nak tunggu bila la Qaseh nk jatuh cinta kat Arief ni..Arief plak nampaknya dh mula suka kan Qaseh..Arief kena cpt2 confess kat Qaseh ni..Cik Writer cpt2 la sambung ye..jalan cerita yg baik...jangan di peram lama2 rugi tau...hihihi

Aida Sherry said...

ermm...Arief dah mula rasa tergugat dan mahu semua org mengetahui bhw Qaseh adalah miliknya..... moga Qaseh sedar perasaan Arief padanya...

geemus said...

Anonymous>terima kasih sudi komen dan suka citer thbr...sgt hargai dgn komen yg diberikan...nampak gayanya arief x boleh berdiam sajakan..hehe...nantikan sambungannya ya ;-)

geemus said...

Aida Sherry> terima kasih sudi layan thbr dan sudi komen utk n3 ni...sgt menghargainya :-) nantikan perkembangan hubungan mereka dlm n3 akan dtg ya ;-)

fiqa alya said...

k.gee best cepat sambung tk sabar dh nk baca sambungan thbr nie suspen,,,,

geemus said...

fiqa alya > thanks fiqa sudi layan thbr... nantikan sambungannya ya :)

hanie said...

holla story best dan tertarik utk tggu yg seterusnya..kalu boleh jgn lama2 ye nak sambung heheh hope dpt baca sampai ending b4 end april nieh :)

geemus said...

hai hanie :) thanks sudi layan THBR... masih panjang jalan citer ni...harap hanie terus setia menanti sambungan thbr ;D