Sunday, January 14, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 13


Assalamualaikum semua...
sambungan Diakah Cinta? Bab 13
terima kasih kepada semua yang sudi follow Diakah Cinta?
Kepada yang berminat nak miliki novel  Diakah Cinta? boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda atau order online dari Penerbitan Lovenovel. 
Whatsapp 0134226431 / 0133698404 / 0134888095 / 0196789181





BAB 13

Dumm!!!
Bunyi dentuman di belakang kereta mengejutkan Ayuni. Dia pantas berpaling ke belakang. Berderau darahnya.
“Ya Allah, kereta aku...”
Teragak-agak dia hendak keluar. Dalam keinginan hendak melihat keadaan keretanya, perasaan curiga tiba-tiba muncul dalam diri. Entah-entah kereta itu sengaja hendak melanggarnya. Sekarang ini, banyak kes kereta sengaja dilanggar, selepas itu pemandu dirompak. Lebih mengerikan lagi pemandu wanita diculik dan dirogol.
Dari cermin belakang, dia nampak pemandu kereta hitam jenis Hilux melangkah keluar. Ayuni mula gelabah. Dia tercari-cari sesuatu yang boleh dibuat penyelamatnya andai berlaku sesuatu yang tidak diingini. Tiba-tiba dia terpandang pengunci stereng yang diletakkan di ruang letak kaki di sebelah penumpang. Pantas tangan mencapai pengunci stereng itu.
Terkejut Ayuni apabila cermin tingkap keretanya diketuk dari luar. Seorang lelaki berkaca mata hitam sedang menunduk memandang. Seketika dia mengamati lelaki itu. Berkumis nipis. Handsome! Sempat dia mengamati raut wajah lelaki itu. Tangan lelaki itu mengarahkan dia keluar. Tetapi laju dia menggeleng. Lelaki itu menegakkan badannya. Namun hanya seketika, kali ini dia telah menanggalkan cermin mata hitamnya.
Ayuni mengerdipkan mata beberapa kali. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya saat ini.
`Danial! Kenapa aku accident dengan mamat ni? Ramai lelaki dalam dunia ni, kenapa dia yang langgar kereta aku? Arrgghhhh!!!
Ayuni membuka kunci kereta. Perlahan dia membuka pintu dan melangkah keluar sambil memandang Danial yang sudah mengenakan kembali cermin mata hitamnya. Sempat dia meniliti pakaian lelaki itu. Nampak macam hendak pergi joging. Kasut sport Nike, seluar trek separas lutut dan T-shirt tanpa lengan menampakkan lengannya yang berotot kekar.
Ayuni melarikan pandangan. Boleh bikin goncang iman ni. Ah! Tak pedulilah semua tu. Apa yang penting sekarang, keretanya. Dia bergerak ke belakang kereta. Kesan kemik di bahagian bumper buat dia hendak menangis.
Ayuni bercekak pinggang. Tiba-tiba rasa marah meluap-luap. Dia berpaling memandang Danial yang sudah berada di sisinya. Turut melihat keadaan keretanya.
“Awak tak nampak lampu tengah merah tadi?” sembur Ayuni melepaskan geram. Sakit hatinya melihat keadaan keretanya jadi begitu.
“Sorry, saya tak sedar lampu dah merah.” Danial memohon maaf walaupun kenyataan sebenar, dia sedang leka dengan telefon bimbitnya. Di balik cermin mata hitam, matanya tidak lepas merenung wajah Ayuni yang mencuka. Makin marah makin comel pulak. Dia menyimpan senyum.
Ayuni menarik nafas menahan rasa yang berbara. Melihat sikap Danial yang selamba, menambah rasa geram di dada. Tapi dia tak boleh nak marah lebih-lebih sebab lelaki di hadapannya ini yang menjadi penyelamatnya. Dan renungan itu sentiasa membawa rasa debar di dadanya. Walaupun rasa suka cuba dihakis dan perasaan benci cuba disemai, tetapi usahanya itu tidak pernah berjaya. 
“Itu ajelah yang boleh kata. Sorry... sorry... kereta awak besar gedabak, tak ada apa-apa senanglah cakap. Kereta saya yang kemek ni macam mana?”
“Habis tu saya nak kata apa lagi? Saya betul-betul tak sengaja terlanggar kereta awak. Benda dah nak jadi, nak buat macam mana?”
“Benda ni boleh dielak kalau awak berhati-hati. Atau awak sebenarnya ada masalah rabun warna? Sampai lampu tengah merah pun tak sedar?”
`Eh’eleh dia ni... gaya nak cari gaduh aje. Asal jumpa mesti nak gaduh,’ rungut Danial.
“Bukan teruk sangat pun. Tercium sikit aje.”
“Sikit, awak kata? Cuba awak tengok betul-betul. Kemik macam ni awak kata sikit. Memang dah rabun gamaknya mata awak tu,” kata Ayuni sambil berpeluk tubuh.
Danial bertinggung dekat dengan bumper kereta Ayuni. Kali ini baru betul-betul dia melihat kesan perlanggaran tadi. Agak teruk. Memang kena tukar bumper baru.
“Sorry... tercium lebih pulak. Mungkin kereta saya suka kat kereta awak kut.” Danial senyum nipis. Tampak nakal.
Ayuni menjeling geram. Orang tengah hangat hati ni, dia main-main pula. Dahlah tengah panas. Makin panas hati dia. Nasib baik jalan agak lengang di pagi minggu begini. Kalau tidak, mahu dia dengan mamat ini jadi tontonan ramai.
“So sekarang macam mana nak settle?” tanya Ayuni.
Danial bangkit berdiri. Wajah Ayuni yang masam dipandang. Peluh mula merecik di dahi Ayuni. Kulitnya yang putih bersih mula tampak merah dek terik mentari yang semakin meninggi. 
“Jom kita pergi kat sana. Teduh sikit,” ajak Danial menunjuk ke arah pokok-pokok besar di bahu jalan. Kesian pula melihat mata Ayuni yang semakin mengecil menahan silau matahari. Lagipun takkan hendak bincang tengah panas ni? Nanti bertambah panas pula.
Danial membuat satu panggilan. Ayuni hanya memerhati tingkah Danial yang berdiri agak jauh daripadanya. Beberapa minit kemudian, Danial selesai membuat panggilan. Dia bergerak menghampiri Ayuni.
“Saya akan settlekan semua pasal kereta awak. Saya dah hubungi mekanik. Tapi kereta ni kena dua atau tiga hari kat workshop,” beritahu Danial.
“Hah! Dua tiga hari? Patahlah kaki saya kalau macam ni!” spontan kata keluhan terluah. Sudahlah esok dia hendak mula bekerja di tempat baharu. Macam mana dia hendak pergi kerja kalau tidak ada kereta?
 “Kenapa? Ada masalah ke?”
“Memang masalah. Kalau hantar workshop, macam mana saya nak pergi kerja.”
Masing-masing diam.
“Macam inilah... saya cuba tanya workshop tu, minta buat cepat sikit. Kalau dalam dua hari, awak okey tak?” cadang Danial.
“Kalau minggu depan, saya tak ada masalah sebab saya boleh tumpang kawan.”
“Minggu depan hari sabtu, boleh?” tanya Danial inginkan kepastian.
Ayuni diam. Berkerut dahinya sambil berpeluk tubuh. Dagu diketuk perlahan dengan jari telunjuk. Sesekali bibir nipisnya digigit. Tabiatnya setiap kali otak ligat berfikir. Tanpa sedar, tingkahnya diperhati Danial.
“Bolehlah.” Ayuni memberi persetujuan. Minggu depan terpaksalah dia minta tolong Shafiqa. Kebetulan tempat kerja Shafiqa satu hala dengan tempat kerja baharunya. Cuma minggu ini Shafiqa ada kursus di Kuala Lumpur. Tak dapatlah dia hendak menumpang.
Persetujuan Ayuni mengembalikan pandangan Danial ke wajah gadis itu.
“Kalau macam tu, kira settlelah ya? Kalau tak ada apa-apa lagi, saya pergi dulu.”
Pandangan Danial buat dia rasa tidak selesa.
“Boleh bagi contact number awak?” pinta Danial dengan lirikan senyuman nipis di bibir.
Kaku seketika Ayuni dibuatnya. Danial menanti. Beberapa saat berlalu, wajah Ayuni mula berubah riak. Dia dapat rasakan seolah-olah akan ada lagi pertemuan demi pertemuan dengan lelaki itu. Kalau dia punya pilihan, biarlah dia tidak bertemu dengan mamat perasan handsome plus perasan bagus ini. Kalau tidak kerana hendak menuntut keadilan atas apa yang telah terjadi pada keretanya, tidak kuasa dia hendak berdua-duaan dengan mamat ini. Sudahlah tepi jalan pulak tu. Setiap kali ada kereta yang melalui jalan ini, pasti mereka akan menjadi tontonan. Malu weh!
“Apa-apa hal nanti senang saya nak hubungi awak.” Danial bersuara seakan dapat membaca apa yang difikirkan oleh Ayuni.
`Betul jugak apa yang mamat ni cakap. Kalau dia cuba lari, macam mana? Aku jugak yang rugi nanti.’
Ayuni melangkah ke arah keretanya. Pintu depan sebelah penumpang dibuka. Telefon bimbit dari dalam beg dicapai. Kemudian dia kembali mendapatkan Danial yang menjadi pemerhati sedari tadi.
“Bagi nombor telefon awak,” pinta Ayuni.
Dengan penuh tumpuan, dia mendengar nombor yang disebut Danial dan akhirnya nombor telefon lelaki itu selamat tersimpan dalam simpanan telefon bimbitnya. 
“Saya akan call awak nanti.”
Danial hanya menjongket bahu. Bibir melirik senyuman nipis. `Tak nak beritahu aku pun tak apa Ayuni Aisya. Bukan susah pun nak dapat nombor telefon awak.’
“Okey, saya pergi dulu.”
“Okey.”
Langkah yang diatur terasa kekok jadinya. Walaupun dia tidak melihat, tetapi dia tahu dirinya diperhatikan Danial. Entah apa kena dengan mamat itu, tiba-tiba boleh berubah jadi mamat cool pula hari ini.
Sebelum bergerak, dia berpaling ke arah Danial yang masih tidak berganjak dari situ. Hendak jadi model tepi jalan kut? Tak bergerak-gerak dari tadi. Cermin sebelah penumpang diturunkan.
“Awak nampak sesuai jadi model baju sukan. Mana tahu, duk terpacak tepi jalan ni ada yang nak ambil awak jadi model sambilan. Saya pergi dulu. Minggu depan saya call awak,” perli Ayuni.  Sekilas bibir melirik sengih.
Danial hanya menggeleng. Bibir terus melirik senyuman mendengar kata-kata Ayuni itu.
Kereta Ayuni dipandang hingga hilang dari pandangan. Sejak dari hari pertemuan yang tidak disangka, hanya satu perasaan yang sering singgah di hatinya. Rindu! Sudah gila agaknya dia. Wajah itu semakin kerap terbayang di ruangan mata. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman.



No comments: