Thursday, February 1, 2018

DIAKAH CINTA? BAB 17




Terkejut Shafiqa yang berada di dapur apabila terdengar pintu ditutup kuat. Terjengul kepalanya ke arah ruang tamu. Riak wajah Ayuni seperti menahan marah menarik perhatian Shafiqa. Pantas dia keluar dari ruang dapur sambil membawa segelas air jus oren.
“Arrgghhhh!!!”
Terkejut lagi sekali Shafiqa apabila mendengar jeritan Ayuni. Hampir terlepas gelas dalam genggaman.
“Hoi! Hang apa kena? Tiba-tiba menjerit macam orang gila?” tanya Shafiqa sambil melabuhkan punggung di sebelah Ayuni. Dia memerhati saja Ayuni menanggalkan selendang dengan kasar seakan melepaskan geram.
Kebisuan Ayuni membuatkan Shafiqa tertanya-tanya.
“Apasal nak marah-marah ni? Pasal tempat kerja baru ka?” soal Shafiqa mula tidak sabar bila Ayuni terus menyepi.
“Hmm...” jawab Ayuni sambil berpeluk tubuh.
“Cuba hang citer kat aku pasai apa yang hang marah sangat ni? Muka hang pun dah macam asam kecut. Buruk benar aku tengok,” tanya Shafiqa lagi. Gelas di atas meja kopi dicapai dan diteguk buat menghilangkan dahaga.
“Sebelum aku jawab, hang letak dulu gelas tu atas meja.”
Shafiqa kerut dahi.
“Awat pulak?” tanya Shafiqa tidak faham. Apa kaitan dengan jus oren ni pula?
“Aku takut nanti hang tersimbah air kat aku.” Shafiqa ni bukan boleh harap sangat. Kalau terkejut, apa yang ada di tangan semuanya dia nak campak.
Dengan wajah cemberut, Shafiqa meletakkan gelas air ke atas meja.
Ayuni menarik nafas dalam.
“Hang nak tahu tak siapa bos aku?”
“Siapa?”
“Danial Haikal.”
“What! OMG!” Hampir terloncat Shafiqa. Ternganga mulutnya sebaik nama itu meluncur dari bibir Ayuni.
“Tutup mulut nanti lalat masuk,” ujar Ayuni dan melepaskan nafas panjang.
“Hang mesti tak sangka, kan? Aku masih tak percaya yang aku akan bekerja dengan mamat tu. Kena menghadap muka dia setiap hari, lima hari seminggu. Arghh! Boleh stres aku macam ni!” Buntu fikirannya macam mana hendak menghadapi lelaki itu. Setiap kali berdepan dengan lelaki itu, pasti kenangan lama tersingkap kembali. Dia takut tidak dapat mengawal perasaan dan tidak mustahil satu hari nanti kisah lama akan diungkit kembali.
“Jadinya... hang la ni PA kepada Dainal Haikal?” Wajah teruja mula terbias pada raut wajah Shafiqa.
“Eh, yang hang excited sangat ni pasal apa?”
“Aku dah kata, hang dengan dia ada jodoh,” jawab Shafiqa dengan senyuman penuh makna.
Ayuni kerut dahi.
“Mengarut apa hang ni? Tak habis-habis dengan jodoh. Orang tengah serabut, dia duk bercakap pasal jodoh pulak.”
Ayuni cuba menidakkan perasaan yang hadir kala bertentang dengan lelaki itu. Tetapi dia tidak kuat. Dia benci dengan perasaan itu. Berkali-kali dia menafikan, semakin kuat mencengkam rasa. Tetapi sebaik terpandang wajah lelaki itu, perasaan rindu yang selama ini disimpan kejap seakan terlerai. `Ya Allah, dugaan apakah ini? Aku tidak cukup kuat untuk menanggung dugaan perasaan ini ya Allah. Kau bantulah aku.’
“Hang sayang kat dia lagi, kan?”
“Soalan apa ni Fiqa?” tanya Ayuni tidak senang.
“Kalau hang tak sayang kat Danial, takkanlah hang susah hati macam ni?”
“Aku kalau boleh tak mau ingat lagi kisah kami dulu.”
“Kalau dah jodoh tak ke mana, kan?” ujar Shafiqa tersengih lebar, riak nakal ditayang.
Ayuni kerling sekilas wajah Shafiqa. Dia faham sangat dengan riak itu. Bukan sehari dua mereka berkawan. Sejak kecil lagi. Shafiqa kawan sepermainan, pergi sekolah pun bersama dan temannya itulah tempat dia berkongsi suka dan duka.     
“Hang ni... sejak aku terjumpa balik Danial, perkataan tu ja yang hang duk sebut. Aku tengah tak ada mood ni. Jangan salahkan aku kalau kepala hang kena hempuk dengan beg aku.”
Shafiqa tersengih cuma.
“Betullah aku cakap... siapa kita nak menolak ketentuan takdir. Mana nak sangka hang akan kerja dengan dia, kan? Tiba-tiba hang boleh terjumpa dia kat kampung dan dia juga yang selamatkan hang. Lepas tu teraccident dengan dia pulak... dan mulai dari hari ni...” bicara Shafiqa berhenti seketika sebelum menyambung kembali kata-katanya seakan mahu Ayuni sedar hakikat yang akan dihadapi selepas ini.
“Hang akan sentiasa berjumpa dengan dia...” perlahan nada suaranya apabila sepasang mata Ayuni tepat merenungnya.
 Ayuni menghela nafas panjang. Ya! Siapa dia untuk menolak ketentuan takdir. Adakah ini semua hanya kebetulan atau sesuatu yang akan merubah perjalanan hidupnya selepas ini?
Sejak kejadian dia hampir diperkosa, rasa trauma sering mengganggu tidur malamnya. Hampir setiap malam dia mimpi buruk. Dia cuba melawan. Setiap malam sebelum tidur dia membaca surah Yassin sebagai pendinding buat kekuatan diri.
Dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Bukhari, Rasulullah SAW ada menyebut;
“Barang siapa yang membaca sebaik-baik ayat Al-Quran ialah ayat Kursi, dan barangsiapa membacanya setiap kali keluar dari rumah, beribu-ribu malaikat akan mendoakan kesejahteraannya sampai dia pulang. Ada juga hadis yang menyatakan apabila dibaca sebelum tidur, Allah akan menghantar kepadanya dua malaikat yang akan menjaganya dari gangguan syaitan hingga dia bangun.”

