Saturday, January 6, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 1


Assalamualaikum... lama betul tak update blog... dah x nampak rupa blog dah... hehehe... Insha Allah, akan cuba aktifkan balik blog. Langkah pertama gee akan masukkan bab2 awal novel gee yg ke 3 Diakah Cinta? kini sudah berada di pasaran dan boleh juga dapatkan melalui order online dengan Lovenovel Publishing. 

Sudi2kan selalu menjengah blog gee ya & komen. ❤☺

 




BAB 1

“Selamat pagi, Nal,” ucap Liza merangkap setiausaha Danial sejak dua tahun lalu.
“Selamat pagi. Saya ada apa-apa appoinment saya hari ni ke Kak Liza?”
“Ada, pukul 3 petang dengan Syarikat Mega Setia. Semua repot dan dokumen-dokumen yang perlu Danial sign akak dah letak atas meja. Lagi satu, Cik Zara dah banyak kali call. Akak pun dah tak tahu nak bagi alasan apa. Payah betul melayan orang tak faham bahasa ni,” beritahu Liza sambil bersungut di akhir katanya.
“Kalau dia call lagi, akak bagi ajelah apa-apa alasan. Tak kuasa saya nak melayan.”
“Karang kak Liza cakap lebih-lebih, dia mengadu kat Datuk pulak. Lagi susah Kak Liza. Maklumlah, dia tu kan calon menantu kesayangan Datuk,” beritahu Liza. Sudah heboh satu pejabat yang Izara anak Datuk Kamal itu adalah bakal isteri Danial Haikal. Si Zara juga yang mencanangkan cerita tu sebenarnya. Padahal dia tengok bosnya ini macam tidak ada apa-apa perasaan pun kepada si Zara. Perempuan itu yang perasan lebih. Dia bukannya hendak jadi kaki penyibuk. Tapi dia tengok Zara tak sepadan langsung dengan Danial. Sudahlah berlagak. Sombong pulak tu. Perasan diri tu cantik sangat gamaknya. Rasanya makcik cleaner lagi cantik kut. Dengan cara pakaian yang sentiasa tak cukup kain, dia yang menengoknya pun malu.
Berkerut dahi Danial.
“Calon menantu? Pandai kak Liza buat gosip pagi-pagi ni.”
Hubungan antara Danial dan setiausahanya umpama adik dan kakak. Sikap ramah Liza amat disenangi Danial, apatah lagi setiausahanya ini cekap menjalankan tugas.
“Hari tu... masa Nal cuti dia ada datang cari Nal kat office. Lama juga kami berbual. Mungkin dia cuba nak cungkil maklumat daripada Kak Liza kut. Dia ada tanya Nal pergi mana? Kenapa Nal off handphone? Pergi bercuti kat mana? Macam-macam lagilah. Sampai tak terlayan akak.” Panjang lebar Liza bercerita.
Danial hanya tersenyum. Malas mengambil tahu hal Izara. Ada perkara yang lebih penting daripada itu. Otaknya pun tengah berserabut. Tidak mahu perihal Izara menyemakkan lagi fikirannya yang sudah sedia serabut. Sekarang dia tengah sibuk dengan projek di Putrajaya. Seminggu yang lalu, papa ada menyuarakan hasrat Datuk Kamal yang ingin menjodohkan dia dengan anaknya, Izara. Tetapi dia diamkan saja. Mengenangkan kesihatan papa yang tidak mengizinkan. Sebab hubungannya dengan papa sudah dingin sejak dulu, jadi papa juga hanya diam begitu saja. Jika dia menyuarakan pendiriannya, bergaduh pula nanti. Apatah lagi Datuk Kamal itu adalah rakan rapat papa. Sudah tentu papa akan menyokong hasrat sahabatnya. Kononnya untuk kepentingan syarikat.
Geram juga dia, kalau tidak percayakan dia mengemudi syarikat, kenapa dipujuk rayu supaya mengambil alih syarikat ini? Ketika itu, dia belum bersedia untuk memaafkan perbuatan papanya. Kalau tidak kerana pujukan paksu, jangan harap dia akan berada di sini. Itu semua hanya alasan sahaja.
Sejak dia mengambil alih syarikat daripada papa dua tahun yang lalu, muka tembok Izara yang menjadi masalah kepadanya. Bukan dia tidak tahu perangai Izara, anak perempuan tunggal Datuk Kamal itu. Apa yang dia mahu, dengan apa cara sekalipun mesti akan dapat. Tidak dilayan pun masih juga hendak bertenggek kat sini. Kalau tidak mengenangkan hendak menjaga perasaan Datuk Kamal, sudah lama di sekolahkan si Izara itu.
Tanpa sedar, Danial menggeleng.
“Nanti Kak Liza tolong bawa masuk fail Syarikat Mega Setia ya,” pinta Danial sebelum berlalu masuk ke biliknya.
Tidak lama kemudian, Liza membawa masuk fail yang diminta Danial tadi. Perlahan langkah Liza, membawa perut yang semakin sarat. Melihatkan keadaan Liza, mengundang rasa kasihan dalam hati Danial. 

"Ini fail yang Nal nak tu." Liza meletakkan fail itu ke atas meja.
“Bila due, Kak Liza?”
Mendengar pertanyaan Danial, segaris senyuman terukir di bibir.
“Hujung bulan depan,” jawabnya.
“Dah tahu boy or girl?”
Senyuman semakin lebar di bibirnya. Spontan tangan kanan diletakkan ke atas perut yang memboyot.
“Insya-Allah, kali ni girl," jawab Liza, jelas keceriaan pada wajahnya. “Tak kisah boy or girl Nal. Yang penting sihat dan sempurna sifatnya,” sambung Liza lagi.
Danial melirik senyum sambil mengangguk setuju.
“Ini resume untuk position PA yang Encik Taufik dah pilih.” Liza menghulurkan satu lagi folder kepada Danial.
“Okey kak Liza. Biar Nal tengok dulu.”
Sebulan yang lalu, Liza menyuarakan hasrat ingin berhenti kerja kerana akan mengikut suaminya yang akan bertukar tempat kerja ke Johor. Oleh sebab itu, dia memerlukan pengganti Liza dengan kadar segera. Susah kalau dia tidak ada pembantu.
“Kalau macam tu, kak Liza keluar dululah ya.”
Danial hanya mengangguk. Fail projek Syarikat Mega Setia dibuka. Dia perlu menyemak beberapa perkara sebelum mesyuarat dengan syarikat itu nanti. Setelah beberapa maklumat diperoleh, pandangan Danial terarah pada folder di sebelahnya. Dikeluarkan semua resume dari dalam folder itu. Satu persatu diteliti. Namun, tangan Danial terhenti tatkala mata terpaku pada seraut wajah. Dadanya tiba-tiba berdebar. Perasaan yang dipendam selama ini seakan mencambah memenuhi ruang hati. 
“Ayuni Aisya binti Abdul Halim...” Serunya seakan berbisik. Fikirannya menerawang pada seraut wajah gadis yang mendapat tempat dalam hatinya sejak dulu.

Berat helaan nafas terhembus. Pandangan ditebarkan ke dada langit membiru dari cermin tingkap bilik. Keliru dan tidak faham dengan gelojak jiwanya. Menatap seraut wajah itu, getarnya tetap sama. Sudah gilakah dia kerana tidak mampu memadam perasaan terhadap gadis itu. Bukannya tidak ada gadis lain di luar sana cuba mendekatinya, tetapi perasaan itu tidak sama ketika dia bersama Ayuni Aisya. 


No comments: