Monday, July 9, 2012

Tika Hati Berbicara 12b

Arief bersalaman dengan orang kampung yang turut melangkah keluar dari rumah Makcik Bedah. Usai solat Isyak Arief menyertai jemaah lain bergerak ke rumah Makcik Bedah untuk memenuhi jemputan kenduri kesyukuran. Walaupun baru pertama kali Arief berjemaah di surau itu kemesraan bagaikan sudah lama terjalin diantaranya dengan penduduk kampung di situ. Arief melabuhkan punggung di pangkin yang berada tidak jauh dari rumah Makcik Bedah. Dia mendongak ke langit. Melihat bintang yang bertaburan indah di langit mengingatkan kebesaran ciptaan Allah SWT. 
“Abang Arief tengok apa tu?” tegur Aizat lantas duduk di pangkin bersebelahan Arief. Dia juga turut mendongak ke langit. 
Arief tersenyum senang. Kepala Aizat diusap lembut. “Abang tengok bintang. Cuba Ijat tengok, cantik kan?”soal Arief kembali memacukan penglihatannya ke langit.

 Tenang jiwanya dirasakan saat ini. Bintang-bintang yang berkedip memancarkan cahayanya sendiri. Faktor atmosfera bumi dan jarak bintang yang sangat jauh menyebabkan bintang tampak hanya berupa titik cahaya padahal banyak sekali bintang yang ukurannya jauh lebih besar dengan tingkat kecerahan yang lebih tinggi daripada matahari. Apapun alasannya, itulah keagungan Allah SWT Maha Pencipta seluruh alam.

“Hhm... memang cantik,”jawab Aizat. Matanya tidak lari dari memandang ke langit.

“Tenung apa tu sampai orang panggil pun tak dengar?”tegur Qaseh apabila menghampiri Arief dan Aizat yang sedari tadi asyik mendongak ke langit.

 “Kami tengok bintang kak,” jawab Aizat ceria. “Cantik kan kak?”tanya Aizad mula turun dari pangkin.

Qaseh turut mendongak. “Indah...” ujarnya sebaik sepasang matanya dijamu dengan keindahan dada langit yang mengasyikkan sehingga tidak menyedari Arief bergerak menghampirinya.
“Indah seperti Nurqaseh Qalesya,” ucap Arief hampir di telinganya.

Qaseh terpegun. Pandangan mereka bersatu.  Senyuman nipis yang terukir di bibir Arief betul-betul menawan jantung hatinya saat ini. Senyuman yang penuh erti bersama pandangan menggoda naluri memaku anak matanya ke wajah Arief.

“Abang, akak, Ijat, nenek suruh balik,” panggil Najihah melangkah menghampiri mereka. 

Tersentak dengan suara itu Arief dan Qaseh berpaling. Aizat juga turut berpaling. Mata Najihah menangkap sengihan yang tersungging di bibir adiknya, Aizat.

“Yang kau Ijat, kenapa tersengih-sengih ni?” tanya Najihah hairan. Sedari tadi adiknya itu tersengeh-sengeh sahaja. Entah apa yang mengusik hatinya sangat?

“Abang Arief ngorat kak Qaseh ya...” usik Aizat membuatkan semua  pandangan ke arahnya.

 “Mana ada...”nafi Qaseh. Malu rasanya tingkah dia dan Arief tadi disedari Aizat.

“Ala... Ijat nampak abang main-main mata dengan akak.” Wajah Aizat masih seperti tadi. Tersengih nakal.

“Ijat!”   Bulat mata Qaseh mendengar kata Aizat. Perasaan malu mula menyerang dirinya. Nasib baik suasana agak gelap. Kalau dalam terang pasti rona di wajahnya menambah perasaan malu yang merantai diri.    

“Abang dengan akak dah kahwinlah Ijat, nak ngorat-ngorat apa lagi,”kata Qaseh cuba menutup malu. 
 “Siapa cakap bila dah kahwin tak boleh ngorat?” Arief sedari tadi hanya tersenyum mendengar mula menyampuk.
Qaseh menjeling geram. Ungkapan yang terluah di bibir Arief sedikit pun tidak membantu malahan mengiayakan lagi sangkaan Aizat itu. Bertambah geram melihat senyuman nakal terukir di bibir Arief seperti seolah-olah bersekongkol dengan Aizat sahaja.

“Tapi kenapa akak macam malu-malu lagi dengan abang Arief. Abang Arief kan dah jadi suami akak,”tokok Aizat lagi. 
Wah Ijat ni, tak padan dengan kecik. Bukan main lagi dia bercakap. Lebih geram lagi apabila melihat Arief yang rancak ketawakannya.
“Ijat bukan tak tahu kak Qaseh ni memang tersangat pemalu orangnya,” kata Arief, sengaja ingin mengusik Qaseh. 
Membuntang mata Qaseh. Waktu ini dirasakan Arief dan Aizat seperti bersekongkol hendak mengenanya. Tanpa disedari jari Qaseh sudah hinggap di pinggang Arief. Mengeringai Arief mengaduh dek cubitan Qaseh yang berbisa itu.

“Aduh... sakit la sayang. Ijat punya pasal abang yang kena.”

“Padan muka.”

“Oit Ijat, kau ni kalau bercakap mengalahkan orang besar. Ini hal orang besar-besar kau apa tahu,” celah Najihah. Cuba membela Qaseh yang sudah dianggap seperti kakaknya sendiri. Walaupun mereka hanya sepupu tetapi keakraban yang terjalin lebih dari itu.  Bukannya dia tidak kenal dengan sikap adiknya yang seorang ni, terlalu berterus terang budaknya. 
“Eleh, Ijat dah 9 tahun la kak...” jawab Aizat tidak mahu mengalah.

“Sudah, jom balik. Ijat ni banyak bunyi sekarang ya. Suka usik akak. Tak nak kawan dengan Ijatlah macam ni.” Malas dia hendak melayan, semakin dilayan semakin menjadi pulak. Dia akui sejak akhir-akhir ini, kerap benar fikirannya melayang kala sepasang mata Arief seperti panahan mengalirkan arus sehingga kesegenap nadinya.

“Ala akak... jangan marah Ijat. Ijat gurau aja. Tapi Ijat cakap yang betul, kan abang Arief?” Dalam nada memujuk, Aizat sempat bertanya mengharapkan Arief menyokong katanya. 
Arief mengangguk mengiakan pertanyaan Aizat itu. Terlepas tawa Arief melihat wajah muncung Qaseh.
“Amboi, bukan main lagi orang tu ketawakan kita. Sudahlah akak nak balik. Jom Jihah, tak payah layan diorang ni,” ajak Qaseh lantas mencapai tangan Najihah.

“Alamak abang Arief, kak Qaseh dah merajuklah.”

“Itu Ijat jangan risau tahulah abang Arief pujuk nanti. Jom Ijat kita balik,”kata Arief mula mengatur langkah beriringan dengan Aizat. Bahu Aizat dipeluk mesra.

“Yang, jalan perlahan sikit.” Arief mempercepatkan langkahnya supaya dapat jalan beriringan dengan Qaseh yang hanya mendiamkan diri. Najihah dan Aizat sudah beberapa langkah di hadapan mereka. Seperti memahami Arief sedang menjalankan misi memujuk kakak sepupu kesayangan mereka. 
“Sayang...”
“Boleh tak jangan panggil sayang. Saya seganlah.”

“Tapi abang suka.”
“Mengada.” Qaseh melirik pandang ke arah Arief yang tersengih-sengih memandangnya.

“Abang nak mengada dengan siapa lagi, kalau tidak dengan isteri abang ni.” Pipi Qaseh dicuit mesra.

“Tangan tu boleh dok diam-diam tak? Dah pandai nak menggatal dah tangan tu sekarang.”
“Menggatal dengan isteri sendiri takkan tak boleh, bukan dengan orang lain.”

Qaseh mencebik. Tak menggatal dengan orang lain konon. Habis tu lunch date dengan perempuan lain siap gelak tawa bagai tak menggatal namanya tu.  

“Kenapa, tak percaya?”

“Bila balik nanti jumpa dengan girlfriend-girlfriend awak tu lain pula ceritanya.”

“Lain macam aje bunyi ni, mana ada girlfriend diaorang tu kawan saja la Yang. Kenapa? Cemburu ya,”usik Arief tersengih panjang.

 “Eh, tak kuasa nak cemburu-cemburu ni. Jihah, Ijat jangan jauh sangat jalan tu.”Qaseh mempercepatkan langkahnya. Entah kenapa dengan hatinya ini. Tiba-tiba terasa panas bila teringatkan kemesraan antara Arief dan perempuan yang tidak diketahui gerangannya tempoh hari.

Arief tersenyum lebar. Tingkah Qaseh memutik perasaan di hatinya. Cemburukah Qaseh? Dia mahukan Qaseh ada perasaan itu. Cemburu  itu tandanya sayang.  


Qaseh melangkah laju ke arah biliknya apabila sayup-sayup terdengar telefonnya berbunyi nyaring dari dalam bilik. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas meja solek. Namun, terpandang nama sipemanggil dia termangu sendiri. Ada apa Azman hubunginya waktu ini? Tanpa Qaseh sedari seseorang sedang menghampirinya.

Tingkah Qaseh yang terpaku melihat telefon bimbit itu menimbulkan  kehairanan di benak fikirannya. Apatah lagi melihat Qaseh membiarkan panggilan itu terhenti dengan sendirinya. Tingkah Qaseh terus diperhatikannya.

Qaseh mula diserang rasa serba salah apabila telefon itu kembali berdering lagi. Mungkin ada perkara yang ingin Azman tanyakan padanya. Tapi takkan waktu malam macam ni masih bekerja.

Dalam keadaan dia ingin menjawab panggilan itu. Arief mengambil telefon bimbit itu dari tangan Qaseh. Menyirap darahnya kala melihat nama yang tertera.

Dengan raut wajah tegang Arief menyerahkan kembali telefon bimbit itu kepada Qaseh.

“Awak nak jawab?” Tiada lagi kemesraan di raut wajah Arief. Hanya riak ketegangan dan ketegasan yang terbias di wajahnya.

Qaseh terdiam. Kini hatinya berbelah bagi. Melihat sikap Arief, adalah lebih baik dia tidak menjawab panggilan itu. Tapi bagaimana kalau ada hal kerja yang ingin ditanyakan oleh Azman.

“Selalunya Encik Azman call pasal kerja,” jawab Qaseh perlahan.

“Selalu! Dalam waktu ini? Setahu saya waktu kerja awak dari hari isnin hingga jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. Waktu malam bukan masa yang sesuai untuk ditanya hal kerja.” Tegas Arief menuturkan kata membuatkan Qaseh betul-betul terkedu.

“Melainkan hal peribadi,” sambung Arief lagi kedengaran sinis mencecah gegendang telinga Qaseh. Dia menggigit bibir. Nampaknya dia telah terlanjur kata. Azman seringkali juga menghubunginya sekiranya dokumen atau fail yang diperlukan tidak dapat dicarinya. Tetapi sejak akhir-akhir ini berat hatinya ingin menjawab panggilan Azman bila ia lebih menjurus pada hal peribadi. Rungsing dibuatnya.

“Jangan jawab panggilan tu,” kata Arief sebelum berlalu  pergi. Walaupun suaranya tidak sekeras tadi tetapi ketegasan tetap ada dibalik tutur kata itu.

Qaseh terpinga.  Dia hanya memandang susuk tubuh Arief hilang dari pandangan dan deringan telefon mati begitu sahaja.  Apa yang melelahkan fikirannya bagaimana hendak melembutkan kembali hati Arief. Kenapa sikap Arief tiba-tiba berubah dingin? Takkan dia cemburukan Azman? Tapi kenapa pula hendak cemburu? Qaseh menggaru kepala. Pusing kepalanya memikirkan sikap Arief ni. Arief yang sudah menarik muka begitu susah benar hendak dipujuknya. Jangan tidak tahu mengalahkan perempuan lagi.

Perlahan Qaseh meletakkan telefon bimbitnya di atas meja solek itu kembali. Lega apabila ia tidak berdering lagi. Kalau tidak, pening kepalanya memikirkan untuk menjawab atau tidak panggilan itu. Tapi esok-esok kalau Azman menelefonnya lagi takkan hendak dibiarkan saja. Azman kan bosnya.

Qaseh meletakkan neslo panas di atas meja kopi. Sedari tadi Arief sibuk dengan iPad dan beberapa dokumen yang sedikit berselerakan di atas meja itu. Qaseh melabuhkan punggung di kusyen bersebelahan Arief. Buntu Qaseh memikirkan bagaimana cara hendak membuka bicara. Sedikit pun Arief tidak memandangnya.

“Banyak lagi kerja?” tanya Qaseh lembut dan matanya tidak lepas dari wajah Arief.

“Ada la sikit-sikit lagi. Kenapa sibuk nak tahu?” Cukup sinis kata-kata itu sehingga menyelinap ke seluruh relung hatinya. Dia rasa ingin menangis saat ini tapi sedaya upaya ditahannya. Apa salahnya sehingga Arief melayannya begini?

“Saja tanya, tak apalah buatlah kerja awak tu... saya masuk tidur dulu.” Qaseh terus bangkit melangkah ke arah bilik tidur. Sampainya hati Arief. Bersama langkah yang diatur, perasaan sedih juga menapak dalam dirinya dan kemesraan antara mereka juga semakin menjauh pergi.   

Arief mendengus kasar. Tubuhnya tersandar di kusyen. Tangannya meraup muka. Sepasang matanya singgah pada cawan yang berisi neslo panas di hadapannya. Mengapa aku tergamak menyakiti hatinya? Qaseh tak bersalah Arief! Kata-kata itu seperti terngiang-ngiang di pelupuk telinganya. Tapi aku tidak berupaya mengawal sikap panas apabila perasaan cemburu menguasai diri. Arief beristighfar panjang. Seketika dia menenangkan hatinya.

Sebaik daun pintu diselak, susuk tubuh Qaseh yang terbaring mengiring di atas hamparan permaidani menyentuh perasaannya. Perasaan bersalah semakin mencengkam diri. Arief bergerak perlahan ke arah katil lalu kain selimut dan bantal dicapainya. Dengan perlahan bantal diletakkan bersebelahan bantal Qaseh dan dengan lembut dia menyelimuti tubuh Qaseh dengan kain selimut. Arief merebahkan tubuhnya di sebelah Qaseh yang membelakangkannya. Ingin sekali dia menatap wajah Qaseh. Rambut Qaseh diusap lembut. Bau wangian syampu di rambut Qaseh menusuk ke hidungnya.

“I’m so sorry...” ucap Arief perlahan. Perlahan dia mengucup lembut rambut Qaseh sebelum memejamkan matanya. Kala ini hatinya terasa cukup damai seperti bayu sedang bertiup tenang ke dasar jiwanya.  

Qaseh membuka matanya perlahan. Dia dengar apa yang diungkapkan Arief sebentar tadi. Tangan Arief yang melingkari tubuhnya dibiarkan saja. Entah kenapa dia selesa dalam dakapan Arief saat ini. Terasa perasaan yang mencengkam jiwanya sebentar tadi terbang melayang begitu saja.


Sorry lambat update... teman-teman jangan lupa komen ya ;)

16 comments:

~aI_Da~ said...

best2..cpt2 smbg ea..=)

eizzara eizzaty said...

suka sangat ... masing-masing memendam perasaan .... Arief dengan egonya Qaseh dengan rajuknya ...bila nak buat dalam edisi cetakan

Lia said...

Wahhhh.. Masing2 dah pandai cemburu n merajuk yer.. Hehehee... Itu la... Pendam sangat perasan tu.. Rugi jerrr... Hehehehe....

zm said...

ksian istri dia, amboi suami dia ni mulut kemain lagi....

NurAtiZa said...

Masing dah pandai cemburu dah...#^_^

Roza mamat said...

Jgn lambt2 yer...tkut lama2 terlupa plak dkt arief ni...heheheh.

Gee Muszisya said...

Thanks ~aI_Da~ insyaAllah cuba segerakan smbungannya :)

Gee Muszisya said...

Thanks eizzara eizzaty...masing2 memendam rasa ya...insyaAllah doa2kan moga dpt ke versi cetak ya :)

Gee Muszisya said...

Hehe... sukar utk meluahkan perasaan yg terpendam...kita tggu smpai bila diaorg ni nk memendam rasa ya...hehe

Gee Muszisya said...

Hehe....nk kena cili mulut suami qaseh ni zm...kemain lagi sakitkan hati isteri dia...

Gee Muszisya said...

Bila masing2 dh ada perasaan yg mereka tdk sedari...pasti tanda2 perasaan itu akan muncul dlm diri...:)

Gee Muszisya said...

klu x bz...insyaAllah akan update seminggu sekali tp klu bz tak dpt la nk update sll...

AniLufias said...

Gee....

wahh semakin berani si Arief nie yea...
Qaseh pun mesti lena dlm pelukan Arief...masing2 dah ada taman dlm hati...terbaekk laaaa

Gee Muszisya said...

K Aniiii....rindunya sama kamu...hehe

Itu la masing2 dh berbunga di hati tapi tak terluah...thanks for always support me... :)

Anonymous said...

nak lagi..lagi..dan lagi..cpt2 sambung ye cik writer...

Gee Muszisya said...

coming soon :))