Friday, September 7, 2012

Tika Hati Berbicara 15




“Aku dah jumpa perempuan tu, Zack.”
Terbangun Zakri dari tempat duduknya teruja dengan berita yang disampaikan oleh sahabatnya, Amir. “Kau pasti perempuan yang sama macam dalam gambar tu?” soal Zakri inginkan kepastian.
“Aku pasti! Alamat yang kau bagi pun aku memang pasti betul. Tapi aku tengok ada seorang lelaki selalu dengan perempuan tu. Kacak bergaya orangnya. Kereta pun hebat. BMW X6 tu bro. Siapa diorang ni Zack?”
“Nanti aku citer kat kaulah. Sekarang, apa yang penting kau follow ke mana saja diorang pergi. Tapi jangan sampai diorang perasan pulak. Ingat tu!!” Zakri mula mengatur perancangan.
“Okay, tapi sampai bila aku nak jadi spy ni Zack. Kau ingat senang ke? Aku takut juga orang kampung perasan. Aku kan orang luar. Kalau ada orang tanya aku nak jawab apa?”
“Kau kelentonglah apa pun. Takkan itu pun nak kena aku ajar.”
“Kau cakap senanglah Zack, cuba kau yang buat.”
“Kalau aku boleh buat memang aku dah buat bodoh. Masalahnya diorang tu kenal aku. Kau ni nak masalah kita selesai ke tak nak?!” Tekan Zakri mulai berang.
“Mestilah nak.”
“Kalau nak, buat apa yang aku suruh. Kerja senang macam tu pun nak merungut lebih.”
“Okaylah, kalau ada apa-apa berita aku update kau,” suara di hujung talian semakin mengendur. Hendak tak hendak tugas yang diarahkan oleh Zakri perlu dilakukan demi menyelesaikan masalah mereka yang semakin meruncing.
“Ingat apa yang aku pesan tadi. Jangan biarkan rancangan kita gagal kali ini. Ingat tu, Mir.”
“Yelah...”
Talian dimatikan. Mundar mandir dia berjalan sambil menggenggam telefon bimbitnya. Benak fikirkannya sedang merangka-rangka strategi untuk berjumpa dengan Qaseh tanpa pengetahuan lelaki itu. Bahaya jika kelibatnya dijejaki, silap langkah peristiwa setahun yang lalu akan berulang lagi. Bagai hendak patah tulang riuknya dikerjakan lelaki berbadan tegap itu. Kali ini dia perlu melakukannya dengan lebih teliti. Dia kenal Qasel bagaimana orangnya. Sekali gertak pasti akan diturutkan saja kemahuannya. Tanpa sedar bibirnya menarik senyum. Masalah antaranya dengan Mr Tan akan selesai tidak lama lagi. Dia perlu membayar hutangnya sebelum Mr Tan bertindak lebih jauh lagi.
“Kamu nak ke mana pulak ni!”
Suara lantang Puan Samsiah mengejutkan Zakri. Kelibat Elyana bersama beg pakaian di tangan menarik perhatian Zakri. Di susuli mamanya di belakang adiknya itu. Riak tegang jelas terpamer di raut wajah Puan Samsiah.
“Ish... mama jangan sibuk boleh tak? Yana bukan nak pindah terus dari rumah ni. Yana nak tinggal rumah kawan dua tiga hari aje.”
“Mama tak benarkan!”
“Mama boleh tak jangan masuk campur hal, Yana. Yana dah besar la mama.”
Zakri hanya menjadi pemerhati sedari tadi.
“Kau ingat mama tak tahu kamu berkawan dengan budak-budak liar tu!”
“Budak-budak liar mana? Mama jangan nak tuduh kawan-kawan Yana macam tu. Yana tahu diorang macam mana,” sela Elyana menafikan tuduhan mamanya itu.
“Eh Yana, kau ingat mata mama ni buta. Mama pernah nampak kawan –kawan kau tu bergaduh dekat belakang lorong kedai tu. Apa nak jadi dengan kau ni Yana berkawan dengan budak-budak samseng.”
“Itu bukan salah kawan-kawan Yana, diorang tu yang cari pasal dulu. Takkan nak biarkan aje. Sudahlah ma, Yana dah lambat ni. Kawan Yana dah tunggu tu.”
“Kau tak dengar ke mama cakap tadi. Mama tak benarkan kau keluar.” Puan Samsiah cuba menghalang langkah Elyana. Namun Elyana mengatur langkah juga tanpa mempedulikan kata mamanya itu.
“Zakri! Cuba kamu nasihatkan adik kamu ni sikit. Kamu tu abang dia.”
“Alah mama bukan tak tahu perangai anak perempuan mama ni. Nasihat macam mana pun, dia tetap juga buat. Degil nak mampus.”
Tajam pandangan dilemparkan pada Zakri yang berwajah selamba itu. “Eh, kau jangan nak sibuklah. Perangai aku ikut suka akulah. Kau ingat perangai kau tu bagus sangat!”
Zakri mencemik. Bukan dia tidak tahu perangai Elyana, pantang ditegur sikit mudah sahaja melenting. Dimanjakan sangat adiknya sebab itu naik lemak. Sejak bapa tirinya meninggal, apa yang dilakukan oleh adiknya itu semuanya betul. Mama selalu menangkan Elyana. Dulu dia sering menyokong perancangan adiknya itu untuk mengenakan Qaseh. Segala apa yang dirancang diikutkannya saja. Tetapi sejak akhir-akhir ini sikap adiknya itu semakin menjadi-jadi. Duit yang diperolehi dari lelaki itu semakin habis dikikis oleh  adiknya itu. Sedikit pun mama tidak berkira kalau Elyana yang meminta kalau dia semuanya dikira hutang. Betul-betul tidak adil!
Tiba-tiba telefon bimbit Elyana berbunyi. Segera Elyana menjawab panggilan itu. “You tunggu sekejap. I keluar sekarang.” Talian terus dimatikan. Tanpa mempedulikan Puan Samsiah yang semakin menyinga, Elyana menyambung langkah ke arah pintu utama.
“Jangan pergi Yana!!”
“Kawan Yana dah lama tunggu tu. Yana kena pergi.”
“Siapa kawan kamu tu?”
“Mama tak payah tahulah siapa kawan Yana tu... Ish mama ni banyak tanyalah, rimaslah Yana.” Elyana cuba meleraikan tangan Puan Samsiah yang berpaut kejap di lengannya.
“Lepaslah mama!” Elyana merentap tangannya dan akhirnya pautan tangan Puan Samsiah terlerai jua. Elyana pantas mengatur langkah keluar dari rumah. Walaupun Puan Samsiah menjerit memanggilnya tetapi tidak dihiraukan Elyana dan dia terus melangkah ke arah kereta yang menunggunya di luar pagar rumah.  
Zakri hanya meninjau ke arah kereta itu dari dalam rumah. Dia seperti pernah melihat kereta itu sebelum ini. Apabila cermin di bahagian pemandu diturunkan. Wajah Zakri berubah riak. Jefri. Susuk tubuh adiknya yang melangkah laju ke arah kereta itu dipandang cuak. Hatinya meronta-ronta ingin menahan Elyana. Tetapi kakinya seolah terpaku untuk melangkah. Berlegar-legar di fikirannya, antara perasaan gentar untuk berhadapan dengan lelaki yang sudah lama mencarinya selama ini dengan perasaan seorang abang yang cuba menyelamatkan maruah adiknya.
Sudahnya dia hanya memandang Elyana meloloskan diri ke dalam perut kereta lelaki itu. Kemudian laju kereta itu bergerak di atas jalan raya.
Bagaimana Elyana boleh terjerat dengan ‘bapa ayam’ itu. Lelaki itulah yang menjadi orang tengah semasa dia hendak menjual Qaseh untuk dijadikan pelacur dulu.


*******





Qaseh menyusun pinggan mangkuk yang sudah siap dilap di tepi dinding.Bertungkus lumus dia bersama Najihah mengelap pinggang mangkuk yang dikeluarkan dari dalam almari untuk kenduri malam ini.
“Jihah, nampak abang Arief dengan Ijat tak?”
“Tak nampak pulak akak, mungkin kat belakang kut sebab tadi nenek mintak tolong kaitkan buah rambutan untuk kenduri malam ni.”
“Dah cukup akak rasa pinggan mangkuk ni. Nanti Jihah tolong lapkan gelas-gelas tu ya. Akak nak pergi tengok diorang kejap. Nak suruh angkut kayu api dari dalam bangsal. Kejap lagi dah nak mula masak.”
“Okay kak,” jawab Najihah bersama senyuman di bibir. Itulah Najihah seorang gadis yang ringan tulang. Tidak lokek dengan tenaga tulang empat keratnya yang masih muda belia untuk membantu.

Qaseh bangkit lantas berlalu meninggalkan Najihah yang masih menyusun saki baki pinggan mangkuk yang telah dilap tadi. Di dapur telah ramai jiran-jiran yang datang untuk membantu menyediakan bahan-bahan masakan. Begitulah resam berkampung, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Tersenyum Qaseh melihat gelak tawa usik mengusik antara mereka. Begitu mesra dan akrab sekali hubungan yang terjalin walaupun tiada pertalian darah antara mereka. Sudah dianggap seperti saudara sendiri. Sempat Qaseh menyapa mesra dan bersalaman dengan mereka sebelum dia berlalu keluar dari dapur menuju ke belakang rumah.


Tertinjau-tinjau Qaseh melihat ke arah pokok rambutan yang merimbun dengan buah-buahnya yang kemerahan banyaknya. Sayup-sayup suara Aizat kedengaran dari arah itu.
Dari jauh sudah kelihatan susuk tubuh Aizat yang sedang mengutip buah rambutan yang telah dikait oleh Arief. Qaseh bergerak menghampiri mereka yang langsung tidak menyedari kehadirannya.
“Amboi... rajinnya hero-hero ni buat kerja. Ikhlas ke ni atau nak kena bayar upah.”
“Nama pun kerja akak... mesti ada upah,”selamba Aizat menjawab. Qaseh menarik muka bosan. “Dah agak dah...”
“Apa upahnya pulak kali ni?”
“Abang janji nak belikan Ijat baju jersi Malaysia, kan abang.”
Arief mengangguk sambil tersenyum.
“Tak ikhlas buat kerja la ni...”
“Mana tak ikhlas akak, ikhlas ni... upah tu kira macam nak cepat siapkan kerja aje... lebih upah lebih cepat siap kerjanya kak...”jawab Aizat tersengih-sengih pada Qaseh yang sudah membuntang matanya.
“Ada saja jawabnya ya. Nanti tolong akak ambil kayu api dari dalam bangsal. Akak punya tak ada upah-upah. Besar pahala kalau tolong dengan ikhlas tanpa mengharap apa-apa balasan tau.”
“Akak ni... Ijat tolong ikhlas la... tapi baju tu... janji tetap janji kan abang,” tanya Aizat tersengih panjang pada Arief yang menjadi pemerhati sahaja sedari tadi.
“Abang dah janji kan... pasti abang tunaikan. Ijat tolong bawa masuk rambutan ni, yang lain tu biar kak Qaseh pulak yang kutip.”
“Eh, napa Qaseh pula yang kena kutip. Banyak ni... kena minta upah jugak kalau macam ni.”
“Nak upah juga ya... jangan risau... untuk sayang, abang bagi yang special punya,” jawab Arief bersama senyuman nakal di bibir sambil mengedip matanya pada Qaseh.
“Hah... tengok muka dah tahu... mesti upah yang bukan-bukan,” sela Qaseh.
Bakul yang telah penuh dengan buah rambutan diberikan kepada Aizat. “Aizat tolong letak kat dapur ya,” beritahu Qaseh. Aizat hanya mengangguk lantas berlalu pergi bersama bakul yang sarat dengan buah rambutan itu.
Qaseh mula mengutip buah rambutan yang jatuh di tanah dan dimasukkan ke dalam bakul yang masih kosong.
“Banyak lagi ke?” tanya Qaseh sambil mendongak ke atas.
“Penuhkan bakul tu cukuplah.”
“Nanti boleh bawa balik bagi kat kawan-kawan office. Mesti diorang tanya nanti, takkan tak ada apa-apa dari kampung. Lagi-lagi kalau diorang tahu musim buah macam ni.”
“Yang, jauh sikit berdiri tu... jatuh buah rambutan atas kepala karang. Siapa yang susah? Abang jugak...”
“Jauh dah ni...” jawab Qaseh masih mendongak sambil bercekak pinggang.
“Berdiri kat situ kenapa, nak tolong sambut buah rambutan tu ke?” perli Arief.
“Banyak bunyi pulak dia, cepatlah cik abang  oii... banyak lagi buah yang nak kena kait ni...” balas Qaseh pula.
Arief menggeleng perlahan. Tingkah Qaseh kekadang ada degilnya. Batang buluh panjang terus di hala ke tangkai rambutan yang agak lebat buahnya. Apabila dipastikan tangkai rambutan berada dicelahan bilah gunting, Arief menarik kuat tali gunting itu. Dalam usahanya untuk memutuskan tangkai rambutan itu, tiba-tiba telinganya menangkap suara Qaseh yang mengaduh.
Kini pandangannya beralih arah pada Qaseh.
“Kenapa?”tanya Arief apabila melihat Qaseh sedang menggosok-gosok mata kirinya.
“Macam ada benda masuk dalam mata,”jawab Qaseh. Jarinya masih menggosok-gosok kelopak matanya sambil dikedipkan beberapa kali.  
Arief pantas menyandarkan batang buluh di dahan pokok rambutan lalu menghampiri Qaseh.
“Jangan gosok nanti merah mata tu.”
Tangan Qaseh dialihkan. Kedua tangan Arief melekap lembut di wajah Qaseh.Menyentuh perlahan kelopak mata Qaseh. Qaseh terpaku kala wajah Arief begitu hampir di wajahnya. Sepasang mata Arief yang tertacap pada anak matanya dan kala bibir Arief meniup perlahan ke dalam matanya bagaikan melayang perasaannya saat ini. Tidak berkedip mata Qaseh. Anak matanya terus tertacap pada wajah Arief yang beriak kerisauan. Sentuhan lembut di wajahnya bagaikan sedang membelai perasaannya. Sungguh! Sungguh hatinya tersentuh saat ini.  
“Dah okay sikit?” tanya Arief. Sepasang mata Qaseh masih terpaku pada wajah Arief.
“Qaseh...”lembut suara Arief menyapa telinga Qaseh mengalirkan satu perasaan yang cukup mendalam ke lubuk hatinya.
Qaseh mengedipkan matanya beberapa kali apabila dirinya tersedar. Terbawa-bawa perasaannya sebentar tadi. Terlalu sukar untuk diungkapkan. Terlalu payah untuk dinilai dan ditelah perasaan itu.
“Ha..ah, dah okay sikit,” gugup Qaseh menjawab. Dia menjarakkan diri namun ke dua tangan Arief lebih pantas melekap di pinggangnya.
Qaseh terpana. Anak matanya kembali bertemu pada sepasang mata Arief yang terusan merenungnya. Pandangan yang  sukar ditafsirkan. Begitu mendalam merantai jiwanya.
“Sayang nak tahu sesuatu?” suara Arief lembut mencecah anak telinga Qaseh membawa debaran yang mencengkam rasa. Qaseh hanya membalas dengan pandangan sebagai jawapan soalan Arief itu.
“Abang rasa abang tengah sakit sekarang.”
Berubah wajah Qaseh. Riak terkejut jelas terpamer di raut wajahnya. “Abang sakit apa?”
Arief mencapai tangan Qaseh dan di letakkan di dadanya.
“sejak akhir-akhir ni fikiran abang asyik terbayangkan wajah seseorang. Setiap masa wajahnya berada di ruang mata abang. Entah penyakit apa yang menyerang hati abang ni?”
Berkerut dahi Qaseh. Perasaan tidak senang mula menjalar  dalam diri. “Siapa?” soal Qaseh.
“Sayang,”kata Arief. Kedua tangannya menyentuh lembut pipi Qaseh.
Qaseh terpana. Wajah Arief ditatap tanpa berkedip.
“Why I cannot stop thingking about you? Ke mana saja abang pergi wajah sayang asyik terbayang-bayang. Abang tak boleh simpan lagi perasaan yang abang rasa ni. Abang tak tahu bila perasaan tu hadir,” kata Arief menzahirkan apa yang tersirat di hatinya selama ini.Rambut Qaseh yang terjuntai disisip di telinga. Wajah Qaseh ditatap lembut.
Perasaan itu sudah lama hadir sayang cuma abang tidak berani meluahkannya. Abang takut sayang tidak dapat menerimanya. Bisik hati Arief.
Qaseh terpaku seribu bahasa. Ungkapan yang sukar untuk dijelaskan. Apatah lagi dia sendiri juga merasainya. Namun, dia belum bersedia untuk berbicara tentang hal itu. Dia juga belum pasti perasaannya yang sebenar.
Qaseh cuba meleraikan pautan tangan Arief namun dicengkam kemas.
“Sayang tak rasa apa yang abang rasa?” soal Arief penuh mengharap. Pandangannya terus menikam ke anak mata Qaseh yang cuba melarikan pandangan.
Qaseh diam lalu tertunduk. Kelu lidahnya. Sukar untuk menafsirkan perasaannya kala ini. Tapi dia sedar, ada perasaan yang mula berputik di hatinya tetapi dia takut untuk mengakui sesuatu yang belum ada kepastian. Apakah kata-kata Arief itu lahir dari lubuk hatinya yang dalam sedangkan mereka tidak kenal antara satu sama lain sebelum ini? Kehadiran Arief dalam hidupnya juga penuh tanda tanya. Bagaimana dia hendak meyakinkan dirinya tentang perasaan Arief terhadapnya? Sesiapa boleh mengungkapkan kata cinta dan sayang tetapi menzahirkan rasa cinta itu bukan semudah yang terucap.
Dagu Qaseh disentuh lembut membawa pandangan Qaseh bersatu dengannya. “Kenapa sayang diam?” soal Arief perlahan.
“Terlalu banyak persoalan yang belum terjawab. Qaseh mahukan kejujuran dalam perhubungan. Tetapi kenapa terlalu banyak rahsia yang terlindung diantara kita?”
Arief mengeluh. Wajahnya bertukar suram.
“Pentingkah semua tu Qaseh?”
“Bagi Qaseh terlalu penting. Qaseh perlukan keyakinan supaya tidak ada syak wasangka dalam perhubungan kita. Bagaimana nak memupuk perasaan sayang kalau dalam hati Qaseh ni penuh rasa curiga.”
“Qaseh tak percayakan abang?”soal Arief serius.
“Bukan macam tu...”
“Habis tu...”
“Mata abang tak boleh menipu. Qaseh dapat rasakan ada sesuatu yang abang selindungkan dari pengetahuan Qaseh.”
Arief menghela nafas panjang. Dadanya berdebar hebat. 
“Abang belum  bersedia.”
“Jadi betul ada sesuatu yang abang rahsiakan dari Qaseh?”
“Please Qaseh... jangan paksa abang.”
Qaseh mengeluh panjang.
“Terpulang pada abang, tetapi pendirian Qaseh tetap sama.”
Qaseh meleraikan pautan Arief dan perlahan berlalu meninggalkan Arief yang terkaku di situ. Berat hati Arief melepaskannya tetapi dia buntu untuk menyusun bicara memujuk Qaseh yang begitu menagih penjelasan daripadanya lalu dia hanya mampu melihat Qaseh melangkah pergi.
Rambutnya diusap ke belakang sebelum dicengkam kuat. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Arief! Arief! Sampai bila kau nak macam ni? Kenapa kau takut nak berterus terang?! Bagai ada suara yang berbisik di telinganya. Sebab aku takut kehilangan dia!! Jerit hati Arief melepaskan tekanan yang menyendat di dada.




akan bersambung :)



3 comments:

cik ct payung said...

akhirnya...update. thanks cik penulis. dah lama tunggu.

Zalida said...

Best cerita ni Gee. Thanks for the new entry.

NurAtiZa said...

Best...... #^_^