Saturday, November 3, 2012

Tika Hati Berbicara bab 19






Langkahnya tampak lemah tidak seperti selalu. Tegap dan berkeyakinan. Jiwanya rungsing bila memikirkan bagaimana lagi cara untuk berbicara tanpa bertelingkah dengan isterinya. Bukan mudah menawan hati isterinya itu. Betul kata Qalif. Hati Qaseh bukan mudah untuk dimiliki. Dia bukan lelaki yang pandai bermain kata-kata. Juga tidak pandai menggoda hati wanita.

Arief mengeluh panjang. Ramai gadis-gadis yang cuba mendampinginya kerana kedudukan dan statusnya. Perkenalannya dengan mereka hanya atas urusan business semata-mata. Tidak lebih dari itu. Berlainan sekali dengan gadis yang berjaya mencuri hatinya, tidak langsung memandang pada status yang dia ada sekarang. Malahan dia pula yang perlu berusaha keras untuk menawan hati isterinya itu. Besar harapannya moga satu hari nanti perasaan sayang dan cinta berputik untuknya.
Renungannya jauh di langit biru yang terang. Beberapa tompokan awan putih kelihatan. Fikirannya mula melayang jauh menyingkap kembali memori bersama arwah Qalif. Teman tempatnya berkongsi masalah. Seperti adiknya juga yang menjadikan arwah Qalif tempat dia mencurahkan perasaan dan berkongsi cerita.

"Eh Qal, ada benda tercicir..."
Terhenti langkah Qalif, dia berpaling melihat Arief yang sudah membongkok mengambil sekeping gambar yang jatuh ke lantai. Ketika itu mereka dalam perjalanan ke fakulti.
Lama renungan Alief melekat pada sekeping gambar itu. Wajah gadis di sisi Qalif menjadi perhatiannya.
"Awek kau ke?" soalnya tanpa berselindung lagi. Perasaan ingin tahu tiba- tiba berkocak di jiwa.
Qalif mengambil gambar yang dihulurkan Arief. Bibirnya tersenyum nipis. Pertanyaan Qalif dibiarkan tergantung seketika. Redup renungan Qalif pada gambar itu bagai memberi jawapan pada pertanyaannya. Jelas terpancar di raut wajah sahabatnya itu kala sepasang matanya hanya tertacap pada sekeping gambar itu.
“Ini adik aku,” beritahu Qalif setelah seketika menyepi.
"Adik?" soal Arief seperti tidak percaya. Entah kenapa hatinya terasa lapang dengan jawapan yang terbit dari bibir sahabatnya itu.
"Dialah satu-satunya adik yang aku ada," sambung Qalif lagi. Foto itu ditatap seketika sebelum disimpan kembali dalam diarinya.
Arief hanya menyepi.
"Jomlah gerak, kita dah lambat ni." ajak Qalif memecah lamunan Arief.
"Okey, jom."
Dia melihat sahaja foto itu diselitkan dalam diari sahabatnya itu. Wajah manis itu bagaikan melekap di ruang matanya. Fikirannya terus melayang pada seraut wajah itu yang tiba-tiba memberi debaran di hatinya.
Sejak itu, perhatiannya sering terganggu apabila sesekali Qalif membuka cerita perihal gadis yang telah berjaya menjentik naluri kecilnya. Perasaan teruja dan ingin tahu sentiasa berkobar di dada. Pelik! Tapi itu yang dirasakan saat itu. Walaupun belum bersua muka tetapi dia begitu tetarik dengan seraut wajah itu.
“Apa yang kau tenung sampai nak cium album tu." Tegur Qalif sambil meletakkan mug di atas meja. Kemudian melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan Arief.
Tersentak Arief. Cepat-cepat dia mengangkat wajah beralih pandang dari album gambar milik Qalif yang menjadi tatapannya sedari tadi. Dia terjumpa album itu ketika mengemas rak buku di ruang tamu rumah sewa mereka.  
Arief tersengih malu. Dia mencapai mug yang berisi neslo panas kegemarannya lalu dihirup perlahan. Renungan Qalif tidak diendahkan. Dia kembali menatap wajah yang mengisi album itu. Matanya bagai melekap pada wajah yang dalam diam telah mencuri hatinya.  Jiwanya terasa tenang menghayati setiap tingkah dan gaya gadis itu. Tanpa sedar bibirnya melirik senyum.
"Kau minat kat adik aku ya?"
Arief terkedu. Tidak disangka tingkahnya dapat dihidu oleh sahabatnya itu.
"Cantik adik kau," puji Arief.  Tidak dijawab pertanyaan Qalif itu.
Qalif melirik senyum.
"Aku sayang sangat kat adik aku. Aku harap satu hari nanti dia akan bertemu jodoh dengan suami yang baik, boleh menjaganya dan memberi kasih sayang yang tiada penghujungnya,” luah Qalif dalam renungan yang panjang.
"Kau agak-agak aku memenuhi calon adik ipar pilihan kau tak?” tiba-tiba soalan itu yang meluncur keluar dari bibir Arief.
Terhambur tawa Qalif.
"Ada hati nak jadi adik ipar aku," kata Qalif sambil tersenyum sinis.
"Kenapa? Okay apa aku ni. Kalau dari segi rupa bukan aku nak puji diri sendiri. Kau pun sedia arif. Aku pun bukan spesis buaya darat dan tembaga juga. Dari segi perangai, takkan kau tak kenal aku kan," ujar Arief sambil menjongketkan keningnya beberapa kali.   
"Kau ingat adik aku pandang rupa paras ke? Bukan senang nak tawan hati adik aku tu. Lagi satu si Natasya tu kau nak letak mana? Dia tu dah lama tergila-gilakan kau."
Wajah Arief mengendur keruh. Dia mengeluh panjang. "Aku anggap Tasya tak lebih dari seorang kawan. Aku pun tak tahu macam mana lagi nak terangkan pada Tasya. Dia seolah-olah tak boleh nak terima antara kami hanyalah sahabat."
"Aku tengok dia terlalu mengharapkan cinta kau."
Berat keluhan Arief.
"Aku kalau boleh tak mahu sakitkan hati dia tapi aku juga tak boleh menipu diri sendiri. Kau tahu kan papa Tasya dengan papa aku kawan baik. Mereka merancang nak jodohkan kami.”
“Habis tu kau setuju?” soal Qalif ingin tahu.
“Aku belum beritahu papa aku apa-apa lagi. Aku nak cuba berbincang dengan Tasya dulu. Aku harap dia faham.”
“Berat kes kau ni.”
“Entahlah Qal. Buntu aku...” keluh kesah terbit dari bibirnya. Runsing bila memikirkan hal itu.
“Tapi Tasya tu cantik apa? Korang pun dah lama berkawan. Lagipun kau tak ada makwe lagi.  Apa salahnya korang cuba selami hati masing-masing. Mana tahu cinta boleh berputik di hati kau tu...”saran Qalif cuba menenangkan fikiran sahabatnya yang mulai kusut.
“Masalahnya aku anggap dia sebagai kawan aje bro. Tak lebih dari tu. Lagipun aku rasa hati aku dah tersangkut kat seseorang.”
“Hah! Siapa?” Teruja Qalif bertanya.
“Nantilah, sampai masa nanti aku beritahu.”
Lamunan Arief sedikit demi sedikit melayang pergi kala telinganya menangkap bunyi ketukan di pintu biliknya.
"Masuk."
Sebaik mendengar arahannya, daun pintu terbuka. Malik melangkah masuk dan mengucapkan salam beserta selamat pagi kepada Arief yang sudah berpaling mengadapnya.
"Malik, petang nanti kau tolong ambil Qaseh.  Aku pun tak tahu macam mana lagi cara nak pujuk dia guna kereta tu,” arah Arief. Keluhan halus terbit dari bibirnya.
Malik melirik senyum nipis. Tahu benar dia dengan sikap Qaseh. Bukan mudah untuk memujuknya jika dia tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara.
“Encik Arief bukan tak tahu perangai Qaseh,” balas Malik.
Arief mengeluh. “Sebab aku tahu perangai dialah aku  tak nak terlalu memaksa. Aku nak dia tahu apa yang aku buat selama ini sebab aku mengambil berat hal dia.”
“Mungkin Qaseh memerlukan sedikit masa lagi. Saya percaya Qaseh akan menerima Encik Arief sebagai suami dengan seikhlas hatinya satu hari nanti.”
“Aku pun harap begitu juga Malik.”
Seandai Qaseh dapat menelah hatinya, sudah pasti dia tidak perlu bersusah payah menawan sekeping hati itu. Walau apa pun dia mesti melakukan sesuatu supaya hubungan mereka tidak terus keruh begini.
Arief menghela nafas panjang. “Aku nak kau bawa aku ke satu tempat."
Berkerut dahi Malik. "Ke mana?"
Arief tidak menjawab. Dia bangkit lalu menanggalkan kot yang tersarung di tubuh lantas disangkut di kepala kerusi. Tali lehernya juga direnggangkan.
Dia melangkah menghampiri Malik yang masih menanti.
"Nanti aku beritahu."
Dia berjalan keluar dari bilik disusuli Malik yang masih tertanya-tanya hala tuju tuannya itu.



Lama Arief berteleku di hadapan sebuah pusara. Usai mengaminkan doa, perlahan tangannya mengusap lembut batu nisan. Kali terakhir dia datang ke sini sebulan yang lalu. Bersendirian begini menjadikan ingatannya terarah kepada arwah sahabatnya itu. Memori silam kembali bermain di ruang mata.
“Arief kalau aku minta kau buat sesuatu, kau sanggup?” soal Qalif. Dalam renungan Qalif padanya.
“Buat apa?” Tiba-tiba debaran bertamu dalam dadanya.
“Tolong tengok-tengokkan adik aku...”jawab Qalif. Suaranya kedengaran serius.
Arief melirik senyum.
“Kenapa pulak kau suruh aku tengok-tengokkan adik kau? Lain la kalau minta aku kahwin dengan adik kau, nak juga aku,” jawab Arief terselit gurauan sambil tersengih-sengih. Raut wajah manis itu kembali bertamu di ruang matanya. Saat matanya terpandang pada sekeping gambar yang tercicir dari diari Qalif telah mengundang satu perasaan dalam dirinya. Raut wajah Nur Qaseh Qalisya tidak pernah lenyap dari dalam ingatannya saat pertama kali matanya menatap wajah itu.
Qalif tersenyum hambar mendengar gurauan sahabatnya itu. Namun riak mendung jelas di balik wajah itu.
 “Sejak dia tinggal dengan keluarga tiri kami, adik aku dah banyak berubah. Walaupun adik aku tak pernah merungut tapi aku tahu dia tak bahagia. Adik aku bukan jenis suka mengadu. Kalau dia boleh pendam dia akan pendam perasaan dia sorang-sorang. Aku nak balik tengok adik aku. Risau aku sejak abah aku meninggal, dia dah banyak berubah. Lebih suka menyendiri. Tadi aku call pun suara dia macam baru lepas menangis aje,” kata Qalif meluahkan rasa kebimbangannya.
"Kau nak balik malam ni jugak ke? Hujan lebat ni. Tunggu reda sikit dulu."
"Kalau nak tunggu reda pukul berapa aku sampai nanti."
"Hati-hati Qal."
Qalif hanya mengangguk. Sebelum keluar Qalif kembali berpaling memandang sahabatnya dengan raut wajah sayu.
"Rief, kalau apa-apa jadi kat aku, kau tolong tengok-tengokkan adik aku ya. Anggaplah dia seperti adik kau sendiri,” pesan Qalif lagi. Renungannya serius dan dalam membuatkan Arief mula tidak sedap hati.
"Apa kau merepek ni? Insya-Allah tak ada apa-apa. Boleh ke kau percayakan aku ni, dari adik angkat silap-silap terangkat  pula nanti,” jawab Arief cuba menceriakan keadaan. Riak keruh di wajah sahabatnya itu mengundang kerisauan dalam dirinya.
Qalif tersenyum nipis. "Kau tu ramai peminat, susah adik aku nanti."
"Hey, aku ni jenis yang setia tau. Kalau aku cinta seseorang selamanya aku akan cinta tau."
"Ye la tu.... okaylah aku dah lambat ni."
"Hati-hati bro.”
Masih segar di ingatannya pesanan Qalif dan dia tidak menyangka malam itu merupakan pertemuan terakhir mereka apabila dia menerima berita sahabatnya itu terlibat dalam kemalangan yang telah meragut nyawanya.
Dari jauh, dia melihat wajah sayu Qaseh buat pertama kalinya. Entah mengapa, dia tiada kekuatan untuk mendekati gadis itu. Sabar sayang... serunya perlahan seolah-olah mahu menghembuskan kekuatan ke dalam tubuh yang kelihatan lemah dan lesu itu. Hatinya turut merintih mengenangkan Qaseh terpaksa menghadapi dugaan ini. Pesanan terakhir arwah Qalif kembali bermain-main di mindanya. Mampukah aku? Bagaimana perasaan sayang dan cinta yang telah mula berputik di sudut hatinya ini?
Arief meraup muka. Berat keluhan terbit dari bibirnya mengingatkan peristiwa yang terpancar di layar ingatan. Dia telah cuba tidak mengendahkan pesanan terakhir sahabatnya  itu tetapi takdir telah menemukannya dengan Qaseh kembali. Dia seperti tidak percaya Qaseh yang terdampar di jalan raya malam itu. Kala itu rasa penyesalan datang bertimpa-timpa dalam diri membiarkan Qaseh bersendirian mengharungi hidup dengan keluarga tiri yang tidak pernah menerimanya. Mulai saat itu, dia telah bertekad tidak akan melepaskan Qaseh dari hidupnya lagi.
"Maafkan aku Qif, aku tak mampu melawan perasaan aku. Aku terlalu cintakan dia...” rintih Arief menahan rasa  menghimpit jiwa.
 


akan bersambung :)

sorry pendek aje n3 ni...terima kasih yang sudi melontarkan komen... gee sangat2 hargainya... ^___^



12 comments:

salina (Ina) said...

laa adik kawan sendiri ke.. patut la beria bagai nak tolong... bessttt... bila mau sambung lagi... x sabar ni...

norihan mohd yusof said...

buka lah hati mu qaseh,agar same2 milik memilik,kaseh mengasehi n cinta mencintai...

The Lady Chosen said...

Nak lagi... Owh patutla ariff nk tlg qaseh, rupanya kawan abangnyerr... Bila la Qaseh nak buka hati untuk Ariff.. Kiranya Qaseh ni dh lame bertahta di hati Ariff :-)

hk said...

best! best! comey cinta si Arief ni!!!

Anonymous said...

tak nak komen apa2 sebab memang besttt..cuma satu je nak pesan kat Cik Writer..jangan la lama sangat update new chapter..rugi klau cerita best disimpan lama2...hihihi..jangan marah ye Cik Writer..nanti kena jual...

azila said...

tolong sambung cepat2..

Zalida said...

Thanks Gee for the new entry, lama kami tunggu. Tak syok baca sebab pendek sangat, tak sempat nak dapat feel...hehehe. Apa pun, cerita ni mmg best.

AniLufias said...

Gee...sikit sgt n3 ...betul kata puan Zalida, baru nak rasa feel..x smpat dah habis
apa2pun....chaiyok!!!!

Kak Sue said...

X puas baca lah ... bila x ada Qaseh ....
so sweet Ariff.... lama pendam perasaan.... cuba berterus terang ....

Fidd said...

I loikeee!!! :D

marsilla said...

bila nak keluar entry baru???
da lame tunggu...
huhuhuhuhu

jat said...

lambatnya new n3..xsabo dh nie
besttt
suke la cite nie