Tuesday, June 19, 2012

Tika Hati Berbicara 11


Berseri raut wajah Nenek Esah menyambut Arief dan Qaseh di muka pintu. Bergenang kelopak matanya saat tangannya dikucup Arief.
“Lama tak tengok cucu nenek yang hensem ni,” senda nenek Esah. Bahu Arief diusap lembut bagai melepas rindu yang bersarang di jiwa.  
“Arief minta maaf nek...”
“Tak apa cu... nek faham Arief sibuk sangat sejak akhir-akhir ni kan. Cuma nek rindu lama tak tengok Arief, hanya dengar suara aje,” cantas Nenek Esah kala riak bersalah terbias di raut wajah cucunya itu. Dia tahu Arief asyik berulang alik ke luar negara melalui Qaseh. Namun, Arief sering juga menghubunginya bertanya khabar. Tersentuh hati tuanya dengan keprihatihan Arief.
“Insya-Allah nek, lepas ni Arief akan kerap balik lawat nek.”   
Riak kekesalan masih terbias di raut wajah Arief. Kesibukan telah menyebabkan dia alpa pada tanggungjawab yang satu ini.  
“Amboi nek... cucu kat sini dah tak rindu ke?” sampuk satu suara menyedarkan Nenek Esah dan Arief yang mereka bukan hanya berdua di situ.
Nenek Esah mengalih pandangan di sisi Arief. Wajah rajuk Qaseh mencuit hati tuanya. “Cucu ni memang nek selalu rindu sangat-sangat. Tak payah buat muka muncung macam tu. Tak comel.”
“Nek....” rengek Qaseh bertambah muncung wajahnya mendengar kata Nenek Esah itu. Namun, tangan Nenek Esah diraih dan dikucup lembut. Pelukan dan ciuman di kedua pipi Nenek Esah bagai melerai rasa rindu.
 Menguntum senyuman di bibir Nenek Esah. Rasa kasih dan sayang pada cucunya ini sentiasa bercambah. Apatah lagi raut wajah Qaseh mengingatkannya pada arwah anaknya. Sekurang-kurangnya rasa rindu pada anaknya itu terubat kala dia menatap dan berdamping dengan Qaseh.
“Sunyi aje rumah, Mak Usu dengan budak-budak mana?” soal Qaseh meninjau di dalam rumah.
“Mak Usu kamu menolong orang masak. Malam ni makcik Bedah ada buat kenduri kesyukuran. Anaknya si Johan dah dapat kerja kat bandar. Jihah ke rumah kawannya, Ijat ikut ibunya ke rumah makcik Bedah. Kamu berdua pergilah berehat dulu. Malam ni boleh kita pergi kenduri rumah Makcik Bedah.”
“Okay nek, Arief bawa beg-beg ni masuk bilik dulu,” ujar Arief.
“Yelah, Nek ke dapur kejap. Nek ada buatkan kuih tepung bungkus nanti boleh kita makan sama-sama.”
“Biar Qaseh tolong nek kat dapur,” pelawa Qaseh lalu mengatur langkah mengekori Nenek Esah. Tidak betah rasanya hendak duduk berdua-duaan dengan Arief. Tingkah Arief sering membuat dadanya berdebar hebat sejak akhir-akhir ini. Apatah lagi mood Arief yang tidak menentu kekadang memeningkan kepalanya pula.    
“Kamu pergilah berehat, Qaseh. Tak ada apa nak buat kat dapur tu. Semuanya dah siap.”
Desakan Nenek Esah membawa kaki Qaseh ke arah bilik tidurnya. Perlahan daun pintu ditolak. Susuk tubuh Arief yang terlentang tidur keletihan menyapa matanya. Berdebar dadanya. Kakinya menapak perlahan merapati katil dan punggungnya mencecah birai katil.
Raut wajah kacak Arief ditatap lama. Mata yang terpejam rapat itu mula membuai perasaannya. Matanya jatuh pada dada bidang Arief yang berombak tenang. Deru nafas yang terhembus bagai menggoda nalurinya. Walaupun hanya mengenakan t’shirt berkolar dan berseluar jean, penampilan ringkas itu tetap tampak bergaya.  Terpejam rapat mata Qaseh. Dia menghala nafas panjang sebelum bangkit dari birai katil. Tidak mahu terus membiarkan mindanya terus melayari hati yang semakin dibuai perasaan yang meresahkan.
Namun, Qaseh tersentak apabila pergelangan tangannya dicengkam lembut. Pantas dia menoleh. Terkedu Qaseh tatkala melihat sepasang mata redup Arief merenung tepat ke dalam matanya.
“Nak pergi mana?” soal Arief. Senyuman nipis menguntum di bibirnya.
“Sa... saya nak pergi tolong nenek kat dapur,” gelabah Qaseh. Berdetak hebat jantungnya dengan renungan redup Arief bersama senyuman yang memikat tangkai hatinya.
“Kan nenek cakap tak ada apa nak buat kat dapur. Nenek nak cucu kesayangannya ni berehat.”
Arief menghela nafas. Dia menarik lembut lengan Qaseh. “Duduk.” arah Arief lembut. Qaseh hanya menurut lalu melabuhkan punggung di birai katil. Seketika pandangan mereka bersatu sebelum Qaseh melarikan anak matanya ke arah lain. Menanggapi renungan Arief mengundang resah di hati. Perasaan malu mula bertapak di dalam diri.
Melebar senyuman di bibir Arief melihat tingkah Qaseh. Arief mencapai tangan Qaseh dan digenggam lembut lalu dibawa ke dadanya. Arief menghala nafas panjang sambil terbaring santai memandang kipas di syiling berpusing ligat.
Terpana Qaseh dengan tindakan Arief yang begitu bersahaja. Namun, dia hanya membiarkan tangannya dalam genggaman Arief. Arief yang kelihatan seperti terbuai dengan perasaan sendiri direnungnya tanpa jemu.
“Awak ingat lagi tak malam pertama kita?”soal Arief tenang.
Berkerut dahi Qaseh. Mengapa itu pula yang dibangkitkan Arief? Tidak mampu untuk Qaseh menjawab kerana pernikahan mereka terlalu mendadak dan ketika itu Arief seperti orang asing padanya. Dia sendiri dalam kebingungan dengan apa yang berlaku.  
“Awak sedap tidur kat atas katil ni, saya pulak sakit badan tidur kat bawah,”sambung Arief lagi.
Qaseh terusan membisu seribu bahasa. Masih segar di kotak fikirannya hanya kebisuan menemani mereka pada malam itu. Tingkah Arief yang mencapai bantal lalu diletakkan di atas permaidani hanya dipandang sepi.
“Malam ni saya nak tidur atas katil ni.”
Qaseh mengangkat muka memandang Arief. Entah mengapa perasaan gelisah mula bertandang mendengar kata-kata Arief itu.  
“Kalau macam tu biar saya pula tidur kat bawah,” usul Qaseh cuba beriak tenang.
“Tapi saya tak nak tidur sorang-sorang atas katil ni. Tak lena tidur kalau tak ada teman.”
Berkerut dahi Qaseh. “Sebelum ni boleh aje Encik Arief tidur sorang-sorang. Kenapa sekarang tak boleh nak tidur lena pulak?”
“Sebab saya tak biasa kat sini. Lagipun takkan saya nak biarkan tubuh awak sakit-sakit sebab tidur kat bawah tu. Tak sanggup saya.”
“Tapi...” teragak-agak Qaseh ingin bersuara.
“Saya janji tak buat apa. Tapi kalau buat pun tak berdosa kan?” tersungging sengihan nakal di bibir Arief. Mata galaknya bersinar melihat wajah Qaseh yang merona merah diusiknya.
Qaseh tidak terkata apa. Terasa wajahnya kini bagaikan ceri merah yang masak ranum apabila perasaan malunya sudah sampai ketahap yang paling maksimum.
“Encik Arief tak nak mandi dulu ke?” soal Qaseh gelabah lalu menarik tangannya dari genggaman Arief.
Qaseh bangkit mendekati beg pakaian lalu menarik kain pelekat dan baju melayu milik Arief dari dalam beg. Entah mengapa dadanya berdendang hebat. Tidak tentu arah dibuatnya.
“Saya ada lagi satu permintaan. Dan kali ini awak kena tunaikan.”
 Terkejut Qaseh apabila suara Arief begitu dekat menyapa halwa telinganya. Dia pantas berpaling dan wajah Arief yang hanya beberapa inci dari wajahnya membuatkan Qaseh terkedu. Tidak pula dia sedar bila Arief turun dari katil dan menghampirinya.
“Per... permintaan apa?” gugup bicara Qaseh dengan tingkah Arief yang begitu bersahaja. Apatah lagi kini dagu Arief mencecah bahunya. Sikap romantik Arief betul-betul menduga nalurinya. Tidakkah dia tahu betapa hebatnya jantungnya bergetar kala ini.
“Saya tak mahu lagi awak panggil saya, Encik Arief.”
“Habis tu nak panggil apa? Tuan Arief?”
Mengeringai Qaseh mengaduh apabila pipinya dicubit Arief. Berkerut dahinya memandang Arief sambil tangannya mengusap pipi. “Sakitlah! Jari ketam kut  Encik Arief ni.”
“Mulai hari ini saya tak nak dengar awak panggil saya Encik atau Tuan Arief lagi. Awak hanya dibenarkan panggil saya ‘ABANG’, lagipun apa sangkaan nenek nanti kalau awak berencik-encik dengan saya.”
 “Tapi saya tak biasa panggil Encik Arief dengan panggilan lain.”
“Bermula hari ini dan saat ini biasakan lidah awak dengan panggilan tu. Kalau tidak awak akan dikenakan denda!”
“Hah! Kena denda?”
“Yup! So hati-hati ya.”
“Tapi  kalau tersasul tak apa kan.”
 “Tak kira, kena denda jugak tiada kompromi.”
“Apa dendanya?”
Lebar sengihan Arief dilemparkan pada Qaseh. “I will get your kiss,” perlahan ungkapan itu meluncur dari bibir Arief bersama renungan yang menggoda.
Terbuntang luas mata Qaseh. Merona merah pipinya .  “Tak nak!” Bantah Qaseh menggeleng laju.
“Kalau tak nak kena denda saya tak nak dengar lagi awak panggil saya Encik Arief, okey sayang.” Hidung Qaseh dicuit lembut.
“Okey, sekarang abang nak pergi mandi.”
Terkedu Qaseh saat bibir Arief singgah di pipinya sebelum mencapai kain pelekat dan baju melayu di tangannya. “Thanks sayang!” ucap Arief bersama senyuman yang paling menawan untuknya.
Qaseh masih kaku dan perlahan tangannya di bawa ke pipi. Terasa satu perasaan halus menyerap dalam dirinya. Kala itu sepasang matanya terpandang sesuatu. Pantas tangannya mencapai dan berpaling ke belakang. “Enc...” Qaseh tidak jadi menyambung kata apabila menyedari kesasulan lidahnya.
Qaseh kegelisahan apabila Arief mendekat padanya lantas kembali duduk bersila di hadapannya.
“Apa sayang? Abang tak dengar,” soal Arief mendekatkan wajahnya pada Qaseh.
“Ab...abang terlupa tuala,”
Perlahan Qaseh menghulurkan tuala kepada Arief yang terusan merenung wajahnya.
“No, no, no... bukan itu yang abang dengar tadi.” Jari telunjuk Arief dilayang-layangkan di hadapan Qaseh sambil menggeleng perlahan.
Qaseh mula gelisah. Sesak nafasnya dirasakan waktu ini. Pandangan Arief yang mengekori setiap tingkah lakunya membuatkannya tidak keruan.
“Sayang dah kena denda.” ujar Arief tersengih nakal.   
“Dendanya...” ujar Arief sambil membawa jari telunjuknya ke pipi.
Qaseh mengigit bibir. Resah di hati hanya Allah sahaja yang tahu.
“I’m waiting,” ujar Arief. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Matanya semakin riang melihat pipi Qaseh yang merona merah.
“Abang tutup mata dulu.” Perlahan Qaseh bersuara memberanikan diri bertentangan mata dengan Arief.
“Okey,” sahut Arief lantas memejamkan sepasang matanya.
Qaseh menarik nafas panjang. Semakin lama bibirnya semakin dekat di pipi Arief.
Namun, Qaseh terkaku apabila  bibir Arief terlebih dulu singgah di bibirnya.
“Abang ubah fikiran, tak jadi kat pipi,” ujar Arief dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. 
Arief bangun sambil mencapai tuala di tangan Qaseh dan sempat hidung Qaseh dicuit lembut sebelum berlalu pergi.  
Qaseh yang masih terkejut dengan tingkah Arief itu tidak berganjak dari duduknya. Perlahan tangan di bawa ke bibir seakan merasai sentuhan bibir Arief tadi. Pertama kali dia merasai sentuhan yang membawa satu perasaan mendalam di ruang jiwanya yang kosong. Debaran di dada bagaikan tiada penghujung memukul gelora di hatinya. Semakin lama jiwanya bagaikan merasai satu perasaan indah yang sukar ditafsirkan olehnya. 


akan bersambung ;D

Sunday, June 3, 2012

Tika Hati Berbicara 10


* Sorry dah lama x upload new n3, ada perkara yang perlu didahulukan.  
  Semoga n3 ini mengubat rindu anda pada Arief dan Qaseh.
  Selamat membaca & semoga terhibur. ( ^ _ ^ ) 



Zakri menapak perlahan masuk ke dalam rumah. Berhati-hati dia melangkah dalam suasana yang hanya disirami cahaya neon dari lampu tidur di ruang tamu itu. Dia menoleh ke arah pintu bilik mamanya yang tertutup rapat. Khuatir kepulangannya akan disedari oleh mamanya nanti.
“Kamu ke mana Zakri, baru sekarang nampak batang hidung kamu?” Ketika tangannya ingin memulas tombol pintu bilik, suara mamanya bergema memecah keheningan.
Tersentak Zakri, perlahan tubuhnya berpaling ke belakang. Zakri menjadi kecut melihat mamanya yang bercekak pinggang dengan renungan yang cukup tajam memandang tepat ke wajahnya.
“Zakri ada hal sikit ma, tu yang balik lambat,” Tipu Zakri. Padahal setiap malam dia menghabiskan masa di kelab malam tempat biasa dia melepak bersama teman baiknya Amir.
“Hal apanya... hari-hari balik lambat. Kamu ke mana sebenarnya Zakri.” Semakin meninggi suara Puan Samsiah. Alasan yang acap kali diberikan oleh anaknya itu sudah tidak boleh diterima oleh makcik Samsiah lagi. Zakri seperti menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya.
“Alah ma... Zakri kerja la ma, kalau Zakri membuta kat rumah mama bising. Bila Zakri keluar kerja pun mama bising.”
“Kerja apa yang kamu buat balik tengah-tengah malam ni. Hasilnya mama tak nampak pun.  Kamu jangan buat kerja yang tak senonoh Zakri! Ni mama nak tanya macam mana dengan duit tiga puluh ribu yang mama bagi kat kamu dulu. Kamu cakap nak pulangkan pada mama, tapi sampai sekarang tak nampak satu sen pun.”
 “Hish, mama ni. Takkan Zakri nak buat kerja tak senonoh. Pasal duit tu nanti Zakri bayar la ma. Projek yang Zakri buat tu ada masalah sikit. Zakri tengah cari modal lagi sekarang ni. Bila semua dah selesai Zakri bayar balik duit mama tu,” jawab Zakri berdalih. Wajahnya cuba beriak selamba, tidak mahu mamanya terkesan sesuatu. Bagaimana dia hendak mendapatkan duit sebanyak tiga puluh ribu itu?
“Baik, kali ni mama percaya cakap kamu tapi kalau mama dapat tahu kamu joli dengan duit tu, nahas kamu,” keras kata-kata yang terluah dari bibir Puan Samsiah berbaur amaran.
“Okeylah ma... Zakri masuk dulu.”
Zakri ingin cepat-cepat beredar masuk ke dalam bilik, tidak mahu mamanya bersoal jawab lebih panjang dengannya. Khuatir tembelangnya akan pecah nanti.
“Tunggu dulu! Mama belum belum habis cakap lagi,” larang Puan Samsiah.
“Apa lagi ma...” rungut Zakri. Dia menggaru kepala mulai bosan dengan kerenah mamanya yang mengalahkan pegawai siasatan.
“Mama nak tanya..” kata-kata Puan Samsiah terhenti sebaik mendengar pintu rumah terkuak.
Susuk tubuh Elyana yang muncul di balik pintu menarik pandangan Puan Samsiah dan Zakri. Elyana yang baru menyedari mama dan abangnya di ruang tamu terpaku di muka pintu.
“Ni sorang lagi. Kamu ke mana Yana sekarang baru nampak batang hidung. Semalam kamu tak balik, kamu pergi mana?” Lantang suara Puan Samsiah menghamburkan pertanyaan.
“Yana tidur rumah kawan,” jawab Elyana acuh tak acuh sahaja. Tanpa menghiraukan teguran mamanya, dia melangkah ke arah biliknya.
“Selalu sangat kamu tidur rumah kawan. Kamu dah tak ada rumah sendiri,” sinis bicara Puan Samsiah membuatkan Elyana mempamerkan riak wajah bosan.
“Yana bukan ke mana pun, lepak dengan kawan-kawan aje. Duduk dalam rumah ni pun tak ada apa nak buat,” jawab Elyana menyambung langkah ke biliknya.
 “Nak ke mana tu? Mama belum habis cakap lagi!”
“Tidur lagi baik dari dengar mama membebel.”
“Elyana!”
Elyana hanya meneruskan langkahnya dan sebaik masuk ke dalam bilik, dia menghempas kuat pintu biliknya.
“Kamu tengok adik kamu tu Zakri, makin lama makin menjadi pulak perangainya. Cuba kamu nasihatkan sikit adik kamu tu.”
“Yelah ma... nanti Zakri nasihatkan si Yana tu,”
“Zakri masuk tidur dululah ma... mengantuk sangat dah ni,”ujar Zakri mula mengorak langkah ke biliknya.
Puan Samsiah mengeluh kuat. Pening kepala memikirkan perihal anak-anaknya. Hanya hendak menyusahkan hatinya sahaja tidak pernah nak menyenangkan jiwanya.  
Manakala di dalam bilik, tubuh Elyana tersandar di muka pintu. Warna biru muda yang menghiasi dinding bilik tidurnya tidak mampu membawa ketenangan dalam dirinya, terasa begitu kosong sekali. Perasaannya kembali tertekan dengan kejadian yang tidak pernah terduga akan berlaku ke atas dirinya. Raut wajah kepuasan Farouq kembali bermain dimindanya membuatkan perasaan benci dan geram membuak di dalam dirinya. Elyana membaling beg sandang yang berada di tangan ke dinding melepaskan perasaan yang mencengkam di dada. Dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Bantal di hujung katil ditarik rakus lalu digenggam kuat. Aku benci kau, Farouq! Aku benci kau! Aku benci! Benciii!!!!!
Jerit Elyana lalu menyembam mukanya ke bantal. 


*********************

Hari ini awal-awal pagi lagi Qaseh sudah bangun untuk mengemas dan menyediakan sarapan pagi. Mengikut perancangan awal, mereka akan bertolak balik ke kampung pada waktu pagi. Sebaik selesai mengemas Qaseh kembali ke dapur untuk menghidangkan sarapan pagi. Nasi goreng bersama roti bakar sudah tersedia di atas meja.  Air neslo panas kegemaran Arief juga tidak dilupakan.
Qaseh menoleh ke arah jam dinding. Melihat waktu sudah berganjak ke angka lapan pagi membawa langkah Qaseh ke muka pintu bilik Arief.
Kesepian Arief menyesak dadanya. Peristiwa semalam kembali berlegar di ruang mata. Pelawaan Azman untuk menghantarnya pulang ditolak dengan penuh budi bicara. Haru jadinya apabila sekali lagi dia bertembung dengan Azman di pintu utama pejabat sewaktu dia melangkah keluar. Kelibat kereta Arief sudah kelihatan di luar pejabat. Perbualan mereka berlanjutan agak lama. Sesekali dia menjeling ke arah kereta Arief. Nasib baik kereta Arief bercermin gelap, gusar hatinya jika ada sesiapa yang menyedari Arief di situ.
Sebaik dia melangkah masuk ke dalam kereta, senyuman yang dilemparkan langsung tidak bersambut malah wajah serius Arief terus mematikan senyumannya. Arief terus membisu sepanjang perjalanan pulang. Mati kutu dibuatnya dek perangai Arief yang tidak menentu itu.  
Qaseh mengetuk perlahan pintu bilik Arief.
“Encik Arief...” panggil Qaseh.
Seketika kemudian, Arief membuka pintu bilik. Segaris senyuman nipis dilemparkan kepada Arief. “Saya dah siapkan sarapan. Encik Arief tak nak makan dulu,” tanya Qaseh lembut.
“Kejap lagi, saya ada kerja sikit nak siapkan. Awak makanlah dulu,” jawab Arief hambar.
Qaseh mengamati wajah Arief yang serius dan seperti tiada perasaan itu. Apa yang tidak kena dengan Encik Arief ni? Asyik moody aje dari  semalam. Mengalahkan orang perempuan pulak.
“Encik Arief banyak kerja ke? Habis tu pukul berapa kita boleh bertolak?”
“Lepas siap kerja saya ni kita bertolak. Tak lari ke mana kampung tu.”
Tersirap darah Qaseh mendengar kata Arief itu. Raut wajah Arief yang berlagak selamba diamatinya.
“Encik Arief ni kenapa? Hari tu Encik Arief yang beria-ia nak ikut saya balik kampung. Saya tahu Encik Arief banyak kerja tapi Encik Arief kata akan uruskan sebelum kita balik kampung. Kalau macam ni biar saya balik seorang saja. Saya tak nak menyusahkan Encik Arief, saya boleh balik sendiri.”
Qaseh berpaling ingin berlalu pergi, namun baru beberapa tapak dia melangkah, kakinya terpaku apabila pergelangan tangannya dipaut kemas oleh Arief.
“Qaseh...” panggil Arief lembut.
Qaseh terus menyepi membisu. Wajah Arief tidak dipandangnya hanya membiarkan tangan Arief melekap di pergelangan tangannya.
“I’m sorry...” lembut suara Arief menyapa halwa telinga Qaseh.
Qaseh cuba menarik tangannya namun genggaman Arief semakin kuat mencengkam pergelangan tangannya.
“Lepaskan tangan saya Encik Arief.” Perasaan geram mula membaluti diri. Geram dengan sikap Arief yang sukar difahami. Ikut kepala angin dia saja.
“Qaseh, please... jangan macam ni,” pujuk Arief. Perasaan bersalah mula melingkar dalam dirinya. Dia mula mengutuk dirinya sendiri. Entah kenapa setiap kali melihat Qaseh berbual mesra bersama Azman perasaan cemburu sukar dibendung .
“Saya tak nak menyusahkan Encik Arief.”
Pautan di lengan Qaseh semakin dikemaskan. Terasa pedih mendengarkan ungkapan yang terbit dari bibir Qaseh.
“Awak tak pernah menyusahkan saya, Qaseh. Jangan awak beranggapan begitu pada saya.”
“Tapi itu yang saya rasa selama ini,” ujar Qaseh perlahan sambil tertunduk melarikan pandangan apabila Arief sudah berdiri bertentang dengannya.
Arief mula resah. Dia meraup rambut ke belakang. Wajah Qaseh ditenung tanpa jemu. Raut wajah itu tetap tampak berseri walau tanpa sebarang calitan solekan. Wajah putih bersih itu yang sentiasa bermain di ruang matanya sejak dulu. Tiada siapa yang tahu rahsia hatinya. Tiada siapa yang tahu hatinya telah terpaut sejak pertama kali dia terpandang pada wajah itu.
“Okey, saya janji, lepas saya siapkan kerja ni kita terus bertolak.”
Bersungguh Arief memujuk Qaseh yang terusan membatu diri. Arief menyentuh lembut dagu Qaseh yang sedari tadi menunduk. Qaseh mengangkat muka dan pandangan  mereka berpadu.
“Pleasee....” pujuk Arief lagi. Qaseh hanya memandang mimik muka Arief yang berkerut-kerut itu. Semakin lama dipandang mendatangkan perasaan lucu pula dalam dirinya.
“Sarapan dulu,” ujar Qaseh menyimpan senyum. Matanya dilirikkan ke arah lain, masih menunjukkan rasa rajuk yang sudah terpujuk.
“Awak jangan selalu buat macam tu kat saya.”
“Buat apa?” Berkerut dahi Qaseh bertanya.
“Mata awak tu buat saya tergoda. Saya tak kuat iman. Saya takut tak tahan digoda awak nanti.”
Membuntang mata Qaseh. Wajahnya mulai merona. “Encik Arief!”
Qaseh ingin segera berlalu pergi dek perasaan malu yang mula menjalar dalam diri. Namun, genggaman tangan Arief menyekatnya dari melangkah. “Tadi ajak saya sarapan. Ni nak ke mana pula?”
“Sarapan kat sana bukan kat sini, Encik Arief.” jawab Qaseh cuba membendung perasaan malu.
Tersenyum lebar Arief melihat tingkah Qaseh yang malu-malu itu. Dia tahu hati Qaseh sudah terpujuk. Sikap Qaseh sentiasa mencuri perhatiannya. Tingkah Qaseh sering mengundang debaran di dada. Siapa tidak bergelora nalurinya melihat kecantikan asli yang dimiliki Nur Qaseh Qalesya. Hanya Tuhan saja yang tahu gelodak hatinya setiap kali wajah itu menyapa ruang matanya.