Assalamualaikum semua...
sambungan Diakah Cinta? Bab 8
terima kasih kepada semua yang sudi follow Diakah Cinta?
Kepada yang berminat nak miliki novel Diakah Cinta? boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda atau order online dari Penerbitan Lovenovel.
Whatsapp 0134226431 / 0133698404 / 0134888095 / 0196789181
Whatsapp 0134226431 / 0133698404 / 0134888095 / 0196789181
Panjang helaan nafasnya. Kosong dan hambar. Itulah yang
dirasakan saat ini. Hanya renungan tanpa perasaan mampu dilemparkan di tengah
tasik. Bagaikan tiada lagi tarikan. Tempat
ini tidak mampu lagi memberi ketenangan kepadanya.
“Jomlah kita balik. Aku dah penat.”
“Baru satu round, takkan dah nak balik.” Yusri membalas
tidak percaya. Tadi beria-ia ajak dia joging kat sini. Baru satu pusingan sudah
hendak balik. Baik tak payah datang. Tidur lagi bagus. Entah apa yang tidak kena dengan sepupunya
sorang ini. Sejak balik dari kampung, pelik benar perangainya. Termenung sahaja.
Ini mesti sebab Ayuni Aisya.
Danial mengeluh panjang.
“Aku tengok hang asyik termenung saja sejak balik dari
kampung. Hang ada masalah ka?” tanya Yusri bersama satu tepukan di bahu. Satu
sikap Danial yang dia tahu, suka memendam perasaan. Sejak mama Danial
meninggal, sepupunya berubah menjadi seorang yang pendiam. Dia bersimpati
dengan nasib Danial. Sudahlah kehilangan kasih sayang seorang ibu. Papanya pula
hanya sibuk dengan urusan syarikat sehingga tanggungjawab menjaga Danial diserahkan
kepada orang gaji.
Danial mula berkawan dengan budak-budak nakal yang
menjadi perhatian sekolah. Lama-kelamaan Danial juga turut terlibat sehingga
dia hampir dibuang sekolah. Disebabkan itu, sepupunya itu dihantar balik ke
kampung. Dia tahu Danial pada mulanya tidak suka tinggal di kampung. Dalam diam
dia memprotes. Suka menyendiri dan pendiam .Tetapi siapa sangka Ayuni Aisya
mampu mengubah sikap Danial Haikal. Di samping Ayuni, Danial mampu mengukir
senyuman ceria kembali.
Namun, kecerian Danial hanya sementara. Tiba-tiba
hubungan Danial dan Ayuni renggang. Ayuni menjauhkan diri daripada Danial.
Mungkinkah ada kaitan dengan sahabat Danial yang datang ke kampung melawat
Danial sebaik mereka selesai peperiksaan SPM? Kemudian, sebaik mendapat
keputusan peperiksaan SPM, Danial ada balik ke rumah papanya. Namun, apabila
Danial kembali ke kampung, sikap sepupunya itu terus berubah menjadi seorang
yang begitu pendiam dan murung. Selang beberapa minggu, Danial mengambil
keputusan untuk tinggal dengan pak su di Johor. Dia ada cuba bertanya, tetapi
Danial lebih suka mendiamkan diri.
Danial hanya diam berdiri di tengah jambatan dengan
renungan yang jauh di tengah tasik yang beralun tenang. Soalan Yusri tidak
mampu dijawab. Yang pasti, hatinya terasa kosong dan saat ingatannya kembali
pada kejadian yang berlaku pada Ayuni, hatinya mula dipagut resah. Hatinya
tidak tenteram.
“Tak ada apa-apa. Aku okeylah,” jawab Danial. Bibir cuba
melirik senyum walaupun tampak hambar. Kemudian dia kembali menyepi.
Yusri hanya memerhati.
“Nal, dah lama aku nak tanya hang. Tapi aku takut hang
kata aku suka campur urusan hati dan perasaan hang. Sebab dulu hang pernah
warning aku, pasal hati dan perasaan hang tak boleh sesiapa pun ambil tahu.
Sebab... itu seratus peratus hak hang dan tiada sesiapa pun boleh tentukan
keputusan yang hang buat.”
Danial tersenyum. Dia masih ingat kata-kata itu. Apabila
Yusri kerap kali bertanya tentang perubahan sikapnya yang suka menyendiri
ketika itu, dia jadi marah. Kemarahan yang tak dapat dipendam sendiri akhirnya
meletus kepada Yusri.
“Tapi aku faham... masa tu hang tengah serabut. Mungkin pasal
Ayuni dan mungkin juga sebab papa hang. Lepas balik jumpa papa hang, sikap hang
lain sangat. Apa sebenarnya yang terjadi Nal?”
Danial diam. Soalan Yusri tidak mampu dia jawab. Yang
pasti biarlah peristiwa itu tersimpan kejap dalam lipatan sejarah hidupnya.
“Jomlah, kita balik,” ajak Danial.
Yusri mengeluh. Menggeleng perlahan. Dengan sendirinya
dia mengerti kesepian Danial. Dia tidak akan menemui jawapannya.
Kayuhan basikalnya semakin laju. Dia betul-betul sudah
lambat gara-gara perutnya meragam pagi ini. Dan hari ini buat pertama kalinya
dia melanggar pesan emak. Tetapi kalau ikut jalan biasa, mesti dia akan lambat
sampai sekolah. Disebabkan itu, dia mengambil keputusan melalui jalan pintas
ini.
Sesekali matanya meliar ke sekeliling kebun getah yang
sunyi dan suram itu. Meremang juga bulu romanya. Tetapi mengenangkan dia sudah
betul-betul lambat, diberanikan dirinya juga melalui kawasan itu.
Sebaik sampai di suatu selekoh, Ayuni memperlahankan kayuhannya.
Melihat Zakry bersama gengnya sedang melepak di sebuah pondok kecil membuatkan
dia berasa ragu-ragu untuk melalui jalan itu.
“Sini ka tempat diaorang lepak?” soalnya sendiri. Sedang
Ayuni berkira-kira hendak berpatah balik, namanya dilaung kuat.
“Yuni!!!”
Belum sempat Ayuni berbuat apa-apa, Zakry dan dua lagi
kawannya menghampirinya. Ayuni cuba beriak biasa walaupun perasaan takut mula menggamit
diri. Melihat ilai tawa Zakry menambahkan kecutnya.
“Nak pergi mana sayang? Bukan jalan nak pergi sekolah ikut jalan ni ka?”
Zakry mula bertindak memegang handle basikal menyebabkan
Ayuni terpaksa turun dari basikalnya.
“Helo! Jangan nak bersayang-sayang dengan aku. Geli telinga
aku dengaq.”
“Tapi aku suka panggil macam tu, mesra dan manja.” Zakry
mengeyit mata nakal.
Ayuni mencebik meluat. Dasar buaya tembaga! Pantang jumpa
perempuan, semuanya nak menganyat!
“Semua perempuan hang panggil sayang. Tepilah! Aku nak
lalu.”
Tiba-tiba Zakry menyambar lengan Ayuni. Tersentak Ayuni
dengan tindakan Zakry. Dia menelan liur.
“Lepaskan aku, Zakry! Aku dah lambat!” Tajam renungan
Ayuni pada wajah Zakry. Mahu saja dicekiknya mamat tidak faham bahasa ini.
“Marah? Janganlah marah, sayang...” ujar Zakry lembut
sebelum tawanya lepas.
“Aku cakap cara baik, Zakry. Hang jangan cari masalah
dengan aku.” Ayuni memberi kata amaran, suaranya cuba ditenangkan.
“Euuwww... takutnya aku...” balas Zakry bersama mimik
muka yang dibuat-buat seperti gerun dengan amaran Ayuni yang sedikit pun tidak
berbekas padanya.
“Lepaskan aku Zakry!” Suara Ayuni mula meninggi.
“Kalau aku tak nak lepaskan, apa sayang boleh buat?”
Zakry selamba menjawab.
“Hang memang cari pasal dengan aku!” Ayuni menendang kuat
kaki Zakry bertubi-tubi.
Tindakan Ayuni menyebabkan Zakry terpaksa melepaskan
pegangannya. Dia terlompat-lompat menahan sakit.
“Kurang ajaq!” Zakry menyumpah kuat sambil menghentak handle
basikal sehingga menakutkan Ayuni.
Ayuni telan liur. Dia mengundur ke belakang. Zakry sudah
bergerak mendekat. Bunyi basikal terjatuh mengejutkan Ayuni. Manakala dua lagi
sahabat Zakry hanya tergelak sinis sambil memerhati.
“Hang jangan buat kerja gila, Zakry.”
Ayuni semakin mengundur ke belakang. Melihat kiri dan kanan
sekiranya ada sesiapa yang melalui jalan ini. Tetapi, dia tidak nampak kelibat
sesiapa pun.
“Hang jangan dekat dengan aku. Aku jerit nanti!”
“Jeritlah. Aku nak tengok siapa yang datang tolong.”
Tanpa Ayuni duga, Zakry bertindak menyambar lengannya dan
cuba memeluknya. Nasib baik dia sempat menahan dengan tangan. Lantas ditolak
kasar tubuh Zakry. Saat itu, dia rasa hendak menangis.
`Ya Allah, Kau lindungilah aku daripada segala musibah,’ doanya
dalam hati sambil berusaha melepaskan genggaman Zakry. Dia pasti lengannya
sudah berbekas dek genggaman Zakry yang kuat dan menyakitkan.
“Zakry, tolong lepaskan aku...” Kali ini nada suara Ayuni
sudah berubah nada merayu. Tubir matanya sudah berlinang. Namun, rayuannya
hanya disambut ketawa kuat Zakry.
“Lepaskan dia!!!”
Danial! Saat ini, tiada lagi ungkapan yang dapat
menggambarkan perasaan lega kala melihat lelaki itu. Kehadiran Danial meniup
semangat ke dalam dirinya untuk berusaha melepaskan diri. Dengan sekuat hati,
Ayuni menolak tubuh Zakry dan kali ini dia berjaya melepaskan tangannya dari
genggaman lelaki itu.
Namun begitu, tindakan Ayuni menimbulkan kemarahan Zakry.
Tudung Ayuni ingin disambarnya tetapi sempat dihalang Danial.
“Din! Yob!” Zakry memberi isyarat kepada dua rakannya.
Ayuni yang menyaksikan pergelutan antara Danial dengan
rakan Zakry terasa menggigil seluruh badan.
“Sudah! Berhenti!” Ayuni menjerit kuat. Walaupun Danial
dapat menepis setiap serangan, tetapi Ayuni tetap cemas melihat aksi pergelutan
itu.
Terbeliak mata Ayuni apabila tiba-tiba Zakry meluru ke
arah Danial sebaik melihat dua rakannya tewas dan terbaring sambil mengerang
kesakitan.
Dup! Satu tumbukan singgah betul-betul di muka Danial.
Saat itu, Danial tidak menyedari serangan Zakry yang tiba-tiba itu. Terteleng
kepala Danial. Perlahan dia berpaling kembali memusat pandangannya ke wajah
Zakry.
“Lain kali jangan cuba masuk campur hal orang. Kau belum
kenal sapa aku. Kau budak baru kat sini. Jadi, buat cara budak baru. Jangan nak
jadi hero pulak kat sini.” Zakry memberi amaran keras.
Namun, Danial hanya beriak selamba. Darah yang mengalir
di bibirnya disapu dengan ibu jari.
“Kalau aku budak baru, kenapa? Senang kau nak buli? Kalau
setakat gengster kampung macam kau ni. Bukan lawan akulah.” Bibirnya menarik
senyum sinis membuatkan Zakry rasa tercabar.
“Kurang ajar!” suara Zakry melengking kuat. Satu pukulan
cuba dibuat tetapi dapat ditepis Danial.
Zakry mula berang. Dia cuba menyerang Danial lagi tetapi
kali ini tendangannya tersasar, malah perutnya yang menjadi sasaran tumbukan
Danial. Tumbukan itu membuatkan dia tersungkur ke tanah.
“Lembik!”
“Sudah!” Ayuni terjerit kuat apabila Zakry berdiri dan
ingin menyerang Danial lagi. Dalam keadaan sakit begitu pun masih mahu melawan
lagi.
Danial hanya mengelak sahaja dan satu tendangan pada
punggung Zakry menyebabkan sekali lagi Zakry jatuh tersungkur mencium tanah. Akhirnya
Zakry mengalah. Dengan wajah berkerut-kerut menahan sakit, dia memanggil dua
rakannya pergi dari situ. Sebelum berlalu pergi, sepasang matanya tajam
merenung tepat wajah Danial.
“Antara kita belum habis lagi!” Keras suara Zakry.
Amaran itu hanya dipandang sinis Danial, seakan-akan
tidak terkesan langsung. Tanpa sepatah kata, Danial terus mengambil beg sekolah,
lantas disangkut ke bahu. Baju seragam sekolah dibetulkan dan kaki mula
mengorak langkah.
“Awak...” panggil Ayuni. “Terima kasih tolong saya.” Ayuni
menghulurkan sapu tangannya kepada Danial.
“Bibir awak.” Jari
telunjuk ditunjuk ke arah tubir bibir kirinya sendiri menunjukkan di mana luka
pada bibir Danial. Perasaan bersalah mula menggamit jiwa. Kerana hendak
menolongnya, Danial mendapat sakit.
Danial menyambut huluran sapu tangan Ayuni tanpa suara
sebelum berlalu pergi. Beberapa langkah kakinya melangkah, dia berhenti.
“Lain kali jangan ikut jalan ni. Bahaya.” Sempat Danial
berpesan sebelum menyambung langkah.
Ayuni mengetap bibir. Inilah akibatnya melanggar pesanan
orang tua. Mujur dia tidak apa-apa. Kalaulah Danial tidak datang tepat pada
masanya, entah apa akan jadi kepada dirinya. Dia benar-benar rasa terhutang
budi kepada lelaki itu.
“Hoi! Berangan!”
Sergahan Shafiqa menerbang jauh memori lalu. Entah kenapa
sejak bertemu kembali dengan lelaki itu, fikirannya seakan memutar kembali
kenangan mereka dahulu.
“Mana ada aku berangan,” selar Ayuni.
“Hang sejak balik dari kampung termenung sana, termenung
sini. Ada apa-apa yang aku tak tahu?”
“Tak ada apalah,” nafi Ayuni cuba menyembunyikan gelodak
jiwa. Pertemuan yang tidak disengajakan mengundang kembali rasa yang tidak
pernah padam. Hanya dia yang mampu membuatkan dadanya berdebar. Dan debaran itu
kembali berirama meresahkan jiwa.
“Aku ada jumpa Mak Nab, “ beritahu Ayuni mengalih
perhatian Shafiqa yang sedari tadi merenungnya. Bukannya dia tidak tahu
perangai kawannya yang seorang ni. Dia kan ada ilmu membaca air muka orang.
“Mak Nab minta tolong aku cari rumah Dibah. Dah lama Dibah
tak balik kampung. Telefon pun sekali sekala. Mak Nab risau kalau-kalau Dibah
ada masalah.”
“Hang ada alamat rumah Dibah?”
“Ada, Mak Nab bagi. Aku harap dia tak pindah. Mak Nab beritahu
Dibah dah jarang call dia. Bila Mak Nab tanya bila nak balik, katanya Ikram
tengah sibuk, tak dapat ambil cuti.”
“Tapi takkan cuti sehari dua pun tak boleh? Kalau Ikram
tak boleh cuti, Dibah dengan anaknya ajelah yang balik. Lagipun Dibah tak kerja
kan?”
“Mak Nab beritahu aku, Dibah tak kerja.” Panjang helaan
nafas Ayuni. Dia dapat merasakan sesuatu. Mungkinkah sahabatnya Adibah dalam
kesusahan?
No comments:
Post a Comment