Sunday, January 21, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 16







BAB 16


Tidak tahu hendak bereaksi bagaimana, Ayuni hanya berdiri kaku di situ. Kalau boleh, dia tidak mahu berada di sini. Namun, mengenangkan sekarang susah hendak mendapat pekerjaan, dia perlu bertahan berhadapan dengan lelaki ini walaupun tidak cukup nafas dibuatnya. 

“Duduk,” arah Danial sambil menunjuk kerusi di depannya.
Ayuni masih tidak berganjak. Teragak-agak untuk duduk. Benak fikirannya mula berprasangka yang bukan-bukan. Apa yang lelaki ini mahu? Tak boleh tunggu esok ke? Sekarang sudah habis waktu bekerja. Takkan sudah tidak sabar hendak bagi kerja pada aku kut?
Sebentar tadi, ketika dia berkemas hendak balik, tiba-tiba Danial muncul dan menyuruhnya masuk berjumpa. Sedangka pagi tadi sebelum lelaki itu keluar, katanya tidak masuk pejabat semula, tetapi tiba-tiba muncul pula. 

“Tercegat kat situ kenapa?” tegur Danial apabila Ayuni masih di situ.
Ayuni telan liur. Perlahan langkah diatur dan duduk di kerusi di hadapan Danial. Dia cuba beriak tenang, sedangkan jantungnya seakan hendak melompat keluar.
“Macam mana hari ni?” soal Danial.  
“Okeylah...” jawab Ayuni acuh tidak acuh saja.
Danial senyum.
“Bunyi macam tak okey aje?”
Ayuni hanya diam. Sekilas dia melirik pandang melihat senyuman Danial sebelum melarikan pandangan ke arah lain. Macam mana hendak okey kalau mengenangkan hari-hari dia akan berdepan dengan lelaki ini? Kadang dia benci dengan perasaannya sendiri. Berdepan dengan lelaki ini membuatkan dia jadi tidak menentu.
“Awak selesa bekerja di sini?”
“Baru sehari saya kerja di sini, macam mana nak tahu selesa atau tidak?”
Danial tarik nafas dalam. Perlahan dia bangkit dan melangkah menghampiri Ayuni yang kelihatan kaku di kerusi.
Ayuni mula gelabah apabila Danial mendekat dan melabuhkan punggung di birai meja berhampiran dengannya. Dia menelan liur berkali-kali. Tegak tubuhnya membetulkan duduk.
Danial simpan senyum. Melihat tingkah gelabah Ayuni mencuit hatinya.
“Se... sebenarnya... Encik Danial nak apa?” gugup Ayuni bertanya.
Danial angkat kening sebelah. Terasa janggal bunyinya apabila Ayuni memanggilnya dengan panggilan sebegitu.
“Kalau berdua dengan saya, jangan panggil macam tu.”
Ayuni kerut dahi.
“Habis tu nak panggil macam mana?”
“Panggil macam awak biasa gunakan sebelum ni.”
“Mana boleh,” jawab Ayuni.
“Kenapa tak boleh?”
“Nanti kalau saya tersasul, apa pula kata staf lain,” Ayuni memberi alasan.
“Saya tak suka.”
“Suka atau tidak, bukan urusan saya. Encik Danial majikan saya. Jadi memang sepatutnya saya gunakan panggilan begitu.”
“Walaupun kita di luar pejabat?”
“Ya. Walaupun di luar pejabat, supaya saya tidak lupa diri apabila berada bersama dengan orang seperti Encik Danial.” 
Terkedu Danial mendengar kata-kata berbaur sindiran yang terbit dari bibir Ayuni.
“Saya dah confirm dengan bengkel. Esok diaorang akan datang ambil kereta awak kat ofis,” beritahu Danial, masih selamba duduk di birai meja.
“Weekend tak boleh ke? Saya nak datang kerja dengan apa?”
“Awak boleh datang dan balik dengan saya.”
“Hah???” Melopong Ayuni mendengar cadangan Danial.
“Tutup mulut awak sebelum lalat masuk.”
Cepat-cepat Ayuni tutup mulut dan diketap rapat. Malu dengan teguran selamba Danial.
Pandangan Danial seakan terpaku pada seulas bibir merah jambu yang cantik terbentuk itu. Naluri lelakinya mula bergetar.
“Kenapa saya kena datang dan balik dengan Encik Danial?” tanya Ayuni. Tidak senang duduk dengan pandangan Danial yang menggamit rasa debar di dadanya.
“Anggap saja saya tebus kesalahan kerana langgar kereta awak,” jelas Danial. Itu hanya alasan saja. Sebenarnya dia ingin Ayuni sentiasa bersamanya.
“Saya boleh tumpang kawan saya. Tolong baiki kereta saya pun dah cukup. Tak mampu pulak nanti saya nak bayar tambang kereta Encik Danial,” kata Ayuni berbaur sindiran.
Danial sedikit menunduk.
“Kalau dengan awak... F.O.C aje,” jawab Danial sambil tersenyum nakal.
Seketika Ayuni seakan terpaku melihat lirikan senyuman itu. Sungguh, dia bencikan perasaan yang mula berkocak dalam hatinya. Senyuman yang sangat dirinduinya. Cepat-cepat dia melarikan pandangan. Rasanya tidak mampu lagi dia berada di sini. Berdepan dengan lelaki ini buat dia sesak nafas.  
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya balik dulu.” Teragak-agak Ayuni hendak bangun kerana kedudukan Danial yang agak dekat dengannya.
Tersenyum Danial melihat tingkah Ayuni yang menggelabah. Dia bergerak sedikit memberi ruang kepada Ayuni bangun. Cepat-cepat Ayuni bangkit berdiri.
“Saya keluar dulu.” Ayuni terus berpaling dan mengatur langkah ke arah pintu.
“Jangan lupa esok, dan offer saya tu sentiasa terbuka dan tiada tamat tempoh,” pesan Danial.
Ayuni langsung tidak berpaling. Menonong dia keluar meninggalkan Danial yang masih tidak berganjak.
Bibir Danial tidak lekang dengan senyuman. Tidak mungkin dia akan sia-siakan peluang ini. Kali ini dia tidak akan melepaskan Ayuni lagi. Kebetulan demi kebetulan yang berlaku tentu ada petunjuk yang tersirat. Seharusnya dia berterima kasih pada takdir yang membawa rasa indah dalam jiwanya.

Sungguh... dia tidak pernah merasai rasa bahagia seperti ini. Cukuplah hanya memandang wajah itu sudah mampu membuatkan dia tersenyum. Hidupnya yang suram sebelum ini seakan disinari suria hanya dengan melihat senyuman itu. Walaupun buat masa ini, sungguh payah untuk dia melihat senyuman itu, tetapi suatu hari nanti dia akan pastikan bibir itu akan sentiasa terukir dengan senyuman untuknya.

❤ kini berada di kedai-kedai buku berhampiran anda.
❤ boleh dapatkan secara online dari Penerbitan Lovenovel.
    Whatsapp 0134226432 / 0133698404 / 0196789181  




No comments: