Blogger Templates

tErIMa kAsIH sUDi fOllOw

Kau Ditakdirkan Untukku

Kau Ditakdirkan Untukku

Tika Hati Berbisik Rindu

Tika Hati Berbisik Rindu

Tika Hati Berbisik Rindu

Tika Hati Berbisik Rindu

Sunday, February 5, 2012

Tika Hati Berbisik Rindu 7 bahagian a



Qaseh di bawa ke meja yang telah di tempah. Segaris senyuman dilemparkan dengan ucapan terima kasih diucapkan sebelum pelayan itu berlalu pergi. Qaseh meliarkan pandangan ke sekeliling. Tampak mewah dan selesa susun atur hiasan dalamannya.

“Assalamualaikum,” sapa satu suara menyapa hampir di telinganya.

Qaseh sedikit tersentak. Ucapan salam dijawab perlahan sambil berpaling ke arah suara itu. Raut wajah tampan lelaki itu melekap dipandangannya. Sebaik terpandang senyuman itu bibirnya turut melirik senyuman nipis.




“Sorry lambat...” ujar Arief sebaik melabuhkan punggung di kerusi. Nafasnya sedikit mengah kerana bergegas ke sini sebaik mesyuarat tamat sebentar tadi.

“Encik Arief dari mana?” tanya Qaseh.

“Saya dari meeting tadi,” jawab Arief sambil merenggangkan tali lehernya. Kemudian lengan baju di lipat sehingga ke paras siku.

Seorang pelayan menghampiri dan Arief berkata sesuatu kepada pelayan itu. Qaseh hanya diam memerhati.

Sebaik pelayan itu berlalu pergi, Qaseh mula membuka bicara. “Kalau Encik Arief sibuk kita boleh lunch lain kali, kan?“ ujarnya.

“Qaseh, saya hari-hari sibuk. Tak pernah tak ada hari yang tak sibuk.”

Qaseh hanya melirik senyum. Betul apa yang dikatakannya oleh Arief itu. Rutin harian Arief Hakimi sentiasa padat. Abang Malik selalu juga bercerita dengannya rutin kerja lelaki ini. Katanya Arief seorang yang begitu komited dengan kerja. Tidak bosankah lelaki ini. Kerja! Kerja! Kerja!.

“Itu memang tidak dinafikan,” jawab Qaseh mengiyakan kata Arief itu.

“Boleh ke Encik Arief cuti panjang nanti?” soal Qaseh apabila teringatkan Arief ingin turut mengikutnya balik ke kampung.

“Berapa hari kita balik kampung?” soal Arief kembali.

Sepasang mata Qaseh seolah terpaku dengan pertanyaan Arief itu. Entah mengapa saat mendengar perkataan ‘kita’ hatinya terasa sesuatu. Satu perasaan yang amat dalam menyentuh lubuk hatinya.

“Seminggu,” jawab Qaseh. Dia terus mengamati reaksi raut wajah Arief.

“Hmm... okay,” jawab Arief yakin.

“Okay? Sure Encik Arief?” tanya Qaseh inginkan kepastian.

Pandangan Arief melekap ke wajah Qaseh yang menanti jawapan. Raut wajah Qaseh seperti tidak yakin dengan jawapannya.

“Yes, sure Cik Qaseh,” jawab Arief seraya meletakkan ke dua lengannya di atas meja dan wajah Qaseh diamati lama.

Qaseh mula dilanda debaran dengan renungan itu.

“Okay, we will see...” jawab Qaseh. Katanya terselit nada usikan. Senyuman yang terukir di bibirnya menarik perhatian Arief.

“Tak percaya ya,” tanya Arief. Melihat riak wajah Qaseh sudah menjelaskan kepadanya.
Qaseh hanya diam. Senyuman terus terukir di bibir.

“Saya juga perlukan rehat, Qaseh. Lagipun dah lama saya tak bercuti,” beritahu Arief. Selama ini hanya kerja yang difikirkannya. Namun, sejak kehadiran Qaseh di sisinya, dia dapat merasakan satu perasaan telah membenih di sanubari. Debaran di dada sering hadir dalam dirinya. Dia sendiri tidak pasti bila perasaan itu berputik di lubuk hatinya.

“Tahu pun, Encik Arief ni kerja mengalahkan Menteri,” perli Qaseh.
Arief tergelak.

Seperti biasa, gelak tawa itu menarik mata hitam Qaseh ke raut wajah Arief. Dia suka melihat wajah ceria Arief. Sehingga kini, lelaki ini masih misteri dalam hidupnya. Walaupun dia cuba mencungkil perihal peribadi Arief daripada abang Malik. Namun, lelaki itu juga seperti mengelak daripada terus bercerita tentang Arief Hakimi.
“Boleh Qaseh tanya sesuatu?” tanya Qaseh.

Arief terdiam. Wajah Qaseh dipandang dalam. “Tanya apa?” soal Arief tenang.

“Err... sebenarnya... Qaseh nak tanya...” Tiba-tiba Qaseh terasa gugup untuk meluahkan perkara yang bersarang di benaknya sedari tadi.

Berkerut dahi Arief. Melihat Qaseh yang teragap-agap untuk berbicara. “Qaseh nak tanya apa?” tanya Arief sekali lagi.

“Sebenarnya, Qaseh cuma nak tahu. Kenapa hari ini Encik Arief ajak Qaseh makan kat sini? Ada perkara yang nak dibincangkan ke?” Suaranya agak perlahan meluahkan kata.
Arief tersenyum nipis.

“Mesti ada hal ke baru saya boleh ajak Qaseh keluar makan?” pertanyaan di jawab pertanyaan oleh Arief. Dia terus merenung wajah Qaseh yang seolah terkedu dengan katanya.

“Bukan itu maksud Qaseh. Macam mana nak cakap ya...” Qaseh sedikit buntu. Terasa sukar pula untuk menyusun kata meluahkan rasa yang bertamu di benaknya. Tingkah Arief agak berbeza dirasakannya.

Arief menggeleng perlahan.”Kalau tak tahu tak payah cakap. Anggap ini satu permulaan,” ujar Arief. Gayanya cukup bersahaja. Ungkapannya itu tersirat seribu makna.

“Permulaan?” soal Qaseh kembali. Berkerut dahinya mengungkap kata. Persoalan demi persoalan menerpa kotak fikirannya.

Qaseh ingin bersuara lagi tetapi terbantut dek kehadiran pelayan yang membawa hidangan untuk mereka. Satu persatu hidangan di letakkan di atas meja. Arief memilih masakan ala Thai dan sudah pasti kesukaannya, tomyam. Aromanya pun sudah cukup membangkitkan selera. Setelah segalanya siap terhidang, Arief sudah mencapai sudu dan garpu.

Wajah Arief jelas teruja dengan hidangan yang terhidang di depan matanya. Tiada tanda-tanda Arief akan memberi menjawab persoalan yang masih bersarang di benak fikiran Qaseh. “Permulaan untuk apa?” tanya Qaseh sekali gus mengingatkan perbualan mereka yang masih tergantung tadi.

“Kita makan dulu, okay,” putus Arief lantas mencapai kain napkin di atas meja dan perlahan di letakkan di atas riba Qaseh. Kemudian barulah dia meletakkan kain napkin di atas ribanya pula. Sudah kebiasaan bagi Arief dan sikap itulah yang menawan hatinya dalam diam.

Qaseh menghela nafas perlahan. Arief terlalu baik padanya. Kekadang dia takut. Takut dengan hatinya sendiri. Takut dia jatuh cinta pada lelaki ini. Padahal hubungan mereka begitu samar hala tujunya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana corak yang perlu dilakarkan hubungannya dengan Arief. Masih banyak tanda tanya yang belum terjawab. Perkahwinan mereka pasti ada alasan yang kukuh. Mana mungkin Arief mengahwininya hanya kerana kemalangan itu. Tidak masuk dek akal bila difikirkan.

“Qaseh, kalau saya minta Qaseh cuti separuh hari ni, boleh?” tanya Arief.
Belum sempat suapan sampai di mulutnya, permintaan Arief itu menyebabkan dia meletakkan kembali sudu yang berisi nasi itu ke dalam pinggan. “Kenapa?” tanya Qaseh.
“Saya nak ajak Qaseh temankan saya.”

“Ke mana?” tanya Qaseh sambil mencapai gelas di sisinya.

“Shopping,” jawab Arief sepatah dengan senyuman mekar di bibir.

Qaseh yang sedang menghirup air sekadar membasahkan tekak tersedak. Arief pantas mengusap belakang Qaseh yang terbatuk-batuk. “Sorry saya tak bermaksud nak buat Qaseh terkejut,” kata Arief.

Mereka berpandangan seketika. Qaseh berdeham beberapa kali menghilangkan rasa perit di tekaknya. Tingkah Arief menjentik perasaannya. Usapan itu dirasakan seperti belaian saat ini. Perasaan malu mula menerpa dalam dirinya.

“Tak ada hari lain ke nak shopping Encik Arief,” kata Qaseh sebaik batuknya beransur reda.

“Saya rasa nak shopping dengan awak hari ni,” jawab Arief selamba.

“Pelik perangai Encik Arief hari ni,” luah Qaseh. Wajah Arief di tatap lama.

Permintaan Arief itu diluar jangkaannya. Tidak pernah Arief mengajaknya keluar bersama sebelum ini. Apa kena dengan Encik Arief hari ni?”
Arief hanya tersenyum nipis.

“Perangai saya memang selalu pelik,” balas Arief.

“Kalau saya kata tak boleh?” ujar Qaseh ingin menduga.

Dengan gaya yang cukup bersahaja, Arief merenung Qaseh dengan senyuman nakal di bibir. “Saya akan buat Qaseh kata boleh juga,”jawab Arief. Sepasang mata Qaseh direnung lama.

“Kalau macam tu, tanya dengan tak tanya sama aje,” ujar Qaseh terselit kata sindir.
Arief hanya tersenyum.

“Boleh ya?” tanya Arief seperti memujuk sahaja gayanya.

Qaseh tidak terkata apa. Entah kenapa tingkah Arief mengikat pandangannya pada wajah itu. Senyumannya yang mampu mencairkan hatinya. Apatah lagi gayanya yang mempesona. Auranya seolah melingkar di segenap jiwanya. Dirinya tidak mampu menolak kerana dia juga berkemahuan untuk berada di samping lelaki itu.

Akhirnya Qaseh menelefon Diana untuk memberitahu dia tidak dapat masuk ke pejabat kerana urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan. Tersenyum lebar Arief mendengarnya.

sedikit sambungan kisah Arief dan Qaseh
akan bersambung lagi nanti
sudi-sudikan komen ya





Sunday, January 29, 2012

Jangan Lafazkan 11

“Cepat sikit!” gesa Danial yang mempercepatkan langkahnya.

“Saya dah separuh berlari ni awak tahu tak?” balas Ayuni geram. Naik semput dia mengejar langkah Danial yang panjang-panjang itu.

“Kalau awak nak cepat sangat kenapa suruh saya ikut awak tadi. Baik saya tunggu kat kereta saja,” kata Ayuni tidak berpuas hati.

“Kalau saya lama macam mana? Awak boleh sabar ke duduk lama-lama dalam kereta tu. Jangan nanti awak nak mengamuk tak tentu pasal sudah. Bukan saya tak tahu perangai awak tu,” balas Danial sinis mencecah telinga Ayuni. Bertambah bengang Ayuni di belakang Danial. Bibirnya diketap menahan geram.

“Awak nak ke mana sebenarnya ni?”

“Awak ikut sajalah, tak payah banyak tanya.”

Muncung sedepa wajah Ayuni menurut langkah Danial. Sebentar tadi ketika mereka menikmati sarapan pagi Danial menerima satu panggilan. Baru suku roti canai ditelannya Danial menyuruhnya cepat-cepat makan sebaik selesai menjawab panggilan itu. Hampir nak tercekik aku dibuatnya.

“Eh, Danial. Awak nak saya mati tercekik ya. Kalau awak ada hal, awak pergi ajelah. Tinggalkan saya kat sini. Saya boleh balik sendiri,” ujar Ayuni tidak berpuas hati.
Danial diam memandang tepat ke wajah Ayuni yang hanya selamba menyuap roti canai ke dalam mulut.

“Awak jangan ingat saya tak tahu rancangan awak, Ayuni. Lebih baik awak berterus terang dengan saya. Awak nak ke mana sebenarnya?”

“Saya dah besar, bukan budak-budak lagi. Pandai-pandailah saya jaga diri,”
Danial menggeleng perlahan.

“Harap saja dah besar tapi fikiran macam budak-budak,” kata Danial berbaur sindiran.
Ayuni melirik geram.

“Awak jangan nak jual minyak angin panas pagi-pagi ni ya, Danial.” tekan Ayuni sambil mencerung matanya memandang Danial yang selamba menghirup air teh panas.
Danial masih berlagak biasa. Gelas di letakkan kembali di atas meja. Wajah Ayuni di pandang lama. Ayuni yang tadi berani melawan pandangan Danial akhirnya tewas juga. Dia melarikan pandangan.

“Perangai awak ni tak pernah berubah Yuni. Degil, suka melawan cakap.”

“Suka hati saya lah, perangai saya. Macam lah perangai dia tu berubah sangat.”lempias Ayuni geram. Nada suaranya ditahan supaya tidak terlalu kuat.
Danial tergelak sambil menggeleng perlahan. Dia suka melihat raut wajah Ayuni yang memuncung itu. Walaupun dalam marah tetap terbias manja di balik wajah itu.
Ayuni menjeling. Orang serius dia boleh gelak pulak. Putus fius apa Danial ni.

“Awak sekarang tanggungjawab saya Ayuni, awak suka atau tidak, awak kena belajar terima. Selepas ni apa saja yang awak nak buat kena mintak izin saya dulu. Berdosa jika awak ingar cakap suami,” ujar Danial dengan riak bersahaja.
Ayuni melirik pandang. Dia mencebik. Melihat senyuman sinis di bibir Danial menjentik rasa di hatinya.

“Senangnya awak bercakap. Awak tak tahu perasaan saya, Danial. Saya ada tanggungjawab pada mak dan adik saya. Awak tak tahu bagaimana kehidupan keluarga saya. Mak dan adik bergantung pada saya. Awak tak tahu semua tu Danial.”Ayuni meluahkan rasa yang terbuku di hatinya.

Danial hanya menyepi. Jangan kau sangka aku tak tahu Ayuni. Mungkin kau yang tidak tahu kehidupan aku. Kenapa aku sukar untuk melupakan kau, walaupun apa yang telah kau lakukan dulu cukup melukakan hatiku? Kata-kata itu hanya bergema dalam hati Danial.

Danial menghela nafas. “Hal awak kita akan fikirkan kemudian tapi sekarang awak kena ikut saya,” kata Danial tenang.

“Ke mana?”tanya Ayuni.

“Saya ada hal penting yang perlu diselesaikan,” jawab Danial lalu bangkit melangkah ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Tanpa membantah Ayuni bangun dan mengekori langkah Danial. Tidak ada gunanya dia berkeras memandangkan Danial sudah menyuarakan akan membincangkan halnya nanti. Dia berharap Danial mengotakan kata-katanya itu.

Mati langkah Ayuni apabila Danial tiba-tiba berhenti di hadapan sebuah bilik. Nyaris-nyaris dia terlanggar tubuh Danial ketika itu. Dan ingatannya tentang peristiwa pagi tadi semakin lenyap menghilang. Disaat itu juga seorang gadis menatap ke arah mereka.

“Encik Danial nak jumpa Datuk ke?” soal gadis itu lembut.

“Datuk ada?” soal Danial tegas.

Gadis itu mengangguk perlahan. “Datuk ada kat dalam Encik Danial. Tapi Datuk pesan dia tidak mahu diganggu,” jelas gadis itu tentang pesanan Datuk kepadanya sebentar tadi.

“Saya ada hal penting nak bincang dengan Datuk,” kata Danial lantas berpaling dari gadis itu.

“Tapi Encik Danial.” Gadis itu mula serba salah apabila Danial tidak mengendahkan katanya.

Ayuni yang mendengar nada suara Danial mula tidak sedap hati. Jelas garis ketegangan di raut wajah Danial. Tanpa mengetuk pintu Danial menerpa masuk ke dalam bilik. Ternyata perbuatan Danial mengejutkan gadis itu dan dia cuba menghalang Danial tetapi gagal.

Ayuni juga terkejut dengan tindakan Danial itu. Namun, apa yang mampu dia buat selain berdiam diri.

“Danial ada hal nak bincang dengan papa.” Danial terus menyuarakan tujuannya sebaik melangkah masuk ke dalam bilik itu. Ayuni turut melangkah perlahan di belakang.
Diwaktu itu Datuk Khalid sedang berbual ditalian. Jelas raut terkejut di wajah Datuk Khalid melihat kehadiran Danial.

“Mr Chong, I call you back later,” kata Datuk Khalid sebelum talian dimatikan. Kemudian perlahan gagang telefon di tempatnya.

“Ya, Danial. Ada apa, nampak macam tergesa-gesa nak jumpa papa ni?” soal Datuk Khalid.

“Danial tak setuju cara papa selesaikan masalah dengan Encik Majid. Sepatutnya kita yang bertanggungjawab, bukannya letakkan kesalahan itu pada pihak lain.” Danial terus menghamburkan kata dengan ketidakpuasan hatinya dengan tindakan papanya yang mengambil jalan mudah menyelesaikan sesuatu masalah tanpa memikirkan masalah orang lain. Sikap pentingkan diri Datuk Khalid yang paling dibenci Danial yang membawa pertengkaran antara dua beranak ini.

Datuk Khalid terdiam. Mata hitamnya terarah pada susuk tubuh Ayuni yang berdiri di sebelah Danial.

“Papa tak kisah kalau Danial nak bincang dengan papa, tapi papa tak suka ada orang luar dalam perbincangan kita ni,” kata Datuk Khalid dengan nada sinis.

Ayuni terkedu. Dia faham dirinya yang dimaksudkan oleh papa Danial itu. Namun, dia terkesima apabila tangannya diraup lembut dan digenggam erat oleh Danial. Dia menoleh ke arah Danial yang tetap memandang ke hadapan.

“Dia sangat penting dalam hidup Danial, tak perlu papa nak persoal kehadiran dia di sini,”ujar Danial.

Kata-kata Danial itu sekali lagi membuatkan Ayuni tersentap. Hatinya begitu tersentuh dan kata itu begitu bermakna menusuk ke hatinya. Namun, perasaan itu semakin pudar apabila dirasakan mungkin Danial hanya ingin menyakitkan hati papanya itu. Dari mula perkenalan dengan Danial, dia tahu hubungan dua beranak ini tidak pernah baik. Sikap Datuk Khalid yang terlalu mementingkan syarikatnya sehingga mengabaikan Danial yang sangat-sangat memerlukan kasih sayang seorang papa telah membuatkan hubungan mereka semakin jauh.

“Walau apa pun alasan Danial, papa tak suka ada orang lain antara kita. Kalau Danial nak teruskan perbincangan dengan papa, bawa perempuan tu keluar dari sini.” Tegas kata-kata yang terbit dari bibir Datuk Khalid.

Mencerlung pandangan Danial melawan wajah tegang papanya. Dia hanya diam membisu menahan rasa di dada.

Ayuni mula rasa kecut perut melihat suasana yang semakin tegang di antara Danial dan papanya.

“Danial, biar saya tunggu kat luar. Awak berbincanglah dengan papa awak elok-elok. Tak baik awak bertelingkah dengan papa awak macam ni,”tutur Ayuni perlahan. Danial menoleh memandang Ayuni di sebelahnya. Sepasang mata Ayuni merenung redup mata Danial mengharapkan pengertian.

Seketika mereka bertatapan sebelum Danial mengangguk perlahan. Ayuni berpaling melangkah keluar dari bilik itu. Dia menatap ke arah kerusi di ruang rehat tidak jauh dari situ. Ayuni meliarkan pandangan di sekelilingnya. Dia sedar beberapa mata mencuri pandang ke arahnya. Sudah tentu dirinya menjadi tanda tanya di benak fikiran mereka.

Bunyi hempapkan pintu mengentakkan Ayuni. Kelihatan Danial melangkah laju ke arahnya.

“Ayuni, jom kita balik,” kata Danial sebaik menghampirinya. Ayuni yang melihat wajah berang Danial terpinga-pinga di tempat duduknya. Apatah lagi Datuk Khalid yang turut memandangnya dengan wajah yang amat bengis sekali.

“Danial kenapa ni?” soal Ayuni perlahan.

“Danial, apa yang papa buat semuanya untuk kepentingan Danial,” tiba-tiba Datuk Khalid bersuara di muka pintu.

Namun, Danial hanya kaku berdiri membisu. Sedikit dia tidak berpaling ke arah papanya. Ayuni hanya memerhati tingkah dua beranak itu.

“Apa yang papa buat selama ini bukan untuk Danial tapi untuk kepentingan papa sendiri,” balas Danial sambil mencapai tangan Ayuni dan mengatur langkah berlalu dari situ. Terkejut Ayuni dengan tindakan Danial. Laju langkah kakinya mengikut langkah Danial yang terus menggenggam pergelangan tangannya. Namun, Ayuni sempat menoleh ke belakang memandang Datuk Khalid yang masih tidak berganjak dari situ.