Thursday, October 20, 2011

Tika Hati Berbicara 4

Lelaki itu tampak segak dan bergaya, Arief Hakimi Tan Sri Arshad seorang usahawan muda yang berjaya. Kehidupannya sentiasa sibuk dengan urusan business. Namun, tiada siapa yang tahu Arief Hakimi mempunyai sejarah duka yang tidak mungkin akan terpadam buat selamanya. Badai gelora luka yang berombak sepi di sanubari kadang kala menghempas buas ketenangan dirinya.

“Rita, any message for me?” soal Arief Hakimi sebaik menghampiri meja setiausahanya.
Rita sedikit mengangguk sebelum menjawab. “Encik Redzuan call tadi nak berbincang tentang Projek Kemilau Jaya. Kalau boleh dalam minggu depan,” beritahu Rita.

“Itu saja?”

“Ya bos... itu saja.”

“Okay, thanks!”

Arief melangkah masuk ke dalam biliknya dituruti Malik di belakang. Sebelum itu Malik sempat melemparkan senyuman kepada Rita yang memandangnya dengan kerutan di dahi. Malik yang memahami bahasa mata Rita yang ke arah bos mereka hanya mampu menjongketkan bahu. Mungkin riak wajah Arief yang sedikit tegang menjadi tanda tanya di benak fikiran Rita.

“Malik aku nak kau carikan maklumat untuk aku,” kata Arief sambil melabuhkan punggung di kerusi.

“Maklumat tentang apa bos?” tanya Malik yang berdiri di hadapan meja Arief.

“Maklumat tempat Qaseh bekerja,” beritahu Arief.

Berkerut dahi Malik. Kenapa pula bosnya ingin mengetahui tempat Qaseh bekerja? Dulu bosnya yang mengarahkan dia mencarikan kerja untuk Qaseh. Kebetulan ketika itu Arief terpaksa ke luar negara kerana menguruskan beberapa urusan penting. Dia telah dipertanggungjawabkan oleh bosnya untuk melindungi Qaseh daripada keluarga tiri Qaseh sendiri. Sejak itu dia jatuh simpati kepada gadis itu. Dan sejak itu juga hubungan mereka menjadi akrab. Qaseh sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Namun, apa yang merisaukannya ikatan perkahwinan antara Arief dan Qaseh terlalu rumit. Dia sendiri tidak tahu sampai bila keadaan ini akan berterusan.

“Kenapa bos perlukan maklumat tu?”

“Selama ni aku tak pernah ambil tahu di mana tempat Qaseh kerja. Segalanya aku serahkan pada kau, Malik. Tadi kau nampak lelaki yang bersama Qaseh kan?”
Malik diam seketika sebelum bersuara. “Yang mana satu bos?”

“Yang duduk sebelah Qaseh. Aku nampak dia begitu mesra dengan Qaseh,” beritahu Arief. Ada nada cemburu terbit dari bibirnya.
Malik mengulum senyum. Kes cemburu lah ni.

“Kalau tak silap saya, syarikat Qaseh bekerja ada masuk tender untuk projek di Langkawi tu bos.”

Kata-kata Malik menarik perhatian Arief. Berkerut dahi Arief memandang Malik. “Syarikat yang mana satu?” soal Arief. Banyak syarikat yang menghantar tender untuk projek di Langkawi itu.

“Bersatu Setia Enterprise.”

“Kalau macam tu dapatkan maklumat tentang syarikat tu,” putus Arief Hakimi.

“Baik bos! Kalau tak ada apa saya keluar dulu bos.”

“Aku nak tahu semuanya Malik, jangan ada tertinggal satu pun,” beritahu Arief tegas.

Malik mengangguk faham sebelum berlalu pergi.

Sebaik kelibat Malik hilang di balik pintu, Arief bersandar di kerusi dan menghala pandangan ke luar tingkap. Pandangan langit yang membiru tidak mampu menenangkan hati Arief yang tidak keruan saat ini. Arief meraup muka beberapa kali. Entah apa kena dengan dia? Melihat Qaseh bersama lelaki itu hatinya bagaikan terbakar. Ya, dia cemburu! Cemburu melihat cara lelaki itu melayan Qaseh. Dia tahu lelaki itu ada menaruh hati kepada Qaseh. Pandangan dan senyuman lelaki itu tergambar kebahagiaan tika berbicara dengan Qaseh.

Arief mengeluh berat. Nur Qaseh Qalesya... mengungkap segaris nama itu seolah memberi sejalur ketenangan dalam dirinya. Kelembutan wajahnya memberi seribu kedamaian di jiwa. Tingkah Qaseh sering mengundang kerinduannya. Sejak pertama kali terpandang wajah itu, hatinya seperti berdetik sesuatu. Kejamkah aku kerana menggunakan Qaseh untuk kepentingan perasaannya sendiri? Dia bertekad Qaseh mesti menjadi miliknya. Kejamkah dia kerana mengambil kesempatan disaat Qaseh dalam kesempitan? Mengingatkan kembali peristiwa setahun yang lalu perasaan resah dan gusar silih berganti menjalar dalam dirinya. Tapi dia telah berjanji. Amanat yang tidak mungkin dia akan mungkiri.

Sesekali tangannya menyapu air mata yang tidak henti-henti mengalir membasahi pipi. Sejak nenek di masukkan ke hospital, Qaseh tetap setia menemani di sisi neneknya.

“Ehem...” Qaseh pantas berpaling ke belakang. Saat melihat susuk tubuh lelaki itu dia pantas berpaling kembali ke hadapan. Segera air mata yang membasahi pipi disapu bersih.

“Kata doktor nenek cik Qaseh dah semakin stabil,” beritahu lelaki itu.

“Terima kasih kerana encik dah banyak tolong saya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya,” perlahan suara Qaseh menuturkan kata.

Kemudian masing-masing hanya membisu. Qaseh hanya menunduk. Kelu lidah untuk berbicara.

“Qa... Qaseh...” suara nenek menarik perhatian Qaseh. Pantas tangan nenek digenggam erat.

“Qaseh kat sini nek...” jawab Qaseh. Sebak dadanya melihat neneknya yang perlahan-lahan membuka mata.

“Nenek kat mana ni Qaseh?” tanya nenek lemah.

“Nenek kat hospital. Semalam nenek pengsan,” beritahu Qaseh. Dalam kerisauan Qaseh cuba mengukir senyuman kepada nenek. Ubun-ubun nenek diusap lembut.

“Qaseh tak apa-apa? Zakri ada buat apa-apa pada Qaseh?” tanya nenek risau. Raut wajah Qaseh tekun diamatinya.

“Qaseh tak apa-apa nek. Nek jangan risau. Qaseh takut sangat tengok nenek pengsan semalam. Tak patut betul abang Zakri buat nek macam tu,” luah Qaseh pilu. Tidak pernah dia menyangka Zakri sanggup berlaku kasar terhadap nenek. Tidak sanggup lagi dia melihat nenek terus dikasari oleh keluarga tirinya itu, biarlah dia saja yang menanggungnya. Dia sanggup berkorban, walaupun nyawanya menjadi galang gantinya.
Pandangan nenek beralih pada lelaki di sebelah Qaseh. “Ini siapa? Tunang Qaseh ya?” tanya nenek. Wajah yang pucat tampak sedikit berseri melihat pemuda di sebelah Qaseh.
Pertanyaan nenek itu membuatkan Qaseh terkedu. Qaseh berpaling seketika pada Arief Hakimi.

“Bu...”

“Ya nek... saya tunang Qaseh,” jawab Arief lalu tangan nenek dicium lembut.
Qaseh terkasima. Tindakan lelaki itu tidak terduganya.

“Segak betul orangnya. Dah lama nenek tunggu nak kenal-kenal dengan tunang cucu nenek ni. Entah kenapa Qaseh nak sorokkan pulak tunang dia. Nenek tengok segak bergaya. Secocok betul dengan cucu kesayangan nenek ni.” Tidak beralih pandangan nenek pada seraut wajah Arief. Segaris senyuman menawan menghiasi wajah Arief menyerlahkan lagi kekacakkannya apabila mendengar kata nenek.

“Siapa nama tunang Qaseh ni?” tanya nenek.

“Nek kena banyak berehat. Badan nek masih lemah.” Qaseh semakin tidak keruan apabila nenek semakin berminat berkenalan dengan lelaki di sebelahnya ini.

“Nek dah tak apa-apa. Sekarang nenek nak kenal dengan tunang Qaseh ni. Bila nenek tanya, ada saja alasan Qaseh. Dulu Qaseh kata bila nenek dah jumpa orangnya nenek tanyalah apa yang nenek nak tanya.”

Qaseh terdiam. Kelu lidahnya untuk berkata.

“Nama saya Arief Hakimi nek...” jawab Arief.

“Arief Hakimi... sedap nama tu seperti orangnya juga,” puji nenek.

Qaseh mencuri pandang ke arah lelaki di sebelahnya. Arief perasan tingkah Qaseh itu lalu dia menjongket sebelah kening ke arah Qaseh sambil melirik segaris senyuman nipis buat Qaseh. Qaseh melarikan wajah.

“Kalau nenek minta Arief buat sesuatu untuk nenek, bolehkah Arief tunaikan?” kata nenek. Raut wajahnya tersirat seribu pengharapan terhadap Arief yang disangka tunang Qaseh itu.

Qaseh mengangkat muka. Hatinya mula berdebar-debar. Dia mula tidak sedap hati melihat raut wajah nenek. Dia tahu dari wajah neneknya bukan perkara ringan yang ingin dibicarakan.

“Ada apa nek? Arief akan cuba tunaikan,” jawab Arief Hakimi tenang.

“Nenek mahu Arief kahwin dengan Qaseh secepat mungkin. Nenek tidak sanggup lagi Qaseh terus diseksa oleh keluarga tirinya. Nenek tak mampu berbuat apa-apa...” kata nenek sebak.

“Nek, kita bincang hal ni lain kali ya. Sekarang nek perlu banyak berehat,” pujuk Qaseh supaya nenek tidak terus berbicara tentang hal perkahwinan yang tidak mungkin terlakar dalam hidupnya.

“Tidak Qaseh... walaupun Qaseh tak pernah bercerita tapi nek tahu hidup Qaseh terseksa. Nenek tak sanggup lagi biarkan Qaseh menanggungnya sendirian. Dan selagi nek tak dapat jawapan dari Arief, hati nek tak tenang,” luah nenek.

“Tolong nek ya Arief... nek percaya Arief baik orangnya. Nek berharap sangat Arief dapat tunaikan permintaan nek ni,” kata nenek sayu.

Suasana menjadi hening seketika sebelum Arief bersuara.

“Saya tak ada masalah nek... terserah kepada Qaseh. Kalau Qaseh setuju saya akan percepatkan perkahwinan kami,” jawab Arief perlahan membuatkan jantung Qaseh hampir luruh.


“Kenapa encik mengaku tunang saya tadi. Encik tahu tak encik dah menambahkan masalah saya lagi. Kalau sebab kemalangan tu, encik tak payah risau. Saya maafkan. Lagipun saya yang cuai, melintas jalan tak tengok kiri kanan. Encik tak perlu tebus kesalahan sampai macam ni sekali,” hambur Qaseh. Wajahnya serius memandang ke arah lelaki itu mengharapkan penjelasan segala persoalan yang menghentak benak fikirannya.

“Kalau itu anggapan cik Qaseh, anggap saja saya ingin menebus kesalahan itu,” jawab Arief. Sikap selamba Arief membuatkan Qaseh semakin geram. Lelaki itu dirasakan terlalu mengambil mudah semua perkara. Nikah kahwin bukan boleh di buat main-main.






“Encik ni betul ke tidak?”

Arief menghala nafas. Dia melabuhkan punggung di sebelah Qaseh. Pantas Qaseh menjarakkan duduknya. Manakala Arief tetap dengan wajah tenangnya.

“Macam mana cik Qaseh nak selesaikan masalah ni? Saya dah tak nampak jalan lain lagi.”

“Panggil saja Qaseh tak payah bercik – cik dengan saya. Saya akan cuba cari jalan penyelesaian. Kalau tak ada cara lain mungkin saya akan berterus terang saja dengan nenek.”

“Qaseh tak risau keadaan nenek akan lebih teruk jika dia tahu perkara sebenar?” soal Arief yang ternyata mampu mengubah riak di wajah Qaseh. Sepasang mata redupnya bertemu pandang dengan mata sayu milik Qaseh.

Qaseh hanya membisu seribu bahasa. Berat untuknya menerima tetapi dia juga tiada jalan penyelesaian pada masalah yang bertimpa-timpa menekan jiwanya.

“Kita ditakdirkan bertemu tentu ada sebabnya...” perlahan suara Arief menuturkan kata. Dia berpaling menatap langit yang kemerahan menandakan malam bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Cukup indah langit di pandangan matanya saat ini.

