Sunday, June 19, 2011

Akhirnya....


Salam

hari ni bab terakhir di Penulisan2u dan novel Kau Ditakdirkan Untukku akan menemui anda di pasaran JULAI nanti.

Gee akan war2kan di sini bila novel ini akan ada di pasaran nanti.

Terima kasih kerana sabar menunggu novel ini untuk diterbitkan.

Untuk sambungan bab 23 sila klik di bawah... :)

http://www.penulisan2u.my/2011/06/novel-kau-ditakdirkan-untukku-23/

Salam sayang

Gee Muszisya

Monday, June 6, 2011

Tika Hati Berbicara 2



“Kau ni memang tak guna! Menyusahkan aku!” bentak Puan Samsiah sambil jarinya menunjal-nunjal kepala Qaseh beberapa kali.

Qaseh yang masih berbalut kepalanya hanya tunduk merenung lantai. Sebentar tadi perit tubuhnya bila diheret masuk ke dalam rumah oleh Zakri, abang tirinya. Qaseh hanya membisu setiap kali ibu tirinya itu menyinga. Sekiranya dia melawan kata badannya yang menjadi mangsa. Zakri hanya tersengih melihat Qaseh dicerca dan diherdik oleh Puan Samsiah.

Di sofa Elyana adik tiri Qaseh tersenyum sinis melihat Qaseh dikasari mamanya. Senang hatinya kerana apa yang telah dirancang berjalan dengan lancar. Perasaan cemburu dan benci terhadap Qaseh sudah lama terpendam dalam hati Elyana. Sejak mamanya berkahwin dengan papa Qaseh, dia sering dibandingkan dengan Qaseh oleh papa tirinya itu. Qaseh sering didahulukan dalam segala hal. Lama kelamaan hati Elyana mula menanam perasaan benci terhadap Qaseh sehinggakan hatinya sarat dengan perasaan dendam. Sejak papa tirinya meninggal setahun yang lalu telah memberi ruang pada Elyana untuk membalas dendam terhadap Qaseh. Qaseh dilayan seperti hamba di dalam rumah itu apatah lagi segala tindak tanduknya disokong oleh mama dan abangnya.

“Kau ni memang sengaja nak malukan aku? Mana aku nak letak muka aku ni? Apa yang kau dah buat sampai Borhan tak nak kahwin dengan kau. Majlis kahwin tinggal berapa hari lagi, apa aku nak jawab kat semua orang nanti!!” asak Puan Samsiah.

Qaseh terusan menyepi membuatkan Puan Samsiah mula hilang sabar.

“Aku tanya kau ni Qaseh, jawab!! Bukan aku suruh kau duduk diam macam tunggul kat sini!!”

Qaseh mengaduh kesakitan apabila rambutnya ditarik kasar oleh Puan Samsiah. “Aduh... makcik sakit...tolong lepaskan rambut Qaseh makcik,” rintih Qaseh sambil memegang tangan Puan Samsiah berharap dilepaskan rambutnya yang terasa perit sakitnya.

“Kalau tak mahu sakit, bila aku tanya, jawab!” tengking Puan Samsiah.

“Sebenarnya...makcik...” kata Qaseh terhenti di situ. Berkerut dahi Qaseh menahan kesakitan. Sesekali dia melarikan pandangan ke arah Zakri yang sudah berubah riak wajahnya.

“Sebenarnya apa?!!” gertak
Puan Samsiah dan semakin kuat dia mencengkam rambut Qaseh.

Zakri perasan dengan mimik muka Elyana memberi isyarat kepadanya supaya berbuat sesuatu. Tajam pandangan Zakri dilemparkan kepada Qaseh sebagai amaran supaya tidak berkata apa. Qaseh yang mengerti hanya mampu membisu menahan kesakitan. Namun apabila dia sekali lagi dikasari
Puan Samsiah menyebabkan dia bersuara juga.

“Makcik tolong... Qaseh tak bersalah... Qaseh dianiaya...” rayu Qaseh merintih hiba. Airmata yang bercucuran di pipi bagai tiada erti dipandangan mereka. Tiada langsung belas kasihan melihat Qaseh yang merayu itu.

“Mama, tak guna mama paksa Qaseh ni. Perkara dah berlaku, nak tarik balik pun tak guna. Borhan dah tak nak dengan Qaseh ni. Lebih baik mama fikir macam mana nak selesaikan masalah malu keluarga kita ni,” Zakri mencelah, tidak mahu rahsianya dan Elyana terbongkar nanti. Oleh itu dia perlu cepat bertindak meleraikan kemarahan mamanya yang semakin memuncak.

“Ye la ma... kalau mama paksa Qaseh pun tak guna... entah-entah apa yang dia beritahu kita semuanya tipu belaka. Qaseh ni bukan boleh dipercaya sangat.” Sampuk Elyana pula memahami pandangan Zakri padanya.

“Tapi mama nak tahu, apa dia dah buat sampai Borhan sanggup buat keputusan macam tu. Hey Qaseh! Kau tau tak Borhan tu boleh buat keluarga kita senang. Kau ni memang tak sedar dek untung! Menolak tuah!” kata
Puan Samsiah berang. Tubuh Qaseh ditolak kasar sehingga dia terduduk di lantai. Mengeringai Qaseh menahan sakit di punggungnya.

Qaseh cuba bangkit tetapi seluruh anggota tubuhnya terasa begitu lemah sekali.

“Qaseh tak bersalah makcik... percayalah cakap Qaseh...” Qaseh terusan merayu. “Tolonglah makcik... kasihanilah Qaseh... badan Qaseh ni sakit sangat makcik...bagilah Qaseh berehat kejap. Qaseh dah tak tahan lagi...” sayu sekali kedengaran suara Qaseh.

“Apa aku peduli kau sakit pun! Sakit hati aku ni lebih parah dari sakit kau ni tau tak!” balas
Puan Samsiah tidak mempedulikan rayuan Qaseh itu. Malah tubuh Qaseh sekali lagi ditolak menyebabkan Qaseh tersembam dan kepalanya terhantuk di lantai. Berkerut wajah Qaseh menahan kesakitan. Tompokan darah merah mula kelihatan pada balutan di kepalanya. Tangannya memegang kepala yang mula terasa berdenyut sakitnya. Airmatanya semakin laju mengalir. Esak tangis semakin kuat kedengaran.

“Itu sajalah yang kau tahu! Menangis! Menangis! Menangis!” sindir Elyana dengan pandangan yang jelek dilemparkan pada Qaseh. Bingit telinganya setiap kali mendengar Qaseh menangis.

“Hey!! Tak payah kau nak menangis kat sini, pergi masuk bilik kau!! Tak guna nak menangis kat sini, tak ada siapa nak kasihan kat kau” jerkah
Puan Samsiah.

Qaseh masih tidak berganjak dari situ. Walaupun dipaksa untuk bangkit tetapi dirinya sudah tidak mampu lagi. Apabila
Puan Samsiah melihat Qaseh masih terusan berkeadaan begitu, Makcik Samsiah mengarahkan Zakri mengheret Qaseh masuk ke dalam bilik. Mengeringai Qaseh kesakitan bila tubuhnya dikasari Zakri.

“Lepaskan dia!!!”

Tersentak
Puan Samsiah dan Zakri bila mendengar jerkahan itu. Segera mereka berdua berpaling ke arah suara itu. Kelihatan dua orang lelaki sedang berdiri tegak di muka pintu dengan wajah tegang memandang ke arah mereka berdua.

“Aku nak kamu lepaskan dia!” tengking salah seorang lelaki itu kepada Zakri. Sekilas dia memandang ke arah Qaseh yang sedang menahan kesakitan.

“Kamu berdua ni siapa?” tanya
Puan Samsiah hairan dengan kemunculan kedua lelaki itu di rumahnya. Seingatnya dia tidak pernah tengok kedua lelaki itu di sekitar kawasan ini.

“Siapa kami tak penting. Tapi apa yang kamu berdua buat pada Qaseh dah melampau!”

“Hey! Kau ni siapa nak masuk campur urusan keluarga kami?” tengking Zakri berang dengan kata-kata yang terluah dari lelaki itu. Namun wajah Zakri berubah bila dia mula mengecam lelaki di hadapannya itu. “Kau ni lelaki yang langgar Qaseh tu kan? Apa kau buat kat sini?” aju Zakri kepada lelaki itu.

Elyana sudah bangun menghampiri
Puan Samsiah. Tidak berkelip matanya memandang lelaki itu. Jelas terpancar keterpegunannya dengan kekacakan lelaki itu. Apatah lagi dengan gaya dan karisma pada lelaki itu membuatkan dia betul-betul tertawan.

“Memang bukan urusan aku nak masuk campur hal keluarga korang tetapi aku perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada Qaseh. Dan sebagai manusia yang punya perikemanusiaan aku jugak perlu menghalang apa yang sedang korang buat pada Qaseh sekarang!” balas lelaki itu. Raut wajahnya tampak tegang dan sepasang matanya tajam menikam pandangan Zakri yang turut berwajah bengis itu.

“Pergi mampus dengan perikemanusian kau tu. Lebih baik kau blah, jangan nak tunjuk baik kat sini,” hambur Zakri.

Arief Hakimi tidak mempedulikan kata Zakri, dia mendekati Qaseh yang terbaring di lantai. Namun, Zakri lebih cepat bertindak menghalang Arief dari menghampiri Qaseh. Tetapi Malik, pembantu Arief terlebih dahulu menolak tubuh Zakri dari mendekati tuannya. Terjelepok Zakri jatuh dan badannya terhempas ke dinding rumah. Berkerut dahinya dek kesakitan yang dirasakan di belakang tubuhnya.

Terjerit
Puan Samsiah bila melihat keadaan anaknya itu. Pantas dia mendapatkan Zakri yang sedang mengerang kesakitan.

“Hey!! Apa kena dengan korang ni!! Tak pasal-pasal nak cari gaduh kat sini pulak!! Korang ni siapa sebenarnya?!!” tengking
Puan Samsiah sambil mengurut-ngurut belakang Zakri.

“Kurang ajar kau! Main kasar dengan aku!!” balas Zakri sambil bangkit dibantu oleh
Puan Samsiah. Namun, Malik langsung tidak mengendahkan kata Zakri sebaliknya dia mendekati Arief untuk melihat keadaan Qaseh yang sudah tidak sedarkan diri.

“Malik, kita mesti bawa dia ke hospital.”

“Aku tak benarkan! Korang berdua boleh keluar dari rumah ni!!” larang
Puan Samsiah apabila melihat Arief sudah mencempung tubuh Qaseh yang sangat lemah itu.

“Malik, kau uruskan mereka, biar aku bawa dia ke hospital.”

“Hoi!! Berani kau!!” Zakri cuba menghalang tetapi langkahnya terpaku apabila Malik memandangnya dengan pandangan yang cukup tajam padanya. Mana mungkin dia dapat berlawan dengan orang yang dua kali ganda besar daripadanya. Tambahan tubuh Malik yang sasa dan berketul-ketul itu sudah menggerunkannya. Cukuplah dengan satu tolakkan sahaja dia sudah terpelanting ke dinding.

Tanpa menunggu lama, Arief mengatur langkah keluar dari rumah itu. Malik membukakan pintu belakang kereta BMW X5 untuk bosnya lalu dengan berhati-hati Arief meletakkan tubuh Qaseh di tempat duduk belakang.

Sebelum Arief ke tempat pemandu sempat dia berpesan kepada Malik. “Aku nak kau dapatkan sebanyak mana yang boleh maklumat pasal pompuan tu dari mereka.”

Malik hanya mengangguk.