Thursday, January 11, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 6



Assalamualaikum semua...
sambungan Diakah Cinta? Bab 6
terima kasih kepada semua yang sudi follow Diakah Cinta?
Kepada yang berminat nak miliki novel  Diakah Cinta? boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda atau order online dari Penerbitan Lovenovel. 
Whatsapp 0134226431 / 0133698404 / 0134888095 / 0196789181
                   

BAB 6

Ayuni duduk bersila di depan rak-rak yang menempatkan buku-buku dan majalah-majalah di ruang tamu. Matanya tertaNcap pada beberapa album yang tersusun kemas di hadapannya. Terdetik dalam hati untuk melihat foto-foto yang mengisi ruang di dalam album itu. Lalu dia menarik sebuah album yang kelihatan agak kusam warna kulitnya.
Tatkala membuka album itu, mata tertumpu pada gambar zaman sekolahnya. Dulu, selama mengenali lelaki bernama Danial Haikal, lelaki itu seorang pendiam dan perahsia. Teringat detik pertama mereka bertemu dulu.
“Yuni! Fiqa!”
Serentak mereka berpaling ke arah suara itu. Yusri menapak menghampiri mereka bersama seorang pemuda di sampingnya.
“Hangpa nak ke mana?” tanya Yusri tersenyum ceria.
“Tak ke mana pun... saja jalan-jalan ambil angin petang. Hang pulak nak pi mana?” jawab Ayuni dan bertanyakan hala tuju Yusri pula.
“Aku bawa sepupu aku ni jalan keliling kampung. Tahun depan dia masuk sekolah kita,” beritahu Yusri.
Ayuni mengamati pemuda itu yang hanya berlagak selamba di sebelah Yusri. Satu persatu penilaian diberikan terhadap pemuda itu. Rambutnya lurus tampak kemas walaupun panjang hingga mencecah bahu. Mamat rockers mana tersesat dalam kampungnya ini? Muka macam tidak ada perasaan saja. Sombong ka apa?
Mata Ayuni terarah pada T’shirt hitam bergambar bintang rockers dan rantai yang tersarung di leher pemuda itu. Matanya melurut pula pada seluar jean yang berkoyak di bahagian lutut. Kenapa pulak nak dikoyaknya seluar tu? Berangan nak jadi bintang rock kot. Macam kumpulan Search. Phiiwitttt!!! Teringat trademark penyanyi kumpulan itu membuatkan bibir Ayuni melirik segaris senyuman.
Tanpa dia sedari, pemuda itu juga sedang memerhatikannya. Mati senyumannya tatkala bertemu pandang dengan pemuda itu. Dia terkedu. Renungan itu seakan menusuk ke sanubarinya sehingga mengundang debaran dalam dada.
“Yuni, Fiqa... kenalkan sepupu aku, Danial Haikal. Panggil ja dia Nal,” beritahu Yusri memperkenalkan sepupunya. 

Serentak Ayuni dan Shafiqa menunduk sedikit tanda perkenalan. Namun, Danial hanya membisu seribu bahasa.
“Kenapa tukar sekolah kat sini? Sebelum ni sekolah kat mana?” ramah Shafiqa bertanya.
“Dia duk KL, pak ngah nak ke overseas... tak ada sapa nak tengokkan dia, tu sebab pak ngah minta keluarga aku tolong tengok-tengokkan dia,” jelas Yusri.
“Ooo... begitu...” balas Shafiqa sambil mengangguk faham.
“Kalau macam tu tahun depan kita ada kawan barulah. Boleh Nal join kumpulan kita nanti." cadang Shafiqa ceria.
“Kalau kau nak tahu Nal, kami memang aktif dalam aktiviti sekolah. Kalau hang berminat boleh join kami," terang Yusri pada Danial.
Danial hanya tersenyum nipis.
“Wey, jom kita duduk bawah pokok tu,” ajak Shafiqa sambil kepala dihalakan ke arah sepohon pokok besar yang merimbun daunnya di tepi sungai. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain di situ.
Sepakat mereka setuju dengan cadangan Shafiqa itu. Ayuni yang berjalan di sebelah Yusri menoleh sekilas ke arah pemuda itu yang diam sedari tadi sebelum mendekatkan dirinya dengan Yusri.
“Yus, sepupu hang tu bisu ka?” bisik Ayuni perlahan.
“Hesy, hang ni... mana ada, dia tak ada cacat celanya,” beritahu Yusri menyangkal keras sangkaan Ayuni.
Membuntang mata Ayuni. Ingin sahaja dia menekup mulut sahabatnya itu. `Isy! Yus ni...  kalau bercakap tu tak boleh nak slow sikit.’
“Dah dia diam ja dari tadi. Bila Fiqa tanya, hang yang tolong jawabkan.”
“Dia memang macam tu... tak banyak cakap.”
“Hang ni kalau bercakap boleh slow sikit dak? Dengar kat sepupu hang tu terasa pulak dia nanti,” ujar Ayuni mula kurang senang. Tajam jelingan dilemparkan kepada Yusri.
Yusri hanya mencebik. Ayuni mengerling ke arah pemuda itu yang tidak memberi sebarang reaksi. Wajahnya tetap serius seperti tadi.
Sejak dari itu, nama Danial Haikal sering meniti di bibir pelajar-pelajar perempuan di sekolahnya. Penampilan Danial Haikal begitu berbeza sekali pada hari pertama persekolahan bermula. Rambutnya telah dipotong dan disisir rapi. Dia tampak segak dan kemas dalam pakaian seragam sekolah.
Hari pertama, dia sudah menjadi tumpuan sang gadis. Danial Haikal di tempatkan sekelas dengan Yusri dalam aliran sains. Walaupun mereka berlainan kelas kerana Ayuni dalam aliran sastera tetapi dalam aktiviti-aktiviti sekolah mereka sering dalam satu kumpulan.
Mana mungkin dia dapat melupakan insan bernama Danial Haikal. Tingkah lakunya sentiasa menjentik tanda tanya dalam benak fikiran. Sorotan matanya bersahaja, sesekali tajam menusuk menggetar rasa. Namun, sikap pendiamnya dan suka menyendiri menyebabkan dia sukar didekati. Sukar menyingkap rahsia yang terselindung di balik wajah itu.
Ayuni terus menatap gambar-gambar yang kebanyakannya pada zaman persekolahan mereka dulu. Segaris senyuman tidak lekang di bibirnya. Masih kuat terlayar dalam memori pertama kali dia menegur jejaka intipan gadis-gadis di sekolahnya semasa mereka ditugaskan di perpustakaan bersama.
“Mama awak ikut papa awak ke overseas jugak?” tanya Ayuni membuka bicara. Hari ini mereka pertama kali mereka ditugaskan bersama dan sejak setengah jam yang lalu, mereka hanya membisu. Sedari tadi, Danial Haikal khusyuk dengan buku yang baru diambilnya di rak perpustakaan itu.
Tanpa memanggungkan kepala, Danial menggeleng tanpa kata.
“Habis tu, kenapa awak tak tinggal dengan mama awak?” tanya Ayuni lagi.
Danial diam seketika.
“Mama saya dah tak ada,” sayu nada suara Danial kedengaran. 

Ayuni terkedu. Rasa hendak ketuk sahaja kepalanya kerana menyibuk hal peribadi orang.
“Maaf... saya tak tahu,” lembut suara Ayuni seolah-olah menyesali keterlanjurannya.
Danial hanya diam.
Ayuni memerhati keadaan perpustakaan yang senyap sunyi. Kelihatan beberapa orang pelajar sedang tekun menelaah dan mencari maklumat dari buku rujukan. Ayuni bermain-main dengan pen di tangan.
“Masa di sekolah lama, awak aktif dalam aktiviti ko-kurikulum?” soal Ayuni lagi memecah keheningan antara mereka.
Sekali lagi Danial menggeleng tanpa mengangkat muka.
“Awak berminat tak nak join mana-mana persatuan? Selalunya sekolah kita aktif dalam pertandingan antara sekolah-sekolah. Kalau awak berminat, saya boleh uruskan.” Tersenyum ceria Ayuni memberi usul.
Danial Haikal mengangkat muka dan menoleh memandang Ayuni.
“Awak!” kata Danial sambil kepala dihalakan ke satu arah.
Ayuni turut menoleh ke arah itu. Dia terkedu apabila melihat papan tanda “ZON SENYAP”. Merona wajahnya. Perlahan dia menoleh memandang Danial yang sudah tunduk menatap bukunya kembali. Muncung muka Ayuni bila menyedari lelaki itu menyindirnya.
`Tak apa, kau kenakan aku ya...’
Ayuni kembali menjalankan tugasnya. Buku-buku yang dipulangkan oleh pelajar-pelajar diagihkan kepada dua bahagian untuk diletakkan kembali ke rak buku. Kemudian dia berdehem memanggil Danial yang sedang meletakkan keratan akhbar di sebuah rak.
Danial menoleh. Ayuni hanya menunjukkan isyarat tangan ke arah buku-buku yang tersusun di hadapannya. Danial melangkah menghampiri. Ayuni menolak buku-buku yang telah disusunnya tadi kepada Danial. Dengan isyarat tangan, dia menunjuk ke arah rak-rak yang berada di bahagian belakang bilik perpustakaan itu.
Danial meneliti buku-buku itu.
“Macam mana saya nak tahu buku ini diletakkan di bahagian mana?” tanya Danial.
Ayuni membuka salah satu buku dan menunjukkan beberapa catatan yang ada di belakang buku itu untuk rujukan Danial. Namun, tingkah Ayuni itu menimbulkan kehairanan dalam benak fikiran Danial.
"Sejak bila pula awak jadi bisu?" selamba Danial bertanya.
Terjongket sebelah kening Ayuni. Kali ini kepalanya ditala ke satu arah.
Danial turut menoleh ke arah itu. Danial terkedu. Papan tanda yang ditunjukkan kepada Ayuni tadi kini ditujukan kepada dirinya pula. Danial menggeleng dan segaris senyuman menghiasi wajahnya.
Berkerut dahi Ayuni dengan tingkah Danial. `Apa yang lucu sangat? Tadi dia jugak yang suruh aku jangan bercakap.’
Namun, apabila Danial kembali berpaling memandangnya, Ayuni terpanar. Senyuman cukup menawan itu terlayar di ruang mata. Dia kaku seketika. Tanpa dipinta, debaran dalam dada berdegup laju dari biasa. Tapi Ayuni cepat tersedar. Dia mengalih pandangan. Tidak mahu tertangkap oleh mata helang lelaki itu. Aura pesona Danial Haikal sudah mula meresap dalam dirinya. Bikin malu sahaja nanti.
Peristiwa itu sekali lagi mengundang senyuman di wajah Ayuni. Dia terus menatap gambar-gambar di dalam album itu. Kali ini sekeping gambar yang mencatat memori indah di antara dia dengan Danial menjadi tatapan matanya. Ayuni menyentuh lembut gambar itu, seolah-olah menggamit memori itu terlayar dalam ingatan.
Ketika itu, sekolah mereka mengadakan persembahan teater untuk Hari Kebudayaan. Danial ditugaskan memegang watak Hang Tuah, manakala Ayuni sebagai Tun Teja. Sepanjang sesi latihan, bermacam-macam ragam dan detik manis terpahat dalam ingatannya. Walaupun pada mulanya agak sukar, tetapi Danial memberi kerjasama yang baik dan segalanya berjalan lancar sehingga hari persembahan itu diadakan.
“Danial! Yuni! Aku nak ambil gambar hangpa. Yuni, hang duduk kat kerusi tu. Danial, hang berdiri sebelah Yuni,” suara Yusri kedengaran agak tegas memberi arahan.
Ayuni sudah mempamerkan wajah cemberutnya. Tetapi lain pula Danial, tetap berwajah selamba dan bersahaja.
“Wey! Yuni! Cepatlah!” desak Yusri.
Shafiqa yang ketika itu berada di sebelah Ayuni menguntum senyum. Beberapa kali Yusri memberi isyarat mata kepada Shafiqa supaya berbuat sesuatu. Dia tahu Ayuni malu hendak bergambar bersama Danial.
“Pergilah Yuni... ” perlahan nada Shafiqa bersuara.
“Tak mahulah aku,”
“Awat pulak?”
“Tak tahu,” itu sahaja jawapan yang mampu Ayuni berikan. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tidak mahu bergambar dengan Danial. Perasaan malu tiba-tiba terasa menebal dalam diri.
“Atau hang ada hati kat dia?” usik Syafiqa.
Mencerlung mata Ayuni memandang Shafiqa.
“Mana ada... hang jangan nak memandai...”
“Habis tu... kalau tak ada, pasai apa hang nak malu pulak? Buat macam biasa sudahlah, Yusri nak ambil gambar hangpa berdua untuk laporan aktiviti sekolah,” jelas Shafiqa.
“Tadi kan dah ambik. Tak cukup lagi ka?” kata Ayuni masih tidak mahu mengalah.
“Hang ni... kalau pasal mengelat, nombor satu. Tadi kan ramai-ramai, gambar hangpa berdua mana ada lagi.”
“Yuni! Cepatlah!”
Serentak Ayuni dan Shafiqa beralih pandang ke arah Yusri apabila mendengar suara sahabat mereka itu. Berkerut dahi Ayuni sambil menggeleng perlahan kepada Yusri tanda tidak mahu.
“Cepatlah Yuni... Danial dah ready tu.” Yusri terus mendesak Ayuni.
Mendengar kata Yusri itu, pantas Ayuni beralih pandang ke arah tengah pentas. Danial sudah sedia berdiri di sebelah kerusi. Renungan Danial ditatap seketika sebelum dia melarikan pandangannya ke arah Yusri. Entah mengapa renungan itu sering kali mengundang rasa debaran dalam hati. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa payahnya dia mengawal rasa debaran itu.
Dengan berat hati Ayuni melangkah juga ke atas pentas. Terasa malu pula bila asyik didesak oleh Yusri dan Shafiqa. Apa kata pelajar-pelajar lain pula nanti?
Setiap langkahnya diiringi debaran yang semakin kuat memalu dada. Tidak sedikit dipandang wajah Danial. Ketika dia melabuhkan punggung di kerusi itu, selendangnya melurut jatuh dari bahu. Pantas tangan menyambar selendang daripada jatuh ke lantai, dan kala itu juga Danial turut mencapai selendangnya itu.
Bagaikan terkena kejutan elektrik tatkala tangan mereka bersentuhan. Pantas, Ayuni menarik tangannya. Dia hanya membiarkan Danial meletakkan selendang itu ke bahunya. Bagaikan ada satu tarikan pada sepasang matanya untuk menatap Danial yang terasa dekat dengannya. Lalu perlahan-lahan dia beralih pandang pada wajah itu.
Dia terpanar. Pandangan mereka bertaut. Tidak menduga Danial juga turut memandangnya. Apatah lagi segaris senyuman yang terukir di wajah Danial menyerlahkan lagi ketampanannya. Sukar dimengertikan gelora yang hadir di jiwanya saat itu.
Sinaran lampu kilat dari kamera menyedarkan mereka. Serentak mereka berkalih pandang ke arah datangnya sinaran itu. Tersungging senyuman di bibir Yusri dan Shafiqa. Tidak dikira lagi senyuman dan siulan nakal daripada pelajar-pelajar lain yang turut menonton adegan itu.

Gambar itulah yang menjadi kenangan yang cukup manis untuknya. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan kini...


No comments: