Thursday, June 28, 2012

Tika Hati Berbicara 12 a




Cermat cawan disusun di atas dulang. Kemudian diletakkan di atas meja makan bersama teko yang berisi air kopi. Kuih tepung bungkus yang masih panas disusun di dalam  piring. Setiap kali memandang kuih itu kotak fikirannya pasti akan melayang pada insan-insan yang cukup bermakna dalam dirinya. Kerinduan yang bersarang hanya mampu dipendamnya sendiri.
Sebungkus kuih tepung bungkus dicapai dan dibuka lipatan daun pisangnya. Kecur liurnya saat melihat isi kuih itu. Sudu yang sudah tersedia di atas meja dicapainya. Ketika kuih itu berada penuh di dalam mulut, satu suara menyapanya.  “Makan tak ajak abang pun.”
Hampir tersembur Qaseh dek teguran  itu. Pantas dia menutup mulut. Nasib baik kuih di dalam mulut sempat ditelan. Ini pun dia terasa ada yang tersekat di kerongkong. Qaseh menoleh memandang Arief yang sedang menarik kerusi di sebelahnya.
Sebaik memastikan tiada lagi makanan di dalam mulut barulah Qaseh bersuara. “Lain kali boleh bagi salam dulu tak?”  
“Makan tak ingat abang sebab tu nak tercekik.”
“Memang nak ajak makan sekali tapi tiba-tiba orang tu lesap entah ke mana?” jawab Qaseh.
“Abang ke belakang tadi tengok nenek kat kebun. Banyak ulam ulaman yang nenek tanam. Bermacam jenis ulam yang tak pernah abang tengok dan dengar namanya. Sayur pun banyak juga yang nenek tanam.”
“Nenek memang suka bercucuk tanam. Nenek selalu pesan supaya jadikan amalan makan ulam ulama makanan harian. Banyak khasiat ulam ulaman ini yang kita tidak tahu. Mungkin ramai yang tidak tahu selain membekalkan fiber dalam sistem penghadalam dan merendahkan kolesterol, ulam juga sumber utama vitaman A, vitaman C, asid folik dan juga zat galian yang lain.”
Ramah Qaseh bercerita bersama senyuman ceria terukir di bibir.  
 “Sekarang pun banyak kajian tentang ulam ulaman ini telah dibuat dan ternyata memakan ulam secara berterusan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Sebab tu kalau kita tengok golongan tua yang tinggal di kampung mereka masih kuat dan sihat walaupun berumur lanjut berbanding golongan yang lebih muda hasil dari membudayakan memakan ulam ulaman semulajadi sejak dari awal lagi. Dan mengamalkan makan ulam juga boleh mengekalkan awek muda. Nenek tu walaupun sudah berusia tapi masih kuat dan sihat sebab dari dulu lagi nenek jadikan ulam ulaman ni makanan utamanya.”
Arief hanya diam memerhati tingkah Qaseh. Dalam kelekaannya mendengar sepasang matanya terarah pada dua ulas bibir itu yang bergerak lembut. Kejadian tadi kembali bermain di ruang matanya. Sehingga kesaat ini hatinya tersenyum dan berlagu indah. Tanpa sedar senyuman terukir di bibir.
“Kenapa tiba-tiba senyum?” soal Qaseh hairan.
Arief tersedar dari angannya yang semakin bergenjak jauh. “Saja... suka tengok awak.”
Qaseh melirik pandang. “Mulalah tu, tak payah nak tenung muka saya lama-lama tak kenyang pun. Lebih baik makan kuih tepung bungkus ni baru kenyang. Dan hati pun senang.”
“Tapi abang kenyang...”
“Tak ada maknanya... boleh tak jangan pandang saya macam tu.”
“Kenapa? Takut tergoda.”
“Jangan nak perasan.”
Qaseh ingin mengambil kuih tepung bungkus namun pantas ditegah Arief. “Tak nak suapkan.”
Tidak berkedip mata Qaseh mendengar permintaan Arief itu. Aduh apa kena dengan dia ni nak bersuap-suap pulak. Entah apa yang telah merasuk sehingga pening hendak dilayan kerenahnya. “Suap sendiri.” Qaseh mengambil sebungkus tepung bungkus dan diletakkan di hadapan Arief dan lipatan daun pisang dibuka perlahan.
Arief hanya memandang kuih itu tanpa ada niat untuk menyentuhnya. Kenapa tiba-tiba hatinya berasa kecil hati dengan penolakan Qaseh. Ada rajuk mula meniti di relung hatinya. Mati senyuman di bibir berganti riak keruh di wajahnya.
Qaseh yang menyedari perubahan Arief mula diserang rasa serba salah. Merajukkah Arief? Kebisuan Arief sudah menjelaskan segalanya. Qaseh menghela nafas.
“Kenapa tak makan?” tanya Qaseh apabila Arief hanya memandang sahaja kuih itu.
“Tiba-tiba rasa tak selera.” Arief ingin bangkit berlalu pergi bersama rajuk di hati.  
“Abang...” lembut sapaan itu bersama sentuhan di lengannya. Arief mengangkat muka. Pandangan mereka bersatu.
 “Kenapa pandang saya macam tu?”
“Hati abang rasa macam ada taman..”
Berkerut dahi Qaseh tidak mengerti dengan kata-kata Arief itu.
“Ada taman?”
“Lain rasa bila awak panggil abang...”
Bulat mata Qaseh bersama rona merah terbias di wajah membawa tawa halus terbit dari bibir Arief.
“Tak habis-habis nak usik orang.”
“Abang nak usik siapa lagi,  kalau bukan isteri abang.”
“Nak makan ke tak nak ni?”
“Eh, mestilah nak.”
Tersenyum lebar Arief saat kuih itu dihalakan ke mulutnya. Raut wajah Qaseh ditenung dalam. Tetapi tiba-tiba sudu itu beralih arah. Kini kuih itu sudah selamat berada di dalam mulut Qaseh.
Qaseh menutup mulutnya dengan tangan menahan tawanya dari meledak dengan reaksi Arief yang memandangnya geram.
“Kejap lagi kalau kuih tu abang tak gigit, sayang pulak yang abang gigit.”
Qaseh menggeleng laju. Sambil mengunyah dia memberi isyarat dengan tangannya supaya Arief bersabar.
Sebaik satu suapan diberikan kepada Arief, Qaseh menarik tangan Arief dan menyelitkan sudu di jemari Arief. “Sekarang boleh suap sendiri.”
Qaseh menuang kopi ke dalam cawan, kemudian diletakkan di hadapan Arief. “Cuba rasa kopi buatan sendiri ni, sedap tau.” pelawa Qaseh.
Arief menghirup perlahan kopi itu. Diakui terasa kelainannya. Lebih sedap dan aromanya menusuk ke hidung. Cukup kepekatan dan rasanya.
Seketika mereka melayan perasaan sendiri. “Kuih ni kesukaan arwah abang Qalif. Kalau kami balik kampung nenek mesti buatkan untuk abang.” Qaseh bersuara memecah keheningan.
Tiba-tiba Arief tersedak. Qaseh pantas mengangkat punggung ke kabinet dapur lalu menuang air masak sejuk ke dalam gelas. Dia kembali ke meja makan dan gelas itu diberikan kepada Arief. Arief meneguk air itu sehingga separuh gelas.
“Siapa sebut ni sampai tersedak-sedak makan.”
Usapan lembut di belakang Arief dengan pandangan penuh keikhlasan menyentuh nalurinya. Seketika Arief merenung Qaseh dalam sebelum tangan itu diraih dan digenggam. “Thanks,” ucap Arief bersama senyuman nipis di bibir. Tangan Qaseh dibawa ke bibir dan dikucup halus. Qaseh tersenyum nipis sebelum tangannya ditarik perlahan dari genggaman Arief. Perasaan malu mula bertamu dalam diri lantas anak matanya dilarikan ke arah lain.
“Arwah abang Qalif meninggal akibat kemalangan jalan raya. Waktu tu abang baru tukar kerja. Abang beritahu syarikat tu kepunyaan kawan baiknya masa sama-sama belajar dulu. Lepas ibu meninggal abanglah orang yang mengembalikan semangat saya. Abang selalu ada bila saya memerlukannya. Kalau saya sedih, abang akan buat saya ketawa. Dia tempat saya mengadu dan bergurau. Dia bukan saja seorang abang tetapi juga teman yang paling dekat di hati.” Bibir Qaseh melirik senyum halus kala memori silam terlayar di kotak fikiran. Namun seketika cuma apabila wajah itu berubah keruh semula.
“Tapi bila abang dah tak ada. Jiwa saya rasa kosong. Segalanya saya pendam sendiri. Hendak mengadu pada abah, saya tak sampai hati. Saya tak nak menambah beban abah lagi. Abah pula waktu tu tertekan bila perniagaannya mengalami masalah. Saya kesian tengok abah yang terpaksa memenuhi permintaan Makcik Samsiah dan anak-anak tirinya. Satu hari abah mengadu sakit dada, semakin lama sakitnya semakin kuat. Bila sampai di hospital, abah tak dapat diselamatkan lagi. Abah tak pernah beritahu sesiapa penyakit jantungnya. Kenapa orang yang saya sayang pergi tinggalkan saya? Mujur masih ada nenek untuk saya menumpang kasih.” Berlinang airmata di kelopak mata mengenangkan nasib diri. “Lepas abah meninggal saya terpaksa tinggal dengan keluarga tiri yang tidak pernah menerima saya. Saya hanya dianggap menumpang di rumah saya sendiri.” Suara Qaseh semakin sayu dan pilu. Qaseh terus tenggelam melayani perasaannya.
Sentuhan lembut di bahunya menyedarkan Qaseh. Airmata yang menitis di pipi pantas diseka.
“Maaf, tak sepatutnya saya cakap hal ni,” ujar Qaseh. Bibirnya dipaksa mengukir senyum.
Arief menghela nafas. Kedua bahu Qaseh dipaut lembut dan dibawa mengadapnya. Arief menyentuh lembut dagu Qaseh dan pandangan mereka bertaut.
“Jangan bersedih lagi sayang. Pasti ada hikmah yang indah disebalik yang berlaku. Allah tidak akan menguji melebihi kemampuan hambanya. Abang tahu insan yang berada di hadapan abang ni seorang yang cukup tabah. Dan ingatlah abang akan sentiasa berada di sisi dalam susah dan senang. Itu janji abang,” ujar Arief sambil kedua tangannya menyeka airmata di pipi Qaseh.
Tangan Qaseh digenggam erat. Tidak berkedip mata  Qaseh merenungi sepasang mata Arief mencari keikhlasan dari kata-katanya itu. 
"Jangan pandang abang macam tu sayang. Pandangan tu mampu buat iman abang goyah,"  kata Arief. Senyuman nakal terukir di bibirnya. 
Qaseh melirik pandang. "Sambung makan, tak baik sedih-sedih depan rezeki," ujar Qaseh pula. Tubuhnya kembali mengadap meja makan.
"Tahu pun..." jawab Arief sekadar mengusik.
Qaseh tidak membalas. Malas melayan kerenah Arief yang semakin menjadi-jadi. 
Arief hanya tersenyum mengerti. Seketika dia mengeluh halus dalam diam. Wajahnya kembali mengendur kala mengingatkan kembali nama yang meniti di bibir Qaseh.  
Aku dah tunaikan janji aku Qalif, tapi aku dah mungkiri janji dengan hanya memandangnya tidak lebih dari seorang adik semata-mata tapi aku tidak mampu menidakkan perasaan halus yang telah hadir sejak pertama kali wajah itu menyapa anak mataku ini. Perasaan itu terlalu sukar untukku luahkan. Debaran yang bertandang tidak mampuku hentikan dari terus berdetak melahirkan perasaan indah yang semakin memekar di jiwaku.


akan bersambung...


sebahagian bab 12, maaf segala kekurangan... moga ada yang sudi memberi komen...sangat hargai komen-komen yang anda berikan... sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam mengembangkan citer ni... harap anda sudi membantu saya yang masih banyak kekurangan dalam bidang penulisan... 

TERIMA KASIH & SAYANG ANDA SEMUA :))

10 comments:

Anonymous said...

tbaik la!

Kak Sue said...

Sedih betul kisah kehidupan Qaseh....
Arief sebenarnay kawan Qalif kan....
Arief berilah Qaseh kebahagian .....kasihan dia...sedihnya....

cik ct payung said...

makin terungkai teka-teki. patut arief tak teragak tolong qaseh,jadikan dia isteri.

good job writer!

AniLufias said...

Gee...

haaa terubat gak rindu2an kat Arief & Qaseh nie...
tq ..n lebiuuuu

Anonymous said...

Lamanya tunggu citer ni akhirnya ada juga n3 baru...tq.
Rupanya ada kesah di sebalik pertolongan dan perkahwinan arief dan qaseh...agaknya itulah perjanjian qalif dgn arief untuk menjaga qaseh jika dia tiada.
Sedap citer ni...sambung lagi ye nak tahu citer selanjutnya.

~kak min~

Gee Muszisya said...

Terima kasih sudi komen... saya sangat2 hargai dgn komen yg diberikan...nantikan sambungan THBR ya :)

salam sayang & luv u all :))

Anonymous said...

Baru tahu,rupanya Arief just memenuhi permintaan Qalif...
Cepat2 sambung lagi...hehehe#^_^

fairuz said...

best la kak...
terbaik la!..
nak lagi..hehehe..
x sabar tunggu n3 seterusnya.. :)

eizzara eizzaty said...

bila cerita ni nak kuar ....cerita yg menarik .... teruskan

Lia said...

Opppssss sorry... Terleka Dan teralpha... Tak sangka ya ada cerita disebalik cerita... Harap tak ada duka lagi dihati qaseh.. Uuuhhhhhh... Dah pandai yer mengayat arief ni.. Sure qaseh dah nak Cair ni.. Qaseh .. Dlm control2 pun tercair jugak tu.. Hehehe... Amboi arief... Dah pandai merajuk nampak... Ok lah tu.. Kalau tak payah nk cairkan hati qaseh yg dah mula berbunga tu.. Qaseh jer yg takut.. Sambung2.. Jangan biar kitaorg menanti Dan terus menanti yer....