“Dan tak mustahil dia sengaja ambil hang bekerja dengan dia sebab nak dekat dengan hang,” sambung Shafiqa lagi. Entah mengapa nalurinya kuat merasakan Danial ingin kembali mendekati Ayuni. 
“Apa hang merepek ni?” sangkal Ayuni semakin tidak senang dengan andaian yang bermain dalam fikiran Shafiqa.
“Aku percaya Danial tak tahu hang tengah cari kerja dan kebetulan resume hang yang dia dapat. Kalau benar dia betul-betul nak rapat dengan hang, itu adalah satu bonus untuk dia mudah dekat dengan hang.”
Bukan main lagi si Shafiqa buat jalan citer macam dalam novel pula. Tapi apabila difikirkan balik, macam ada benar juga kata Shafiqa. Semasa sesi temu duga, tidak banyak soalan yang diajukan kepadanya. Dia hanya diminta mula bekerja dengan segera. Begitu mudah! Dia juga jadi pelik. Namun, apabila fikirkan kalau sudah rezekinya, sukar dan mudah bukan persoalannya. Senang macam mana pun, kalau dah bukan rezekinya dia tidak akan dapat juga. 
“Ini baru sehari aku menghadap muka dia pun aku dah jadi macam ni. Macam mana aku nak menghadap muka dia hari-hari? Kadang aku rasa benci sangat kat dia, tapi kadang aku rasa rindu sangat kat dia. Tapi bila berhadapan dengan dia perasaan rindu lebih kuat daripada perasaan benci. Dia boleh buat perasaan aku jadi haru-biru, Fiqa...” luah Ayuni.
“Hang buat biasa sudahlah,” cadang Shafiqa cuba menenangkan jiwa Ayuni yang tampak gelisah.
“Tapi aku sangat tak suka dia! Tak suka! Tak suka! Tak suka!”
“Orang kata... kita jangan tak suka sangat kat seseorang tu. Sebab perasaan tak suka tu boleh jadi suka. Hang jangan tak suka sangat kat dia. Kut tak suka sat gi jadi sayang sangat kat dia kut. Masa tu baru hang nak menjerit. Aku cinta! Cinta! Cinta dia!!!”
Pap! Bantal kusyen melayang ke muka.
“Hoi! Main kasar nampak.”
“Padan muka! Aku tengah berserabut, hang nak menambah serabut kepala otak aku.”
Shafiqa tersengih cuma.
“Habis tu, hang nak buat macam mana?” tanya Shafiqa.
“Aku rasa tak nak kerja kat situlah.”
“Bukan senang nak dapat kerja la ni. Ni dah dapat, hang tak nak kerja pulak.”
Ayuni mengeluh panjang. Mengakui kebenaran kata-kata Shafiqa. Tetapi masalahnya macam mana dia nak bekerja dengan lelaki yang boleh membuatkan moodnya berubah 180 darjah? Semakin ingin dia lari jauh, semakin hampir dia di dekati.   


No comments: