Friday, March 28, 2014

Tika Hati Berbicara Bab 27



"Qaseh!"
Pantas Qaseh berpaling ke arah datangnya suara itu. Lebar senyuman kala mata menangkap lambaian Zuraida padanya.
"Sorry aku lambat sikit," ucap Qaseh sambil menarik kerusi di hadapan Zuraida.
"Bukan sikit lagi ni. Janji pukul 10.00 datangnya pukul 10.30," sela Zuraida. Panjang muncungnya.
"Sorry la sayang. Banyak kerja tadi."
Berkerut dahi Zuraida. "Kerja apa hari minggu ni. Takkan kerja kut hari minggu."
"Bukan kerja pejabat. Kerja rumah."
"Owh. Lupa pulak aku, kau dah kahwin. Suami kau izinkan tak keluar dengan aku ni?"
"Kalau dia tak izinkan aku tak ada depan kau sekarang."
"Aku dah order tadi."
"Okay, aku ikut aje."
"Kau bahagia Qaseh?" Raut wajah sahabatnya itu ditatap lama.
Perlahan keluhan terbit di bibir lalu tubuh disandar di kerusi. "Entahlah Aida, susah aku nak cakap."
"Macam mana kau boleh kahwin dengan dia? Kan mak tiri kau tunangkan kau dengan Borhan."
"Susah aku nak terangkan sebab segalanya berlaku tanpa ku jangka. Selepas kemalangan tu, lelaki itu sering muncul bila aku dalam kesusahan. Keluarga tiri aku paksa aku jual tanah  kat kampung. Kalau aku tak ikut cakap diorang, nenek yang menjadi mangsanya. Tiba-tiba Arief muncul menyelamatkan keadaan. Nenek sangkakan Arief adalah Borhan. Jadi nenek mintak kami kahwin cepat. Aku waktu tu buntu, tak tahu nak buat apa. Arief pun terima sahaja cadangan nenek. Aku minta dia berterus terang dengan nenek tapi dia tak sanggup. Demi nenek aku sanggup buat apa saja. Nenek pun tak sihat masa tu. Aku tak mahu nenek bertambah susah hati. Arief dah banyak tolong kami. Aku terhutang budi dengannya."
“Kau terima Arief sebagai suami kau?”
Qaseh mengeluh. Pertanyaan Zuraida dibiarkan sepi seketika. Dia buntu. “Sesiapa pun yang menerima nasib yang sama macam aku pasti dalam dilema. Entah kenapa naluri aku dapat merasakan Arief menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku.” Walaupun dia mengakui perasaan sayang mula berputik pada lelaki itu tetapi perasaan curiga tetap ada membayanginya.
“Maksud kau?” tanya Zuraida tidak mengerti.
Qaseh menarik nafas panjang sebelum bersuara. Tubuhnya dirapatkan ke meja. “Bukan mudah untuk aku terima semua ini, Aida. Arief begitu mudah setuju dengan permintaan nenek untuk kahwin dengan aku. Takkan kerana rasa bersalah dia sanggup buat apa sahaja untuk aku. Aku rasa pelik.” Tersandar Qaseh di kerusi. Hubungannya dengan Arief sering menimbulkan kebuntuan dalam benak fikiran. Tiada siapa yang mengerti jauh di sudut hati dia khuatir Arief tidak ikhlas dengan perkahwinan mereka. 
“Mungkin Arief sememangnya ditakdirkan untuk kau. Kau jangan lupa tentang jodoh, Qaseh. Kalau sudah ditakdirkan dia adalah jodoh kau. Kau larilah ke mana pun. Dia pasti akan kembali dekat dengan kau. Kita tak tahu perancangan Allah kepada kita..”
“Tapi nikah kahwin bukan perkara main-main Aida.”
Zuraida menghela nafas. Tubuh dirapat ke meja. Tangan Qaseh digenggam lembut. "Aku tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi aku gembira tengok keadaan kau sekarang dari dulu. Walaupun kau masih tidak dapat terima Arief  tapi aku tahu jauh di sudut hati kau nama Arief sudah terpahat di situ kan? Arief Hakimi adalah suami kau yang sah, Qaseh. Apa pun sebab korang kahwin yang penting sekarang kebahagiaan rumahtangga kau. Cari kebahagiaan tu. Jangan biarkan diri kau dibelenggu dengan perkara yang akan menyebabkan hati kau dengan Arief semakin jauh. Aku percaya Arief sayangkan kau.”
 Panjang helaan nafas terbit dari bibir Qaseh. "Sayangkah dia kat aku?" bisik Qaseh perlahan melontar persoalan yang sering bermain di minda.
“Kau kena yakin dengan diri sendiri. Semai perasaan sayang antara korang berdua. Bajai dengan persefahaman dan kepercayaan. Aku yakin kebahagian milik korang berdua.”
Qaseh membalas erat genggaman sahabatnya itu. Entah mengapa setiap ungkapan itu memalu lembut hatinya.




“Kenapa dengan kamu ni Zakri? Baru sekarang nampak batang hidung. Mana kamu pergi?” tanya Puan Samsiah sebaik Zakri melangkah masuk ke dalam rumah.
“Zakri tak ke mana pun ma. Zakri banyak kerja.”
“Tapi takkan sampai nak jenguk mama pun tak ada masa.” ujar Puan Samsiah tidak puas hati. “Sudahlah adik kamu pun tak balik-balik. Bila mama telefon memanjang aje sibuk. Mama tak faham betul dengan korang berdua ni. Apa yang disibukkan sangat?” leter Puan Samsiah.
Zakri melabuhkan punggung di sofa. Dia memicit-micit kepalanya. Tiba-tiba kepalanya pening mendengar leteran mamanya. Zakri hanya berdiam diri. Ada tujuan lain yang ingin dibincang dengan mamanya. “Entahlah ma. Yana tu dah besar panjang, mama tak payahlah risau. Tahulah dia jaga diri. Takkan mama tak tahu perangai keras kepala anak kesayangan mama tu.”
“Kamu bercakap macam tak risau langsung dengan adik kamu tu. Kalau jadi apa-apa kat adik kamu macam mana? Sekarang ni macam-macam boleh jadi. Mama takut adik kamu tu berkawan dengan orang yang bukan-bukan.”
“Nantilah Zakri cuba cari si Yana.” Zakri mula bosan. Dia pula yang dipersalahkan.  
“Hhm... ma. Zakri ada hal nak cakap dengan mama sikit.”
“Kamu nak cakap apa?”
Teragak-agak Zakri hendak bersuara. “Zakri nak pinjam duit sikit.”
“Pinjam duit. Kamu nak buat apa dengan duit tu?”
“Zakri nak bayar hutang ma.”
“Hutang? Kamu berhutang dengan along ke Zakri?” teka Puan Samsiah.  
Zakri hanya membisu. Serba salah hendak menjawab pertanyaan Puan Samsiah. Sudah pasti dia akan dimarahi sebentar lagi. Tapi dia tidak ada pilihan. Kuncu-kuncu Mr Tan sudah mula mencarinya.
“Betul ke kamu berhutang dengan along,” tanya Puan Samsiah inginkan kepastian. Suara Puan Samsiah kembali meninggi. “Jawab Zakri, mama tanya kamu ni.” Puan Samsiah mula geram apabila Zakri hanya membisu.
“Zakri terpaksa ma... waktu tu Zakri perlukan duit untuk kembangkan perniagaan. Tapi tak sangka pulak perniagaan Zakri tak menjadi. Zakri tak mampu nak bayar hutang dengan along tu. Sebab tu Zakri nak pinjam duit mama.”
“Kenapa kamu bodoh sangat Zakri! Takkan kau tak tahu akibatnya berhutang dengan along. Silap haribulan nyawa kamu melayang,” tengking Puan Samsiah.
“Mama tolonglah Zakri, ma. Kuncu-kuncu along tu dah mula cari Zakri.”
“Berapa banyak kamu hutang dengan along tu?”
“Lima puluh ribu,” tergagap-gagap suara Zakri.
Membuntang luas mata Puan Samsiah. “Lima puluh ribu!! Apa yang kau buat dengan duit sebanyak tu! Kau memang sengaja menempah maut Zakri.”
“Tolonglah Zakri, ma. Zakri terdesak sangat sekarang. Along tu dah kejar Zakri. Diorang ugut kalau tak bayar hujung bulan ni, nyawa Zakri jadi gantinya. Mama sanggup tengok Zakri kena bunuh.”
“Mama mana ada duit sebanyak tu, Zakri.”
“Takkan mama tak ada.”
“Kamu tak ingat dulu kamu pernah minta kat mama. Kamu kata pinjam tapi sampai sekarang pun kamu tak bayar-bayar lagi. Mana mama ada duit lagi.”
“Habis tu macam mana mama? Kat  mana Zakri nak cari  duit lagi?” Zakri resah. Kini dia menemui jalan buntu. Cuma satu sahaja yang terlintas di benak fikirannya kala ini. Qaseh!



Wednesday, March 19, 2014

TIKA HATI BERBICARA BAB 26





Qaseh tersentak apabila telinganya menangkap bunyi pintu yang di tutup agak kuat. Dia yang berada di dapur terus mengatur langkah keluar dan ketika  Arief melintas di hadapannya tidak sedikit pun Arief menegur apatah lagi memandangnya.
Berkerut dahi Qaseh melihat tingkah Arief.  Kot yang tersidai di lengan dicampak saja ke  atas sofa. Begitu juga briefcase dibiarkan terdampar di lantai.
Apa kena dengan dia? Moody aje. Qaseh berkira-kira ingin menghampiri Arief yang sudah melabuhkan punggung di sofa. Tersandar di kerusi empuk itu sambil memejamkan mata. Terbias raut ketegangan di raut wajah itu. Perlahan Qaseh bergerak menghampiri mencapai kot dan briefcase di lantai.
“Abang nak makan?” tegur Qaseh lembut. Namun, sepi sahaja tiada reaksi daripada Arief. Matanya terus terpejam rapat.
Qaseh menarik nafas dalam. Mungkin Arief tidak mahu diganggu fikirnya. Lantas dia berpaling ingin berlalu pergi meninggalkan Arief sendiri. Kot dan briefcase Arief dibawa bersama.
Arief membuka sedikit kelopak matanya apabila suasana sepi sahaja. Sengaja tidak menjawab pertanyaan Qaseh. Hilang moodnya ditenggelami oleh perasaan geram dan cemburu. Tingkah Azman melayani Qaseh terbayang-bayang di ruang matanya. Terbuka luas mata Arief apabila melihat Qaseh tiada lagi di situ. Tegak badannya mencari wajah Qaseh namun tidak kelihatan di ruang tamu itu. Lantas dia bangun lalu  mengatur langkah ke arah dapur tetapi kelibat Qaseh tiada juga di situ.
Dia bergerak pula ke arah bilik dan langkahnya semakin perlahan apabila melihat pintu biliknya terbuka. Langkahnya terhenti dan sambil berpeluk tubuh bahu kiri disandar santai ke bingkai pintu memerhati gerak geri Qaseh yang sedang menyimpan kotnya di dalam almari. Entah mengapa perasaan cemburu yang meluap-luap tadi semakin surut apabila wajah itu menyapa anak matanya. Setiap gerak dan tingkah Qaseh menyentuh nalurinya. Mempersona. Arief bergerak perlahan mendekat tanpa disedari Qaseh.
Qaseh terkejut kala dia berpaling, Arief berada dekat di belakangnya. Terpana seketika Qaseh saat pandangan mereka bersatu. Menatap renungan Arief yang dalam ke anak matanya mengalirkan rasa debaran di dada.
“Erm... briefcase abang Qaseh dah letak tepi meja kerja. Kot abang pun Qaseh dah simpan dalam almari. Abang dah lapar? Qaseh baru nak masak. Abang mandi dulu sementara Qaseh siapkan dinner,” kata Qaseh cuba beriak biasa.
Namun kata-kata yang terluah hanya dibalas dengan kebisuan dan kebekuan Arief menimbulkan kehairanan di benak fikiran Qaseh. Renungan Arief tajam menikam wajahnya. Di balik raut wajah itu tersirat satu perasaan yang terpendam. Kebisuan Arief mengundang perasaan resah di hati Qaseh. Lantas dia bergerak ingin berlalu pergi. Tidak sanggup terus menanggapi pandangan yang menusuk sanubarinya.
Tapi tanpa Qaseh menduga tangan Arief lebih pantas menghalang sehingga tubuhnya melekap di daun pintu almari. Kemudian kedua tangan Arief pula melekap di daun pintu almari itu mengepung tubuh Qaseh diantara kedua tangannya.
Qaseh terkaku. Renungan dalam Arief membuatkan debaran di dadanya bertambah hebat bertalu. Serius wajah itu. “Abang?” ungkap Qaseh merenung tepat ke wajah Arief meminta penjelasan dengan tindakan Arief itu.
Seketika mereka membisu.
Pandangan Arief semakin lama semakin redup, tidak setegang tadi. Tanpa sedar dia mengeluh dalam. “Abang cemburu...”ujarnya lemah berterus terang meluah rasa yang berombak di dada. Dia tewas dengan perasaannya yang satu itu. Emosinya tidak dapat mengawal perasaan cemburu yang berkecamuk dalam diri.
Qaseh menghela nafas. Dia seperti dapat menduga siapa yang Arief maksudkan. “Azman?” teka Qaseh meneka.
Arief hanya diam dan tanpa sedar dia mengeluh.
“Kenapa nak cemburu?”
“Sebab abang tahu Azman ada hati pada Qaseh.”
“Encik Azman tak pernah pun cakap dia sukakan Qaseh.”
“Qaseh masih nak nafikan lagi. Abang tahu Qaseh sedar tentang tu.”
“Ya Allah... abang cakap apa ni. Malaslah Qaseh nak layan,” ujar Qaseh ingin berlalu pergi. Tetapi tangan Arief tetap melekap kemas di dinding almari. Enggan melepaskan Qaseh pergi.
“No! Selagi abang tak pastikan Qaseh tidak ada apa-apa dengan Azman. I wont’ let you go.”
“Berapa kali Qaseh nak jelaskan lagi? Qaseh dengan Encik Azman tu tak ada apa-apa. Kenapa abang susah sangat nak percaya? Antara kami tak lebih dari hubungan majikan dengan pekerja. Lagipun Qaseh sedar kedudukan dan batasan Qaseh sebagai seorang isteri. Insya-Allah Qaseh akan sentiasa ingat pesanan abang dulu,.” tegas suara Qaseh menjawab prasangka Arief.
“Tapi Qaseh dan dia tiap-tiap hari berjumpa. Tak mungkin tak ada apa-apa. Lama kelamaan perasaan yang tak ada apa-apa akan ada juga,” sinis bicara Arief menerjah masuk anak telinga Qaseh.
Qaseh urut dahi. Kesabarannya semakin menipis. “Qaseh tak nak kita bergaduh hanya kerana cemburu tak bertempat abang. Kalau Encik Azman ada hati dengan Qaseh pun apa masalahnya?” geram Qaseh apabila Arief terus mengucapkan ungkapan yang semakin pedih menikam hati.
“Apa masalahnya?! You are my wife. Of course abang cemburu!” pintas Arief sedikit berang mendengar kata Qaseh itu.
“Habis tu sekarang abang nak tuduh Qaseh ada hubungan dengan Encik Azman, macam tu?” Kepiluan mula melingkar relung hati apabila Arief begitu mudah menuduhnya. Kenangan hitam bersama keluarga tirinya kembali bermain di benak fikiran. Dia sering menjadi mangsa tuduhan walaupun perkara itu tidak dilakukan. Apatah lagi adik beradik tiri menokok tambah cerita menyebabkan dia kerapkali diherdik dan dimarahi tanpa usul periksa.
Arief terkedu kala melihat mata Qaseh bergenang. Ada kesayuan terbias dibalik wajah itu mengundang rasa bersalah dalam diri. Apa yang bersarang dalam fikirannya kala ini? Walaupun sedar Qaseh tidak bersalah tetapi entah kenapa kemarahan yang berapi  dilempiaskan pada isterinya ini. Arief menghela nafas  cuba mengawal perasaan cemburu yang menguasai diri.
 “Tapi layanan dia pada sayang buat abang cemburu,” lemah suara itu Arief tidak setegang tadi  meluahkan rasa yang mencengkam jiwa. Apatah lagi membayangkan setiap hari mereka bekerja bersama. Terasa ingin pecah dadanya dek rasa cemburu yang kembali membara.
“Sayang tahu kan Azman tu ada hati pada sayang selama n?”
Qaseh membuang pandang. “Terpulang pada abang nak cakap apa pun.” Qaseh membuang pandang. Malas menjawab pertanyaan itu. Semakin panjang pula pertelingkahan mereka nanti. “Tepi, daripada layan perangai abang ni lebih baik Qaseh pergi masak,” kasar Qaseh menepis tangan Arief yang mengepung tubuhnya. Lantas laju langkahnya diatur ke arah pintu bilik.
Namun, Arief lebih pantas menahan pintu bilik yang hampir terbuka.
Qaseh geram. Dia menolak tubuh Arief lalu memulas tombol pintu. Tapi sekali lagi tangan Arief lebih pantas menahan. Pintu itu kembali tertutup.
“Abang nak apa lag?!.” Tanya Qaseh sedikit berang. Bibirnya  diketap kejap menahan geram. Tangan Arief yang cuba menyentuhnya ditepis. .
“Kita belum habis lagi.”
“Kan tadi Qaseh cakap terpulang pada abang nak fikirkan apa pun,” laju Qaseh mencelah. Tidak mahu terus bertikam  lidah dengan Arief yang menambahkan sakit hatinya. 
“Betul sayang tak ada hati dengan Azman tu?”lembut suara Arief menyoal. Tingkahnya mula berubah rentak.
Qaseh hanya diam. Berpeluk tubuh membatukan diri memprotes dalam diam.
“Siapa di hati sayang?” soal Arief lagi menagih jawapan.
Qaseh mengangkat muka mencari wajah Arief. Rauk wajah  itu tenang menyapa pandangannya. Tidak setegang tadi. 
“Soalan apa ni? Abang jangan nak tukar topik pulak,” jelas nada tidak puas hati meluncur dari bibir Qaseh.
“Salah ke kalau abang bertanya? Salahkah kalau abang nak tahu isi hati isteri abang?” Arief menghela nafas sebelum menyambung bicara. “Abang tahu hati dan perasaan tidak boleh dipaksa tetapi kalau ruang itu terus ditutup perasaan itu tidak akan ada. Berilah abang peluang.“
Qaseh terdiam. Bicara Arief mula melayari perasaan serba salah dalam diri. Bagaimana harus dia terangkan pada Arief bahawa dia belum bersedia? Ada sesuatu yang membelenggu perasaannya? Dia tidak mahu hubungan mereka dicemari dengan perasaan curiga. Dia sedar ada perasaan yang mula bercambah untuk lelaki ini tetapi dia tidak mahu terburu-buru menerima kata hati selagi dia belum betul-betul pasti. 
“Qaseh...” serba tidak kena tingkah Qaseh. 
Terkedu Qaseh kala jari telunjuk Arief melekap lembut di bibirnya.
Arief menggeleng lembut. Redup pandangannya menatapi wajah terkejut isterinya. “Jangan katakan sesuatu yang sayang tak pasti. Kerana abang percaya ada satu perasaan yang sayang tidak sedar sedang memekar di hati sayang. Abang yakin perasaan itu hanya untuk abang seorang.”
Ungkapan itu membuatkan Qaseh terus terkedu. Tiada kata yang mampu diluahkan kala ini mendengar bicara yang halus menusuk  jauh di sudut hatinya. Keikhlasan jelas terpancar di raut wajah itu mengundang rasa yang sukar ditafsirkan. Qaseh menunduk memandang tangannya yang berada dalam genggaman Arief.
“ Jom, abang tolong sayang  masak.”
Qaseh kembali mengangkat muka. Melirik senyum nipis membalas senyuman lelaki itu. Setiap kali melihat senyuman itu pasti hati kecilnya tertawan.


Saturday, March 8, 2014

PENGUMUMAN & sambungan TIKA HATI BERBICARA bab 25


Assalamualaikum,

Jutaan kemaafan sebab dah lama sangat tak update blog. Ada perkara yang perlu gee dahulukan. Dalam kesibukan itu, gee cuba juga untuk menyiapkan manuskrip yang tersangatlah lamanya tertangguh. Alhamdulillah akhirnya siap juga dan gee telah emailkan pada pihak penerbit untuk proses penilaian. Doa-doakan semoga segala dipermudahkan. 

Pengumuman juga untuk semua tajuk novel Tika Hati Berbisik Rindu sudah ditukar ke tajuk Tika Hati Berbicara ( ada yang x setuju dengan tajuk ni tak? jangan malu jangan segan untuk meluahkan pendapat anda. Gee sangat2 alukan komen anda. 

 Buat pengubat rindu Arief & Qaseh sedikit sambungan kisah mereka... selamat membaca :) selepas baca jangan lupa komen tau ;)


Langkah diatur dengan debaran di dada. Qaseh menarik nafas dalam. Ya Allah, berikanlah ketenangan dalam diri ini. Bukan dia tidak pernah datang ke sini tetapi kali ini berlainan kerana dia tidak bersendirian. Ada sesuatu yang menganggu perasaannya ketika ini. Sejak peristiwa itu, Arief agak dingin dengannya. Dia khuatir kehadirannya di sini bersama Azman akan  mengundang rasa tidak senang Arief.  Tapi apa yang boleh dia buat. Kalau sudah ini arahan yang telah diberikan oleh majikannya.
Tanpa sedar terbit keluhan dari bibir. Entah mengapa dia terlalu ingin menjaga perasaan lelaki itu? Dan sudah tentu dia perlu berlakon seperti tidak mengenali langsung Pengarah Urusan Perkasa Jaya. Bersikap protokol dalam suasana yang berbeza. Mampukah dia?
"Qaseh," tegur Azman apabila melihat Qaseh hanya menyepikan diri sedari tadi. "Awak okay? Diam aje."
Qaseh melirik senyum hambar. Cuba memaniskan muka walau di hati hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Morning. Pukul 10.00 nanti kita ke Perkasa Jaya. Ada short discussion. Tolong bawakan fail projek di Langkawi sekali nanti,” beritahu Azman. Sedikit kalut gayanya. 
Qaseh yang baru melabuhkan punggung di kerusi terpinga-pinga.
“Awal Encik Azman datang,” tanya Qaseh langsung tidak menyedari kehadiran bosnya itu.
“Saya terpaksa siapkan beberapa dokumen yang diperlukan untuk discussion nanti. Awak tolong sediakan beberapa dokumen yang saya senaraikan ni.”
Sekeping kertas dihulurkan pada Qaseh. Kertas itu diamati seketika sebelum kembali mengangkat muka memandang Azman yang tidak beralih pandang dari dokumen yang dipegang sambil kaki diatur perlahan ke arah biliknya.
Teragak-agak Qaseh ingin bersuara. Diperhatikan sahaja tubuh Azman berlalu pergi. Namun, tiba-tiba Azman kembali berpaling. “Awak dah breakfast?” soal Azman  tiba-tiba diluar jangkaannya.
“Hah. Err... dah Encik Azman,” jawab Qaseh teragak-agak.
“Kalau macam tu temankan saya. Tadi tak sempat nak breakfast sebab terkejar-kejar nak siapkan kerja ni. Sekarang saya rasa betul-betul lapar.”
“Err...” serba salah Qaseh hendak menjawab.
“Kalau awak tak nak makan pun tak apa. Temankan saya aje,” kata Azman memujuk. Raut wajah Qaseh seperti dapat ditelah jawapannya.
Qaseh hanya mengangguk perlahan. Tidak tergamak pula hendak menolak.
Bibir Azman menguntum senyum nipis. Pertama kali Qaseh menerima pelawaannya. Hati mula berbunga bahagia. Walaupun mungkin penerimaan itu hanya antara pekerja dengan bosnya tetapi dia tidak peduli itu semua. Mungkin ini permulaan untuk hubungan yang dia angankan.
Azman meletakkan piring berisi kuih karipap di hadapan Qaseh.
“Saya dah sarapan tadi Encik Azman. Ni siapa yang nak makan?”
“Awak yang makan. Saya dah ada roti canai,” jawab Azman sambil menyuap kepingan roti canai ke dalam mulutnya.
“Tapi saya dah kenyang.”
“Awak makan apa tadi?”
“Roti bakar.”
“Alah.... setakat roti bakar apa yang kenyang sangat... rasalah karipap ni. Sedap.”
“Kalau sedap Encik Azman ajelah yang makan.” Qaseh menolak piring kuih itu pada Azman.
“Eh, saya beli untuk awak. Cubalah rasa.” Azman menolak kembali piring itu dekat pada Qaseh.
“Betul, saya dah kenyang.” Piring itu ditolak kembali pada Azman.
“Sampai bila nak main tolak-tolak ni. Kalau tak nak makan, kita bungkus aje.”
“Cadangan yang baik.”
“Tiba-tiba aje ada meeting dengan Perkasa Jaya?” soal Qaseh. Azman baru memberitahunya dia akan turut serta dalam meeting dengan Perkasa Jaya sebentar lagi.
“Projek tu tidak lama lagi akan masuk fasa pertama. Saya dimaklumkan Encik Arief nak projek tu siap seperti yang dijadualkan. Pertama kali kita bekerja dengan Perkasa Jaya dan saya tidak mahu kita gagal.”
Mendengar nama itu sudah membuatkan hati Qaseh dilanda gundah. Bagaimana dia hendak berdepan dengan lelaki itu nanti? Aduh! Sesak dada dibuatnya.
“Syarikat kita baru hendak berkembang. Buat masa ni kita tidak cukup budget hendak mengambil pekerja baru. Mungkin bila projek baru ni start kita akan mengambil pekerja baru secara berperingkat,” terang Azman lagi.
Qaseh menarik nafas dalam. Berat rasa hati untuk turut serta dalam perbincangan itu. Tetapi masakan dia berterus terang tentang apa yang bersarang dalam diri. Sudah tentu bermacam persoalan akan timbul di benak fikiran bosnya itu.  
Seketika suasana sepi diantara mereka. Qaseh meliarkan pandangan di sekeliling restoran. Dia perasan dengan anak mata Azman yang sesekali melekap di wajahnya.
"Awak dah ada kekasih Qaseh?"
Hampir tersedak Qaseh dengan pertanyaan itu. Dia mengangkat muka membalas pandangan Azman. Seketika cuma. Renungan itu cukup menusuk menikam anak matanya. Namun, dia tidak mampu menjawabnya. Apa jawapan yang selayaknya diberikan? Sedangkan mempunyai kekasih sudah tidak layak bagi dirinya kerana dia sudah bergelar isteri orang. Sudahnya Qaseh hanya mendiamkan diri.
"Mungkinkah diam awak memberi jawapan yang awak sudah berpunya?" aju Azman lagi menagih jawapan daripada Qaseh.
"Kenapa Encik Azman nak tahu?"
"Maaf kalau ia terlalu peribadi tetapi selama awak bekerja dengan saya, awak seorang pekerja yang agak pendiam dan perahsia. Saya ingin mengenali awak dengan lebih dekat. Saya harap peluang itu berpihak kepada saya," jawab Azman berterus terang. Anak matanya terus melekap di wajah Qaseh.
Serba tidak kena Qaseh di tempat duduknya. "Encik Azman..."
"Tak perlu beri jawapannya sekarang Qaseh" pintas Azman bersuara mengunci mulut Qaseh dari terus berbicara.
"Pagi-pagi dah mengelamun, Qaseh?" tegur Rizal di sebelah Qaseh. Melayang jauh ingatannya pagi tadi. Qaseh melirik senyum paksa menutup rasa gugup dengan teguran itu. Sekilas pandangannya melirik ke arah Azman yang hanya menyepi. Seketika pandangan mereka bersatu. Pandangan yang tersirat seribu makna. 
Qaseh mengeluh. Hatinya mula dilanda resah. Entah kenapa dia tidak bersedia untuk berdepan dengan Arief dalam keadaan begini. Debaran bertandang membuatkan dadanya sesak dengan kemungkinan yang mendatang.
Entah kali keberapa keluhan terbit dari bibir Qaseh. Sebaik pintu lif terbuka dengan berat hati Qaseh mengekori langkah Azman dan Rizal masuk ke dalam perut lif.
Sesekali Qaseh meliarkan pandangan ke sekeliling sehingga mereka sampai di bilik mesyuarat. Beberapa kakitangan dari syarikat Perkasa Jaya sudah sedia menanti di bilik itu.
Qaseh menarik nafas dalam sebelum melabuhkan punggung di kerusi. Terasa debaran semakin laju berdegup.
“Assalamualaikum,” ucap seseorang membuatkan nafas Qaseh hampir terhenti. Tidak perlu berpaling, suara itu amat dikenalinya.
Serentak mereka yang ada di situ berdiri sambil menjawab salam itu. Qaseh mengangkat muka. Dia terpaku kala matanya bertemu pandang dengan Arief yang turut memandang ke arahnya. Seketika pandangan mereka bersatu. Qaseh melarikan pandangan.
Azman memperkenalkan teman sekerjanya kepada Arief. Arief hanya bersikap selamba. Melihat sikap Arief itu, Qaseh juga bersikap sedemikian. Berpura-pura tidak mengenali antara satu sama lain. Perbincangan berlangsung sehingga ke waktu makan tengahari. Selesai perbincangan, Arief menjemput mereka makan tengahari bersama.
Mereka makan di Restoran Thai di sebuah hotel. Qaseh tidak menyangka Arief akan melabuhkan punggung di kerusi sebelahnya. Sesekali tangan Arief nakal mencari tangannya dan digenggam. Tidak keruan Qaseh dibuatnya. Risau jika tingkah Arief disedari yang lain terutama Azman yang juga duduk di sebelah kirinya.
Sebaik pesanan sampai mereka menjamu selera sambil sesekali berbincang soal kerja dan isu semasa.
“Awak nak tambah tomyam Qaseh?” tanya Azman apabila melihat mangkuk yang berisi sup tomyam Qaseh sudah tinggal suku. Kebetulan Azman baru menambah sup tomyam ke dalam mangkuknya.
“Err... boleh juga...” teragak-agak Qaseh menjawab. Serba salah Qaseh menerima pelawaan itu. Khuatir akan mengundang rasa tidak senang Arief. Apatah lagi Arief pernah menyuarakan sikap Azman yang seperti menaruh hati terhadapnya.
Arief hanya memerhati. Layanan mesra Azman kepada Qaseh membakar rasa cemburunya. Lirikan dan pandangan Azman sudah cukup menjelaskan isi hati lelaki itu. Segak dan bergaya orangnya. Entah kenapa dia terasa tergugat. Melihat senyuman balas Qaseh mencengkam rasa cemburunya. Namun, Arief cuba berlagak profesional walaupun riak cemburunya sudah dapat dikesan oleh seseorang yang memerhati tingkah Arief dan Qaseh sedari tadi.
Datuk Rahim tersenyum sinis. Tidak menyangka Arief menyimpan perempuan dalam diam. Dalam hati dia ketawa kemenangan. Satu hari nanti pasti reputasi Arief akan jatuh jika skandal itu tersebar luas.
Serius wajah Arief melangkah masuk ke biliknya. Kasar punggung dilabuhkan ke kerusi. Tubuhnya disandar sambil berpusing memandang ke luar tingkap. Dada langit biru tampak damai menjamu matanya. Namun keindahan itu tidak mampu menenangkan jiwanya yang berkocak dengan perasaan cemburu saat ini. Kalau ikutkan rasa hatinya, mahu sahaja dia dedahkan hubungan mereka supaya tidak ada sesiapa yang berani menaruh hati pada isterinya. Tetapi dia masih waras waktu itu.
Tiba-tiba bunyi ketukan di pintu menyejutkan Arief. Lantas dia memusingkan kerusi mengadap meja kerjanya. “Masuk,”
“Boleh uncle jumpa Arief sekejap."
“Silakan uncle.”
Tanpa dipelawa Datuk Rahim melabuhkan punggung di kerusi.
“Ada apa uncle nak jumpa Arief?” Arief terus mengajukan pertanyaan. Dia tahu sudah tentu ada agenda tertentu yang ingin diutarakan padanya. Dari dulu lagi dia mencurigai tindak tanduk Datuk Rahim.
“Uncle nak tanya mengenai projek di Langkawi. Kenapa Arief beri pada syarikat tu tanpa berbincang dengan uncle dulu. Bukankah kita telah berbincang sebelum ni, Syarikat Damai lebih berpatutan harganya.”
“Arief sudah meneliti tender dari kedua syarikat tu dan Arief lebih suka dengan cadangan kertas kerja dari Syarikat Bersatu Setia dan sebut harga yang ditawarkan lebih berpatutan dari Syarikat Damai,” beritahu Arief panjang lebar.
“Tapi Arief sepatutnya berbincang dengan uncle dulu sebelum membuat apa-apa keputusan. Uncle juga berhak dalam syarikat ni. Arief kena ingat tu,” luah Datuk Rahim tidak berpuas hati.
“Setahu Arief uncle akan bersetuju apa saja keputusan Arief sebelum ini. Kenapa sekarang uncle nak mempersoalkan perkara ini pula? Ada apa-apa yang uncle tidak puas hati dengan Arief?”
“Bukan itu maksud uncle. Tapi sebagai pemegang saham dalam syarikat ni, uncle juga berhak untuk mencadangkan keputusan yang dirasakan patut untuk kebaikan syarikat.”
Arief tersenyum sinis. “Bagaimana dengan cadangan Arief dulu? Uncle dah fikirkan?”Arief menukar topik perbualan. Sudah lama dia menanti keputusan mengenai penjualan saham yang dipegang oleh Datuk Rahim memandang Datuk Rahim seperti tidak lagi berminat dengan urusan syarikat.
Datuk Rahim betulkan duduk. “Uncle belum fikirkan lagi.” Kerusi yang diduduki terasa panas. Sangkanya Arief sudah melupakan perkara itu.
“Kalau uncle dah buat keputusan, beritahu Arief. Tentang tender tu, uncle jangan risau. Semestinya Arief nak yang terbaik untuk syarikat.”
“Uncle percaya dan yakin Arief akan buat yang terbaik.”
Datuk Rahim tersenyum kelat. Raut wajahnya cuba dimaniskan. Tidak mahu Arief terkesan sesuatu. Benak fikirannya berputar ligat memikirkan cara untuk menarik perhatian Arief pada tender Syarikat Damai. Sudah beberapa kali Datuk Ismail menghubunginya tetapi jawapan yang mampu diberi hanyalah masih dalam proses penilaian. Sekiranya Arief tidak mengambil tender itu, dia yang akan susah nanti. Tiba-tiba wajah gadis tadi terlintas di fikiran. Pelbagai persoalan yang masih belum terjawab mula bermain di mindanya.

* Jangan lupa komen ya :))