Friday, March 28, 2014

Tika Hati Berbicara Bab 27



"Qaseh!"
Pantas Qaseh berpaling ke arah datangnya suara itu. Lebar senyuman kala mata menangkap lambaian Zuraida padanya.
"Sorry aku lambat sikit," ucap Qaseh sambil menarik kerusi di hadapan Zuraida.
"Bukan sikit lagi ni. Janji pukul 10.00 datangnya pukul 10.30," sela Zuraida. Panjang muncungnya.
"Sorry la sayang. Banyak kerja tadi."
Berkerut dahi Zuraida. "Kerja apa hari minggu ni. Takkan kerja kut hari minggu."
"Bukan kerja pejabat. Kerja rumah."
"Owh. Lupa pulak aku, kau dah kahwin. Suami kau izinkan tak keluar dengan aku ni?"
"Kalau dia tak izinkan aku tak ada depan kau sekarang."
"Aku dah order tadi."
"Okay, aku ikut aje."
"Kau bahagia Qaseh?" Raut wajah sahabatnya itu ditatap lama.
Perlahan keluhan terbit di bibir lalu tubuh disandar di kerusi. "Entahlah Aida, susah aku nak cakap."
"Macam mana kau boleh kahwin dengan dia? Kan mak tiri kau tunangkan kau dengan Borhan."
"Susah aku nak terangkan sebab segalanya berlaku tanpa ku jangka. Selepas kemalangan tu, lelaki itu sering muncul bila aku dalam kesusahan. Keluarga tiri aku paksa aku jual tanah  kat kampung. Kalau aku tak ikut cakap diorang, nenek yang menjadi mangsanya. Tiba-tiba Arief muncul menyelamatkan keadaan. Nenek sangkakan Arief adalah Borhan. Jadi nenek mintak kami kahwin cepat. Aku waktu tu buntu, tak tahu nak buat apa. Arief pun terima sahaja cadangan nenek. Aku minta dia berterus terang dengan nenek tapi dia tak sanggup. Demi nenek aku sanggup buat apa saja. Nenek pun tak sihat masa tu. Aku tak mahu nenek bertambah susah hati. Arief dah banyak tolong kami. Aku terhutang budi dengannya."
“Kau terima Arief sebagai suami kau?”
Qaseh mengeluh. Pertanyaan Zuraida dibiarkan sepi seketika. Dia buntu. “Sesiapa pun yang menerima nasib yang sama macam aku pasti dalam dilema. Entah kenapa naluri aku dapat merasakan Arief menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku.” Walaupun dia mengakui perasaan sayang mula berputik pada lelaki itu tetapi perasaan curiga tetap ada membayanginya.
“Maksud kau?” tanya Zuraida tidak mengerti.
Qaseh menarik nafas panjang sebelum bersuara. Tubuhnya dirapatkan ke meja. “Bukan mudah untuk aku terima semua ini, Aida. Arief begitu mudah setuju dengan permintaan nenek untuk kahwin dengan aku. Takkan kerana rasa bersalah dia sanggup buat apa sahaja untuk aku. Aku rasa pelik.” Tersandar Qaseh di kerusi. Hubungannya dengan Arief sering menimbulkan kebuntuan dalam benak fikiran. Tiada siapa yang mengerti jauh di sudut hati dia khuatir Arief tidak ikhlas dengan perkahwinan mereka. 
“Mungkin Arief sememangnya ditakdirkan untuk kau. Kau jangan lupa tentang jodoh, Qaseh. Kalau sudah ditakdirkan dia adalah jodoh kau. Kau larilah ke mana pun. Dia pasti akan kembali dekat dengan kau. Kita tak tahu perancangan Allah kepada kita..”
“Tapi nikah kahwin bukan perkara main-main Aida.”
Zuraida menghela nafas. Tubuh dirapat ke meja. Tangan Qaseh digenggam lembut. "Aku tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi aku gembira tengok keadaan kau sekarang dari dulu. Walaupun kau masih tidak dapat terima Arief  tapi aku tahu jauh di sudut hati kau nama Arief sudah terpahat di situ kan? Arief Hakimi adalah suami kau yang sah, Qaseh. Apa pun sebab korang kahwin yang penting sekarang kebahagiaan rumahtangga kau. Cari kebahagiaan tu. Jangan biarkan diri kau dibelenggu dengan perkara yang akan menyebabkan hati kau dengan Arief semakin jauh. Aku percaya Arief sayangkan kau.”
 Panjang helaan nafas terbit dari bibir Qaseh. "Sayangkah dia kat aku?" bisik Qaseh perlahan melontar persoalan yang sering bermain di minda.
“Kau kena yakin dengan diri sendiri. Semai perasaan sayang antara korang berdua. Bajai dengan persefahaman dan kepercayaan. Aku yakin kebahagian milik korang berdua.”
Qaseh membalas erat genggaman sahabatnya itu. Entah mengapa setiap ungkapan itu memalu lembut hatinya.




“Kenapa dengan kamu ni Zakri? Baru sekarang nampak batang hidung. Mana kamu pergi?” tanya Puan Samsiah sebaik Zakri melangkah masuk ke dalam rumah.
“Zakri tak ke mana pun ma. Zakri banyak kerja.”
“Tapi takkan sampai nak jenguk mama pun tak ada masa.” ujar Puan Samsiah tidak puas hati. “Sudahlah adik kamu pun tak balik-balik. Bila mama telefon memanjang aje sibuk. Mama tak faham betul dengan korang berdua ni. Apa yang disibukkan sangat?” leter Puan Samsiah.
Zakri melabuhkan punggung di sofa. Dia memicit-micit kepalanya. Tiba-tiba kepalanya pening mendengar leteran mamanya. Zakri hanya berdiam diri. Ada tujuan lain yang ingin dibincang dengan mamanya. “Entahlah ma. Yana tu dah besar panjang, mama tak payahlah risau. Tahulah dia jaga diri. Takkan mama tak tahu perangai keras kepala anak kesayangan mama tu.”
“Kamu bercakap macam tak risau langsung dengan adik kamu tu. Kalau jadi apa-apa kat adik kamu macam mana? Sekarang ni macam-macam boleh jadi. Mama takut adik kamu tu berkawan dengan orang yang bukan-bukan.”
“Nantilah Zakri cuba cari si Yana.” Zakri mula bosan. Dia pula yang dipersalahkan.  
“Hhm... ma. Zakri ada hal nak cakap dengan mama sikit.”
“Kamu nak cakap apa?”
Teragak-agak Zakri hendak bersuara. “Zakri nak pinjam duit sikit.”
“Pinjam duit. Kamu nak buat apa dengan duit tu?”
“Zakri nak bayar hutang ma.”
“Hutang? Kamu berhutang dengan along ke Zakri?” teka Puan Samsiah.  
Zakri hanya membisu. Serba salah hendak menjawab pertanyaan Puan Samsiah. Sudah pasti dia akan dimarahi sebentar lagi. Tapi dia tidak ada pilihan. Kuncu-kuncu Mr Tan sudah mula mencarinya.
“Betul ke kamu berhutang dengan along,” tanya Puan Samsiah inginkan kepastian. Suara Puan Samsiah kembali meninggi. “Jawab Zakri, mama tanya kamu ni.” Puan Samsiah mula geram apabila Zakri hanya membisu.
“Zakri terpaksa ma... waktu tu Zakri perlukan duit untuk kembangkan perniagaan. Tapi tak sangka pulak perniagaan Zakri tak menjadi. Zakri tak mampu nak bayar hutang dengan along tu. Sebab tu Zakri nak pinjam duit mama.”
“Kenapa kamu bodoh sangat Zakri! Takkan kau tak tahu akibatnya berhutang dengan along. Silap haribulan nyawa kamu melayang,” tengking Puan Samsiah.
“Mama tolonglah Zakri, ma. Kuncu-kuncu along tu dah mula cari Zakri.”
“Berapa banyak kamu hutang dengan along tu?”
“Lima puluh ribu,” tergagap-gagap suara Zakri.
Membuntang luas mata Puan Samsiah. “Lima puluh ribu!! Apa yang kau buat dengan duit sebanyak tu! Kau memang sengaja menempah maut Zakri.”
“Tolonglah Zakri, ma. Zakri terdesak sangat sekarang. Along tu dah kejar Zakri. Diorang ugut kalau tak bayar hujung bulan ni, nyawa Zakri jadi gantinya. Mama sanggup tengok Zakri kena bunuh.”
“Mama mana ada duit sebanyak tu, Zakri.”
“Takkan mama tak ada.”
“Kamu tak ingat dulu kamu pernah minta kat mama. Kamu kata pinjam tapi sampai sekarang pun kamu tak bayar-bayar lagi. Mana mama ada duit lagi.”
“Habis tu macam mana mama? Kat  mana Zakri nak cari  duit lagi?” Zakri resah. Kini dia menemui jalan buntu. Cuma satu sahaja yang terlintas di benak fikirannya kala ini. Qaseh!



Wednesday, March 19, 2014

TIKA HATI BERBICARA BAB 26





Qaseh tersentak apabila telinganya menangkap bunyi pintu yang di tutup agak kuat. Dia yang berada di dapur terus mengatur langkah keluar dan ketika  Arief melintas di hadapannya tidak sedikit pun Arief menegur apatah lagi memandangnya.
Berkerut dahi Qaseh melihat tingkah Arief.  Kot yang tersidai di lengan dicampak saja ke  atas sofa. Begitu juga briefcase dibiarkan terdampar di lantai.
Apa kena dengan dia? Moody aje. Qaseh berkira-kira ingin menghampiri Arief yang sudah melabuhkan punggung di sofa. Tersandar di kerusi empuk itu sambil memejamkan mata. Terbias raut ketegangan di raut wajah itu. Perlahan Qaseh bergerak menghampiri mencapai kot dan briefcase di lantai.
“Abang nak makan?” tegur Qaseh lembut. Namun, sepi sahaja tiada reaksi daripada Arief. Matanya terus terpejam rapat.
Qaseh menarik nafas dalam. Mungkin Arief tidak mahu diganggu fikirnya. Lantas dia berpaling ingin berlalu pergi meninggalkan Arief sendiri. Kot dan briefcase Arief dibawa bersama.
Arief membuka sedikit kelopak matanya apabila suasana sepi sahaja. Sengaja tidak menjawab pertanyaan Qaseh. Hilang moodnya ditenggelami oleh perasaan geram dan cemburu. Tingkah Azman melayani Qaseh terbayang-bayang di ruang matanya. Terbuka luas mata Arief apabila melihat Qaseh tiada lagi di situ. Tegak badannya mencari wajah Qaseh namun tidak kelihatan di ruang tamu itu. Lantas dia bangun lalu  mengatur langkah ke arah dapur tetapi kelibat Qaseh tiada juga di situ.
Dia bergerak pula ke arah bilik dan langkahnya semakin perlahan apabila melihat pintu biliknya terbuka. Langkahnya terhenti dan sambil berpeluk tubuh bahu kiri disandar santai ke bingkai pintu memerhati gerak geri Qaseh yang sedang menyimpan kotnya di dalam almari. Entah mengapa perasaan cemburu yang meluap-luap tadi semakin surut apabila wajah itu menyapa anak matanya. Setiap gerak dan tingkah Qaseh menyentuh nalurinya. Mempersona. Arief bergerak perlahan mendekat tanpa disedari Qaseh.
Qaseh terkejut kala dia berpaling, Arief berada dekat di belakangnya. Terpana seketika Qaseh saat pandangan mereka bersatu. Menatap renungan Arief yang dalam ke anak matanya mengalirkan rasa debaran di dada.
“Erm... briefcase abang Qaseh dah letak tepi meja kerja. Kot abang pun Qaseh dah simpan dalam almari. Abang dah lapar? Qaseh baru nak masak. Abang mandi dulu sementara Qaseh siapkan dinner,” kata Qaseh cuba beriak biasa.
Namun kata-kata yang terluah hanya dibalas dengan kebisuan dan kebekuan Arief menimbulkan kehairanan di benak fikiran Qaseh. Renungan Arief tajam menikam wajahnya. Di balik raut wajah itu tersirat satu perasaan yang terpendam. Kebisuan Arief mengundang perasaan resah di hati Qaseh. Lantas dia bergerak ingin berlalu pergi. Tidak sanggup terus menanggapi pandangan yang menusuk sanubarinya.
Tapi tanpa Qaseh menduga tangan Arief lebih pantas menghalang sehingga tubuhnya melekap di daun pintu almari. Kemudian kedua tangan Arief pula melekap di daun pintu almari itu mengepung tubuh Qaseh diantara kedua tangannya.
Qaseh terkaku. Renungan dalam Arief membuatkan debaran di dadanya bertambah hebat bertalu. Serius wajah itu. “Abang?” ungkap Qaseh merenung tepat ke wajah Arief meminta penjelasan dengan tindakan Arief itu.
Seketika mereka membisu.
Pandangan Arief semakin lama semakin redup, tidak setegang tadi. Tanpa sedar dia mengeluh dalam. “Abang cemburu...”ujarnya lemah berterus terang meluah rasa yang berombak di dada. Dia tewas dengan perasaannya yang satu itu. Emosinya tidak dapat mengawal perasaan cemburu yang berkecamuk dalam diri.
Qaseh menghela nafas. Dia seperti dapat menduga siapa yang Arief maksudkan. “Azman?” teka Qaseh meneka.
Arief hanya diam dan tanpa sedar dia mengeluh.
“Kenapa nak cemburu?”
“Sebab abang tahu Azman ada hati pada Qaseh.”
“Encik Azman tak pernah pun cakap dia sukakan Qaseh.”
“Qaseh masih nak nafikan lagi. Abang tahu Qaseh sedar tentang tu.”
“Ya Allah... abang cakap apa ni. Malaslah Qaseh nak layan,” ujar Qaseh ingin berlalu pergi. Tetapi tangan Arief tetap melekap kemas di dinding almari. Enggan melepaskan Qaseh pergi.
“No! Selagi abang tak pastikan Qaseh tidak ada apa-apa dengan Azman. I wont’ let you go.”
“Berapa kali Qaseh nak jelaskan lagi? Qaseh dengan Encik Azman tu tak ada apa-apa. Kenapa abang susah sangat nak percaya? Antara kami tak lebih dari hubungan majikan dengan pekerja. Lagipun Qaseh sedar kedudukan dan batasan Qaseh sebagai seorang isteri. Insya-Allah Qaseh akan sentiasa ingat pesanan abang dulu,.” tegas suara Qaseh menjawab prasangka Arief.
“Tapi Qaseh dan dia tiap-tiap hari berjumpa. Tak mungkin tak ada apa-apa. Lama kelamaan perasaan yang tak ada apa-apa akan ada juga,” sinis bicara Arief menerjah masuk anak telinga Qaseh.
Qaseh urut dahi. Kesabarannya semakin menipis. “Qaseh tak nak kita bergaduh hanya kerana cemburu tak bertempat abang. Kalau Encik Azman ada hati dengan Qaseh pun apa masalahnya?” geram Qaseh apabila Arief terus mengucapkan ungkapan yang semakin pedih menikam hati.
“Apa masalahnya?! You are my wife. Of course abang cemburu!” pintas Arief sedikit berang mendengar kata Qaseh itu.
“Habis tu sekarang abang nak tuduh Qaseh ada hubungan dengan Encik Azman, macam tu?” Kepiluan mula melingkar relung hati apabila Arief begitu mudah menuduhnya. Kenangan hitam bersama keluarga tirinya kembali bermain di benak fikiran. Dia sering menjadi mangsa tuduhan walaupun perkara itu tidak dilakukan. Apatah lagi adik beradik tiri menokok tambah cerita menyebabkan dia kerapkali diherdik dan dimarahi tanpa usul periksa.
Arief terkedu kala melihat mata Qaseh bergenang. Ada kesayuan terbias dibalik wajah itu mengundang rasa bersalah dalam diri. Apa yang bersarang dalam fikirannya kala ini? Walaupun sedar Qaseh tidak bersalah tetapi entah kenapa kemarahan yang berapi  dilempiaskan pada isterinya ini. Arief menghela nafas  cuba mengawal perasaan cemburu yang menguasai diri.
 “Tapi layanan dia pada sayang buat abang cemburu,” lemah suara itu Arief tidak setegang tadi  meluahkan rasa yang mencengkam jiwa. Apatah lagi membayangkan setiap hari mereka bekerja bersama. Terasa ingin pecah dadanya dek rasa cemburu yang kembali membara.
“Sayang tahu kan Azman tu ada hati pada sayang selama n?”
Qaseh membuang pandang. “Terpulang pada abang nak cakap apa pun.” Qaseh membuang pandang. Malas menjawab pertanyaan itu. Semakin panjang pula pertelingkahan mereka nanti. “Tepi, daripada layan perangai abang ni lebih baik Qaseh pergi masak,” kasar Qaseh menepis tangan Arief yang mengepung tubuhnya. Lantas laju langkahnya diatur ke arah pintu bilik.
Namun, Arief lebih pantas menahan pintu bilik yang hampir terbuka.
Qaseh geram. Dia menolak tubuh Arief lalu memulas tombol pintu. Tapi sekali lagi tangan Arief lebih pantas menahan. Pintu itu kembali tertutup.
“Abang nak apa lag?!.” Tanya Qaseh sedikit berang. Bibirnya  diketap kejap menahan geram. Tangan Arief yang cuba menyentuhnya ditepis. .
“Kita belum habis lagi.”
“Kan tadi Qaseh cakap terpulang pada abang nak fikirkan apa pun,” laju Qaseh mencelah. Tidak mahu terus bertikam  lidah dengan Arief yang menambahkan sakit hatinya. 
“Betul sayang tak ada hati dengan Azman tu?”lembut suara Arief menyoal. Tingkahnya mula berubah rentak.
Qaseh hanya diam. Berpeluk tubuh membatukan diri memprotes dalam diam.
“Siapa di hati sayang?” soal Arief lagi menagih jawapan.
Qaseh mengangkat muka mencari wajah Arief. Rauk wajah  itu tenang menyapa pandangannya. Tidak setegang tadi. 
“Soalan apa ni? Abang jangan nak tukar topik pulak,” jelas nada tidak puas hati meluncur dari bibir Qaseh.
“Salah ke kalau abang bertanya? Salahkah kalau abang nak tahu isi hati isteri abang?” Arief menghela nafas sebelum menyambung bicara. “Abang tahu hati dan perasaan tidak boleh dipaksa tetapi kalau ruang itu terus ditutup perasaan itu tidak akan ada. Berilah abang peluang.“
Qaseh terdiam. Bicara Arief mula melayari perasaan serba salah dalam diri. Bagaimana harus dia terangkan pada Arief bahawa dia belum bersedia? Ada sesuatu yang membelenggu perasaannya? Dia tidak mahu hubungan mereka dicemari dengan perasaan curiga. Dia sedar ada perasaan yang mula bercambah untuk lelaki ini tetapi dia tidak mahu terburu-buru menerima kata hati selagi dia belum betul-betul pasti. 
“Qaseh...” serba tidak kena tingkah Qaseh. 
Terkedu Qaseh kala jari telunjuk Arief melekap lembut di bibirnya.
Arief menggeleng lembut. Redup pandangannya menatapi wajah terkejut isterinya. “Jangan katakan sesuatu yang sayang tak pasti. Kerana abang percaya ada satu perasaan yang sayang tidak sedar sedang memekar di hati sayang. Abang yakin perasaan itu hanya untuk abang seorang.”
Ungkapan itu membuatkan Qaseh terus terkedu. Tiada kata yang mampu diluahkan kala ini mendengar bicara yang halus menusuk  jauh di sudut hatinya. Keikhlasan jelas terpancar di raut wajah itu mengundang rasa yang sukar ditafsirkan. Qaseh menunduk memandang tangannya yang berada dalam genggaman Arief.
“ Jom, abang tolong sayang  masak.”
Qaseh kembali mengangkat muka. Melirik senyum nipis membalas senyuman lelaki itu. Setiap kali melihat senyuman itu pasti hati kecilnya tertawan.