Sunday, January 7, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 2



BAB 2



“Remuk jiwa...” Ayuni letak kepala atas meja sambil menghadap muka Shafiqa yang duduk di sebelah. Menggeleng Shafiqa melihat keadaan sahabatnya yang tengah frust menonggeng.
“Huhuhu... bila nak dapat kerja ni?” Sudah sebulan dia menganggur sejak syarikat yang dia bekerja sebelum ini gulung tikar.
“Nanti dapatlah kerja tu. Belum ada rezeki lagi.” Dipujuk sahabat yang sedang patah hati sejak menjawat status penganggur.
“Nanti tu bila? Hari-hari duk tanam anggur, tapi tak berbuah-buah. Asyik makan, tidur. Dah banyak tempat aku apply tapi tak panggil-panggil pun. Yang panggil pun datang interview lepas tu terus senyap. Nak kata aku minta gaji tinggi, rasanya tak tinggi mana. Macam mana ni Fiqa? Sewa rumah, kereta, nak kena bayar. Belanja kat sini ni tau sajalah. Tinggi! Keluar rumah ja semuanya duit. Nak membuang pun kena duit. Sugar daddy pun tak ada nak support,” rungut Ayuni. 


“Mulalah nak merapu meraban hang ni. Aku kan ada.” Shafiqa menunjal kepala Ayuni.
“Aku tak nak menyusahkan hang, Fiqa. Hang dah banyak tolong aku. Bulan lepas pun hang dah bagi pinjam duit. Lagipun tahun depan hang nak kahwin. Kena simpan duit. Belanja kahwin la ni bukannya sikit. Hang tak payah risaukan akulah.”
“Ala... setakat nak pinjam untuk bayar sewa rumah ni, boleh lagi. Tapi Viva hang kat luar tu tak lepaslah.”
“Tu yang aku susah hati ni.” Ayuni tongkat dagu. Kusut dibuatnya.
“Aku ingat nak kerja part-timelah,” cadang Ayuni. Sampai bila dia hendak begini? Umpama menunggu durian tak luruh-luruh.
“Kerja part-time apa?”
“Kerjalah kat McD atau KFC. Asal lepas aku nak bayar duit sewa rumah dengan kereta. Tapi tunggu sampai hujung bulan ni, sebab minggu depan aku nak balik kampung. Rindu dah kat mak aku.”
“Mak hang tau hang tak kerja?”
Ayuni menggeleng lemah.
“Aku tak nak mak aku susah hati.” Cukuplah pengorbanan ibunya membesarkan dia dan adiknya selama ini. Sekarang biarlah tanggungjawab itu digalasnya pula. Selepas kematian ayah, ibunya bekerja keras mencari rezeki. Seawal pagi lagi mak sudah bangun untuk menyediakan nasi lemak. Alhamdulillah, nasi lemak ibunya disukai ramai. Boleh juga menampung perbelanjaan sekolah mereka adik-beradik. Ibunya juga mengambil upah menjahit.
Sekarang dia tidak benarkan ibunya membuat kerja-kerja berat lagi. Ibunya pun bukan sihat sangat hendak buat kerja seperti dulu. Biarlah dia yang berusaha pula.
“Aku minggu depan pun kena pergi Johor. Mungkin seminggu lebih aku outstation.”
“Nasib baik aku plan nak balik kampung. Kalau hang tak ada, boleh mati kutu juga aku dalam rumah ni. Bercakap dengan dinding hari-hari.”
Shafiqa gelak. Ada –ada saja kawannya nan sorang ini.
“Hari ni hang masak apa?”
“Amboi anak dara ni, balik kerja tahu nak makan ja. Nak masak punyalah liat. Macam mana nak jadi isteri orang ni? Masak pun malas.”
Shafiqa sengih.
“Lepas kahwin, aku belajarlah masak.” 
“La ni kena mula belajar masak, bukan lepas kahwin.”
“Tak apa, Badrul sayang aku. Dia tak kisah makan lauk kedai.”
“La ni bolehlah tengah manis bercinta. Apa pun boleh. Kentut pun jadi wangi. Tunggu lepas kahwin esok. Takkan hari-hari nak makan lauk kedai? Kalau hang sendiri pun cemuih.”
“Ala Yuni, hang bukan tak tau aku sibuk. Mana ada masa nak belajar masak.”
“Sibuk-sibuk juga, Fiqa. Tanggungjawab isteri, hang kena tau. Hanya air tangan si isteri mampu ikat hati si suami.”
“Itu aku tahu. Mak aku pun puas dah berleter, tapi aku kalau bab masak ni memang lemahlah. Aku bukan minat sangat masak-memasak ni.”
“Suka tak suka, itu dah jadi kewajipan seorang isteri. Jaga makan, minum, pakai suami.”
Tiba-tiba Ayuni tergelak.
“Amboi bukan main beria aku bagi nasihat kat hang, macam aku dah berlaki. Tapi aku nasihat ni untuk kebaikan hang. Sebab hang kawan baik aku.”
“Ya lah nanti aku belajar masak dengan hang macam mana nak buat nasi lemak sedap.”
 “Ya lah... nanti hang tu tak tahu bila...”
Panjang sengihan di bibir Shafiqa.





No comments: