Wednesday, February 20, 2013

Percaya Padaku

Friday, February 8, 2013

Tika Hati Berbicara 22



Sorry lama dah tak sambung citer ni... bz sesangat dgn mcm2 hal...
harap teman-teman masih tak lupa dengan arief dan qaseh (~__*)





Senyap-senyap Arief mengintai Qaseh yang sedang leka menulis sesuatu di atas kabinet dapur. Bibir tersungging sengih apabila di benak fikiran terlintas sesuatu. Perlahan tangan mencuit pinggang Qaseh yang langsung tidak menyedari kehadirannya.

Terjerit kecil Qaseh. Pantas dia berpaling ke belakang. Membuntang mata Qaseh melihat Arief sedang mentertawakannya. Wajah terkejut kini bertukar riak geram. Kecil mata Qaseh memandang tubuh sasa Arief di hadapannya. Bahu Arief menjadi sasaran. Berkali-kali bahu itu menjadi mangsa tamparan Qaseh.

“Aduh... cukuplah tu, yang. Sakit...” adu Arief. Bahunya diusap beberapa kali.

 “Rasakan... lain kali buat lagi. Biar melekat tapak tangan kat bahu abang tu...”

“Bagus juga melekat, kalau abang rindu abang pegang aje bahu abang macam abang pegang tangan sayang,” usik Arief. Sengihan nakal terukir di bibir. 

“Sayang tulis apa? Abang kat belakang pun tak sedar,” tanya Arief. Selamba tangan kiri memeluk bahu Qaseh. Terkaku Qaseh dengan tingkah bersahaja Arief. Namun, dia membiarkan sahaja. Tangannya kembali lincah menulis di atas kertas.

“Barang-barang dapur. Dah banyak habis. Kejap lagi Qaseh nak keluar beli barang.  Nak ikut?”ajaknya.

“Boleh jugak.”

“Abang tak ke gim ke pagi ni?” tanya Qaseh. Selalunya pada pagi hujung minggu begini, Arief akan ke gimnasium. Sudah menjadi rutin mingguannya. Dan tidak hairanlah Arief memiliki tubuh yang sasa dan tegap.

“Hari ini nak teman isteri abang pergi shopping.” 

“Errmm... bagus jugak tu, boleh tolong angkat barang, banyak yang nak beli ni...”

“Anything for you darling,” bisik Arief sambil mengedip matanya bersama lirikan senyuman yang cukup menawan.

Qaseh mencebik sambil mengangkat kening sebelah sebelum beralih pandang pada senarai barang yang telah ditulis tadi. 

Arief tergelak tercuit dengan  mimik muka isterinya itu.

“Jangan buat macam tu, tergoda abang.”

“Siapa goda siapa sebenarnya ni?” Tangannya kembali lincah  menulis. Wajah Arief tidak dipandang lagi. Tawa halus Arief terus menyapa telinganya.

“Dah sarapan, belum?”tanya Arief.

“Belum...”jawab Qaseh.

“Jom sarapan, sayang,”ajak Arief. Bahu Qaseh diusap lembut dan sempat bibirnya menyapa sekilas kepala isterinya sebelum beredar ke meja makan.

Terpana Qaseh. Tiba-tiba hatinya dipagut sayu. Tingkah Arief mengingatkannya pada arwah abang Qalif. Sentuhan dan ciuman kasih seorang abang menggamit perasaan rindu dalam dirinya. Kerinduannya mula melarat pada wajah arwah mama dan abah. Senda gurau mereka sentiasa menceriakan hari-harinya. Kesedihan mula melingkari jalur hatinya mengundang rasa sebak di dada.

“Sayang...” panggil Arief kala melihat Qaseh seperti termenung jauh.

“Hah.” Qaseh sedikit tersentak. Melarikan wajahnya melindungi mendung yang mula menyaluti wajah. 

“Ingatkan apa?”soal Arief. Linangan di kelopak mata Qaseh menimbul tanda tanya di benak fikirannya.

Hambar lirikan senyumannya. “Tak ada apa...” jawab Qaseh sambil menggeleng perlahan. Pandangan Arief yang terus melekap di wajahnya tidak  diendahkan.

“Cepatlah sarapan, kata nak ikut pergi shopping.” Qaseh cuba menceriakan suasana yang hening tetapi ternyata tampak hambar di mata Arief.

Qaseh tertunduk saat Arief menggenggam  tangannya. Ketabahan yang dianyam selama ini bagaikan menunggu masa untuk terlerai. Mengapa hatinya tiba-tiba mudah tersentuh?

“Jangan simpan kesedihan itu seorang diri. Izinkan abang kongsi bersama kesedihan itu. Please sayang... jangan pendam dalam hati sendirian.”

Qaseh hanya diam membisu. Dia cuba menarik senyum. “Tak ada apa cuma teringat pada arwah abah, mama dan abang Qalif.”

“Hadiahkan al-fatihah untuk mereka sayang, itu yang sebaik-baiknya.”

Qaseh mengangguk perlahan. Renungan Arief dipandang dalam. Tenang raut wajah itu bagai meresap kekuatan ke sanubarinya.

“Jom makan,” ajak Qaseh. Senyuman ikhlas terukir.

Arief turut tersenyum nipis. Sedikit lega melihat wajah Qaseh yang berubah ceria.



  *******



Perlahan troli ditolak beriringan dengan Qaseh yang sedang memilih barang-barang kering.

“Qaseh.” Tiba-tiba seseorang menegur Qaseh.

Pantas Qaseh berpaling. “Aida.” Jelas riak terkejut di wajah Qaseh.

“Mana kau pergi? Aku pergi rumah kau tapi biasalah mama tiri kau tu mana nak citer apa pasal kau. Nombor telefon kau pun dah tak aktif. Apa dah jadi sebenarnya?” bertalu-talu soalan meluncur dari bibir Zuraida sebaik pelukan terlerai. Tangannya pula masih melekap pada lengan Qaseh.

“Aku... aku...” teragak-agak Qaseh hendak menjawab. Wajah sahabat rapatnya sejak di bangku sekolah ditatap dengan perasaan serba salah. Sejak Zuraida mengikut keluarganya berpindah, hidupnya hanya bertemankan kesepian. Tiada lagi tempat untuk dia meluahkan masalah. Hanya sesekali Zuraida menghubunginya bertanya khabar. Tetapi berbual di telefon tidak sama ketika bersemuka. Sejak Qaseh berkahwin dengan Arief, mereka seperti terputus hubungan. Tambahan pula telefon bimbitnya juga telah dirampas oleh mama tirinya. 

Tiba-tiba pandangan Zuraida beralih pada lelaki di sebelah Qaseh. Persoalan demi persoalan semakin menyendat benak fikiran Zuraida. Siapa lelaki ni? Hensem! Walaupun penampilannya ringkas tetapi tetap tampak bergaya dengan jeans dan t’shirt berkolar tersarung di tubuh sasa itu.

Qaseh mengerti pandangan sahabatnya itu lantas memperkenalkan Arief kepadanya. “Ini aku kenalkan suami aku, Arief Hakimi.”

“Suami!!” Terbuntang mata Zuraida terkejut dengan ungkapan yang meluncur dari bibir Qaseh.

“Bila kau kahwin?”

Qaseh mengeluh. “Panjang ceritanya...”

“Kenapa aku call kau tak dapat?” soal Zuraida sekali lagi. Seperti detektif pula gayanya.

“Mama dah ambil telefon aku. Aku betul-betul tak ingat nombor kau. Kalau aku ingat dah lama aku call kau. Boleh aku lari sembunyi kat rumah kau waktu tu,” kata Qaseh tersengih-sengih. Namun seketika cuma apabila sahabatnya itu hanya mempamerkan riak serius. Dia tahu sahabatnya itu risau keadaannya.

Zuraida menarik tangan Qaseh sedikit jauh dari Arief yang menjadi pemerhati sedari tadi. “Mama tiri kau paksa kahwin dengan dia ke?”

Qaseh senyap. Tidak tahu dari mana hendak memulakan cerita. “Betullah tu...” Kesepian Qaseh dengan sendirinya sudah memberi jawapan padanya.

“Teruk betul makcik Samsiah tu,” kutuk Zuraida geram. Bukan dia tidak tahu perangai mama tiri Qaseh yang melayan Qaseh seperti hamba. Qaseh pula sedikit pun tidak mahu menceritakan pada sesiapa. Dia tahu pun dengan tidak sengaja. Ketika itu dia ke rumah Qaseh dan dari luar rumah dia boleh mendengar tengkingan mama tiri Qaseh. Apabila sampai di muka pintu, matanya terbuntang luas melihat Qaseh diherdik dan dipukul oleh mama tirinya itu tanpa belas kasihan. Hanya kerana baju milik Elyana yang dibasuh oleh Qaseh tercalit dengan warna lain secara tidak sengaja. Lebih menyakitkan hati apabila melihat senyuman sinis yang terukir di bibir Elyana. Bukan ingin menuduh tetapi dia tahu Elyana sentiasa ada niat tidak baik pada Qaseh.

“Makcik!!” Tidak tahan melihat Puan Samsiah mengherdik dan menunjal-nunjal kepala Qaseh, kakinya melangkah masuk ke dalam rumah lantas mendapatkan sahabatnya itu yang sudah terperosot di penjuru dinding. 

“Apa makcik buat ni?”

“Kau siapa nak masuk campur. Aku rasa lebih baik kau balik.” Semakin menyinga wajah Puan Samsiah.

“Saya bukan nak menyibuk tapi tak patut makcik buat Qaseh macam ni...” Rambut Qaseh yang kusut diusap ke belakang. Jelas kesan lebam di wajah sahabatnya menerbitkan rasa simpati dalam diri.

“Eh budak ni... nak nasihat aku pulak. Kau kalau tak tahu apa-apa jangan nak jaga tepi kain orang.”

“Kau tengok apa dia buat kat baju aku ni. Aku tau dia sengaja. Mahal aku beli baju ni tau tak!” Tiba-tiba Elyana menyampuk. Menunjukkan bajunya yang telah rosak itu kepada Zuraida dan kemudian melempar baju itu ke muka Qaseh.

“Qaseh dah asingkan, tak tahu macam mana boleh bercampur,” terang Qaseh dalam esakan.

“Macam mana kau tak tahu, kau yang basuh baju tu!” Tengking Puan Samsiah. Matanya membuntang garang   sambil bercekak pinggang.

“Betul makcik saya tak tahu,” jawab Qaseh membela diri.

“Kau ingat kami percaya cakap kau tu,” Celah Elyana. Jarinya menuding kepala Qaseh. “Eh pompuan, aku nak kau bayar ganti rugi baju ni.”

“Aku  mana ada duit.”

“Itu bukan masalah aku. Minggu depan aku  ada annual dinner, aku perlukan baju baru. Aku bagi tempoh kat kau sediakan duit tu hujung minggu ni. Kalau tak ada siap kau!” Ugut Elyana. Dahi Qaseh ditolak dengan hujung jarinya kasar.

Zuraida masih setia di sisi sahabatnya hanya  mampu menahan geram. Sikap Elyana dan Puan Samsiah sudah keterlaluan. Entah-entah semua ni perancangan Elyana. Bukan dia tidak tahu perangai Elyana yang busuk hati itu. Selama mereka berkawan, Qaseh tidak pernah menceritakan apa-apa tentang keluarga tirinya. Cuma sesekali dia bercerita tentang sikap Elyana yang sering mencari pasal dengannya.

“Kau bahagia dengan lelaki tu?”soal Zuraida kala bayangan lama kian melayang jauh.

“Dia penyelamat aku.”

“Penyelamat kau?” Kening Zuraida hampir bersatu tidak mengerti.

“Kalau aku nak citer dari mula dua tiga hari pun tak habis. Aku janji akan citer kat kau semuanya. Nanti kalau kau senang kita jumpa kat mana-mana boleh berborak panjang,”usul Qaseh mahu menyingkatkan bicara dengan sahabatnya itu. Khuatir akan  menimbulkan rasa tidak senang Arief nanti.

“Okay aku akan contact kau nanti,” janji Zuraida mengerti.

Sebaik bertukar nombor telefon dan berjanji akan bertemu lagi, Qaseh bergerak mendapatkan Arief yang sabar menanti. Senyuman nipis dilemparkan pada Arief yang sedikit tampak bosan. Lengannya diletak santai di pengadang pemegang troli menahan tubuh yang sedikit membongkong.

“Siapa tu?”tanya Arief.

“Kawan,” jawab Qaseh bersahaja sambil meneliti senarai barang yang telah dicatatnya tadi.

“Kawan lama  ke kawan baru?”

“Kawan lama...”

“Dia tahu pasal kita?”

“Tadi baru tahu...”

“Erm... patut dia tengok abang semacam.” perlahan suara Arief singgah ke telinga Qaseh.

“Semacam macam mana?”

“Gaya dia tengok abang macam abang ni orang jahat,” adu Arief.

Qaseh tergelak.

“Mungkin muka abang ada gaya ketua gengster kut,” kata Qaseh bersama tawa halus yang masih bersisa.

“Hensem macam ni dikatakan macam ketua gengster,”rungut Arief sendiri.

Qaseh mencebik. “Perasan! Dia okaylah... mungkin dia tak kenal abang sebab tu dia tengok abang semacam,’ beritahu Qaseh. Kemudian Qaseh mengalih pandangan ke arah rak barang.

“Abang tak risau kalau ada kawan-kawan abang nampak kita berdua. Nanti apa pula tanggapan mereka nanti. Abang tak takut?” tanya Qaseh menyambung bicara sekadar  menduga. .

“Apa nak takut? Kita kan suami isteri yang sah. Abang kenalkan aje Qaseh isteri abang.”

“Abang dah lupa... perkahwinan kita tidak dirancang. Kahwin pun hanya saudara mara terdekat Qaseh aje yang tahu.”

“Abang tak kisah. Biarlah apa orang nak cakap. Satu hari nanti orang akan tahu juga pasal kita.”

Lama pandangan Qaseh melekap di wajah Arief. “Abang tak kisah kalau nanti kisah abang kahwin senyap-senyap tersebar  di dada majalah?”

“Apa nak kisah? Bukan abang buat maksiat,” beritahu Arief. Dia sudah bersedia sekarang untuk mendedahkan perhubungannya dengan Qaseh. Sampai bila dia mahu berahsia. Takut pada diri sendiri. Itulah yang dapat diungkapkan pada dirinya. Hanya mencari waktu yang sesuai untuk dia berterus terang. Dia berharap Nur Qaseh Qalesya dapat menerima dia  seadanya. Ya Allah, permudahkanlah segalanya  kerana aku sangat mencintainya.

Qaseh terdiam. Begitu mudah bicara Arief. Tidak terfikirkah Arief  sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasi dia sebagai ahli perniagaan muda yang berjaya.  Tapi mengapa dulu Arief mahu perkahwinan mereka dirahsiakan? Berlegar-legar persoalan itu di kotak fikiran.