Cermat cawan disusun di
atas dulang. Kemudian diletakkan di atas meja makan bersama teko yang berisi
air kopi. Kuih tepung bungkus yang masih panas disusun di dalam piring. Setiap kali memandang kuih itu kotak
fikirannya pasti akan melayang pada insan-insan yang cukup bermakna dalam
dirinya. Kerinduan yang bersarang hanya mampu dipendamnya sendiri.
Sebungkus kuih tepung
bungkus dicapai dan dibuka lipatan daun pisangnya. Kecur liurnya saat melihat
isi kuih itu. Sudu yang sudah tersedia di atas meja dicapainya. Ketika kuih itu
berada penuh di dalam mulut, satu suara menyapanya. “Makan tak ajak abang pun.”
Hampir tersembur Qaseh dek
teguran itu. Pantas dia menutup mulut. Nasib
baik kuih di dalam mulut sempat ditelan. Ini pun dia terasa ada yang tersekat
di kerongkong. Qaseh menoleh memandang Arief yang sedang menarik kerusi di
sebelahnya.
Sebaik memastikan tiada
lagi makanan di dalam mulut barulah Qaseh bersuara. “Lain kali boleh bagi salam
dulu tak?”
“Makan tak ingat abang
sebab tu nak tercekik.”
“Memang nak ajak makan
sekali tapi tiba-tiba orang tu lesap entah ke mana?” jawab Qaseh.
“Abang ke belakang tadi
tengok nenek kat kebun. Banyak ulam ulaman yang nenek tanam. Bermacam jenis
ulam yang tak pernah abang tengok dan dengar namanya. Sayur pun banyak juga
yang nenek tanam.”
“Nenek memang suka bercucuk
tanam. Nenek selalu pesan supaya jadikan amalan makan ulam ulama makanan
harian. Banyak khasiat ulam ulaman ini yang kita tidak tahu. Mungkin ramai yang
tidak tahu selain membekalkan fiber dalam sistem penghadalam dan merendahkan
kolesterol, ulam juga sumber utama vitaman A, vitaman C, asid folik dan juga
zat galian yang lain.”
Ramah Qaseh bercerita
bersama senyuman ceria terukir di bibir.
“Sekarang pun banyak kajian tentang ulam
ulaman ini telah dibuat dan ternyata memakan ulam secara berterusan dapat menyembuhkan
pelbagai penyakit. Sebab tu kalau kita tengok golongan
tua yang tinggal di kampung mereka masih kuat dan sihat walaupun berumur lanjut
berbanding golongan yang lebih muda hasil dari membudayakan memakan ulam ulaman
semulajadi sejak dari awal lagi. Dan mengamalkan makan ulam juga boleh
mengekalkan awek muda. Nenek tu walaupun sudah berusia tapi masih kuat dan
sihat sebab dari dulu lagi nenek jadikan ulam ulaman ni makanan utamanya.”
Arief hanya diam memerhati tingkah Qaseh. Dalam
kelekaannya mendengar sepasang matanya terarah pada dua ulas bibir itu yang
bergerak lembut. Kejadian tadi kembali bermain di ruang matanya. Sehingga
kesaat ini hatinya tersenyum dan berlagu indah. Tanpa sedar senyuman terukir di
bibir.
“Kenapa tiba-tiba senyum?” soal Qaseh hairan.
Arief tersedar dari angannya yang semakin bergenjak jauh.
“Saja... suka tengok awak.”
Qaseh melirik pandang. “Mulalah tu, tak payah nak tenung
muka saya lama-lama tak kenyang pun. Lebih baik makan kuih tepung bungkus ni
baru kenyang. Dan hati pun senang.”
“Tapi abang kenyang...”
“Tak ada maknanya... boleh tak jangan pandang saya macam
tu.”
“Kenapa? Takut tergoda.”
“Jangan nak perasan.”
Qaseh ingin mengambil kuih tepung bungkus namun pantas
ditegah Arief. “Tak nak suapkan.”
Tidak berkedip mata Qaseh mendengar permintaan Arief itu.
Aduh apa kena dengan dia ni nak bersuap-suap pulak. Entah apa yang telah merasuk
sehingga pening hendak dilayan kerenahnya. “Suap sendiri.” Qaseh mengambil
sebungkus tepung bungkus dan diletakkan di hadapan Arief dan lipatan daun
pisang dibuka perlahan.
Arief hanya memandang kuih itu tanpa ada niat untuk
menyentuhnya. Kenapa tiba-tiba hatinya berasa kecil hati dengan penolakan
Qaseh. Ada rajuk mula meniti di relung hatinya. Mati senyuman di bibir berganti
riak keruh di wajahnya.
Qaseh yang menyedari perubahan Arief mula diserang rasa
serba salah. Merajukkah Arief? Kebisuan Arief sudah menjelaskan segalanya.
Qaseh menghela nafas.
“Kenapa tak makan?” tanya Qaseh apabila Arief hanya
memandang sahaja kuih itu.
“Tiba-tiba rasa tak selera.” Arief ingin bangkit berlalu
pergi bersama rajuk di hati.
“Abang...” lembut sapaan itu bersama sentuhan di
lengannya. Arief mengangkat muka. Pandangan mereka bersatu.
“Kenapa pandang
saya macam tu?”
“Hati abang rasa macam ada taman..”
Berkerut dahi Qaseh tidak mengerti dengan kata-kata Arief
itu.
“Ada taman?”
“Lain rasa bila awak panggil abang...”
Bulat mata Qaseh bersama rona merah terbias di wajah
membawa tawa halus terbit dari bibir Arief.
“Tak habis-habis nak usik orang.”
“Abang nak usik siapa lagi, kalau bukan isteri abang.”
“Nak makan ke tak nak ni?”
“Eh, mestilah nak.”
Tersenyum lebar
Arief saat kuih itu dihalakan ke mulutnya. Raut wajah Qaseh ditenung dalam. Tetapi
tiba-tiba sudu itu beralih arah. Kini kuih itu sudah selamat berada di dalam
mulut Qaseh.
Qaseh menutup mulutnya dengan tangan menahan tawanya dari
meledak dengan reaksi Arief yang memandangnya geram.
“Kejap lagi kalau kuih tu abang tak gigit, sayang pulak
yang abang gigit.”
Qaseh menggeleng laju. Sambil mengunyah dia memberi
isyarat dengan tangannya supaya Arief bersabar.
Sebaik satu suapan diberikan kepada Arief, Qaseh menarik
tangan Arief dan menyelitkan sudu di jemari Arief. “Sekarang boleh suap
sendiri.”
Qaseh menuang kopi ke dalam cawan, kemudian diletakkan di
hadapan Arief. “Cuba rasa kopi buatan sendiri ni, sedap tau.” pelawa Qaseh.
Arief menghirup perlahan kopi itu. Diakui terasa kelainannya. Lebih sedap dan aromanya menusuk ke hidung. Cukup kepekatan dan
rasanya.
Seketika mereka melayan perasaan sendiri. “Kuih ni
kesukaan arwah abang Qalif. Kalau kami balik kampung nenek mesti buatkan untuk abang.” Qaseh bersuara memecah keheningan.
Tiba-tiba Arief tersedak. Qaseh pantas mengangkat
punggung ke kabinet dapur lalu menuang air masak sejuk ke dalam gelas. Dia
kembali ke meja makan dan gelas itu diberikan kepada Arief. Arief meneguk air
itu sehingga separuh gelas.
“Siapa sebut ni sampai tersedak-sedak makan.”
Usapan lembut di belakang Arief dengan pandangan penuh
keikhlasan menyentuh nalurinya. Seketika Arief merenung Qaseh dalam sebelum
tangan itu diraih dan digenggam. “Thanks,” ucap Arief bersama senyuman nipis di
bibir. Tangan Qaseh dibawa ke bibir dan dikucup halus. Qaseh tersenyum nipis
sebelum tangannya ditarik perlahan dari genggaman Arief. Perasaan malu mula
bertamu dalam diri lantas anak matanya dilarikan ke arah lain.
“Arwah abang Qalif meninggal
akibat kemalangan jalan raya. Waktu tu abang baru tukar kerja. Abang beritahu
syarikat tu kepunyaan kawan baiknya masa sama-sama belajar dulu. Lepas ibu
meninggal abanglah orang yang mengembalikan semangat saya. Abang selalu ada
bila saya memerlukannya. Kalau saya sedih, abang akan buat saya ketawa. Dia
tempat saya mengadu dan bergurau. Dia bukan saja seorang abang tetapi juga
teman yang paling dekat di hati.” Bibir Qaseh melirik senyum halus kala memori
silam terlayar di kotak fikiran. Namun seketika cuma apabila wajah itu berubah
keruh semula.
“Tapi bila abang dah
tak ada. Jiwa saya rasa kosong. Segalanya saya pendam sendiri. Hendak mengadu pada abah, saya tak sampai hati. Saya tak nak menambah beban abah lagi. Abah pula waktu
tu tertekan bila perniagaannya mengalami masalah. Saya kesian tengok
abah yang terpaksa memenuhi permintaan Makcik Samsiah dan anak-anak tirinya. Satu
hari abah mengadu sakit dada, semakin lama sakitnya semakin kuat. Bila sampai
di hospital, abah tak dapat diselamatkan lagi. Abah tak pernah beritahu sesiapa
penyakit jantungnya. Kenapa orang yang saya sayang pergi tinggalkan saya? Mujur
masih ada nenek untuk saya menumpang kasih.” Berlinang airmata di kelopak mata
mengenangkan nasib diri. “Lepas abah meninggal saya terpaksa tinggal dengan
keluarga tiri yang tidak pernah menerima saya. Saya hanya dianggap menumpang di rumah saya sendiri.” Suara Qaseh semakin
sayu dan pilu. Qaseh terus tenggelam melayani perasaannya.
Sentuhan lembut di bahunya
menyedarkan Qaseh. Airmata yang menitis di pipi pantas diseka.
“Maaf, tak sepatutnya saya
cakap hal ni,” ujar Qaseh. Bibirnya dipaksa mengukir senyum.
Arief menghela nafas. Kedua
bahu Qaseh dipaut lembut dan dibawa mengadapnya. Arief menyentuh lembut dagu
Qaseh dan pandangan mereka bertaut.
“Jangan bersedih lagi
sayang. Pasti ada hikmah yang indah disebalik yang berlaku. Allah tidak akan
menguji melebihi kemampuan hambanya. Abang tahu insan yang berada di hadapan abang ni seorang yang cukup tabah. Dan ingatlah abang akan sentiasa berada di sisi dalam susah dan senang. Itu janji abang,”
ujar Arief sambil kedua tangannya menyeka airmata di pipi Qaseh.
Tangan Qaseh digenggam
erat. Tidak berkedip mata Qaseh merenungi sepasang mata Arief mencari keikhlasan dari kata-katanya itu.
"Jangan pandang abang macam tu sayang. Pandangan tu mampu buat iman abang goyah," kata Arief. Senyuman nakal terukir di bibirnya.
Qaseh melirik pandang. "Sambung makan, tak baik sedih-sedih depan rezeki," ujar Qaseh pula. Tubuhnya kembali mengadap meja makan.
"Tahu pun..." jawab Arief sekadar mengusik.
Qaseh tidak membalas. Malas melayan kerenah Arief yang semakin menjadi-jadi.
Arief hanya tersenyum mengerti. Seketika dia mengeluh halus dalam diam. Wajahnya kembali mengendur kala mengingatkan kembali nama yang meniti di bibir Qaseh.
Aku dah tunaikan janji aku Qalif, tapi aku dah mungkiri janji dengan hanya memandangnya tidak lebih dari seorang adik semata-mata tapi aku tidak mampu menidakkan perasaan halus yang telah hadir sejak pertama kali wajah itu menyapa anak mataku ini. Perasaan itu terlalu sukar untukku luahkan. Debaran yang bertandang tidak mampuku hentikan dari terus berdetak melahirkan perasaan indah yang semakin memekar di jiwaku.
"Jangan pandang abang macam tu sayang. Pandangan tu mampu buat iman abang goyah," kata Arief. Senyuman nakal terukir di bibirnya.
Qaseh melirik pandang. "Sambung makan, tak baik sedih-sedih depan rezeki," ujar Qaseh pula. Tubuhnya kembali mengadap meja makan.
"Tahu pun..." jawab Arief sekadar mengusik.
Qaseh tidak membalas. Malas melayan kerenah Arief yang semakin menjadi-jadi.
Arief hanya tersenyum mengerti. Seketika dia mengeluh halus dalam diam. Wajahnya kembali mengendur kala mengingatkan kembali nama yang meniti di bibir Qaseh.
Aku dah tunaikan janji aku Qalif, tapi aku dah mungkiri janji dengan hanya memandangnya tidak lebih dari seorang adik semata-mata tapi aku tidak mampu menidakkan perasaan halus yang telah hadir sejak pertama kali wajah itu menyapa anak mataku ini. Perasaan itu terlalu sukar untukku luahkan. Debaran yang bertandang tidak mampuku hentikan dari terus berdetak melahirkan perasaan indah yang semakin memekar di jiwaku.
akan bersambung...
sebahagian bab 12, maaf segala kekurangan... moga ada yang sudi memberi komen...sangat hargai komen-komen yang anda berikan... sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam mengembangkan citer ni... harap anda sudi membantu saya yang masih banyak kekurangan dalam bidang penulisan...
TERIMA KASIH & SAYANG ANDA SEMUA :))
TERIMA KASIH & SAYANG ANDA SEMUA :))