Saturday, January 7, 2012

Tika Hati Berbicara 6


Bunyi telefon bimbit mengejutkan Qaseh yang leka dengan kerjanya. Kemudian dia menekan butang untuk membaca pesanan ringkas yang diterimanya.

INI ADALAH SATU ARAHAN!
HARI INI CIK QASEH QALESYA DIKEHENDAKI LUNCH BERSAMA ENCIK ARIEF HAKIMI. SILA BERADA DI LOBBY TEPAT PUKUL 1.00 TENGAHARI. SESEORANG AKAN DATANG MENJEMPUT CIK QASEH.
SEBARANG ALASAN TIDAK DITERIMA.

Berkerut dahi Qaseh. Berulang kali dia membaca pesanan yang dihantar oleh Arief Hakimi. Pertama kali Arief menghantar pesanan seperti itu. Walaupun beribu persoalan bermain di mindanya, tanpa disedari segaris senyuman terukir di bibirnya. Kenapa Arief mengajaknya makan bersama hari ini agaknya?

“Amboi... apa yang ditenung-tenung telefon tu sampai tersenyum sorang-sorang ni.”
Tersentak Qaseh. Dia mula gelabah apabila tingkahnya disedari Diana yang entah bila berada di hadapannya.

“Tak ada apa-apa,” jawab Qaseh lalu telefon di tangan di letakkan di atas meja. Pesanan itu terus bermain di mindanya. Qaseh tersenyum nipis. Renungan Diana seperti ingin mencari sesuatu di wajahnya.

“Tak ada apa-apa konon, habis tu yang senyum sorang-sorang tu kenapa? Mesti message daripada buah hati ni...” usik Diana tersengih nakal sambil melabuhkan punggung di kerusi di hadapan Qaseh.

“Betul lah tak ada apa-apa, jangan nak buat gosip pulak Cik Diana ya,” kata Qaseh cuba menyakinkan Diana.

Namun, senyuman di bibir Diana seolah menyatakan dia tidak percaya dengan kata-kata Qaseh itu. Diana mengamati wajah Qaseh lama. “Aku tak pernah nampak wajah kau berseri macam ni Qaseh,” ujar Diana. Di bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

“Sejak bila kau pandai baca air muka orang pulak ni.”

Diana tersengih. “Ala... Qaseh, siapa-siapa yang tengok muka kau tadi mesti akan ingat macam tu jugak.”

Qaseh terdiam. Begitu ketarakah riak wajahnya tadi? Renungan dan senyuman Diana seakan sudah memerangkapnya kini.

“Ada-ada saja lah kau ni, Diana,” kata Qaseh sambil menggeleng perlahan.

“Betul kan kau dah ada buah hati?” teka Diana lagi.

“Betul apa?” tanya Qaseh berpura tidak mengerti soalan Diana itu.

“Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pulak kau ni...” jawab Diana mula mempamerkan riak bosan.

Qaseh hanya berdiam diri. Semakin dilayan perangai Diana semakin menjadi pulak jadinya.

“Kalau betul kau dah ada buah hati makan hati berulam jantung lah Encik Azman...” sambung Diana lagi.

Terbuka luas mata Qaseh mendengar kata Diana itu. Sepantas kilat juga tangan Qaseh mencubit lengan Diana yang hanya bersikap selamba tanpa menoleh kiri dan kanan dulu.
Kalau ada sesiapa yang dengar, tidakkah akan menjadi buah mulut orang pula nanti. “Apa kau mengarut ni?” marah Qaseh tidak senang dengan kata-kata Diana itu.

“Aduh... berbekas lengan aku ni, Qaseh. Betul lah aku cakap tu, takkan kau tak perasan selama ni Encik Azman ada hati dengan kau atau kau buat-buat tak tahu...” kata Diana sambil mengusap-ngusap lengannya.

“Kau jangan nak mengarut lah Diana, nanti kalau orang lain dengar susah nanti. Tak pasal-pasal gosip lain pula yang timbul. Ada apa kau datang jumpa aku ni? Takkan nak bual kosong aje kut?” ujar Qaseh menangkis kata-kata Diana yang semakin berlarutan ke arah perkara yang betul-betul membuatkan kepalanya pening.

Bersama senyuman Diana menghulurkan satu fail kepada Qaseh. “Ini aku nak serahkan balik fail yang aku pinjam tempoh hari.”

Qaseh menyambut fail yang dihulurkan oleh Diana itu. “Dapat apa yang kau cari?” soal Qaseh apabila mengingatkan Diana mencari satu maklumat mengenai sebuah syarikat pembekal.

Diana hanya mengangguk menjawab pertanyaan Qaseh itu.

“Qaseh, lunch hari ni kita keluar makan, nak? Boring lah hari-hari tapau nasi Mak Limah. Laila pun dah setuju nak keluar makan kat luar hari ni. Kita makan special sikit awal-awal bulan ni.” saran Diana sambil menjongket keningnya.

Qaseh terangak-agak untuk menjawab. “Err...hari ni aku tak dapat join korang.”

“Haaa... kau ada lunch date ya hari ni...” serkap Diana tersengih panjang.

“Sudahlah kau, Diana. Dari tadi asyik nak mengusik aku aje. Kau dah tak ada kerja nak buat ya,” kata Qaseh geram dengan sikap Diana yang tidak sudah-sudah menyakatnya.

“Okaylah... aku pergi sambung buat kerja,” kata Diana lalu perlahan bangkit dari kerusi. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Qaseh melirik pandang ke wajah Diana yang tersenyum penuh makna itu.

“Jangan nak senyum sorang-sorang. Payah kalau orang nampak, ingat kau sewel pulak nanti,” sindir Qaseh bersama senyuman yang turut terukir di bibirnya..

Diana mencebik. Qaseh tergelak sambil menggeleng perlahan dengan tingkah Diana itu.




Sebaik menerima satu panggilan, Qaseh pantas mengambil beg tangan dari dalam laci mejanya. Sebentar tadi sempat dia bersolek ringkas sekadar menyerikan sedikit wajahnya. Entah kenapa dia mahu kelihatan menarik di hadapan Arief hari ini. Qaseh tampak manis dan ayu dengan kurung biru laut yang tersarung di tubuhnya.

Setiap langkah yang diatur seakan memberi debaran di dadanya. Sebaik membuka pintu cermin utama pejabat, kelibat sebuah kereta BMW X6 sudah sedia menantinya. Qaseh melajukan langkah dan pantas memboloskan diri ke dalam perut kereta kerana khuatir dengan pandangan rakan-rakan pejabatnya.

“Assalamualaikum abang Malik, nasib baik abang Malik datang awal. Kalau dah sampai waktu lunch Qaseh tak tahu macam mana nak keluar,” ujar Qaseh. Nafasnya sedikit mengah.

Abang Malik tersenyum. “Apa yang Qaseh nak takutkan biarlah diorang nampak,” balas Malik.

“Hish, tak nak Qaseh, abang Malik tak tahu macam mana Qaseh akan disoal jawab nanti,” jawab Qaseh. Tidak sanggup rasanya dia nak menjawab soalan-soalan perangkap rakan-rakan pejabat yang suka sangat mencungkil rahsia peribadinya. Tak pasal-pasal rahsia yang disimpan kejap selama ini terbongkar begitu saja.

“Kita nak ke mana ni abang Malik?” tanya Qaseh apabila kereta sudah melalui jalan utama.

“Encik Arief suruh abang Malik bawa Qaseh ke satu tempat special,” jawab Malik tidak lekang dengan senyuman di bibir.

“Tempat special?” Berkerut dahi Qaseh mengungkapkan kata itu. Rasa hairan mula bertamu dalam dirinya. “Encik Arief mimpi apa ya semalam ajak Qaseh keluar makan hari ni?”

Malik tergelak. Lucu mendengar kata-kata yang terbit di bibir Qaseh.

“Kenapa pulak hari ni Encik Arief nak lunch dengan Qaseh ye? Pelik pulak rasa,” luah Qaseh lagi masih tidak berpuas hati.

“Apa yang peliknya?” soal Malik sambil menumpukan perhatian pada pemanduan.

“Tiba-tiba aje ajak keluar makan. Tak pernah-pernah Encik Arief buat macam ni.”
Jelas terpancar seribu pertanyaan di raut wajahnya.

Malik hanya tersenyum. “Boleh tak jangan fikir yang bukan-bukan. Encik Arief memang ikhlas nak belanja Qaseh makan hari ni,” ujar Malik menangkis segala persoalan di minda Qaseh. Dia senang hati melihat perubahan majikannya itu yang cuba mendekati Qaseh.

Qaseh sedikit teruja apabila kereta berhenti di hadapan sebuah hotel terkemuka.

“Sekejap lagi Encik Arief sampai, Qaseh pergi masuk dulu,” beritahu Malik.

“Alahai... ini yang buat Qaseh lemah ni. Sudah lah tak biasa dengan tempat ni. Sorang-sorang pulak tu.”Qaseh mengeluh saat pandangannya ke arah hotel yang kelihatan mewah itu.

“Qaseh jangan risau, segalanya sudah di tempah Qaseh hanya pergi duduk saja,”ujar Malik menyakinkan Qaseh. Dia faham perasaan Qaseh yang tidak biasa dengan tempat-tempat sebegini. Apatah lagi hanya seorang diri.

“Encik Arief pesan suruh Qaseh tunggu kat dalam, dia ada hal sebab tu tak dapat jemput Qaseh tadi,” beritahu Malik.

“Kalau macam tu Qaseh masuk dulu,” kata Qaseh sambil membuka pintu kereta.

“Okay, selamat menjamu selera,” ucap Abang Malik sambil tersenyum simpul.
Entah mengapa Qaseh merasakan senyuman yang dilemparkan oleh Malik tersirat seribu makna.

“Lain macam saja senyum abang Malik ni,”

“Hai... senyum pun ada dua tiga macam,” usik abang Malik tergelak.

“Abang Malik ni mula lah tu,” kata Qaseh menjeling dengan usikan Malik itu.

“Dah lah pergi tunggu kat dalam, kalau Encik Arief sampai Qaseh tak ada lain pulak jadinya nanti. Tak pasal-pasal abang Malik pulak yang kena,”

“Yelah, Qaseh pergi dulu ya,”kata Qaseh meminta diri. Pintu kereta di tutup perlahan.

Malik mengangguk dengan senyuman terukir di bibir. Dia menunggu sehingga Qaseh masuk ke dalam hotel terlebih dahulu sebelum berlalu pergi.

Tanpa sesiapa sedari, seseorang sedang memerhati gerak langkah Qaseh. Matanya terus melekap pada susuk tubuh Qaseh sehingga hilang dari pandangannya.

“Hoi Zack! Apa lagi yang kau terpacak kat situ. Kita dah lambat ni. Marah pulak Mr Tan nanti,” tegur satu suara.

Zakri tersentak. Dia pantas berpaling ke arah suara itu yang berdiri tidak jauh darinya.

“Apa yang kau tengok sampai macam tu sekali? Ada makwe cantik melintas ke?” ujar suara itu lagi.

“Tak ada apa-apalah. Jom, tertunggu pulak Mr Tan nanti,” kata Zakri menyangkal kata-kata itu lalu mengorak langkah berlalu dari situ. Namun, di benaknya sarat dengan persoalan dengan gadis yang menyapa pandangannya sebentar tadi. Apa Qaseh buat kat sini? Persoalan demi persoalan menerpa menyendak benak fikirannya. Fikirannya sudah melayang memikirkan tentang Qaseh sehingga melenyapkan perjumpaan pentingnya dengan Mr Tan.

# akan bersambung lagi nanti.... (*_~)



7 comments:

Liza said...

hehehe...blum habis senyum lagi..pg dwn..pg dwn..terkejut dah habis...dah lah tgh suspen...hehehe anyway I loike.. next n3 bila ya?hehehe

Anilufias said...

gee..x puas baca tuan arief n qaseh nie
nak lg..kihkihkih

Eijan said...

Ala, lama tunggu tp n3 ni agak pendek...tak puas baca....nnt post la n3 baru cepat sikit ye...citer mmg best

IVORYGINGER said...

wah arief dah mulakan misi nk memikat qaseh ya. hehehe...
plz continue... xsbr nk tunggu. ;D

Anonymous said...

Kenapa lamanya nak update cerita ini n furthermore today's entry is too short tak puaslah .... anyway still waiting patiently for ur next entry n by the way when will u continue with ur other e novelyng masih separuh jalan ... Fr Aida "Perth"

Gee Muszisya said...

Liza > tq Liza sudi layan THBR... insyaAllah akan bersambung nanti...hehe
Anilufias > hihihi... sorry k ani n3 kali ni pendek aje... nanti gee sambung lagi ya ;)
Eijan > sorry buat Eijan lama tertunggu nw n3... dah ada pendek pulak tu...hehe insyaAllah akan disambung lagi nanti...:)
IVORYGINGER > misi memikat sedang bermula...hehehe...
Aida > sorry Aida lambat upload nw n3 sbb lappy gee problem & gee juga sibuk dgn kerja skrg... insyaAllah gee akan sambung sikit2 JL & THBR... terima kasih sabar menunggu n3 dr blog gee... :)

Unknown said...

alaaaa... pendeknya... tak puas baca... lama tunggu taw...