Wednesday, April 4, 2012

Tika Hati Berbicara 9

“Kenapa pulak dengan kereta ni?” rungut Qaseh. Qaseh cuba beberapa kali menghidupkan enjin keretanya tetapi tidak berjaya. Lantas dia membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Sebaik membuka bonek kereta, dia hanya meliarkan pandangan pada enjin kereta itu. Melihat sahaja wayar-wayar yang bersirat di sana sini. Langsung tidak berani menyentuhnya.

Tidak pernah kereta itu mengalami masalah sebelum ini. Kereta kancil terpakai yang dibelinya sejak empat bulan yang lalu untuk kemudahannya bergerak ke mana sahaja tambahan lagi ke tempat kerja. Walaupun Arief ada bersuara supaya membeli kereta baru tetapi Qaseh menolaknya. Cukuplah, tidak terbalas budi lelaki itu. Kereta ini pun Arief yang dahulukan wang pendahuluan. Selebihnya Qaseh membuat pembayaran secara ansuran setiap bulan.

Tiba-tiba terlintas difikirannya untuk menghubungi seseorang yang mungkin dapat membantunya. Lantas Qaseh kembali ke dalam kereta dan mencapai tas tangannya. Sebaik telefon bimbit berada di tangan, pantas jemarinya mencari nombor yang ingin dihubungi.

“Mana pulak abang Malik ni.” Raut kecewa jelas terpancar di wajah Qaseh apabila panggilannya tidak berjawab. Qaseh mencuba lagi tetapi talian masih sama hanya peti suara yang menjawab panggilannya itu.

Qaseh buntu. Sedikit kalut tingkahnya. Dia kembali bergerak ke hadapan kereta. Sambil menggigit jari matanya meliar ke arah enjin kereta itu. Satu tabiatnya dikala fikiran diserang kebuntuan. “Apa aku nak buat ni...?”

“Kenapa ni?” Tiba-tiba seseorang menegur Qaseh dari arah belakang.

Qaseh tersentak. Pantas dia menoleh ke belakang. Melihat Arief yang melangkah ke arahnya meredakan sedikit rasa kebuntuannya.

“Entah, buat hal pulak kereta ni,” adu Qaseh sebaik Arief menghampirinya. Tingkah Arief yang menyentuh beberapa komponen enjin kereta hanya diperhatikan sahaja.

“Encik Arief tahu kenapa kereta ni tak boleh start?” soal Qaseh turut memerhati enjin kereta itu.

“Mungkin sebab bateri,” jawab Arief.

“Tak apa, macam ni... biar saya hantar awak ke pejabat. Kereta awak esok Malik akan uruskan. Hari ni dia cuti.” pelawa Arief sambil menutup bonek kereta.

“Eh, tak payahlah Encik Arief saya boleh naik teksi aje,” tolak Qaseh.

“Susah nak dapat teksi time ni kan?”

“Tak apa Encik Arief, saya masuk lambat sikit office pagi ni,” jawab Qaseh masih beralasan menolak pelawaan Arief.

“Apa salahnya kalau saya hantar awak. Takkan saya nak biarkan isteri saya naik teksi,” kata Arief sikit tegas nadanya. Raut wajah serius Arief membuatkan Qaseh diam membisu seketika.

“Apa salahnya naik teksi...” perlahan suara Qaseh menjawab. Dia hanya menunduk tidak berani melihat wajah Arief.

“Habis tu saya kat sini buat apa? Sudah, pergi ambil beg awak. Mana kunci kereta?”
Tiada apa lagi yang boleh Qaseh katakan apabila Arief sudah bertegas begitu. Hatinya mula diserbu rasa resah. Bagaimana jika ada mata yang terpandang dia bersama Arief nanti? Sebaik mengambil tas tangan dari dalam kereta, Qaseh menyerahkan kunci keretanya kepada Arief.

Raut wajah Arief masih serius seperti tadi. Qaseh hanya membisu. Perlahan langkahnya di atur ke arah kereta BMW X5 Arief yang di parking tidak jauh dari kereta kancilnya. Dia tidak mengendahkan Arief yang sesekali menoleh ke belakang memandangnya. Sengaja dia berjalan lambat untuk menunjukkan rasa ketidakpuasan hatinya kepada Arief.

“Jangan buat muka macam tu boleh tak?” soal Arief sebaik mereka masuk ke dalam perut kereta.

“Nak buat muka macam mana lagi kalau dah kena paksa,” jawab Qaseh sambil berpeluk tubuh.

Arief menghela nafas. Kemudian dia berpaling ke arah Qaseh. Tangannya di letakkan santai di atas stereng kereta. Wajah Qaseh menjadi tatapannya kini. Dia tahu Qaseh tidak mahu mereka dilihat bersama. Walaupun dahulu mereka telah bersetuju untuk merahsiakan perhubungan ini tetapi kini dia tidak peduli lagi. Sampai bila hubungan mereka akan berkesudahan begini. Sudah sampai masa dia berbuat sesuatu dengan ikatan suci yang telah terjalin sejak setahun yang lalu.

“Awak tak suka bersama saya?”

“Kenapa Encik Arief cakap macam tu?”

“Cara awak seolah awak tak suka bersama saya.”

“Encik Arief tahu kan pandangan orang di luar sana kalau nampak kita bersama. Mesti Encik Arief boleh agak apa soalan yang akan diajukan mereka nanti.”

“Saya dah tak kisah kalau orang tahu tentang hubungan kita Qaseh. Sampai bila kita nak selindungkan hubungan kita. Lambat laun akan diketahui jugak,” kata Arief meluahkan apa yang tersirat di hatinya.

Qaseh terpana. Sepasang matanya menatap wajah Arief tidak berkedip. Tidak menyangka kata-kata itu terluah dari bibir Arief. “Bukankah dulu Encik Arief kata hubungan kita hanya sementara. Lebih baik terus begini kalau kita tahu perpisahan menjadi noktah pada hubungan kita,”perlahan Qaseh bersuara.

Benak fikirannya mula memutarkan kembali memori duka setahun yang lalu. Kepedihan mula menapak di jiwa. Hanya Allah sahaja yang tahu kesengsaraan yang dialaminya. Hidup bersama keluarga tiri yang tidak henti-henti mengherdik dan menderanya begitu menekan batinnya.

Kehadiran Arief telah mengubah segalanya. Walaupun beribu persoalan menerpa benak fikiran dengan tindakan Arief tetapi dia bersyukur Arief telah menyelamatkannya dari terus hidup terseksa bersama keluarga tirinya itu.

Arief ternyata terkejut dengan kata-kata Qaseh itu. Dia mula resah. Memang benar, dia telah menyatakan bahawa perkahwinan mereka hanyalah sementara sahaja. Namun ketika itu, dia tidak ambil peduli apa yang terungkap di bibirnya asalkan Qaseh sanggup berkahwin dengannya. Langsung dia tidak menyangka kata-katanya itu meninggalkan kesan di hati Qaseh sehingga kini.

Arief meraup muka. “Qaseh... sebenarnya...”

“Encik Arief, saya dah lambat. Kita cakap hal ni lain kali saja ya. Buat masa ni biarlah hubungan kita terus begini. Satu hari pasti sampai masa dan ketikanya untuk kita akhiri perhubungan kita ni. Waktu itu segalanya terletak di tangan Encik Arief. ” pinta Qaseh. Mengapa hatinya bagai dihiris-hiris? Mengapa kesedihan bertamu dalam dirinya? Tidak! Dia mesti membuang jauh perasaan yang terus memerangkap dirinya. Dia tidak sepatutnya berangan-angan dan memberi harapan pada perhubungan yang hanya berlandaskan simpati.

Kelu lidah Arief. Entah mengapa otaknya tiba-tiba beku. Melihat raut wajah keruh Qaseh, tidak terluah dengan kata-kata. Perasaan bersalah pula berganti dalam dirinya. Dia tidak menyangka sama sekali kata-kata yang terungkap dari bibirnya setahun yang lalu telah menyukarkan lagi hubungannya dengan Qaseh. Alangkah baiknya jika dia mempunyai kuasa yang mampu melenyapkan kata-kata itu dalam diri Qaseh.

Sepanjang perjalanan ke pejabat Qaseh, hanya lagu dan muzik menemani mereka. Masing-masing seperti mati bicara. Tidak tahu bagaimana ingin menghidupkan kembali suasana suram antara mereka.

“Encik Arief berhenti kat depan tu, boleh?” Tiba-tiba Qaseh bersuara memecah kesepian.

“Kenapa?”soal Arief. Sekilas dia memandang ke arah Qaseh.

“Saya nak beli kuih,”jawab Qaseh.

“Tadi bukan dah breakfast?”tanya Arief. Setahunya Qaseh mesti mengambil sarapan pagi sebelum keluar ke pejabat.

“Teringin nak makan kuih makcik tu... sedap kuih-kuihnya.”

Arief memberhentikan kereta berhampiran gerai menjual kuih yang ditunjukkan Qaseh. Tanpa membuang masa Qaseh menanggalkan tali pinggang keselamatan dan mencapai tas tangannya.

“Lagi satu, office saya dah tak jauh dari sini. Saya boleh jalan kaki aje. Nanti Encik Arief lambat pulak sampai office. Terima kasih tolong hantarkan saya ke pejabat ya, menyusahkan Encik Arief aje,” laju Qaseh meluahkan apa yang telah dirancang di benak fikirannya tadi dan tanpa berlengah lagi dia membuka pintu kereta.

Namun belum sempat dia melangkah keluar Arief terlebih dahulu bersuara. “Kenapa pulak nak jalan kaki? Kan jauh lagi tu.”

“Tak apa Encik Arief, depan tu aje office saya, dah tak jauh. Bukannya saya tak biasa.” Qaseh masih beralasan.

“Dah jangan banyak cakap, tadi kata nak beli kuih kan. Jom kita beli kuih dulu, lepas tu saya hantar sampai depan office awak. Kalau nak saya hantarkan sampai ke dalam office pun boleh jugak. My pleasure...” Tegas Arief bersuara.

Qaseh ingin membalas tetapi Arief terlebih dahulu melangkah keluar. Qaseh mengeluh. Aduh... susah betul dia ni. Qaseh menghela nafas berat. Timbul rasa geram dengan sikap Arief. Langsung tidak memikirkan akibatnya jika mereka kelihatan bersama. Melihat Arief menantinya, akhirnya Qaseh turut melangkah keluar dari kereta. Dengan wajah masam dia mendekati Arief yang tersenyum nipis memandangnya.

“Kenapa kau lambat?” soal Diana. Qaseh yang ketika itu sedang menyimpan tas tangan di dalam laci meja tersentak dengan sapaan Diana secara tiba-tiba itu. “Kau ni lain kali boleh bagi salam tak dulu, jangan nak main sergah macam tu.” Perlahan tangannya mengusap dada meredakan debaran.

“Sorry, sorry, sebenarnya aku ada hal cari kau ni. Kenapa kau lambat pagi ni?” ulang Diana lagi.

“Kereta aku meragam,” jawab Qaseh sambil mengeluarkan fail yang perlu dikemaskini pagi ini. Semalam dia tidak sempat memandangkan ada repot yang perlu disiapkan untuk mesyuarat minggu hadapan. Memandangkan minggu hadapan dia akan bercuti panjang, repot itu akan diserahkan kepada Wati untuk dibentangkan dalam mesyuarat itu nanti. Oleh itu, dia mesti memastikan tiada apa yang tercicir.

“Habis tu siapa yang hantar kau?”

“Abang driver,” jawab Qaseh selamba. Matanya seolah melekat pada bungkusan kuih di atas meja. Tanpa disedari bibirnya terukir senyuman halus. Tingkah Arief yang akhirnya akur dengan katanya kembali bermain di minda.

“Encik Arief turunkan saya kat tepi jalan tu aje, kalau tidak saya tak nak naik,” tegas Qaseh membatukan diri di luar pintu kereta sebelah penumpang.

“Kenapa degil sangat ni?”

Kata-kata Arief itu langsung tidak memberi kesan kepada Qaseh malah dia hanya berwajah selamba di hadapan Arief yang mulai geram dengan sikapnya. Qaseh memberanikan diri melawan pandangan Arief yang mengundang debaran di dada. Raut wajah serius Arief menarik perhatiannya. Qaseh masih dapat melihat sepasang mata Arief yang tajam merenunginya di balik kaca mata hitam yang menyerlahkan lagi ketampanan wajah Arief itu. Gayanya tampak berkarisma dengan kemeja biru lengan panjang yang tersarung pada susuk tubuh sasanya. Apatah lagi wangian berjenama yang dipakai Arief begitu menggoda nalurinya. Dia begitu tertarik dengan penampilan Arief, namun ditepis jauh perasaan yang mulai merantai dirinya. Siapa yang tidak tergoda dengan orang seperti Arief. Mesti ramai gadis yang tergila-gilakannya.



“Ye lah, yelah.” Akhirnya Arief akur dengan kehendak Qaseh. Qaseh pula tersenyum kemenangan. Dengan senang hati dia meloloskan diri ke dalam perut kereta tanpa dipaksa oleh Arief lagi.


“Qaseh! Sempat pulak mengelamun perempuan ni,” sergah Diana apabila pertanyaannya hanya dibiarkan sepi. Segaris senyuman yang tiba-tiba menghiasi bibir Qaseh menjadi tanda tanya.

Tersentap Qaseh. Matanya difokuskan pada wajah Diana yang berkerut dahi memandangnya. Entah kenapa sikap Arief menghiasi segenap kotak fikirannya saat ini. Lekas-lekas dicantas perasaan itu dan kini dia perlu menumpukan perhatian pada Diana yang sudah memandangnya semacam.

“Tadi kau kata ada hal cari aku,”soal Qaseh cuba menarik perhatian Diana pada tujuan asalnya.

“Kau ni okay ke tak Qaseh, semacam aje aku tengok kau ni. Tersenyum-senyum." Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan oleh Diana. Dahinya berkerut merenung wajah Qaseh. Pelik dengan sikap Qaseh yang tiba-tiba mengelamun sendiri.

“Tolonglah Diana jangan tengok aku macam tu. Renungan kau tu macam boleh tembus ke belakang.” Pecah tawa Qaseh melihat raut wajah serius Diana yang tajam memandangnya.

“Eh, kau tu tiba-tiba boleh tersenyum buat aku hairan tau. Berangan apa? Semacam aje aku tengok kau ni Qaseh...”

“Tak ada apa-apalah. Apa hal kau cari aku ni... cepatlah beritahu banyak lagi kerja aku nak buat dari melayan kau ni cik Diana oii...” soal Qaseh cuba mengubah topik.

“Encik Azman pagi-pagi dah cari kau. Dia suruh sampaikan pesan suruh kau jumpa dia. Cepatlah pergi Qaseh.”

Qaseh menoleh ke arah pintu bilik bosnya yang tertutup rapat. Macam mana dia boleh tidak perasan bilik bosnya yang terang benderang di balik dinding cermin yang di tutupi langsir itu. “Eh, Encik Azman dah balik ke? Bukan sepatutnya dia kat Johor lagi hari ni?” Berkerut dahi Qaseh tidak menyangka bosnya itu telah masuk ke pejabat hari ini. Mengikut jadual bosnya sepatutnya berada di Johor selama seminggu.

“Entahlah... dah tak tahan rindu kut,” kata Diana terselit nada usikan.

Qaseh menjeling geram. Pantas tangannya menampar bahu Diana. Diana selalu mengusiknya begitu.

“Ye lah... dia kan baru balik outstation. Dekat seminggu tak tengok muka kau mesti rindu,” usik Diana lagi. Panjang sengihan dilemparkan pada Qaseh yang memandangnya geram.

“Diana!” Kali ini satu cubitan mengenai lengan Diana. Terjerit Diana. “Sakit la Qaseh.” Berkerut-kerut wajahnya sambil mengusap-ngusap lengannya yang berbekas dengan cubitan Qaseh.

“Padan muka. Sudahlah, aku pergi jumpa Encik Azman dulu, layan kau ni sampai bila tak habis,”ujar Qaseh sambil bangkit dari tempat duduk. Sebatang pen dan buku nota di atas meja diambil untuk catatan.

“Ini ada kuih, pilihlah yang mana kau nak. Tapi jangan habiskan tau.” Pelawa Qaseh menghulurkan bungkusan plastik berisi kuih yang dibeli bersama Arief tadi.

“Rezeki ni... aku pun belum breakfast lagi.” Melerek senyuman Diana sambil mengambil bungkusan yang dihulurkan Qaseh itu. “Banyaknya kau beli,” kata Diana sebaik melihat kuih muih di dalam bungkusan plastik itu.

“Bukan aku beli, ada orang belanja,”jawab Qaseh.

“Siapa?” soal Diana ingin tahu.

Namun pertanyaan Diana itu hanya dibiarkan sepi. Qaseh melangkah perlahan ke arah bilik bosnya.


bersambung (^_^)

Friday, March 16, 2012

Tika Hati Berbicara 8



Matanya terpejam celik memandang syiling bilik. Sedari tadi dia tidak dapat melelapkan mata. Entah kenapa dengannya malam ini.
Qaseh mengeluh.

Dia bangkit lalu menepuk-nepuk bantalnya beberapa kali. Kemudian dia kembali berbaring sambil menarik selimut hingga ke paras dada. Qaseh menarik nafas panjang lalu memenjamkan mata. Beberapa saat kemudian, matanya kembali terbuka. Kenapa pula aku boleh terbayang muka dia ni? Aduh... Qaseh apa kena dengan kau ni?’

Qaseh mengeluh sendirian sambil perlahan bangkit dari perbaringan. Selimut disingkap lalu dia turun dari katil. Perlahan langkah dihayun ke arah pintu. Qaseh memulas tombol pintu dan disaat pintu terbuka halwa telinganya disapa alunan muzik dari arah ruang tamu. Pasti Arief belum tidur lagi. Qaseh bergerak ke arah dapur dan langkahnya terhenti saat tubuh Arief menyapa pandangannya.

Tingkah Arief yang sedang membancuh air menarik perhatiannya. Bibirnya terukir senyuman mendengar Arief bernyanyi kecil. Susuk tubuh lelaki itu diamati. Sasa dan tegap. Rambutnya yang pendek tampak kemas dan rapi. Kulitnya putih kemerahan. Sesiapa yang memandang pasti akan terpikat dengan ketampanannya. Tidak dinafikan, dirinya juga tertarik dengan Arief yang cukup berkarisma. Gayanya sentiasa membuatkan nalurinya berkocak. Apatah lagi sikap Arief sejak kebelakangan ini membuatkan dia tidak tidur lena.

Qaseh berpeluk tubuh sambil menyandar tubuh di muka pintu. Tingkah Arief hanya diperhati dalam diam. Bibirnya terukir senyuman nipis mendengar Arief turut menyanyikan lagu yang sedang berkumandang.

Aku tak tahu apa yang ku rasakan
dalam hatiku saat pertama kali
lihat dirimu, melihatmu

Seluruh tubuhku terpaku dan membisu
detak jantungku berdebar tak menentu
sepertinya aku tak ingin berlalu

Berikan cintamu juga sayangmu
percaya padaku ku kan menjagamu
hingga waktu menjemputku

Ku berikan cintaku juga sayangku
percaya padaku ku kan menjagamu
hingga waktu menjemputku

saat ku tahu kau akan pergi jauh
izinkan aku tuk selalu menantimu
untuk katakan ku ingin dirimu (ingin dirimu)

agar kau tahu betapa ku terlalu
mencintaimu aku akan menunggu
hingga dirimu kembali untukku

tolonglah aku bagaimana diriku
ungkapkan itu rasa yang membelenggu
dalam hatiku ku cinta padamu

berikan cintamu juga sayangmu
percaya padaku ku kan menjagamu
hingga waktu menjemputku





Arief yang masih bernyanyi berpaling ke belakang dengan membawa mug dan piring berisi roti bakar di tangannya. Dia terpana, nyanyiannya terus terhenti sebaik bertemu pandang dengan wajah Qaseh bersama senyuman nipis di bibir sedang bersandar santai di muka pintu memerhatinya.

“Sedap suara Encik Arief,” tegur Qaseh.

Arief hanya tersenyum nipis. “Dah berapa lama awak berdiri kat situ?” soal Arief.

“Sampai orang tu siap bancuh air sambil menguji bakat,”jawab Qaseh. Dia bergerak ke rak cawan lalu mengambil sebiji mug dan menuang air masak sejuk yang sudah tersedia di atas kabinet dapur.

“Qaseh belum tidur ke?” tanya Arief yang masih tidak berganjak dari ruang dapur itu.

Qaseh hanya menggeleng. Dia meneguk sedikit air kemudian berpaling menyandarkan tubuh di kabinet dapur.

“Tak pernah saya nampak Qaseh tidur selewat ni?”

“Entahlah, kenapa tak boleh nak tidur pulak malam ni.”

Arief meletakkan mug dan piring yang dipegangnya di atas meja kecil di sebelahnya. “Apa kata malam ni Qaseh cuba sesuatu dari air tangan saya,”pelawa Arief. Keningnya diangkat beberapa kali sambil tersengih panjang kepada Qaseh.

Berkerut dahi Qaseh memandang Arief tidak mengerti.

Tanpa berlengah Arief mengambil sebiji mug di rak. Qaseh hanya diam memerhati. Sesekali Arief memandang ke arahnya sambil tersenyum nakal. Qaseh hanya tersenyum menggeleng dengan tingkah Arief itu.

“Hot Neslo special for Nur Qaseh Qalesya...” Mug di tangan dihulur kepada Qaseh.
Perlahan tangan Qaseh mencapai mug itu. “Terima kasih,” lembut suara Qaseh mengucapkannya kepada Arief.

“Anything for you...” ungkap Arief.

Qaseh menghirup perlahan air itu. Pandangan Arief tidak lepas dari wajahnya.

“So?” soal Arief tidak sabar.

“Hhmm... sedap,”puji Qaseh.

Arief tersenyum gembira. Bangga dipuji Qaseh.

“You don’t known me,” ujar Arief. Terjungkit sebelah keningnya. Kemudian dia berpaling mengambil kembali mug dan piring yang diletakkan di atas meja kecil itu. “Jom kita ke depan,” ajak Arief.

Qaseh mengangguk perlahan bersama senyuman manis di bibir.

“Kita ambil angin kat balkoni, nak?” ajak Arief.

“Okay...” jawab Qaseh tersenyum senang.

Arief menolak pintu cermin dan memberi laluan kepada Qaseh untuk keluar terlebih dahulu ke balkoni. Arief meletakkan piring roti di atas meja kecil dan melangkah mendekati Qaseh yang sedang berdiri di balkoni.

Buat seketika mereka hanya mendiamkan diri menikmati suasana malam yang hening. Langit yang ditemani kerlipan bintang menyerapkan seribu ketenangan di jiwa. Qaseh menghela nafas panjang asyik dengan keindahan malam yang sungguh menenangkan. Mug di tangan dibawa ke bibir dan dihirup perlahan. Kemudian digenggam kemas merasai kehangatannya memberikan keselesaan saat tubuhnya disapa angin dingin malam.

“Qaseh...” panggil Arief lembut. Pandangannya terus melekap di dada langit yang terbentang luas.

“Hhm...”

“Awak pernah jatuh cinta?”

Qaseh berpaling seketika ke arah Arief yang kelihatan begitu asyik menatap panorama malam.

“Entahlah... masa sekolah-sekolah dulu ada lah, tapi orang cakap cinta waktu sekolah cinta monyet,” jawab Qaseh.

Qaseh menoleh memandang Arief. “Encik Arief pulak pernah jatuh cinta?”soal Qaseh kembali.

Namun, Arief hanya membisu seribu bahasa. Matanya bertemu pandang dengan mata hitam Qaseh yang menantinya bersuara. Kotak fikirannya mula mengimbas kenangan silam yang begitu terkesan dalam hidupnya. Cinta hadir tanpa dipaksa tetapi cinta itu perit jika tiada di hati. Apatah lagi kita tidak melerakan ungkapan itu diucapkan kepada orang yang kita tidak cintai. Kerana sebuah pengorbanan dia terpaksa menyimpan rasa bersalah itu sehingga kehari ini. Dia tidak mampu mencintai orang yang mencintainya sepenuh hati.

“Rief... you cintakan I?” soal Natasya lembut. Pandanganya tepat ke wajah Arief yang ternyata terkejut dengan pertanyaan itu.

“Tasya... you sepatutnya tahu kan.”

“Tapi you tak pernah melafazkan kata cinta pada I, Rief,” rengek Natasya manja menagih pengertian Arief.

“Cukuplah kalau you tahu perasaan I pada you selama ini, Tasya.”

“No! I tak tahu perasaan you pada I. Memang you selalu mengambil berat tentang I, tapi itu tidak bermakna you cintakan I, kan. I tak nampak perasaan itu dari mata you. Apa yang I nampak hanya simpati.”

“Tasya apa yang you merepek ni!” Tinggi suara Arief tidak senang dengan kata Natasya itu.

“I tahu Rief, you tak pernah cintakan I. Kita dah berkawan sejak kecil lagi Rief, I tahu you terima permintaan parent kita sebab I sakit kan. Kenapa you nak musnahkan masa depan you,”luah Natasya lagi. Dadanya mula dihimpit perasaan sebak.

Arief mencapai tangan Natasya dan digenggam lembut. “Tasya, boleh tak kali ni you percayakan I. I akan jaga you. Walau apa pun yang terjadi I akan tetap berada di sisi you,” ungkap Arief lembut.

Natasya mengangkat muka. Kata-kata Arief menusuk lembut ke lubuk hatinya. Senyuman nipis yang menghiasi wajah tampan itu menyentuh kalbu. Lembut tangan Natasya menyentuh wajah Arief yang menatapnya. “Tapi Rief, I terlalu cintakan you,” ungkap Natasya membuatkan Arief terkaku.

“Encik Arief...”panggil Qaseh.

Arief tersentak. Lamunannya melayang jauh apabila raut wajah kehairanan Qaseh menjamu matanya.

“Sempat berkhayal pula Encik Arief ni,” sindir Qaseh tersengih bersama lirikan mata yang mengusik. Namun sirna suram yang terbias di raut wajah Arief menjentik tanda tanya di fikirannya.

Arief menarik senyum. Hidung Qaseh dicuit mesra. Qaseh mengerut muka tidak senang dengan tingkah Arief. “Tangan Encik Arief sejak akhir-akhir ni nakal ya...”marah Qaseh tidak puas hati.

“Ala... saya cuit aje pun bukannya saya buat lebih-lebih. Tapi kalau saya nak kiss pun tak salah kan,” ujar Arief hampir di telinga Qaseh sambil tersengih nakal.

“Encik Arief!”

Qaseh menjeling geram. Wajahnya mula merona. Arief kalau bercakap boleh tahan lepasnya.
Arief tergelak melihat wajah masam Qaseh. “Okay, okay, saya tak usik lagi. Senyum la sikit, tak nak tarik muncung macam tu,” kata Arief selamba menyentuh lembut dagu Qaseh. Hanya seketika cuma. “Smile...” acah Arief.

Melihat tingkah Arief, perlahan-lahan wajah Qaseh kembali dihiasi senyuman nipis.

“Saya suka tengok awak senyum,” luah Arief.

Renungan redup Arief membuatkan diri Qaseh tidak menentu. “Mula lagi mengada dia tu.”

“Betul, ikhlas. Saya betul-betul suka tengok awak senyum.”

“Saya nak masuk tidurlah,”kata Qaseh ingin berlalu pergi.

”Okay, okay, jangan merajuk. Kita kata mana tadi ya? Awak tanya saya pernah jatuh cinta ke tidak kan?”

“Hhm,” jawab Qaseh malas.

“Susah saya nak jawab soalan tu. Tapi bagi saya, kita tak tahu bila kita akan jatuh cinta tetapi kita tahu bila rasa cinta itu ada,” ungkap Arief, pandangannya kembali ke dada langit. Merenung jauh kata-katanya. Menyelami sendiri hatinya yang mula mengerti perasaan cinta.

“Macam mana kita nak tahu kita sudah jatuh cinta?”

Arief tersenyum nipis.

“Apa yang kita buat terasa indah segalanya. Hati kita sentiasa dibuai rasa rindu. Senyuman sentiasa menemani di setiap ruang sunyi. Keserian akan sentiasa terbias di raut wajah.”

“Hhm... tak sangka Encik Arief pandai berbicara soal cinta.”

“Bolehlah sikit-sikit,”jawab Arief selamba sambil tersengih panjang.

Qaseh menggeleng perlahan melihat raut nakal Arief itu.

“Lelaki yang pandai bermadah selalunya tak boleh percaya dengan setiap katanya.”

“Tak kenal maka tak cinta. Percaya bukan lahir dari kata-kata tetapi dari hati.”ungkap Arief penuh makna. Mereka bertemu pandang. Mendalam.