Monday, January 8, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 3



BAB 3



“Assalamualaikum.” Ayuni memberi salam sambil meninjau-ninjau keadaan sekeliling. Sunyi. `Takkan tak balik lagi. Hari dah meninggi ni.’
“Assalamualaikum, Mak Nab... ooo Mak Nab.”
“Waalaikumussalam.”
Pantas Ayuni berpaling ke belakang. Bibir melirik senyum kala wajah Mak Cik Zainab menyapa pandangan.
“Lambat Mak Nab balik hari ni?” tanya Ayuni. Turut melabuhkan punggung di sebelah Mak Cik Zainab di pangkin kayu bawah rumah.
“Mak Nab kutip getah buku. Cik Jah cuti hari ni... tu yang lambat sikit.” Peluh di dahi dilap dengan tuala kecil yang sentiasa tersangkut di bahu.
“Mak Nab sihat?” tanya Ayuni. Wajah tua Mak Cik Zainab menjadi tatapan Ayuni. Tangan Mak Cik Zainab disentuh lembut dan dicium. Terasa urat-urat yang timbul di belakang tangan tua itu. Tangan yang tidak henti-henti mencari rezeki. Tangan yang menjaga si suami yang terlantar sakit sehingga nafas terakhir. Mengenang nasib Mak Cik Zainab hatinya dipagut hiba. Walaupun tiada pertalian persaudaraan dengan Mak Cik Zainab, tetapi kehidupan di kampung, jiran sudah dianggap seperti saudara sendiri.
“Alhamdulillah... sihat cara orang tualah, Yuni.” Sesekali Mak Cik Zainab terbatuk kecil.
“Bila balik?” tanya Mak Cik Zainab.
“Semalam, Mak Nab.”
“Ni mak ada bagi kuih karipap untuk Mak Nab.”
“Terima kasih. Mak Yuni ni selalu sangat bagi Mak Nab makan.”
Bekas plastik yang dihulur Ayuni bertukar tangan.
“Mak buat lebih. Lagipun Mak Nab pagi-pagi dah pergi menoreh. Mesti belum makan lagi.”
“Mak Nab ni kena kopi pun dah cukup, Yuni.”
“Tak boleh macam tu Mak Nab. Saya tengok badan Mak Nab dah semakin susut la ni.”
 “Badan orang tua, Yuni. Tera nilah. Bukan nak gemuk-gemuk dah.”
“Mak Nab kerja kuat sangat.”
“Macam mana tak kerja kuat, Yuni. Hutang Mak Nab dengan Tuan Darus tak habis-habis bayar lagi. Kalau lambat bayar sikit, si Zakry tu dah terpacak depan pintu,” beritahu Mak Cik Zainab. Lelah rasa dengan hutang yang tidak nampak penghujungnya. Dia terpaksa berhutang untuk membiayai kos perubatan arwah suaminya yang mengidap penyakit Hepatitis.
Berkerut dahi Ayuni.
 “Setahu Yuni, Mak Nab dah lama duk bayaq kat Tuan Darus, takkan tak habis-habis lagi?”
“Mak Nab pun tak tahulah, Yuni. Bila Mak Nab tanya... katanya Mak Nab kena bayar bunga sekali.”
Ayuni menggeleng tanda tidak puas hati.
“Melampau betul!” Mendidih rasa hati. Dengan orang tua pun nak ditindasnya.
“Dibah tak balik Mak Nab?” tanya Ayuni.
“Dibah dah lama tak balik. Hari tu dia ada telefon. Katanya tak boleh nak balik sebab suaminya sibuk.”
“Dibah tak tolong Mak Nab bayar hutang Tuan Darus?”
“Mak Nab tak nak susahkan Dibah. Dia pun tak kerja. Hidup kat bandar tu banyak pakai duit. Biarlah Yuni, biar Mak Nab ja yang tanggung semua hutang tu.”
“Tapi Mak Nab pun bukan sihat sangat.”
“Orang tua memang macam ni, Yuni. Kejap sihat, kejap sakit. Biasa dah tu. Ni Mak Nab nak tanya Yuni sikit.”
“Tanya apa Mak Nab?”
“Yuni pernah pergi rumah Dibah?”
“Tak pernah Mak Nab. Awat Mak Nab?”
“Mak Nab tak pernah sampai lagi rumah Dibah. Teringin nak pergi rumah dia.”
Ayuni terdiam. Rasa pilu memalu hati. Kerinduan seorang ibu terhadap anaknya jelas terpancar di wajah Mak Cik Zainab. Kenapa sahabatnya itu tiba-tiba berubah? Dia kenal Adibah sejak dari zaman sekolah. Mereka saling berhubung. Tetapi sejak Adibah berkahwin, mereka seperti terputus hubungan. Apa yang dia tahu, Adibah dengan suaminya satu tempat kerja sebelum mereka berkahwin. Tetapi Adibah terpaksa berhenti kerja bila mengalami alahan yang teruk ketika mengandung anak sulung. Kali terakhir mereka berjumpa, semasa Adibah berpantang di kampung.   
“Mak Nab rasa, Dibah ada masalah. Dah lama dia tak balik. Telefon pun jarang sekali. Dulu dia tak macam ni. Sebab tu Mak Nab nak pi rumah dia. Lagipun Mak Nab rindu sangat kat cucu Mak Nab. Dah besaq agaknya Adam.”
Terdiam Ayuni mendengar luahan Mak Cik Zainab. Jauh renungan mata tua itu membendung rasa rindu.
“Macam nilah Mak Nab, biar Yuni cari tempat tinggal Dibah dulu. Bila dah tahu, senang Yuni nak bawa Mak Nab ke sana. Lagipun Yuni bercadang nak bawa mak dengan adik bercuti kat Shah Alam. Mak pun belum pernah sampai lagi rumah sewa Yuni.”
“Elok sangatlah tu, Yuni. Boleh Mak Nab tumpang sekali.”
“Mak Nab ada alamat Dibah?”

“Ada Dibah bagi hari tu. Nanti Mak Nab bagi Yuni.” Ceria wajah Mak Cik Zainab mendengarnya. Tidak sabar hendak bertemu dengan anak dan cucu yang sangat dirindui.  




No comments: