Sunday, January 14, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 12


Assalamualaikum semua...
sambungan Diakah Cinta? Bab 12
terima kasih kepada semua yang sudi follow Diakah Cinta?
Kepada yang berminat nak miliki novel  Diakah Cinta? boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda atau order online dari Penerbitan Lovenovel. 
Whatsapp 0134226431 / 0133698404 / 0134888095 / 0196789181

BAB 12

“Macam mana interviu tadi?” soal Shafiqa teruja. Terus dia dekati Ayuni yang baru melabuhkan punggung di sofa.
“Kut ya pun, bagi aku tarik nafas dulu.”
Gelas di tangan Shafiqa dipandang penuh minat. Fresh orange! Terus disambar gelas itu lantas diteguknya sehingga tinggal separuh.
“Terima kasih,” ucapnya sambil memberikan kembali gelas kepada Shafiqa yang nampak tidak puas hati.
“Kurang asam punya kawan. Air aku disonglapnya.”
Ayuni hanya tersengih.
“So macam mana interviu tadi?” tanya Shafiqa lagi.
Ayuni hanya diam. Tidak menjawab pertanyaan Shafiqa yang tidak sabar ingin tahu tentang temuduga entah kali ke berapa itu. Melihat raut wajah Ayuni yang berubah muram, dia sudah dapat menduga.
“Tak apalah, Yuni. Bukan rezeki hang kat situ.”
Perlahan Ayuni berpaling memandang Shafiqa.
“Aku dapat kerja tu!” jerit Ayuni. Wajah muram tadi sudah berubah ceria.
Bahu Ayuni menjadi sasaran tangan Shafiqa. Geram.
“Adoiii! Sakitlah!” Diusap-usap bahunya yang terasa pedih dek tamparan sahabatnya yang boleh tahan kuat.
“Padan muka!”
“Usik sikit tak boleh.”
“Bila mula?” tanya Shafiqa.
“Isnin, minggu depan.”
“Cepatnya.”
“Sebab diaorang nak cepat. Syukur sangat, Fiqa. Masa nak interviu macam-macam doa aku baca. Memang aku berharap sangat dapat kerja tu. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Bila HR beritahu aku boleh start kerja minggu depan, rasa nak meloncat masa tu. Tapi kenalah cover sikit, kan...” cerita Ayuni. Senyuman tidak lekang di bibir. Segalanya ingin dikongsi bersama sahabat baiknya itu.
“Alhamdulillah... aku pun tumpang gembira. Lega aku. Kalau tak, asyik duk menghadap muka monyok orang tu ja. Seksa zahir batin aku.”
Bulat mata Ayuni sebaik mendengar kata-kata Shafiqa itu.
“Oit! Perli aku ka?”
Shafiqa menarik sengih. Dia hanya menjongket sebelah keningnya dengan jelingan tajam Ayuni. Tak takut pun! Dia kenal benar dengan sahabatnya yang sorang ini. Mana pernah nak marah lebih-lebih. Habis kuat pun membebel ja. Tapi dia lebih suka kalau Ayuni membebel daripada menjadi manusia bisu. Haru juga dia hendak memujuknya. Tapi kebisuan sahabatnya tidak lama. Kena dengan gaya pujuknya, sekejap saja wajah comel tu kembali ceria.
 “Cepat hang balik kerja hari ni. Selalu nak terbenam matahari baru balik,” tanya Ayuni.
“Aku ada meeting kat JPS tadi. Habis meeting dah kat kul 5. Aku terus balik,” jawab Shafiqa sambil mencapai alat kawalan jauh TV yang terletak di atas meja kopi.
“Yang hang pulak, interviu pagi kan? Kenapa petang baru sampai rumah?”
“Aku pergi Giant, beli barang dapur sikit,” beritahu Ayuni. Alat kawalan jauh di atas riba Shafiqa dicapai. Jemari mula menekan mencari saluran yang menarik petang-petang begini. Tiba-tiba dia teringat sesuatu yang ingin diberitahu kepada Shafiqa.
“Fiqa, tadi aku nampak Dibah dengan anak dia. Ikram pun ada sekali,” beritahu Ayuni.
“Hang nampak Dibah kat mana?”
“Kat McD.”
“Hang tak tegur diaorang?”
“Aku nak tegur, tapi bila aku dengar Ikram duk marah-marah, terus aku tak jadi nak pergi dekat.”
“Diaorang tak perasan hang ka?”
“Macam mana nak perasan. Dibah asyik menunduk ja. Kesian aku tengok. Yang si Ikram tu, masalah rumah tangga pun nak bawa sampai ke luar rumah. Tengok tempatlah sikit. Nasib baik orang tak berapa ramai.”
 “Hang rasa Dibah tengah ada masalah dengan Ikram?” tanya Shafiqa.
“Entahlah. Kita tak tahu hal sebenar. Tak boleh nak tuduh membuta tuli. Dibah pun hari tu macam mengelak nak bersembang lama dengan kita.”
“La ni apa perlu kita buat? Takkan nak biarkan kawan kita macam tu ja?” luah Shafiqa. Mereka berkawan sejak kecil. Bermain bersama. Pergi sekolah bersama. Bila tamat sekolah, masing-masing bawa haluan sendiri.
Adibah tidak mendapat tawaran dari mana-mana pusat pengajian tinggi. Hendak melanjutkan di kolej swasta, keluarganya tidak mampu. Disebabkan itu, Adibah mengambil keputusan bekerja di sebuah kilang. Di situlah dia berkenalan dengan Ikram. Selepas berkahwin, Ikram berpindah tempat kerja di Kuala Lumpur. Sejak itu, mereka seperti putus hubungan dengan Adibah. Apatah lagi Adibah jarang sekali balik kampung.
“Tapi masalah rumah tangga dia kita tak boleh masuk campur,” kata Ayuni. Wajah keruh Adibah kembali bermain di ruang mata. Dia dapat rasakan sahabatnya itu sedang menahan tangis. Perasaan malu usah dikata. Bukannya dia tidak perasan mereka menjadi tumpuan beberapa pasang mata yang ada di situ. Melihat anak kecil di atas pangkuan Adibah semakin merudum perasannya. Anak kecil itu seakan mengerti perasaan ibunya yang sedang dimarahi.
“Bila-bila kita pergi jumpa Dibah,” saran Shafiqa.
Ayuni mengangguk. Sahabat mereka itu perlu dibantu.

No comments: