Sunday, January 14, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 9




Assalamualaikum semua...
sambungan Diakah Cinta? Bab 9
terima kasih kepada semua yang sudi follow Diakah Cinta?
Kepada yang berminat nak miliki novel  Diakah Cinta? boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda atau order online dari Penerbitan Lovenovel. 
Whatsapp 0134226431 / 0133698404 / 0134888095 / 0196789181


Tidurnya terganggu dengan bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu. Bibir melepaskan keluhan geram. Dalam hati boleh meneka siapa yang mengganggunya  pada waktu-waktu begini. Di pandang ke arah jam dinding. Pukul 4 pagi baru ingat nak balik rumah.
Perlahan Adibah bangkit. Dia beralih pandang ke arah katil bayi di sebelah. Khuatir tidur Adam terganggu.
“Dibah! Buka pintu!” Suara pekikan Ikram semakin jelas apabila Adibah melangkah keluar dari bilik.
Sebaik sampai di pintu utama, selak pintu ditarik. Lantas daun pintu dikuak luas. Terjengul wajah masam mencuka Ikram. Tajam mata itu menikam wajah Adibah.
“Kunci rumah abang kat mana?” soal Adibah geram. Kalau dah tahu balik lambat, kenapa tak bawa kunci?
“Kau ni kenapa? Kalau aku ada kunci, takkan aku suruh kau bukakan pintu. Bodoh! Cepatlah buka pintu ni!” marah Ikram. Dihentak-hentak pintu jeriji yang masih berkunci.
Adibah mengeluh berat kala suara itu terus melantun kasar ke telinganya. Beginilah sikap suaminya sejak akhir-akhir ini. Asyik marah-marah. Kalau dulu Ikram hanya tahu marah-marah saja, tetapi sekarang apabila dia melawan mulalah tangan Ikram juga akan naik.
Tiada guna dia melayan angin baran Ikram. Lantas kunci yang tersangkut di tepi pintu dicapai. Sebaik mangga dibuka, pintu jeriji ditolak perlahan. 
“Buka pintu pun lembab!” herdik Ikram.
Ikram melangkah masuk. Langkah yang terhuyung-hayang diperhati Adibah.
“Abang mabuk lagi?”
“Diamlah kau! Aku dah banyak kali pesan jangan masuk campur hal aku.”
“Saya ni isteri abang. Takkan Dibah tak boleh nak tegur kalau ada apa yang abang buat sekarang ni satu dosa. Kita orang Islam, bang. Sampai bila abang nak macam ni? Dibah dah tak tahan hidup macam ni. Abang berhabis duit di kelab-kelab malam. Berkepit dengan perempuan sana sini. Anak isteri, abang biar berlapar di rumah. Mana tanggungjawab abang sebagai seorang suami?”
“Diam! Aku kata diam!” Satu tamparan kuat mengenai pipi Adibah. Hampir dia tersungkur jatuh.
Adibah mengusap pipinya yang terasa pijar. Darah merah mula mengalir dari bibir. Dikesat dengan jari. Dikesat dengan jari. Pandangan kembali terarah kepada Ikram. Muka Ikram menyinga. Matanya tajam menikam. Tamparan Ikram sudah lali padanya. Kalau dia melawan lagi, mungkin dia akan dapat lebih daripada ini. Tapi sampai bila dia hendak mengikut rentak Ikram? Sampai bila dia hendak berdiam diri? Sungguh, semakin hari dia semakin bosan dengan kehidupan begini. Sampai bila dia perlu bersabar, menelan setiap kepahitan yang dilakukan Ikram?
“Dibah tak boleh berdiam diri lagi. Kalau abang tak boleh bagi duit, izinkan Dibah kerja. Nak harapkan abang, tak berasap dapur. Susu, lampin Adam pun dah nak habis.”
“Hey, perempuan! Kau jangan nak membebel kat sini. Kalau tak, lagi teruk aku kerjakan. Kalau kau pandai sangat, pergilah cari kerja kat luar sana. Setakat sijil SPM, kerja apa yang kau boleh buat?”
Terteleng kepala Adibah dek tunjalan jari Ikram. Sebelum lelaki itu pergi, pandangan bersama senyuman sinis dilemparkan buat si isteri.
Adibah tertunduk. Melihat senyuman menyindir Ikram, perasaan terhina dan rendah diri sering mematahkan segala semangatnya. Meleburkan kekuatan yang ingin bangkit melangkah dari rebah. Tanpa sedar, setitis air mata mengalir lesu di pipi.
Dia juga manusia biasa yang inginkan hidup bahagia. Dibelai dan dimanja oleh suami yang mencintainya sepenuh hati. Entah mengapa, jalan takdir telah menemukan mereka berdua. Kerana cinta, dia terlalu ikut kata hati tanpa mempedulikan nasihat ibuya.
Naluri seorang ibu tidak perlu disangkal lagi. Ibunya tidak begitu berkenan dengan Ikram apabila dia membawa Ikram bertemu ibunya buat pertama kali. Kerana rasa cintanya yang membuak-buak terhadap lelaki itu, dikeraskan hati. Dia berkeras mahu berkahwin juga dengan Ikram.
Ketika itu cinta Ikram segala-gala baginya. Seperti isteri yang lain, dia juga punya angan-angan untuk membina hidup yang lebih bahagia. Tapi malangnya, selepas beberapa bulan berkahwin, perangai Ikram sedikit demi sedikit berubah. Dia kerap keluar malam. Balik tidak menentu waktu. Dan akhirnya dia mendapat tahu Ikram sering ke kelab malam.

Sejak itu, rumah tangga mereka mula berantarakan. Ketika dia disahkan mengandung,  Ikram tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Kalau suami lain, sudah tentu akan melompat kegembiraan. Demi Adam, dia terpaksa bersabar dan terus bersabar. Soal kebahagiaan, dia terpaksa tolak ke tepi. Dia masih berharap Ikram akan berubah satu hari nanti.


No comments: