Tuesday, September 27, 2011

Tika Hati Berbicara 3

Mati langkah Qaseh sebaik melangkah masuk ke restoran yang exclusive itu. Bukan dia terpegun dengan suasana restoran tetapi susuk tubuh yang sedang menikmati hidangan bersama seorang gadis jelita tidak jauh dari tempatnya berdiri ketika ini. Mesra sekali pasangan itu dipandangannya.



“Kenapa Qaseh?” Qaseh tersedar lalu berpaling memandang jejaka yang menegurnya. Lantas senyuman hambar terukir di raut wajah Qaseh saat ini. Entah mengapa hatinya bagaikan terasa dihiris-hiris apabila pandangannya dijamu dengan adegan tadi.


“Tak ada apa Encik Azman, sa.. saya tak sangka Encik Azman nak bawa saya makan kat sini,” agak gugup Qaseh menjawab.



“Dah lama saya nak ajak awak makan Qaseh, cuma awak selalu mengelak. Ini pun kita keluar ramai-ramai baru awak sudi keluar makan dengan saya kan,” kata Azman bersama senyuman di wajah. Azman merupakan Ketua Bahagian Pemasaran dan Qaseh adalah salah seorang pembantunya. Jatuh cinta pandang pertama boleh diungkapkan untuk jejaka bernama Azman ini apabila pertama kali dia bertemu Qaseh semasa sesi temuduga empat bulan lalu. Seraut wajah lembut itu betul-betul menawan hatinya.




“Bukan begitu Encik Azman, apa kata yang lain kalau kita berdua saja yang keluar. Kalau ramai macam ni tak ada yang akan berkecil hati kan,” balas Qaseh sedaya boleh tidak mahu Azman terasa kerana sering menolak pelawaannya.




“Boleh tak saya nak buat satu permintaan dengan Qaseh?”




“Permintaan?” tanya Qaseh. Berkerut wajahnya memandang Azman.



“Boleh tak awak jangan panggil saya Encik. ”




Qaseh terkedu.




“Mana boleh tu Encik Azman, saya dah biasa panggil Encik Azman, encik. Lagipun saya orang bawahan. Saya perlu hormat pada Encik Azman,” jawab Qaseh jujur.




“Qaseh... Qaseh... saya tak pernah membandingkan staff-staff saya. Kita bekerja dalam satu pasukan, barulah ada keseronokan bila bekerja. Saya tak kisah pun...” jelas Azman.


Qaseh hanya diam. Tapi saya kisah Encik Azman. Kata hati Qaseh. Dalam diam dia mengakui kata-kata Azman ada benarnya. Bekerja dalam satu pasukan. Bersatu teguh bercerai roboh. Tetapi takkan dia nak panggil ‘Azman’ sahaja sebaliknya staff lain memanggilnya ‘Encik Azman’ tidakkah nampak janggal. Sudah tentu staff lain akan menyangka yang bukan-bukan.


“Jomlah mereka dah tunggu kita tu,” kata Azman beralah dengan sikap Qaseh yang sukar untuk dia selami itu.


Qaseh hanya mengangguk bersama segaris senyuman kepada Azman. Kemudian mereka beriringan menuju ke meja yang telah ditempah sejak awal lagi. Qaseh teragak-agak untuk duduk di kerusi yang ditarik oleh Azman untuknya. Tingkah Azman tampak gentleman sekali. Serba tidak kena dibuatnya apabila pandangan-pandangan yang melihat sikap Azman padanya. Dia tidak tahu bagaimana ingin menyusun kata supaya Azman tidak terus melayannya begini.


Dalam memikirkan sikap Azman, jiwanya meronta-ronta untuk memandang ke hadapan. Wajah yang sentiasa mengundang debaran di dadanya. Debarannya semakin hebat sebaik sepasang matanya bertaut dengan pandangan lelaki itu. Tajam pandangan itu menusuk ke sanubarinya. Perasaan gentar mula menyelubungi diri. Sudahnya, Qaseh tertunduk memandang permukaan meja. Tidak sanggup membalas renungan lelaki itu. Marahkah dia? Tetapi dia sudah meminta izin tadi. Dan dia telah mengizinkannya. Kenapa dia nampak macam tak suka saja?

“Man, kalau tak silap aku, itu Encik Arief kan?”










Qaseh mengangkat muka. Pertanyaan Razif menarik perhatian Qaseh. Kini Arief menjadi tumpuan mereka pula.


“Ye la... itu Encik Arief. Siapa pulak perempuan tu? Kekasih dia ke?”

Suara Diana pula mula mencipta gosip. Qaseh hanya membisu. Entah mengapa hatinya bagaikan dihiris melihat gelak ketawa Encik Arief bersama gadis itu. Gaya pemakaian gadis itu sudah cukup untuk menjelaskan citarasa Arief. Kalau hendak dibandingkan dengan dirinya yang lebih selesa berbaju kurung dan hanya mengenakan solekan yang nipis sahaja, awal-awal lagi sudah ditolak ke tepi. Mungkin sebab itu selama ini Arief bersikap dingin terhadapnya.



"Ye ke kekasih dia. Setahu aku Encik Arief tu ramai girlfriend. Ini entah girlfriend yang keberapa tak tahu lah. Siapa yang tak kenal dengan Encik Arief tu... ramai perempuan cuba nak dekati dia. Siapa yang nak tolak orang macam Encik Arief... sudahlah kacak bergaya, banyak duit pulak tu...” Laila pula menokok tambah cerita.

“Orang perempuan ni tak habis-habis bergosip. Habis tu korang tak nak join sekaki ke pikat Encik Arief tu?” suara Hamdan pula mencelah kerancakkan Diana dan Laila bercerita.

Tersipu-sipu Diana dan Laila malu ditegur Hamdan. Hamdan pula merupakan Ketua di bahagian Sumber Manusia. Diana dan Laila adalah pembantu-pembantunya.

“Kita belum dapat apa-apa jawapan lagi ke Man pasal projek kat Langkawi tu?” soal Hamdan.
"Belum... mungkin dalam dua atau tiga minggu lagi,” beritahu Azman yang membisu sedari tadi. Tidak dinafikan dia menaruh harapan yang tinggi untuk tender di Langkawi itu. Segala keputusan terletak di tangan Arief Hakimi.

Qaseh hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu menahu pasal projek yang diperkatakan mereka itu. Dan tidak menyangka pula Arief menjadi topik perbualan mereka.
“Aku harap kita berjaya dapat tender tu, walaupun kita tahu Encik Arief tu bukan senang hendak memberikan tender pada syarikat kecil macam kita. Dah banyak tender kita cuba sebelum ni. Harap-harap kali ini syarikat kita bernasib baik,” kata Hamdan.

"Kita dah cuba buat yang terbaik. Selebihnya kita berdoa dan berserah pada Allah. Kalau rezeki kita tak kemana. Tapi yang penting jangan kita berputus asa mengembangkan syarikat kita agar terus berjaya lagi. Walaupun kita hanya mendapat tender yang kecil tetapi sekiranya kualiti kerja kita terbaik... sudah tentu akan ada lagi tender untuk kita. Okey! Sekarang kita makan... bukan senang bos-bos kamu ni nak belanja macam hari ni... tambah-tambah lagi nak ajak sorang puteri ni...” ujar Azman sambil melirik pandang ke arah Qaseh di sebelahnya.

Qaseh membetulkan duduk. Serba salah dibuatnya apabila mata rakan-rakannya sudah tertumpu kepadanya. Apatah lagi senyuman penuh makna menghiasi bibir mereka masing-masing. Dia tahu kata-kata Azman itu ditujukan buatnya.
“Man kalau dah berkenan tu cepat-cepat la masuk meminang...” sakat Razif sambil tersengih panjang.

Tak tertelan air liur Qaseh. Ya Tuhan, kenapa perkara ini pula yang ditimbulkan.

“Jangan dilayan si Zif ni... kalau bab menyakat memang no satu. Dari layan si Zif ni baik kita makan.” ujar Azman. Melihat wajah Qaseh, Azman tahu Qaseh malu dengan kata-kata Razif tadi. Mungkin rakan-rakannya sudah dapat menghidu perasaannya yang mula tumbuh terhadap Qaseh. Dia juga tidak malu untuk mengakui perasaannya itu. Tetapi yang menjadi masalah adalah Qaseh yang sukar untuk dia takluki sekeping hati itu.

Bau aroma yang menusuk ke hidung sedikit pun tidak membangkitkan selera Qaseh. Namun, demi menjaga hati Azman yang beria-ia melayannya digagahkan juga menyaup nasi ke mulut. Nasi yang ditelan terasa pasir sahaja. Berbanding rakan-rakan yang lain nampak cukup berselera sekali menikmati hidangan yang terhidang di atas meja.

“Tak sedap ke Qaseh? Saya tengok tak luak pun nasi tu,?” tanya Azman.

Qaseh tersentak apabila ditegur Azman yang berada di sebelahnya.

“Eh, sedap Encik Azman... cuma saya kurang selera sikit. Mungkin dah kenyang sebab saya sarapan lewat tadi,” dalih Qaseh. Segaris senyuman di bibir cuba diukir buat Azman yang terusan merenungnya.

“Awak selalu sarapan lewat. Banyak sangat ke kerja yang saya bagi sampai tak sempat nak sarapan?” soal Azman cukup mengambil berat tentang diri Qaseh. Apa juga mengenai Qaseh pasti akan menjadi perhatiannya.




“Tak adalah Encik Azman, saya yang selalu terleka buat kerja sampai terlupa nak makan,” jawab Qaseh.


“Jangan amalkan Qaseh, tak baik untuk kesihatan awak...” nasihat Azman.

Qaseh diam. Dia hanya melemparkan senyuman nipis buat Azman. Tidak tahu untuk berkata apa lagi. Sikap ambil berat Azman kekadang merunsingkannya. Sudah kedengaran cakap-cakap dia dan Azman mempunyai hubungan lebih dari rakan sekerja. Aduh... apa yang harus dia lakukan untuk menafikan perkara itu. Dan paling dikhuatiri sekiranya gosip itu sampai ke telinga Arief. Mungkin Arief tidak akan mengizinkannya bekerja lagi.


Qaseh memberanikan diri memandang ke hadapan. Senyum dan tawa mesra Arief menggambarkan dia cukup bahagia didampingi gadis itu. Tidak pernah senyuman seperti itu terukir buatnya. Ada rasa kepedihan tergaris di hati, tapi apa haknya untuk merasai perasaan itu. Dia sepatutnya tidak boleh membiarkan perasaan itu terus menjalar dalam dirinya. Peristiwa setahun yang lalu mula berputar di benak fikirannya.

“Kenapa busuk sangat hati kau Siah. Apa dosa Qaseh pada kau sampai kau sanggup buat dia macam ni. Kau memang tak ada hati perut langsung ugut aku dengan Qaseh ikut kehendak kau!”

“Mak tak payah nak membebel kat saya lah... saya ada hak atas harta abang Din. Saya isteri dia, segala harta dia milik saya.”

“Sejak bila pulak Din ada tukar nama tanah ni atas nama kau?”

“Mak saja tak tahu... abang Din sudah tukar hak milik tanah ni pada dua bahagian. Sebahagian atas nama Siah sebahagian lagi atas nama Qaseh. Aku tak kira Qaseh! Kau mesti setuju jualkan tanah ni!” keras kata-kata Puan Samsiah kepada Qaseh yang ternyata terkejut dengan perkara yang disampaikan oleh ibu tirinya itu. Selepas kematian ibu, abah telah menukar hak milik tanah ini sepenuhnya atas namanya. Kenapa lain pula jadinya? Tanah ini pun sebenarnya arwah wan yang serahkan kepada abah.

“Habis tu nenek nak tinggal kat mana makcik? Kasihanlah nenek...” rintih Qaseh mengharapkan belas kasihan Puan Samsiah.

“Anak-anak dia yang lain kan ada. Tinggal ajelah dengan diorang,” jawab Puan Samsiah.
“Di rumah ni sajalah kenangan yang nek ada bersama wan... kalau nak tinggal dengan anak-anak yang lain dari dulu lagi nek dah tinggal dengan diaorang,” kata Qaseh mengharapkan pengertian ibu tirinya itu.

“Apa aku kisah... kenang benda-benda tu bukan boleh buat aku senang pun,” sinis kata-kata yang terluah dari bibir Puan Samsiah. Sikap pentingkan diri sendiri sudah sebati dalam dirinya. Susah orang lain tidak pernah diambil tahunya. Apa yang penting kemahuan hatinya yang perlu didahulukan dulu.


“Eh, Qaseh! Kau jangan buang masa kami boleh tak! Baik kau cepat-cepat sign dokumen ni. Kami pun tak mahu duduk lama kat sini. Hish! Banyak nyamuk,” celah Elyana yang sejak tadi asyik bertepuk tampar apabila tubuhnya dihinggapi sang nyamuk.


“Qaseh tak nak sign!” tegas suara Qaseh meluahkan pendiriannya.


“Apa kau cakap Qaseh? Kau tak nak sign!” tengking Zakri menyinga berang dengan tindakan Qaseh itu.

"Kenapa kau ni degil sangat hah! Aku bukan suruh kau buat apa pun. Aku mintak kau sign saja. Takkan itu pun susah sangat!”


Terjerit Qaseh apabila rambutnya direntap Zakri.


“Zakri lepaskan Qaseh!” pinta nenek lalu menghampiri Zakri. Tangan nenek yang cuba melepaskan Qaseh ditepis Zakri kasar.



“Nenek!!!!” jerit Qaseh apabila melihat neneknya rebah ditolak Zakri. Qaseh cuba meronta-ronta melepaskan diri dari cengkaman Zakri tetapi gagal. Tidak cukup rambutnya ditarik. Pipinya juga menjadi mangsa tamparan Zakri.


“Lepaskan aku!!” jerit Qaseh terus meronta. Tubuh Zakri dipukulnya tetapi sedikit pun tidak memberi kesan kepada Zakri. Malah tubuh Qaseh yang menjadi mangsa tangan kasar Zakri.


Keadaan nenek yang sudah tidak bergerak betul-betul mencemaskan Qaseh.

“Nenek...!!!” panggil Qaseh. Berharap neneknya memberi reaksi tetapi hampa. Airmata mula deras mengalir di pipinya.


“Tolonglah lepaskan aku...” kali ini Qaseh merintih.


“Baiklah aku turutkan kehendak korang...” putus Qaseh bersama hiba. Dia tidak lagi meronta. Hilang segala kudratnya untuk melawan kekuatan Zakri.

“Lepaskan dia!!”


Satu suara kedengaran dari luar rumah. Semua mengalih pandangan ke arah suara itu. Arief Hakimi melangkah masuk ke dalam rumah. Sepasang matanya tajam menikam wajah Zakri. Di sisi Arief berdiri tegap pembantu peribadinya, Malik.


“Lepaskan dia... aku akan bayar tiga kali ganda dari harga yang kau nak tetapi bersyarat,” ujar Arief Hakimi serius.


“Apa syaratnya?” soal Puan Samsiah tidak sabar mendengar tawaran itu.



“Qaseh hak aku!”

Terpanpam Qaseh. Terasa kelam dunianya saat ini. Dirinya yang menjadi galang ganti. Maruahnya yang menjadi taruhan. Namun, apa lagi pilihan yang dia ada. Mungkin ini pengorbanan yang perlu dia lakukan. Apa yang berlaku setahun yang lalu akan Qaseh simpan kedap di lubuh hatinya. Walaupun duka yang berlubuk dalam jiwa tetapi dia cuba untuk menerimanya.


Qaseh mengeluh.


“Awak ada masalah ke Qaseh? Asyik termenung dari tadi,” tegur Azman.

Qaseh mengalih pandangan ke wajah Azman yang memandangnya dengan riak kerisauan.


“Kenapa Encik Azman terlalu baik pada saya?” soal Qaseh tanpa berselindung lagi.

Mendengar soalan Qaseh itu, Azman melirik senyum. Sepasang matanya terus menatap wajah Qaseh yang semakin mengajarnya erti rindu. Azman mendekatkan tubuhnya sedikit kepada Qaseh.


“Awak tahu jawapannya Qaseh. Apa sahaja yang berkaitan dengan awak pasti akan menjadi perhatian saya. Cuma awak tidak menyedarinya, Qaseh,” bisik Azman perlahan. Tidak mahu kata-kata itu didengari oleh rakan-rakannya.


Qaseh diam seribu bahasa. Wajahnya tidak beriak. Apakah ini bermakna Azman sudah jatuh cinta padanya? Tak mungkin! Azman tidak boleh jatuh cinta dengannya. Lantas dia berpaling dari wajah Azman yang terusan memandangnya. Apatah lagi senyuman menawan terusan terukir buatnya.


“Tapi saya teringin nak tahu jawapan awak Qaseh?” soal Azman. Wajah Qaseh menjadi santapan matanya. Raut indah wajah itu penuh dengan kelembutan dan kemanjaan.


“Kalau macam tu saya buat-buat tak sedar saja lah Encik Azman,” kata Qaseh perlahan sambil tertunduk. Namun masih mampu didengari Azman. Tingkah Qaseh itu mencetuskan ketawa Azman. Tahu Qaseh malu dengannya.



Tingkah Qaseh sentiasa mencuit hatinya. Inilah bahananya kalau sudah jatuh cinta. Segalanya terasa indah sahaja. Walau tidak bertemu rasakan beribu tahun lamanya. Azman menggeleng sambil tersenyum nipis dengan falsafah cintanya.


bersambung ( ^_^ )

7 comments:

Bidasari said...

Ish...geramnya...teruskan ya... best cerita nie... dh x sabar menunggu seterusnya....

geemus said...

Bidasari > terima kasih Bidasari sudi layan citer THBR... nantikan sambungannya ya :)

sue said...

kasihan Qaseh .... janganlah disakiti hati kasih lagi...
sambung jangan terlalu lama ... nanti rindu

geemus said...

sue > insyaAllah sue... harap diberi idea dan kekuatan utk terus menulis THBR... amin... :)

an said...

salam k.gee.. lame da tgu update cite dr k.gee.. sambung cpt2 yer..^^

geemus said...

wsalam an... insyaAllah akan cepat2 sambung... nantikan ya an :)

Anonymous said...

sebenarnya Qaseh nikah ke dgn Arief