“Tapi kenapa saya?” cukup perlahan ungkapan itu mencecah perdengaran Arief. Kata-kata itu seolah meluahkan seribu pertanyaan. Wajah Qaseh saat itu meruntun jiwa dan perasaannya.

Arief Hakimi menarik nafas dalam. Perasaan itu seakan memukul tangkai hatinya. Dia tahu selama ini Qaseh melayannya dengan baik kerana ingin membalas budi. Tetapi dia tidak pernah mengharapkan Qaseh membalasnya. Apa yang kau harapkan Arief Hakimi? Kau nak Qaseh menjadi ubat duka di hati kau tu? Kau tak takut akibatnya nanti jika Qaseh tahu? Arief seperti mendengar kata bisikan padanya.

Arief meraup muka dan beristighfar panjang. Lantas dia mencapai beg bimbitnya lalu memasukkan beberapa dokumen ke dalam beg itu. Dia bangkit sambil mencapai kot yang di sangkut di kerusi dan melangkah keluar dari biliknya.

“Rita... any call for me just take the message.” pesan Arief sebelum melangkah pergi.

“Okay bos!” jawab Rita. Sepasang matanya tertumpu pada susuk tubuh Arief yang semakin menjauh dari pandangan. Tingkah Arief menimbulkan tanda tanya di benak fikirannya. Apa kena dengan bos aku hari ni? Tiba-tiba saja moody. Pagi tadi elok saja aku tengok. Takkan gaduh dengan Cik Julia kut? Tadi bukan main lagi gelak ketawa. Teringat dia tingkah Julia yang berseri-seri wajahnya kerana Arief sudi menemaninya makan tengahari. Siapa tidak kenal dengan Julia, model yang semakin meningkat nama. Terpampan wajahnya dalam majalah-majalah fesyen. Sebelum ini sudah beberapa kali Cik Julia cuba memujuk bosnya itu keluar bersama. Namun, Encik Arief sering menolak atas alasan jadual kerjanya yang padat. Bukan dia tak tahu semuanya itu hanya alasan semata-mata. Tetapi hari ini terlepas pulak ya. Ah! Lantaklah diaorang, tak payah nak jadi buzy body.

“Rita!”

Terperanjat Rita mendengar rakan sekerjanya Zila memanggilnya dengan nada suara yang agak tinggi. “Eh, apasal kau jerit panggil aku ni?”

“Dah aku panggil kau tak dengar... mengelamun mana entah?” jawab Zila.

“Ye ke... sorry lah aku tak sedar tadi,” jawab Rita tersenyum simpul.

“Bos ada tak?”

“Bos dah keluar...”

“Keluar ke mana?”

“Entah, Encik Arief tak bagitau pulak.”

“Tadi aku nampak Encik Arief keluar dengan Cik Julia,” kata Zila sambil meletakkan fail di atas meja Rita. Dia terserempak dengan Encik Arief dan Cik Julia ketika dia baru balik dari meeting di luar. Dan sempat juga bosnya itu meninggalkan pesan mahukan fail projek Mega Jaya atas mejanya selepas waktu makan nanti.

“Aku tahu... dah lama Cik Julia tu ajak Encik Arief keluar, tapi sering ditolaknya.”

“Tahu pulak kau ye?”

“Mestilah aku tahu. Aku ni yang selalu kena cari alasan nak tolak perlawaan Cik Julia tu. Bukan main seksa aku nak perah otak cipta alasan,” jawab Rita sepatuh merungut.

Zila tergelak melihat Rita yang sudah menarik wajah muncung itu. “Ni, aku nak serahkan fail yang Encik Arief nak tu. Nanti kau tolong letak atas meja dia ya. Esok pagi aku ada appointment dengan client, kalau bos nak tanya apa-apa petang baru aku masuk office,” terang Zila sambil menyerahkan fail itu kepada Rita.

“Okay... no problem,” kata Rita sambil menyambut fail itu.

Qaseh menolak perlahan pintu dan melangkah masuk. Terkial-kial dia menutup kembali pintu apabila tangannya memegang plastik yang sarat dengan barangan dapur yang dibelinya tadi.

“Hai...”

Terlepas segala barangan di tangan kerana terkejut dengan sapaan itu. Dia pantas berpaling ke belakang. Dadanya berdegup kencang. Tersandar tubuhnya di dada pintu menahan debar di dada.

Melihat wajah pucat Qaseh, pantas Arief mendekati Qaseh. “Awak okay?” tanya Arief bimbang.

Qaseh tetap membisu. Tangannya melekap di dada. “Qaseh, awak tak apa-apa ke? Maaf sebab buat awak terkejut.” Arief bersuara lagi apabila melihat Qaseh tetap mendiamkan diri. Perasaan kesal mula terbit dari dalam dirinya melihat keadaan Qaseh begitu.

“Saya tak apa-apa. Awal Encik Arief balik hari ni?” tanya Qaseh sambil menatap wajah

Arief yang terusan merenungannya. Seketika mereka berpandangan. Qaseh mula tidak keruan dengan tingkah Arief. Pandangannya seperti menyimpan sesuatu yang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.

Melihat tingkah Arief yang terusan membisu, Qaseh mengambil keputusan untuk mengutip segala barangan yang bertaburan di lantai. Namun, tiba-tiba tubuhnya kaku apabila melihat tangan Arief melekap di pinggangnya. Debaran yang surut mula berdetak kembali.

Arief yang menyedari pandangan Qaseh itu, dengan perlahan meleraikan pautannya di pinggang Qaseh. Bukan niatnya, dia jadi bimbang melihat wajah pucat Qaseh dan tanpa disedari tangannya memaut pinggang Qaseh.

Pantas Qaseh mengutip barangan yang berselerakan di lantai dan di masukkan ke dalam beg plastik kembali. Arief juga turut membantu. Namun, tidak semena-mena tangan Arief dan Qaseh bertemu ketika mereka ingin mengambil sebiji buah epal. Keadaan kaku seketika. Tersirap darah Qaseh apabila tangannya digenggam erat seketika oleh Arief sebelum dilepaskannya. Qaseh kehairanan. Tidak pernah Arief bersikap demikian. Arief kemudian membawa beg plastik itu ke dapur tanpa menoleh ke arah Qaseh lagi. Perlahan Qaseh berdiri. Fikirannya sarat dengan tanda tanya dengan sikap Arief tadi.

Qaseh melangkah ke dapur dan melihat Arief mengeluarkan buah-buahan dari dalam beg plastik dan dimasukkan ke dalam peti sejuk.

“Encik Arief, biarkan saja di situ. Nanti Qaseh kemaskan,” tegah Qaseh.

“Maaf, saya betul-betul tak sengaja. Bukan niat saya nak buatkan awak terkejut tadi,” kata Arief tidak mengendahkan tegahan Qaseh.

“Encik Arief... “ panggil Qaseh perlahan. Terhenti perbuatan Arief kala itu saat mendengar suara Qaseh.

“Encik Arief tak sihat ke?” tanya Qaseh terusan merenung wajah Arief. Qaseh perasan sepasang mata Arief yang cuba dilarikan dari pandangannya.

“Saya sihat... saya cuma penat,” jawab Arief lemah.

“Kalau macam tu Encik Arief pergi berehat dulu. Nanti saya masakkan special untuk Encik Arief. Kita makan sama-sama. Okay?” kata Qaseh cuba menceriakan keadaan yang suram saat ini.

Arief hanya mengangguk. Dia melemparkan segaris senyuman sebelum melangkah keluar dari ruang dapur itu.

Qaseh mula mengeluarkan bahan-bahan untuk dimasaknya nanti. Kadang kala dia merasakan dirinya tidak ubah seperti perempuan simpanan. Tetapi Arief tidak pernah cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya. Dia betul-betul terhutang budi dengan pertolongan Arief. Dia tidak kisah jika Arief ingin merahsiakan hubungan mereka. Ye la, dengan kedudukan dan pangkat Arief sudah tentu akan memburukkan statusnya berkahwin dengan perempuan sepertinya yang tiada apa-apa. Cuma layak untuk dikasihani saja.

Qaseh mengeluh. Ah! Jangan dilayan sangat perasaan, pasti akan mengundang kepedihan dan kesedihan dalam dirinya. Dengan lafaz bismillah, Qaseh mula memotong bahan-bahan untuk masakan tomyam. Dia tahu Arief gemar makan tomyam, cukup berselera dia makan. Tanpa disedari segaris senyuman terukir di wajahnya.