Monday, January 8, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 4



BAB 4





"Yuni!!!" suara lantang Puan Jamilah mengejutkan Ayuni. Mujur tidak tertelan biji rambutan ni. Mak kalau memanggil, satu kampung boleh dengar.  
"Yuni!!!"
"Ya, mak! Yuni kat belakang ni!" sahutnya. Tangan menarik setangkai rambutan dari dahan. Balik dari rumah Mak Cik Zainab tadi, dia terus ke belakang rumah. Mata meliar melihat pokok-pokok rambutan yang sudah memerah buahnya. Sekali-sekala balik kampung hendak juga dia menjelajah belakang rumah. Tengah musim buah, macam-macam buah ada. Macam biasa, jadi monyet sekejaplah dia. 
"Buat apa kat belakang tu?" laung Puan Jamilah dari dalam rumah.
Seketika kemudian...
“Yuni!!"
"Ya ma..." kecut perut dibuatnya apabila terpandang tubuh Puan Jamilah sudah bercekak pinggang dengan renungan tajam. Hampir tercekik isi rambutan yang dimakan.
"Ya Allah budak ni. Dah tak ada kerja lain nak buat? Panjat pokok saja tahu. Sedaq sikit diri tu anak dara. Dah besaq panjang bukan budak-budak lagi," leter Puan Jamilah kala melihatnya di atas pokok rambutan.
Terkedu  Ayuni di situ. Hanya sengihan kecut dilemparkan buat ibunya.
`Dah mula dah mak aku ni...’
"Turun! Malu kalau orang tengok!" 
`Bahaya ni, siap sinsing lengan baju lagi.’
"Sabaq mak. Sabaq mak. Yuni turun la ni jugak mak..." Ayuni turun dari pokok rambutan. Berhati-hati kaki memijak dari satu dahan ke satu dahan.
"Nak jadi apa hang ni Yuni? Awat tak guna galah kait buah tu?" Ayuni hanya diam tidak berkutik mendengar teguran Puan Jamilah.
"Tak nampak pun galah mak?" tanya Ayuni sambil mata liar mencari.
"Tu apa benda?" Lurus tangan Puan Jamilah menghala ke arah galah yang tersandar pada reban ayam.
Ayuni hanya mampu tersengih memandang.
"Heeee... tak nampak tadi. Duk nampak buah ja. Leceh guna galah ni. Lambat!”
"Tak nampak ka buat-buat tak nampak," sindir Puan Jamilah.
"Dah! Tolong pi kedai beli rempah ikan. Balik cepat, sat gi mak nak masak. Jangan duk menyinggah mana." Puas Jamilah sudah mengeluarkan arahan beserta amaran.
"Baik! Saya yang menurut perintah!" Tegak badan Ayuni seperti askar menerima arahan.
"Budak ni... dah besaq panjang pun perangai macam budak-budak." Menggeleng Puan Jamilah dengan perangai anak gadisnya yang seorang ini.
"Perangai budak-budaklah tak makan tua, mak.”
"Menjawab pun nomboq satu!”
Sambil tersengih, langkah diatur ke arah garaj. Tiba-tiba langkah terhenti. `Malaslah nak naik kereta. Naik basikal lagi cepat.’
“Basikal lagi satu mana mak?” tanya Ayuni kerana tidak kelihatan basikal yang selalu digunakannya. Cuma tinggal basikal lama sahaja.
“Fira guna, katanya nak ke rumah Mila.”
Terdiam Ayuni. Nampaknya terpaksalah dia guna basikal lama ni.
"Brek dah tak berapa nak makan basikal tu," beritahu Puan Jamilah  sebaik melihat Ayuni keluar dari garaj bersama basikal lama di sisi.
"Ok lagi ni mak," Ayuni mencuba brek tangan kiri dan kanan untuk memastikan ia berfungsi dengan baik. Dia berpuas hati setelah beberapa kali mencuba.
"Yuni pergi dulu mak."
"Yalah, elok-elok bawa basikal tu," pesan Puan Jamilah. Mata tidak lepas daripada memandang Ayuni sehingga hilang dari pandangan.
Perlahan saja Ayuni mengayuh basikal sambil menikmati keindahan sawah padi yang menghijau terbentang luas di sebelah kirinya sehingga tidak menyedari kayuhannya sudah sampai di selekoh yang agak tajam. Tiba-tiba, sebuah motosikal yang agak laju muncul dari arah hadapan.
"Makkkkkkk!!!" jerit Ayuni sambil mengelak dari dilanggar motosikal itu.
Ayuni hilang kawalan. Malang tidak berbau, basikalnya meluncur laju masuk ke dalam belukar.
"Ya Allah, Yuni! Aku minta maaf. Aku tak nampak tadi.” Ayuni yang sudah terduduk di sisi basikal dihampirinya. "Meh aku tolong hang." Dengan perasaan bersalah, dia cuba membantu Ayuni bangun.
"Tak payah! Aku boleh bangun sendiri." Larang Ayuni seraya bangun. Tangannya mengibas-ngibas baju yang terlekat daun-daun kering. "Yang hang ni bawa motor macam mat rempit ni pasai apa?" marah Ayuni geram.
Yusri dengan riak muka bersalah hanya mampu tersengih.
"Takkan hang tak tau selekoh ni bahaya?”
"Sorrylah... aku saja nak test power tadi."
"Test power konon! Nasib baik aku tak apa-apa. Kalau tidak, siap hang."
"Alah... sikit ja pun. Tu pun nak bising."
Berdesing telinga Ayuni mendengar sindiran yang datang dari arah belakang. Pantas dia menoleh ke arah suara itu. Hantu turun dari mana pulak ni? Tiba-tiba nak sakitkan hatinya.
Dengan pandangan tajam, Ayuni mengamati lelaki yang santai duduk di atas motosikal tidak jauh daripadanya. Ada riak terkejut di raut wajahnya kala matanya bertemu pandang dengan lelaki itu. Kenangan lama seakan terbayang-bayang di ruang mata. Walaupun sudah bertahun mereka tidak bersua muka, namun kenangan pahit yang ditinggalkan lelaki itu  tetap berbekas dalam hati.
Diamati penampilan lelaki itu. Tampak jauh berbeza dari dulu. Rambutnya pendek kelihatan kemas dan rapi berbanding dulu yang lebih gemar berambut panjang. Tubuhnya dulu kurus meleding, kini lebih sasa dan tegap. Memang dia akui, lelaki itu tampak lebih kacak dan matang.
"Eh Yuni, mari aku tolong angkat basikal hang," pelawa Yusri mula tidak senang dengan riak tegang yang terbias di wajah Ayuni.
"Hang nak pi mana ni?" tanya Yusri. Cuba menarik perhatian Ayuni yang hanya diam membisu. Basikal Ayuni diangkat, lalu diletakkan ke  bahu jalan.  
"Hang balik bila? Cuti berapa hari?" tanya Yusri lagi.
Ayuni tetap menyepi. Masam mencuka saja wajahnya. Yusri mula resah. Bimbang akan tercetus perang pula di sini nanti. Manakala Danial, begitu selamba duduk di atas motosikal.
"Kelmarin. 4 hari." Beberapa detik berlalu, baru Ayuni menjawab ringkas.
"Ooo... Nal pun balik bercuti jugak. Dah lama kan hangpa dua tak jumpa."
"Tak tanya pun, dan tak ingin aku nak jumpa orang tu..." sinis balasan yang terbit dari bibir Ayuni. Tajam jelingannya sebelum beralih pandang ke arah Yusri.
Menggeleng Yusri dengan tingkah Ayuni.
"Saya pun tak ingin nak beritahu. Lagipun saya balik sini pun bukan nak jumpa awak," Danial bersuara membalas.
Membutang mata Ayuni. Berasap telinganya mendengar kata balas Danial. Berombak dadanya menahan marah.
Yusri yang melihat wajah Ayuni yang kemerahan cuba meredakan keadaan.
"Yuni, malam ni jangan lupa datang rumah aku tau. Kami ada buat kenduri arwah sikit," beritahu Yusri cuba mengalih perhatian Ayuni.
"Tengoklah dulu," jawab Ayuni tidak bersungguh.
"Buat apa hang ajak dia, Yus? Bukan dia nak datang. Nanti merungut pulak kena buat kerja,” tiba-tiba Danial mencelah.
‘Eeeiiiii... apasal mamat ni hah? Aku tak cari pasal dengan dia pun.’ Ayuni menjeling tajam. Makin terasa panas hati mendengar kata yang berbaur sindiran itu.
"Apa yang awak tak puas hati dengan saya ni hah???" tinggi nada suara Ayuni menyoal.
“Weh, hangpa ni... sudahlah. Tak faham betul aku. Dah lama tak jumpa, kenapa tiba-tiba nak bergaduh pulak? Apa masalah korang ni hah?"
Yusri cuba meleraikan ketegangan yang mula tercetus. Rambutnya yang tidak gatal digaru beberapa kali. Pening memikirkan masalah mereka berdua yang masih menjadi rahsia hingga kini. 
"Tanya sepupu hang yang perasan handsome ni," balas Ayuni sambil berpeluk tubuh.
"Memang handsome pun," pintas Danial dengan selambanya.
"Uweeekkk... geli tekak aku Yus dengan sepupu hang yang perasan ni. Muka macam lanun, perasan handsome. Dah la perangai macam hantu," sindir Ayuni sambil mencebik.
"Awak jangan melampau," balas Danial berbaur amaran.
"Apa! Ingat saya takut!" sahut Ayuni mencabar.
Tajam renungan mata Danial ke anak mata Ayuni. Semakin lama renungan tajam itu berubah dingin. Terpesona seketika melihat raut bersih yang tampak lebih manis dan ayu. Wajah yang dirindunya dalam diam. Dulu, sinar mata bundar itu yang ingin dipandangnya selalu. Kini mata itu memandangnya dengan penuh kebencian. Lama pandangan mereka bersatu.
Renungan Danial mula mendebarkannya. Kuat memalu dada. Walaupun perasaan benci sentiasa disemai dalam hati, tetapi mengapa masih ada rasa rindu terhadap lelaki ini? Bertahun diasuh hati melupakannya tetapi mengapa debaran tetap bertamu? Mengapa hari dia dipertemukan dengan  lelaki itu lagi? Setelah sedaya upaya dia cuba melupakan.
"Kenapa? Takut!" bentak Ayuni cuba menghilangkan debaran dengan renungan itu.
"Awak cabar saya?" soal Danial terus-terusan menatap wajah Ayuni.
"Memang saya cabar awak. Awak ingat saya takut dengan awak!" balas Ayuni tegas.
Mendengar kata-kata Ayuni, Danial turun dari motosikal. Langkah Danial makin mendebarkannya. Walaupun dia berlagak berani, tetapi dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu betapa gementarnya dia dengan wajah serius Danial.
Yusri yang hanya menjadi pemerhati sedari tadi mula menggelabah apabila Danial semakin menghampiri Ayuni. Cepat-cepat dia bergerak berdiri di hadapan Ayuni, cuba melindungi Ayuni  mengelak daripada diapa-apakan oleh Danial.
"Sabaq Nal. Hang kena ingat sikit, dia ni anak dara orang," ujar Yusri cuba menenangkan Danial.
"Ah! Peduli apa aku. Dia yang cabar aku dulu. Aku pun ada maruah Yus. Jangan ingat dia senang-senang boleh kutuk aku."
"Eleh, macam saya takut sangat!" ejek Ayuni dari belakang Yusri. Nasib baik ada kawan macam Yusri, buat penguat semangat.
"Sudahlah!! Apasal dengan hangpa ni. Dulu macam merpati dua sejoli. La ni macam anjing dengan kucing." Yusri mula rimas dengan pertikaman lidah antara Ayuni dan Danial.
"Dah Yuni, hang pi balik. Tak elok kalau orang nampak hangpa bergaduh macam ni. Hang tu dahlah anak dara. Nanti jatuh pulak saham!" Tegas Yusri bersuara.
"Jangan ingat aku blah sebab takut dengan mamat ni," ujarnya tidak mengaku kalah. Tajam jelingan Ayuni menikam mata Danial yang tidak lepas memandangnya. Langkah diayun ke arah basikal di bahu jalan.
"Sejak bila jadi minah samseng ni?" Tidak puas hati Yusri dengan kata-kata Ayuni yang mahu cari gaduh saja. .
"Sejak tadi," jawab Ayuni selamba.
"Hang nak pi mana sebenarnya?”
"Aku nak pergi kedailah," jawab Ayuni tanpa menoleh lagi.
Danial hanya diam. Memandang kosong Ayuni yang berlalu pergi hingga hilang dari pandangan mata. Yusri yang menyedari perubahan Danial menggeleng perlahan.
"Bila jauh rindu. Bila depan mata, bertekak pulak. Tak paham aku dengan perangai hang ni, Nal..." sindir Yusri.
Danial terus-terusan menyepi. Hanya langkahnya perlahan diatur ke arah motosikal. Sudah lama dia tidak balik ke sini. Tempat yang begitu banyak meninggalkan memori indah dalam hidupnya. Kini dia datang kerana rindu yang sarat dalam jiwa. Tetapi dia tidak menyangka akan bertemu kembali gadis yang sering mengusik waktu sunyinya.

Ternyata melarikan diri dari masalah bukan jalan terbaik. Walaupun sejauh mana dia pergi, rasa yang sudah lama memekar  dalam lubuk hatinya tidak pernah layu.  


No comments: