Assalamualaikum semua...
sambungan Diakah Cinta? Bab 10
terima kasih kepada semua yang sudi follow Diakah Cinta?
Kepada yang berminat nak miliki novel Diakah Cinta? boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda atau order online dari Penerbitan Lovenovel.
Whatsapp 0134226431 / 0133698404 / 0134888095 / 0196789181
BAB 10
Whatsapp 0134226431 / 0133698404 / 0134888095 / 0196789181
BAB 10
“Betul ka rumah ni ikut alamat yang Mak Nab
bagi?” soal Shafiqa inginkan kepastian melihatkan keadaan kawasan halaman yang
ditumbuhi lalang dan tidak terurus.
“Betullah rumah ni.” Dibaca sekali lagi
alamat yang diberikan oleh Mak Nab tempoh hari. “Macam tak ada orang ja.”
“Tapi tingkap terbuka. Cuba bagi salam,” cadang
Shafiqa. “Assalamualaikum...”
Sepi.
“Tak ada orang jawab pun, Yuni. Jomlah kita
balik. Seram pulak aku.”
“Isy! Hang ni... nak seram pasal apa
siang-siang ni? Assalamualaikum...” Kali ini Ayuni pula memberi salam.
“Mana ada orang, Yuni.”
“Tunggu kejap lagi. Aku rasa ada orang
dalam rumah tu.” Entah kenapa nalurinya kuat menyatakan ada seseorang yang
sedang memerhatikan mereka dari dalam rumah.
“Assalamualaikum,” Sekali lagi Ayuni
memberi salam.
“Waalaikumussalam.”
Tiba-tiba pintu gelansar cermin ditolak
perlahan. Susuk tubuh seseorang yang menghampiri mereka diperhati tanpa
berkedip.
Terkejut dengan kedatangan Ayuni dan
Shafiqa membuatkan Adibah tidak tahu hendak bereaksi bagaimana. Apatah lagi
dengan keadaannya yang pastinya tampak teruk di mata sahabatnya ini.
“Eh, Yuni. Fiqa.” Cuba melemparkan senyuman
walaupun perit rasa tubir bibirnya kesan tamparan Ikram semalam.
Ayuni hanya diam memerhati. Mengamati
sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. Adibah sudah banyak berubah. Susuk tubuhnya
tampak susut dan raut wajah yang sedikit cengkung menggamit rasa tidak sedap
dalam hatinya. Apatah lagi melihat kesan lebam di tubir bibir Adibah seakan-akan
memberitahunya sesuatu.
“Hang apa khabar, Dibah?” soal Ayuni. Jelas
raut wajah Adibah tidak senang dengan pertemuan yang tidak diduga ini. Adibah
seperti ingin menyembunyikan sesuatu dari pandangannya.
“Aku sihat,” jawab Adibah cuba beriak ceria
walaupun hakikatnya dalam hati merintih duka.
“Dah lama hang tak balik kampung?”
“Suami aku sibuk. Sebab tu kami tak boleh
balik. Tengoklah bila Ikram dah tak sibuk sangat, kami balik nanti.”
“Mak Nab rindu kat anak dan cucu dia.”
Hati dipagut pilu. Dia juga rindukan ibunya
. Sudah berapa kali dia meminta izin Ikram untuk balik ke kampung, tetapi jawapan
yang dia dapat hanya herdikan Ikram. Dia tahu Ikram kecil hati dengan ibunya
kerana keengganan ibunya untuk menjual tanah pusaka peninggalan arwah ayah. Walaupun
sekarang ibunya menanggung hutang dengan Tuan Darus, tetapi tanah pusaka itu
tidak sekali-kali akan digadaikan. Ibunya sanggup bersusah payah mengambil upah
menoreh untuk membayar hutang. Hanya itu sahaja harta peninggalan ayah untuk
mereka.
“Adam mana?” tanya Ayuni.
“Adam tidur.”
Adibah mula gelisah. Pandangan Ayuni seakan-akan
boleh membaca sesuatu dari raut wajahnya.
“Hang dah lama tak call kami,” kata
Shafiqa.
“Aku sibuk kebelakangan ni, Fiqa.” Sibuk
dengan masalah rumah tangganya yang tidak tahu penghujungnya. Semalam dia
bergaduh besar dengan Ikram hanya kerana dia meminta duit untuk membeli susu
Adam. Barang-barang dapur juga sudah habis. Bukan duit yang dia dapat, tetapi
penampar Ikram. Jika melawan, sepak terajang pula yang dia dapat. Entah berapa
lama lagi dia sanggup bertahan. Dia sendiri tidak tahu.
“Mak hang ada bagi nombor telefon yang baru
tapi aku call tak dapat,”beritahu Ayuni.
“Tel... telefon aku rosak.” Tergagap-gagap
Adibah menjawab. Hakikat yang sebenarnya, telefon bimbitnya telah berkecai dicampak
ke dinding oleh suaminya. Telefon bimbit itu langsung tidak dapat diselamatkan.
Entah hantu apa yang merasuk Ikram sehingga boleh bertindak begitu sekali.
Ikram sanggup bertindak kasar terhadapnya
hanya kerana dia bertanyakan tentang perempuan yang sering menghubungi Ikram.
Dia tidak boleh ambil tahu aktiviti luar suaminya itu. Kalau dia sibuk bertanya,
tubuhnya yang akan menjadi mangsa.
“Bibir hang kenapa?” tanya Ayuni kala
melihat Adibah seakan termenung jauh. Adibah seperti menyembunyikan sesuatu.
Raut wajah itu seakan menanggung kesedihan.
Adibah tersedar dengan teguran Ayuni. Perlahan
jari menyentuh bibir. Tampak ketara sangatkah kesan di bibirnya. Sudah
ditempek-tempek bedak sebelum keluar tadi.
“Oh, ini sebab aku jatuh,” bohongnya.
Berkerut dahi Ayuni.
“Jatuh?” Jelas nada suara Ayuni tidak
percaya.
Adibah mula gelisah.
“Yuni, Fiqa... aku minta maaf
sangat-sangat. Aku nak keluar kejap lagi. Ada hal sikit. Mungkin lain kali kita
boleh jumpa.” Adibah mula mencipta alasan. Tidak mahu Ayuni dan Shafiqa
menghidu masalah rumah tangganya.
Walaupun
wajah Ayuni dan Shafiqa seakan-akan mensyaki sesuatu, tetapi dia tidak
tahu alasan apa lagi yang hendak diberi. Masalah rumah tangganya biarlah dia
saja yang tanggung. Andai satu hari nanti rumah tangganya tidak dapat
diselamatkan lagi, dia reda. Apa yang penting sekarang Adam. Buat masa ini
Ikram belum lagi berani mengapa-apakan Adam.
“Ni nombor aku dengan Fiqa. Kalau ada
apa-apa, hang jangan lupa call kami.” Ayuni menghulurkan sekeping nota kecil yang
tercatat nombor telefonnya dan Shafiqa.
“Aku minta maaf tak dapat sembang lama dengan
hangpa.” Adibah menyambut perlahan kertas nota kecil itu.
“Tak
apa Dibah. Mungkin lain kali kita jumpa dan boleh sembang panjang.” Tangan
Adibah digenggam kemas. “Dibah...” Dalam renungan mata Ayuni kepada sahabatnya
itu.
“Kalau ada apa-apa, call aku. Aku dan Fiqa
sentiasa ada untuk hang.” Sempat dititipkan pesan buat Adibah yang tampak sayu
di matanya.
Tiada ungkapan yang terbit dari bibir
Adibah, hanya anggukkan kecil mengiringi pesanan Ayuni itu.
“Aku rasa Adibah ada masalah,” luah Ayuni
tidak lama kemudian sebaik kereta meluncur di atas jalan raya.
“Aku pun rasa macam tu.” Shafiqa turut
bersetuju dengan kata-kata Ayuni.
“Aku rasa kesan lebam kat bibir Dibah bukan
sebab jatuh. Tapi kena pukul.” Nalurinya kuat menyatakan Adibah ada masalah dengan
suaminya. Renungan sayu sepasang mata sahabatnya itu sentiasa bermain di ruang
mata. Tiada lagi sinar bahagia terbias dari sepasang mata hitam Adibah. Apa yang
dia nampak ialah kelukaan yang tidak terluah.
No comments:
Post a Comment