Monday, December 24, 2012

Tika Hati Berbicara bab 20

“Assalamualaikum abang Malik...”sapa Qaseh lantas membuka pintu kereta di sebelah pemandu.

“Waalaikumussalam...” jawab Malik dengan senyuman.

“Qaseh ada nak ke mana-mana ke?” soal Malik apabila kereta mula bergerak meninggalkan  pejabat Qaseh.

Qaseh diam seketika. “Malam ni Encik Arief tak makan malam kat rumah. Katanya ada appoinment kat luar. Qaseh ingat nak ke rumah abang Malik jumpa Hani.”

Berkerut dahi Malik. “Nak jumpa Hani?”

“Kenapa? Tak boleh?” tanya Qaseh kembali sekadar bersenda.

“Bukan tak boleh. Saja tanya...” jawab Malik tahu Qaseh bergurau dengannya.

“Hari tu Hani ada call minta tolong Qaseh tengok-tengokkan gubahan hantaran. Bulan depan kan majlis akad nikah.”

 “Encik Arief tahu Qaseh nak jumpa Hani.”

Qaseh menggeleng perlahan.

“Abang Malik boleh hantarkan, tapi beritahu Encik Arief dulu.”

Qaseh diam seketika sebelum mengambil telefon bimbit dari dalam tas tangannya. Tidak lama dia menunggu panggilan bersambung.

“Assalamualaikum...” ucap Qaseh sebaik mendengar suara Arief di talian.

“Waalaikumussalam...”jawab Arief tenang. Kemudian dia diam menunggu bicara Qaseh.

“Boleh bercakap ke ni?”soal Qaseh khuatir panggilannya mengganggu Arief. 

“Sayang kat mana ni?”soal Arief tidak menjawab pertanyaan Qaseh.

“Dalam kereta.”

“Dengan abang Malik?”

“Ya...” malas nada suaranya. Dalam diam terselit rasa geram terhadap Arief . Pagi tadi berkali-kali Arief berpesan supaya menunggu abang Malik menjemputnya.

Suara Arief tergelak kecil menyapa telinga Qaseh. Memuncung mukanya.

“Ada apa sayang call abang,” tanya  Arief apabila Qaseh hanya membisu.

Qaseh menoleh sekilas ke arah Malik di sebelah..

“Qaseh nak ke rumah Hani kejap, boleh?” lembut Qaseh bersuara meminta izin.

“Nak buat apa ke rumah Hani?” soal Arief.

“Hani minta tolong tengokkan gubahan hantarannya. Boleh ya?” beritahu Qaseh.

Sudah beberapa kali Hani menghubunginya. Ingin bertanya pendapatnya mengenai gubahan hantaran yang telah separuh disiapkan. Dia tidak mahu menghampakan permintaan Hani yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Dia memang rapat dengan keluarga abang Malik. Ketika Arief ke luar negara, dia banyak menghabiskan masa dengan keluarga abang Malik. Sejak itu mereka semakin rapat terutama Hani yang sangat memahami dirinya.  

“Lama ke?” soal Arief lagi.

“Tak ada lama sangat. Mungkin dalam pukul 10.00 Qaseh balik. Abang pun ada appoinment malam ni. Balik awal pun tak ada apa nak buat.”

“Sunyi ya abang tak ada?” pertanyaan yang membuatkan Qaseh mati bicara.

“Boleh tak?” tanya Qaseh. Dibiarkan pertanyaan Arief tidak berjawab.

“Okay, abang izinkan. Tapi jangan lewat sangat balik. Nanti abang rindu,” kata Arief bersama usikan di hujung kata.

“Hhm...” Itu sahaja yang mampu dibalas. Malas melayan kata Arief yang mengusik perasaan.

“Biar Malik yang hantar dan ambil. Jangan memandai nak naik teksi. Kalau engkar abang tak izinkan pergi rumah Hani,” tegas suara Arief di hujung talian.

Memuncung Qaseh mendengar kata suaminya itu. Arief seperti dapat membaca rancangan yang bermain di mindanya. Memang dia berniat ingin balik dengan menaiki teksi sahaja. Menyusahkan abang Malik pula terpaksa berpatah balik menghantarnya.

“Sayang dengar tak?” suara Arief kedengaran di hujung talian apabila Qaseh hanya menyepi.

“Dengar....” malas sahaja Qaseh menjawab.

“Macam tak ikhlas aje bunyinya...”

“Tapi kesian kat abang Malik nak kena patah balik pulak.”

“Itu sayang jangan risau

“Kalau Qaseh degil tak payah pergi rumah Hani. Terus balik rumah aje.” Tegas suara Arief menembusi anak telinga Qaseh. Terdiam dia seketika.

“Yelah... balik dengan abang Malik  nanti.”

“Kan senang kalau  macam ni...”

“Ermm....”

 “Okay... dengar macam orang di sana dah merajuk. Abang pun tak tahu macam mana nak pujuk sebab kalau depan mata senang sikit nak pujuk. So take care, yang.  I will alway miss you,” ucap Arief sebelum talian dimatikan.

 Telefon bimbit masih melekap di telinganya walaupun suara Arief sudah lenyap dari talian. Dadanya tiba-tiba berdetak. Mengapa bicara Arief sering kali mengusik nalurinya? Kala itu hatinya mula terasa sesuatu.   

“Apa kata Encik Arief?” soal Malik apabila Qaseh senyap sahaja.

“Encik Arief izinkan,” jawab Qaseh. Sedikit terpinga-pinga.

“Bukan abang Arief,” usik Malik sambil tersengih.

Merona merah wajah Qaseh. Dia menggigit bibir menahan malu yang bermukim dalam diri. Sudah tentu abang Malik terdengar perbualan tadi.

“Kenapa tak naik kereta tu?”

Qaseh hanya diam.

“Dah lama Encik Arief beli kereta tu untuk Qaseh. Masa mula-mula beli kereta kancil, Encik Arief memang tak setuju. Kereta second hand ni banyak masalah,”sambung Malik apabila Qaseh hanya membisu.

“Itu aje yang Qaseh mampu masa tu...”

Malik mengeluh perlahan. “Encik Arief kan nak tolong bayarkan.”

“Tapi Qaseh tak boleh terima. Dah terlalu banyak Qaseh terhutang budi dengan Encik Arief.”

“Encik Arief tidak pernah minta dibalas. Dia ikhlas. Lagipun Qaseh kan isterinya.”

Qaseh tersenyum hambar. “Abang Malik kan tahu sebab apa kami kahwin.”

Malik terdiam. Mati akalnya apabila persoalan itu yang sering terbit dari bibir Qaseh. Dia tahu Arief mencintai Qaseh sepenuh hati. Dalam diam Malik mengeluh. Selama bekerja dengan Arief sebagai pembantu peribadi tidak pernah dia melihat sinar bahagia di raut wajah majikannya itu. Namun, sejak berkahwin dengan Qaseh, segalanya telah berubah. Dia tahu Arief bahagia walaupun Qaseh belum menerima Arief dalam hidupnya. Tapi dia percaya, cinta Arief akan terbalas jua satu hari nanti.



*********





Kedatangan Qaseh disambut ceria oleh Hani. “Akak... rindunya...” Lantas kedua pipi Qaseh dicium.

“Akak pun rindu jugak... lama tak borak-borak panjang dengan Hani,” jawab Qaseh tersenyum ceria. 

“Sorry akak balik kampung, tak dapat nak tolong Hani buat gubahan hantaran. Sunyi aje... mak Hani mana?”tanya Qaseh. Meliar pandangan Qaseh di ruang tamu yang sederhana luasnya. Adik beradik Hani yang lain juga tidak kelihatan.

“Adik-adik biasalah petang-petang macam ni buat aktiviti luar. Mak pergi rumah jiran sebelah. Kejap lagi balik la tu. Akak datang dengan apa? Tak nampak pun kereta akak?”

Terjengok-jengok Hani di luar rumah tidak kelihatan pula sebiji kereta di hadapan rumahnya.

“Abang Malik yang hantar.”

“Habis tu mana abang tak nampak pun? Kereta akak mana?”

“Katanya ada hal. Kereta akak dah tak ada.”

Berkerut dahi Hani. “Dah tak ada?”

“Panjang citernya. Tapi malas nak citer. Sakit hati!”

“Jomlah akak, Hani tunjukkan hantaran yang Hani dah buat. Mana tau boleh hilang sakit hati akak tu,” kata Hani sambil menarik tangan Qaseh masuk ke biliknya.

“Hani buat sendiri ke ni?” soal Qaseh sebaik matanya dijamu dengan deretan hantaran yang telah siap digubah.

Hani menggangguk mengiayakan pertanyaan Qaseh itu. “Cantik tak kak?” tanya Hani inginkan pendapat Qaseh tentang gubahan hasil tangannya sendiri. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

“Mestilah cantik. Pandai Hani buat. Tangan Hani memang ada seni dan kreatif,” puji Qaseh ikhlas. 

Tersenyum lebar Hani mendengar pujian itu. Pandangan Qaseh beralih arah pada seraut wajah Hani yang tampak berseri-seri. Terserlah kegembiraan di wajahnya. Begitu teruja dengan mahligai yang bakal dibina bersama insan tersayang yang telah lama bertakhta di hati. Hatinya tiba-tiba dikalung pilu. Tidak bagi dirinya. Hari bahagia yang sering berlagu di hati pengantin baru amat berbeza baginya. Wajahnya dipalit senyuman palsu untuk menutupi rasa hati yang berkalung luka. Malahan persiapan perkahwinan semuanya diuruskan oleh Arief. Dia hanya perlu duduk di atas pelamin sahaja. Melakonkan watak dengan sebaiknya. Tanpa sedar keluhan halus terbit dari bibirnya.

Keluhan itu menarik perhatian Hani yang leka membetulkan gubahan yang belum tampak sempurna di matanya. Seraut wajah murung itu ditenung lama.

“Akak ada masalah ke?” soal Hani. Tumpuannya kini telah beralih arah pada Qaseh yang sedikit tersentak dengan pertanyaan Hani itu.

Qaseh hanya tersenyum hambar. “Tak ada apalah. Muka akak ni nampak macam ada masalah ke?”

 “Sebab tu Hani tanya...”

Qaseh hanya diam. Perlukah dia bercerita tentang gelodak hatinya. Walaupun Hani tahu cerita sebenarnya dibalik perkahwinannya dengan Arief tetapi dia bersyukur Hani seorang pendengar yang sangat memahami. Perlukah dia membebankan telinga Hani dengan masalah hatinya yang seperti tiada penghujung yang pasti.

“Akak ada masalah dengan Encik Arief ke?”

Qaseh menghela nafas. “Hani pun tahu kan hubungan akak dengan Encik Arief macam mana. Tapi sejak akhir-akhir ni dia dah banyak berubah.”

Bertambah berkerut dahi Hani. “Berubah? Berubah macam mana?”

Qaseh diam seketika sebelum menjawab pertanyaan Hani. “Encik Arief cakap dia sayang akak...” perlahan bicara Qaseh.

Bibir Hani melirik senyum. “Kalau Encik Arief sayang akak apa masalahnya? Hani pun rasa Encik Arief dah lama sayangkan akak...”

“Apa yang menyebabkan Hani bersangka begitu?”

“Mata tidak boleh menipu akak. Mungkin akak tak perasan selama ini Encik Arief sukakan akak. Hani ingat lagi masa majlis tunang Hani dulu. Encik Arief asyik sangat tenung akak sampai letak lauk kat luar pinggang pun tak sedar.” Meletus tawa Hani bila mengingatkan peristiwa itu.

Qaseh turut ketawa. Ya, dia masih ingat lagi bagaimana Arief ditegur oleh abang Malik kerana lauk yang diceduk tertumpah ke luar pinggan. Ketika itu dia duduk bertentangan dengan Arief di meja makan. Mendengar teguran itu dia juga mengangkat muka memandang ke arah Arief. Dilihatnya nasi di pinggan Arief masih tidak bersentuh tetapi lauk pula berselerakan di luar pinggan.

Usikan-usikan mula meniti di bibir mereka yang juga perasan dengan tingkah Arief itu. Ketika itu Arief hanya mampu tersenyum malu dan sesekali mata Arief mencuri pandang ke arahnya.

“Keluarga kami dah lama kenal Encik Arief. Sejak Puan Sri dan kakak abang Arief ke Australia menguruskan cawangan baru di sana, Encik Arief ada juga datang melawat mak. Masa tu mak sakit.  Encik Arief banyak tolong keluarga kami. Kalau akak nak tahu Encik Arief yang tanggung kos pembedahan jantung mak. Masa tu abang Malik baru kerja dengan Encik Arief. Abang tak nak beritahu dari mana dia dapat duit tu. Tapi Hani tak puas hati, takut abang berhutang dengan ‘Along’. Hani paksa abang beritahu hal sebenar,  barulah abang beritahu tapi dengan syarat rahsiakan daripada pengetahuan mak.”

Qaseh diam mendengar setiap butir bicara yang terluah.

“Encik Arief memang suka tolong orang, Hani.”

‘Kahwin dengan akak pun sebab tolong juga.’ Ungkapan itu hanya bergema di hatinya. Dalam diam dia mengeluh. Tapi sikap Arief sejak akhir-akhir ini menjentik perasaan halusnya.

“Hani percaya Encik Arief betul-betul sayangkan akak. Tak salah kalau akak cuba selami hatinya. Beri peluang untuk mengenal hati masing-masing. Kekadang kita tidak sedar ada perasaan yang telah lama berputik dalam hati kita. Jangan tutup pintu hati akak hanya kerana perkahwinan akak dengan Encik Arief dulu tidak seperti yang akan harapkan seperti orang lain. Perancangan Allah kita tak tahu akak. Kalau Encik Arief sudah ditentukan jodoh akak, walau sejauh mana akak pergi pasti akan ketemu jua.”

Qaseh menghela nafas panjang. Dia hanya mampu membisu seribu bahasa. Bait kata Hani lembut menusuk ke sanubarinya. ‘Benarkah Arief sayangkannya? Tapi bagaimana pula dengan hatinya? Perasaan curiga dan prasangka sering mencantas perasaan yang mula berputik di hatinya. Perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Tapi yang pasti Arief mampu membuatkan jantungnya berdebar tidak menentu.


5 comments:

marsilla said...

sikit sangat2..hehehhe
demand plak,
nak lagi.....

Kak Sue said...

lamanya tunggu baru timbul...hehehe..
Qaseh bukalah mata hati untuk melihat hati Arief yang sebenarnya, betapa Arief terlalu menyayangi Qaseh...
Insyallah ... hanya orang yang terdekat ja yang tahu bahawa hati Arief hanya milik Qaseh ..... buka hati dengan seikhlasnya .... buat solat istkharah...

lisa brunei said...

Yes...dah ada...harap2 novel ni dibukukan...dapat jd pengubat rindu kat arief n qaseh...

NurAtiZa said...

Best.... #^_^

Anonymous said...

boleh x cerita ni habis dekat blog jeee???