Wednesday, October 7, 2009

Hanya secebis cerita - LIMA BERADIK DIHARI LEBARAN

Cerita ni mungkin biasa saja, tetapi apa yang ingin dikongsi bersama kisah lima beradik yang mungkin mencari duit poket dihari lebaran. Lima beradik ini seperti kanak-kanak lain juga gembira menyambut hari lebaran, kanak-kanak mana yang tak suka kalau raya, boleh main bunga api (mercun walaupun diharamkan tapi main juga), dapat makan sedap-sedap yang paling best dapat duit raya leee. Tetapi aku percaya lima beradik ini setiap tahun pasti menunggu hari lebaran menjelma kerana dapat kutip duit dan dengan duit tu bolehlah mereka membeli apa yang mereka ingini (kalau tekaan aku betul la). Kebanyakkan ibu bapa lebih menggalakkan anak-anaknya menyimpan sahaja duit raya kerana mereka mampu membeli barang yang diingini oleh anak-anak mereka. Tetapi bagaimana pula ibubapa yang tidak berkemampuan memenuhi keinginan anak-anak mereka.

Ceritanya begini, kami (suami dan anak-anak) berpindah ke rumah baru (walaupun taman lama tapi rumah baru bagi kami ) di Seksyen 17, Shah Alam tiga tahun yang lalu. Suasana di situ memang meriah walaupun selepas kami balik dari kampung namun rumah terbuka sentiasa ada hingga akhir syawal. Setiap tahun anak-anak lah yang paling gembira kerana dapat beraya disamping menambah duit poket mereka. Tetapi yang menarik perhatian ku tentang lima beradik yang setiap tahun datang beraya ke rumah kami. Lima beradik ni terdiri daripada seorang abang dan tiga orang adik perempuan. Aku teka saja sebab tengok yang lelaki nampak macam matang sikit berbanding yang perempuan. Pada tahun ini tidak seperti tahun-tahun yang lepas mereka beraya pada waktu siang tetapi pada tahun ni mereka beraya pada waktu malam. Tidak silap aku dalam pukul 8.30 malam, kebetulan sahabat suami ku juga datang beraya. Mulanya lima beradik ni tidak mahu masuk, ye la janji dapat duit raya makan tu tak kisah sangat. Suami ku menjemput lima beradik ni masuk, aku mempelawa mereka makan tetapi mereka hanya diam saja. Tiba-tiba salah seorang beradik perempuan meminta nak ke tandas namun dalam beberapa saat kemudian yang dua lagi beradik perempuan ingin turut serta. Tinggal yang lelaki di ruang tamu, nampak macam pemalu sikit. Suamiku menjemputnya ke ruang makan. Dengan malu-malu dia mengekori suami ku ke ruang makan. Datang tiga beradik ni, si kecil sekali bersorak riang.

"Nak makan , nak makan." Kami mempelawa kelima beradik ni duduk dan suami ku bertanya mereka tinggal di mana? Si abang menjawab mereka dari Padang Jawa. Suamiku bertanya lagi datang beraya naik apa? Alangkah terkejutnya kami bila mereka hanya berjalan kaki sahaja dari Padang Jawa ke Seksyen 17 (mungkin bagi mereka itu perkara biasa tetapi bagi ku pada waktu begini berjalan kaki dari rumah mereka ke kawasan rumahku sudah dikira jauh dan merbahaya). Terdetik difikiranku macam mana anak-anak ini hidup, pada waktu malam boleh berjalan jauh sebegini, tidak risaukah emak dan ayah mereka?.

Kebetulan ada lagi laksa yang aku masak kelmarin untuk tetamu, aku hidangkan untuk lima beradik ini. Jelas terpancar kegembiraan diwajah mereka kerana dapat makan laksa ku yang tidak sesedap mana, yang penting ikhlas kan. Aku lihat dengan gelojohnya mereka makan. Tidak makankah adik-adik ni tadi? Kesiannya anak-anak ini, tetapi yang si abang masih malu-malu dan kadang-kadang cuba menegur kelakuan ketiga adik perempuannya. Terlintas di otak fikiran ku untuk menyelidik adik-adik ini. Lalu soal siasat diutarakan oleh ku.

"Adik-adik ni umur berapa?" Salah seorang adik perempuan berkata yang dia ditingkatan dua, abangnya tingkatan tiga (tepat tekaan ku yang lelaki adalah paling tua dikalangan berlima ni), yang dua lagi adiknya bersekolah ditahun lima dan yang kecil sekali tahun tiga. Mungkin dalam fikiran adik tu pandai-pandai la makcik fikir berapa umur kami.

"Adik-adik ni keluar malam-malam ni mak tak marah ke?" Yang abang mengangguk tetapi yang dua adik perempuannya berkata."Tak , mak tak marah." Mana satu yang betul ni. Mungkin anda boleh meneka kenapa siabang mengangguk? Adik perempuan yang berumur 14 tahun bercerita mereka mempunyai lapan adik beradik. Seorang dah kahwin, yang lagi tiga ada kat rumah. Ramah jugak adik ni mungkin terlalu gembira kerana dapat makan atau memang sudah lumrah budak-budak mudah bercerita. Aku masih meneruskan soal jawab. Aku bertanya mengenai ibu bapa mereka. Terkejut aku bila mereka menyatakan bahawa bapa mereka tidak bekerja cuma ibu mereka sahaja yang bekerja. Bagaimana seorang ibu nak menyara keluarga yang sebesar ini? Patut la anak-anak ni kelihatan begitu daif sekali. Dengan baju kurung yang kain di bawahnya sudah kelihatan hitam, mungkin terlalu banyak berjalan dan melalui lopak-lopak air.

Aku tidak mampu lagi untuk bertanya, kesian anak-anak ini yang nak dibandingkan dengan anak-anak aku yang lebih selesa hidup mereka, alhamdulillah. Aku mesti mengajar anak-anakku erti kesyukuran, erti kesusahan, erti keikhlasan dalam membuat sesuatu perkara. Betapa aku bersyukur kenikmatan yang Allah berikan kepada kami, tiada lagi kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bersyukurnya kami dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.

Mereka meminta izin untuk pulang, aku bekalkan mereka sedikit biskut dan gula-gula. Sebak dadaku bila melihat wajah keriangan mereka bila ku bekalkan sedikit makanan dan seperti biasa setiap seorang duit raya. Selepas memberi salam mereka meneruskan perjalanan mereka beraya dari rumah ke rumah lagi. Entah pukul berapa baru mereka akan sampai ke rumah. Insyaallah umur panjang tahun hadapan kita ketemu lagi.

Cerita lima beradik ini bukan rekaan tetapi kenyataan hidup yang berbagai warna berbagai corak yang sukar ditafsirkan. Ada yang mewah kehidupannya tapi kurang kasih sayang, ada yang sederhana kehidupannya tapi penuh keceriaan, ada yang susah kehidupannya tapi tabah menerimanya. Namun hidup ini seperti roda kekadang di atas kekadang di bawah ada susah ada senang. Kita sebagai hamba Allah mestilah sentiasa redha dengan apa jua ujian dan dugaan yang diberikan untuk kita. Setiap dugaan ada hikmah disebaliknya, cuma yang membezakan bagaimana kita menghadapi ujian itu dengan setenang-tenangnya. Hanya pada Allah kita berserah, hanya pada Allah kita memohon.