Thursday, January 18, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 15



Apa yang akan terjadi selepas ini apabila Ayuni dapat tahu dia akan bekerja sebagai PA kepada Danial Haikal? Lelaki yang cuba dijauhinya selama ini.



BAB 15

Ayuni menarik nafas panjang. Entah kenapa tiba-tiba dadanya berdebar-debar. Mungkin kerana pertama kali hendak kenal dengan bos baru. Dia mengikut langkah Liza merangkap pembantu peribadi kepada majikannya yang baru. Selepas dua bulan, dia akan menggantikan tempat Liza sepenuhnya. Ayuni hanya memerhati Liza mengetuk daun pintu. Sebaik mendengar arahan masuk, daun pintu dikuak luas. Bertambah hebat detak jantung Ayuni sebaik saja susuk tubuh yang sedang menunduk sambil tekun menulis sesuatu menyapa ruang matanya.  

“Selamat pagi, Nal,” sapa Liza. 
“Pagi.” jawab Danial lantas mengangkat muka.
Ayuni terpaku. Terasa hendak gugur jantungnya saat ini. Tubuhnya kaku berdiri betul-betul macam patung cendana. Sedikitpun tidak bergerak. Mulutnya juga bagaikan terkunci. Matanya masih tidak berkedip melihat susuk tubuh di hadapannya. Betulkah apa yang dilihatnya saat ini? Dia bekerja dengan siapa sebenarnya ni? Sesak dadanya tiba-tiba.
`Ya Allah, takdir apa yang sedang Kau duga untukku.’
“Cik Ayuni Aisya, PA baru Nal.” Liza terus perkenalkan Ayuni kepada Danial.
Kebisuan Ayuni mengundang rasa pelik Liza.
“Ayuni...” lembut suara Liza menyapa telinga Ayuni.  
Ayuni tersedar. Sekilas dia berpaling ke arah Liza yang memandangnya pelik. Kemudian dia kembali memandang Danial yang beriak selamba, seperti tidak pernah kenal siapa dia.
“Selamat pagi, Encik Danial...” lambat-lambat Ayuni bersuara. Kepalanya ditunduk sedikit tanda hormat.
Namun, tiada segaris senyuman pada raut wajah lelaki itu buatnya. Dia juga begitu. Sudah tidak ada mood lagi dia hendak senyum. Sepatutnya dia perlu hormat pada bos baharunya, tetapi entah kenapa, bila tahu siapa majikannya terus semangatnya terbang.
“Kak Liza, kejap lagi saya ada meeting dengan Mr Yap di Putrajaya. Saya mungkin tak masuk ofis sebab ada site visit lepas meeting,” beritahu Danial. Hari ini dia betul-betul sibuk dengan projek baharu.
Wajah Ayuni hanya dikerling sekilas. Jelas riak terkejut di wajah gadis itu. Namun seketika cuma, apabila raut wajah itu mula mencebik tidak suka. Danial tunduk menyimpan senyum. Rasa hendak tergelak pun ada. Bukan dia tidak tahu dengan perangai Ayuni Aisya. Sikap selamba gadis itu sering mencuit perasaannya.
“Kak Liza ajar apa yang patut pada PA baru saya ni. Esok baru saya mula tunjuk ajar apa yang patut dia tahu as a PA to Danial Haikal,” ujar Danial. Serius raut wajahnya sambil menghulurkan fail kepada Liza tetapi matanya terarah kepada Ayuni.  
Ayuni jeling geram mendengar kata-kata Danial. Entah kenapa kata ‘tunjuk ajar’ yang terbit dari bibir lelaki itu penuh makna tersirat. Apatah lagi melihat lirikan mata dan senyum senget lelaki itu menguatkan lagi sangkaannya. Ada agenda yang tersembunyikah? Tiba-tiba dia jadi takut untuk bekerja di bawah Danial Haikal. Mampukah pertahanan jiwanya menepis gelodak perasaan yang sudah mula tidak menentu?    
“Kalau macam tu kami keluar dulu,” ujar Liza.
“Oh ya, sebelum tu... welcome to Mekar Jaya Holding Cik Ayuni Aisya.”
Ayuni tarik senyum paksa.
“Terima kasih Encik Danial kerana terima saya bekerja di sini. Saya akan cuba menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada saya dengan sebaik mungkin,” balas Ayuni. 
“Good!”
Mati senyuman Ayuni sebaik berpaling menuju ke arah pintu.
Sebaik pintu bilik tertutup, gelak yang ditahan sedari tadi Danial lepaskan.



“Kenapa dengan Yuni tadi? Handome sangat ke bos kita sampai terpaku Yuni dibuatnya,” tanya Liza sebaik keluar dari bilik Danial.
Ayuni tidak tahu hendak jawab apa.
Liza menarik senyum segaris.
“Siapa yang tak terpikat tengok lelaki macam Danial Haikal? Sudahlah kacak bergaya, poket pun penuh berkepuk-kepuk.”
Ayuni tergelak. Walaupun baru berkenalan, tetapi Ayuni rasa selesa dengan Liza. Keramahan Liza buatkan mereka cepat mesra. Bersetuju dengan kata-kata Liza, memang tidak dinafikan Danial Haikal boleh masuk dalam kategori lelaki model iklan. Baginya, lelaki itu mempunyai sepasang mata yang mampu mencairkan hati sang gadis dengan renungannya. Sebab itu dia tidak suka berbalas pandang dengan Danial. Renungan yang mampu membunuh.  
 “Tapi kak Liza lebih terpikat dengan hati budi dia. Danial seorang bos yang sangat memahami dan pandai jaga hati pekerja. Prinsipnya bekerja dalam satu pasukan. Hormat- menghormati antara pekerja amat dititikberatkan. Sekiranya ada masalah, dia akan cuba selesaikan dengan sebaik mungkin tanpa ada pertelingkahan. Walaupun masih muda, tetapi bijak menguruskan syarikat.”
Ayuni semakin tertarik mendengar cerita Liza tentang Danial. Ternyata masa mematangkan seorang Danial Haikal.
“Kak Liza, saya keluar dulu.”
Ayuni terus kaku sebaik mendengar suara Danial dari arah belakangnya. Ketika itu dia sedang berdiri menghadap Liza yang duduk. Tidak berani dia menoleh, malah bergerak walau seinci pun kerana dia dapat rasakan Danial begitu hampir di belakangnya. Dia percaya andai dia bergerak, pasti tubuhnya akan bersentuhan dengan lelaki itu. Entah kenapa, setiap kali berhadapan dengan lelaki itu dadanya berdetak tidak menentu. Sesak nafasnya.
“Fail ni kak Liza tolong bagi pada Rizal.”
Liza menyambut fail yang dihulurkan Danial. Kemudian Danial terus berlalu.
Ayuni lega. `Ya Tuhanku, macam mana aku nak kerja dengan dia kalau macam ni?’


#Diakahcinta?
#PenerbitanLovenovel
#Geemuszisya


No comments: