Berseri raut wajah Nenek Esah menyambut Arief dan Qaseh di muka pintu.
Bergenang kelopak matanya saat tangannya dikucup Arief.
“Lama tak tengok cucu nenek yang hensem ni,” senda nenek Esah. Bahu Arief
diusap lembut bagai melepas rindu yang bersarang di jiwa.
“Arief minta maaf nek...”
“Tak apa cu... nek faham Arief sibuk sangat sejak akhir-akhir ni kan. Cuma
nek rindu lama tak tengok Arief, hanya dengar suara aje,” cantas Nenek Esah kala
riak bersalah terbias di raut wajah cucunya itu. Dia tahu Arief asyik berulang
alik ke luar negara melalui Qaseh. Namun, Arief sering juga menghubunginya
bertanya khabar. Tersentuh hati tuanya dengan keprihatihan Arief.
“Insya-Allah nek, lepas ni Arief akan kerap balik lawat nek.”
Riak kekesalan masih terbias di raut wajah Arief. Kesibukan telah
menyebabkan dia alpa pada tanggungjawab yang satu ini.
“Amboi nek... cucu kat sini dah tak rindu ke?” sampuk satu suara menyedarkan
Nenek Esah dan Arief yang mereka bukan hanya berdua di situ.
Nenek Esah mengalih pandangan di sisi Arief. Wajah rajuk Qaseh mencuit hati
tuanya. “Cucu ni memang nek selalu rindu sangat-sangat. Tak payah buat muka
muncung macam tu. Tak comel.”
“Nek....” rengek Qaseh bertambah muncung wajahnya mendengar kata Nenek Esah
itu. Namun, tangan Nenek Esah diraih dan dikucup lembut. Pelukan dan ciuman di
kedua pipi Nenek Esah bagai melerai rasa rindu.
Menguntum senyuman di bibir Nenek
Esah. Rasa kasih dan sayang pada cucunya ini sentiasa bercambah. Apatah lagi
raut wajah Qaseh mengingatkannya pada arwah anaknya. Sekurang-kurangnya rasa
rindu pada anaknya itu terubat kala dia menatap dan berdamping dengan Qaseh.
“Sunyi aje rumah, Mak Usu dengan budak-budak mana?” soal Qaseh meninjau di
dalam rumah.
“Mak Usu kamu menolong orang masak. Malam ni makcik Bedah ada buat kenduri
kesyukuran. Anaknya si Johan dah dapat kerja kat bandar. Jihah ke rumah kawannya,
Ijat ikut ibunya ke rumah makcik Bedah. Kamu berdua pergilah berehat dulu.
Malam ni boleh kita pergi kenduri rumah Makcik Bedah.”
“Okay nek, Arief bawa beg-beg ni masuk bilik dulu,” ujar Arief.
“Yelah, Nek ke dapur kejap. Nek ada buatkan kuih tepung bungkus nanti boleh
kita makan sama-sama.”
“Biar Qaseh tolong nek kat dapur,” pelawa Qaseh lalu mengatur langkah
mengekori Nenek Esah. Tidak betah rasanya hendak duduk berdua-duaan dengan
Arief. Tingkah Arief sering membuat dadanya berdebar hebat sejak akhir-akhir
ini. Apatah lagi mood Arief yang tidak menentu kekadang memeningkan kepalanya
pula.
“Kamu pergilah berehat, Qaseh. Tak ada apa nak buat kat dapur tu. Semuanya
dah siap.”
Desakan Nenek Esah membawa kaki Qaseh ke arah bilik tidurnya. Perlahan daun
pintu ditolak. Susuk tubuh Arief yang terlentang tidur keletihan menyapa
matanya. Berdebar dadanya. Kakinya menapak perlahan merapati katil dan
punggungnya mencecah birai katil.
Raut wajah kacak Arief ditatap lama. Mata yang terpejam rapat itu mula
membuai perasaannya. Matanya jatuh pada dada bidang Arief yang berombak tenang.
Deru nafas yang terhembus bagai menggoda nalurinya. Walaupun hanya mengenakan t’shirt
berkolar dan berseluar jean, penampilan ringkas itu tetap tampak bergaya. Terpejam rapat mata Qaseh. Dia menghala nafas
panjang sebelum bangkit dari birai katil. Tidak mahu terus membiarkan mindanya
terus melayari hati yang semakin dibuai perasaan yang meresahkan.
Namun, Qaseh tersentak apabila pergelangan tangannya dicengkam lembut.
Pantas dia menoleh. Terkedu Qaseh tatkala melihat sepasang mata redup Arief
merenung tepat ke dalam matanya.
“Nak pergi mana?” soal Arief. Senyuman nipis menguntum di bibirnya.
“Sa... saya nak pergi tolong nenek kat dapur,” gelabah Qaseh. Berdetak
hebat jantungnya dengan renungan redup Arief bersama senyuman yang memikat
tangkai hatinya.
“Kan nenek cakap tak ada apa nak buat kat dapur. Nenek nak cucu
kesayangannya ni berehat.”
Arief menghela nafas. Dia menarik lembut lengan Qaseh. “Duduk.” arah Arief
lembut. Qaseh hanya menurut lalu melabuhkan punggung di birai katil. Seketika
pandangan mereka bersatu sebelum Qaseh melarikan anak matanya ke arah lain.
Menanggapi renungan Arief mengundang resah di hati. Perasaan malu mula bertapak
di dalam diri.
Melebar senyuman di bibir Arief melihat tingkah Qaseh. Arief mencapai
tangan Qaseh dan digenggam lembut lalu dibawa ke dadanya. Arief menghala nafas
panjang sambil terbaring santai memandang kipas di syiling berpusing ligat.
Terpana Qaseh dengan tindakan Arief yang begitu bersahaja. Namun, dia hanya
membiarkan tangannya dalam genggaman Arief. Arief yang kelihatan seperti
terbuai dengan perasaan sendiri direnungnya tanpa jemu.
“Awak ingat lagi tak malam pertama kita?”soal Arief tenang.
Berkerut dahi Qaseh. Mengapa itu pula yang dibangkitkan Arief? Tidak mampu
untuk Qaseh menjawab kerana pernikahan mereka terlalu mendadak dan ketika itu
Arief seperti orang asing padanya. Dia sendiri dalam kebingungan dengan apa
yang berlaku.
“Awak sedap tidur kat atas katil ni, saya pulak sakit badan tidur kat bawah,”sambung
Arief lagi.
Qaseh terusan membisu seribu bahasa. Masih segar di kotak fikirannya hanya
kebisuan menemani mereka pada malam itu. Tingkah Arief yang mencapai bantal lalu
diletakkan di atas permaidani hanya dipandang sepi.
“Malam ni saya nak tidur atas katil ni.”
Qaseh mengangkat muka memandang Arief. Entah mengapa perasaan gelisah mula
bertandang mendengar kata-kata Arief itu.
“Kalau macam tu biar saya pula tidur kat bawah,” usul Qaseh cuba beriak
tenang.
“Tapi saya tak nak tidur sorang-sorang atas katil ni. Tak lena tidur kalau
tak ada teman.”
Berkerut dahi Qaseh. “Sebelum ni boleh aje Encik Arief tidur sorang-sorang.
Kenapa sekarang tak boleh nak tidur lena pulak?”
“Sebab saya tak biasa kat sini. Lagipun takkan saya nak biarkan tubuh awak
sakit-sakit sebab tidur kat bawah tu. Tak sanggup saya.”
“Tapi...” teragak-agak Qaseh ingin bersuara.
“Saya janji tak buat apa. Tapi kalau buat pun tak berdosa kan?” tersungging
sengihan nakal di bibir Arief. Mata galaknya bersinar melihat wajah Qaseh yang
merona merah diusiknya.
Qaseh tidak terkata apa. Terasa wajahnya kini bagaikan ceri merah yang
masak ranum apabila perasaan malunya sudah sampai ketahap yang paling maksimum.
“Encik Arief tak nak mandi dulu ke?” soal Qaseh gelabah lalu menarik
tangannya dari genggaman Arief.
Qaseh bangkit mendekati beg pakaian lalu menarik kain pelekat dan baju
melayu milik Arief dari dalam beg. Entah mengapa dadanya berdendang hebat. Tidak
tentu arah dibuatnya.
“Saya ada lagi satu permintaan. Dan kali ini awak kena tunaikan.”
Terkejut Qaseh apabila suara Arief
begitu dekat menyapa halwa telinganya. Dia pantas berpaling dan wajah Arief
yang hanya beberapa inci dari wajahnya membuatkan Qaseh terkedu. Tidak pula dia
sedar bila Arief turun dari katil dan menghampirinya.
“Per... permintaan apa?” gugup bicara Qaseh dengan tingkah Arief yang begitu
bersahaja. Apatah lagi kini dagu Arief mencecah bahunya. Sikap romantik Arief
betul-betul menduga nalurinya. Tidakkah dia tahu betapa hebatnya jantungnya
bergetar kala ini.
“Saya tak mahu lagi awak panggil saya, Encik Arief.”
“Habis tu nak panggil apa? Tuan Arief?”
Mengeringai Qaseh mengaduh apabila pipinya dicubit Arief. Berkerut dahinya
memandang Arief sambil tangannya mengusap pipi. “Sakitlah! Jari ketam kut Encik Arief ni.”
“Mulai hari ini saya tak nak dengar awak panggil saya Encik atau Tuan Arief
lagi. Awak hanya dibenarkan panggil saya ‘ABANG’, lagipun apa sangkaan nenek nanti kalau awak berencik-encik dengan saya.”
“Tapi saya tak biasa panggil Encik
Arief dengan panggilan lain.”
“Bermula hari ini dan saat ini biasakan lidah awak dengan panggilan tu.
Kalau tidak awak akan dikenakan denda!”
“Hah! Kena denda?”
“Yup! So hati-hati ya.”
“Tapi kalau tersasul tak apa kan.”
“Tak kira, kena denda jugak tiada
kompromi.”
“Apa dendanya?”
Lebar sengihan Arief dilemparkan pada Qaseh. “I will get your kiss,”
perlahan ungkapan itu meluncur dari bibir Arief bersama renungan yang menggoda.
Terbuntang luas mata Qaseh. Merona merah pipinya . “Tak nak!” Bantah Qaseh menggeleng laju.
“Kalau tak nak kena denda saya tak nak dengar lagi awak panggil saya Encik
Arief, okey sayang.” Hidung Qaseh dicuit lembut.
“Okey, sekarang abang nak pergi mandi.”
Terkedu Qaseh saat bibir Arief singgah di pipinya sebelum mencapai
kain pelekat dan baju melayu di tangannya. “Thanks sayang!” ucap Arief bersama
senyuman yang paling menawan untuknya.
Qaseh masih kaku dan perlahan tangannya di bawa ke pipi. Terasa satu
perasaan halus menyerap dalam dirinya. Kala itu sepasang matanya terpandang
sesuatu. Pantas tangannya mencapai dan berpaling ke belakang. “Enc...” Qaseh
tidak jadi menyambung kata apabila menyedari kesasulan lidahnya.
Qaseh kegelisahan apabila Arief mendekat padanya lantas kembali duduk bersila
di hadapannya.
“Apa sayang? Abang tak dengar,” soal Arief mendekatkan wajahnya pada Qaseh.
“Ab...abang terlupa tuala,”
Perlahan Qaseh menghulurkan tuala kepada Arief yang terusan merenung
wajahnya.
“No, no, no... bukan itu yang abang dengar tadi.” Jari telunjuk Arief
dilayang-layangkan di hadapan Qaseh sambil menggeleng perlahan.
Qaseh mula gelisah. Sesak nafasnya dirasakan waktu ini. Pandangan Arief
yang mengekori setiap tingkah lakunya membuatkannya tidak keruan.
“Sayang dah kena denda.” ujar Arief tersengih nakal.
“Dendanya...” ujar Arief sambil membawa jari telunjuknya ke pipi.
Qaseh mengigit bibir. Resah di hati hanya Allah sahaja yang tahu.
“I’m waiting,” ujar Arief. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Matanya
semakin riang melihat pipi Qaseh yang merona merah.
“Abang tutup mata dulu.” Perlahan Qaseh bersuara memberanikan diri
bertentangan mata dengan Arief.
“Okey,” sahut Arief lantas memejamkan sepasang matanya.
Qaseh menarik nafas panjang. Semakin lama bibirnya semakin dekat di pipi
Arief.
Namun, Qaseh terkaku apabila bibir
Arief terlebih dulu singgah di bibirnya.
“Abang ubah fikiran, tak jadi kat pipi,” ujar Arief dengan senyuman yang
tidak lekang di bibir.
Arief bangun sambil mencapai tuala di tangan Qaseh dan sempat hidung Qaseh
dicuit lembut sebelum berlalu pergi.
Qaseh yang masih terkejut dengan tingkah Arief itu tidak berganjak dari
duduknya. Perlahan tangan di bawa ke bibir seakan merasai sentuhan bibir Arief tadi.
Pertama kali dia merasai sentuhan yang membawa satu perasaan mendalam di ruang
jiwanya yang kosong. Debaran di dada bagaikan tiada penghujung memukul gelora
di hatinya. Semakin lama jiwanya bagaikan merasai satu perasaan indah yang
sukar ditafsirkan olehnya.
akan bersambung ;D
14 comments:
Gila pemalu ini kaseh. Geram pulak aku. Ciss. But overall I loikee :)
i like............ Arief so romantic n qaseh so sweet......nak n3 lagi...
G,jngn la seksa kami dgn penantian....
Alahai....aduhai...sweet sangatlah...#^_^
Aduhai sweetnya diorang ni...tapi yg tak sweetnya kenapa pendek sangat Cik Writer...rasa baru mula nk baca dh habis...cepat2 update ye..penantian satu penyiksaan..hahahaha..
salam....novel ni xnak dibukukan ke? klu dibkukan mesti sy beli....mcm kau ditakdirkan utk ku....
sweet nye!!
bait2 cinta telah kelihatan *wink*
... Biarlah Arief belajar bercinta dengan Qaseh .... so sweet.... Berilah kebahagian pada Qaseh dan Arief yang selama ini memendam rasa ja.... hehehe
waaa~~ sweeetnye..hehe..
suka la..bila nak publish eh?^^
-arisa91-
Salam semua... terima kasih sudi meninggalkan komen di sini... saya sangat2 hargai dgn komen yg diberikan...saya sedang dlm proses menyiapkan manuskrip THBR...moga dilancarkan perjalanan citer ni...doakan ya :)
terima kasih dgn sokongan dan kesetian menantikan sambungan setiap karya di sini...tunggu sambungan kisah arief & qaseh ya ;D
salam sayang buat semua (^_^)
so sweet,nak entry agi!!!asap please :)
coming soon syafira :))
Aduhhhhh so sweet....terbuai plak hehehe kak gee bgth la novel ni terbitan apa.....nak sngt2 bl novel ni......hehehe
Post a Comment