Monday, January 7, 2013

Tika Hati Berbicara bab 21




Daun pintu ditolak perlahan. Suasana suram di ruang tamu meliarkan pandangannya ke sekeliling. ‘Arief belum balik lagi?’ Dia mengerling sekilas ke arah jam dinding. Hampir pukul 11.00 malam. Qaseh menghela nafas.  Terlalu leka berborak dengan Hani, tidak sedar detik yang berlalu. Tapi takkan Arief belum balik lagi waktu begini. Kala benak fikirannya berteka teki pandangannya menangkap susuk tubuh yang terbaring di atas sofa panjang. Lantas langkahnya di atur ke arah susuk tubuh yang tampak begitu lena sekali.
Qaseh menggeleng perlahan melihat Arief  yang terbaring sambil berpeluk tubuh dengan baju kemeja yang masih tersarung di tubuh. Qaseh meletakkan tas tangan di atas meja. Perlahan dia bersimpuh di lantai mengadap Arief yang masih tidak sedar dengan kehadiran Qaseh di sisinya.
Lama sepasang anak mata Qaseh jatuh pada seraut wajah Arief yang tampak  tenang itu. Kata-kata Hani kembali bermain di fikirannya. Benarkah perasaan itu hadir tanpa kita sedar? Adakah apa yang aku rasa selama ini adalah perasaan cinta yang mula berputik pada lelaki ini?
“Abang...” panggil Qaseh mengejutkan Arief.
Arief tersedar sambil mengeliat kecil. Memisat-misat matanya memfokuskan pandangan. “Hhmm... sayang... dah pukul berapa ni?” serak-serak basah suaranya. 
“Dah pukul 11.00. Kenapa tidur kat sini? Baju pun tak bertukar.”
“Errmm... abang tunggu sayang. Tak sangka boleh terlelap pula,”jawab Arief sambil mengeliat kecil.
“Sorry... dah lama tak jumpa Hani, borak punya borak sampai tak sedar masa berlalu. Kenapa abang tunggu Qaseh?”tanya Qaseh tanpa menyedari pandangan Arief yang melekat di wajahnya. 
“Rindu...” jawab Arief perlahan. Redup renungannya. Wajah Qaseh yang berkerut ditatap sahaja.
Qaseh mula tidak senang duduk dengan renungan Arief itu. “Hhm... okay... Qaseh rasa baik abang pergi mandi dulu... semacam dah bau,” perli Qaseh cuba melindungi riaknya yang mula gundah. Dia bingkas bangun.  
“Sayang pun belum mandi lagi kan, jom mandi,” bisiknya nakal, sengaja ingin mengusik Qaseh. Tersungging sengihan di bibirnya. Turut bangun bergerak mendekati Qaseh. Butang baju kemejanya ditanggalkan satu persatu sehingga menampakkan sedikit dada bidangnya.
Membuntang mata Qaseh. Tubuh Arief yang semakin mendekat ditahan dengan telapak tangan. “Eerr... abang mandi kat bilik abang, Qaseh mandi kat bilik Qaseh ya.” Bibirnya melirik senyum seketika. Mengigau agaknya.  
“Kalau mandi sekali boleh jimat air.” Semakin seronok pula mengusik si isteri yang sudah menampakkan rona merah di wajah.
“Malas nak layan abang ni...” tangannya mencapai tas tangan di atas meja ingin berlalu. Tidak keruan dibuatnya melihat senyuman nakal yang terukir di bibir Arief. Namun tiba-tiba Arief menggenggam tangannya. Pantas Qaseh mengangkat muka memandang Arief.
“Abang lapar...”
“Tadi tak makan ke?” soal Qaseh terkejut.
“Dah... tapi sekarang lapar balik...” jawab Arief merengek manja.
“Abang pergi mandi dulu nanti Qaseh sediakan.”
“Tak payah masaklah kita keluar makan, nak?”
“Alah... malas nak keluar.” Tubuhnya sudah terasa letih. Di matanya hanya terbayang tilam dan bantal sahaja kala ini.
“Jom arr sayang...”pujuk Arief masih tidak berputus asa.
Qaseh diam seketika. Riak wajah Arief yang begitu mengharap menjentik perasaan kesian pula di hatinya. “Ke mana?” akhirnya kata itu yang meluncur dari bibirnya. 
“Pekena nasi lemak Kampung Baru,” jawab Arief ceria. 
“Okay, tapi mandi dulu sebelum keluar. Tengok muka abang baru bangun tidur ni tak lalu nak makan nanti,” gurau Qaseh. Menjauhkan tubuhnya dari Arief.
Membuntang mata Arief memandang Qaseh geram. Dia sudah berdiri bertentangan dengan Qaseh yang sedang menahan senyum.
Arief mengetap bibir. Ringan tangannya mencubit kedua pipi Qaseh. Terjerit Qaseh. Pantas tangannya mengusap pipi. “Sakitlah!” marah Qaseh melirik geram pada Arief.
“Siapa suruh gelakkan abang,” jawab Arief membela diri.
“Tak naklah temankan abang macam ni.” Memuncung wajah Qaseh menunjuk rasa rajuk yang menyinggah.
“Isteri abang ni dah pandai merajuk.” Hidung Qaseh dicuit lembut.
“Mana ada...” sela Qaseh. Entah kenapa tiba-tiba terdetik perasaan ingin disayangi dan dimanjai dalam dirinya.
“Qaseh nak pergi mandi dulu.” Pantas dia berpaling ingin berlalu pergi. Mengapa dengan dirinya malam ini? Bersikap tidak tentu hala di hadapan Arief.
“Ikut,” usik Arief hampir di belakang Qaseh.
“Jangan nak mengada, nanti lambat pula kita nak keluar. Layan abang ni sampai bila tak habis.” Qaseh terus mengatur langkah ke biliknya. Manakala Arief menyusul ke biliknya. Namun, dalam diam bibir masing-masing mengukir senyuman bermakna.


*************

Elyana memaut kejap lengan Jefri. Mengikut langkah lelaki itu di celah-celah manusia yang berkinja-kinja menari mengikut rentak muzik rancak yang membingitkan telinga. Inilah pertama kali Jefri membawanya ke kelab malam ini. Bukannya dia tidak pernah datang ke tempat begini bersama Jefri tetapi entah kenapa kali ini dia terasa lain. Hatinya rasa tidak sedap hati sejak Jefri menerima panggilan telefon minggu lepas. Tingkah Jefri seperti tidak mahu dia mendengar perbualan itu. 
“Hey Jeff, lama tak nampak?”tegur seorang lelaki kala mereka melintasi di satu meja.
“Eh, Datuk... sibuk sikit Datuk. Datuk apa khabar?” jawab Jefri ramah lantas berjabat tangan dengan lelaki yang menegurnya tadi.
Jefri juga diperkenalkan kepada dua lagi rakan Datuk itu yang turut berada di meja itu. Tidak lupa juga tiga orang gadis cantik dan seksi yang berada di sisi mereka.
Elyana hanya menyepi di sisi Jefri. Tidak gemar dengan pandangan liar Datuk itu yang seperti sedang meratah segenap tubuhnya.
“Siapa tu Jeff?” tiba-tiba pertanyaan itu meluncur dari bibir lelaki itu.
“Oh, ini saya kenalkan Elyana. Dia masih baru di sini,” bisik Jefri tersenyum lebar penuh makna.
“Elyana, ini Datuk Rahim... important customer kat sini.”
Elyana senyum paksa. Apabila melihat Elyana hanya membatu, Jefri menolak sedikit tubuhnya supaya menyambut huluran tangan Datuk Rahim. Jelas di raut wajah Jefri tidak senang dengan kelakuan Elyana itu.
Lambat-lambat Elyana menyambut huluran salam itu.  Genggaman yang agak kejap memaksa Elyana menarik tangannya. Datuk Rahim hanya melemparkan senyuman lebar lantas meleraikan genggamannya.
Elyana bergerak menjauh. Melihat Jefri dan Datuk Rahim itu berbisik-bisik sesekali ketawa mengundang rasa gelisah di hatinya. Apatah lagi mata Datuk Rahim itu asyik terarah padanya.
“Baik you dengan Datuk tu?” tanya Elyana sebaik mereka duduk di bar yang menempatkan perlbagai jenis minuman.
“Datuk tu banyak bagi business kat I,” beritahu Jefri sambil memesan minuman untuknya dan Elyana.
“Tapi I tak suka dengan Datuk tu? Pandangannya semacam,” luah Elyana tanpa berselindung.
“You kena jaga hati dia... lumayan habuannya nanti.”
Berkerut dahi Elyana. “Apa hal I kena jaga hati dia pulak.”
“I tak suka cara you layan Datuk tu tadi. Nasib baik mood dia baik hari ni, kalau mood dia tak baik. I yang susah nanti,” suara Jefri sedikit keras.
“Apa masalah you ni? I tak ada kaitan dengan Datuk tu. Lantaklah macam mana I pandang dia pun. Yang you nak hangin dengan I ni, kenapa?” kata Elyana tidak puas hati dengan sikap Jefri.
“Masalahnya you bersama dengan I. You mesti jaga air muka I!” jawab Jefri tegas.
Elyana menarik muka masam. Riak tegang di raut wajah Jefri mematahkan katanya. “I ke ladies kejap,” katanya sambil mengangkat punggung.
Jefri memerhati susuk tubuh Elyana hingga hilang dari pandangan. Perlahan tangannya mengeluarkan sesuatu dari poket seluar. Tanpa sesiapa sedari beberapa biji pil dimasukkan ke dalam gelas minuman Elyana. Bibirnya tersungging senyuman. Kemudian dia menoleh ke arah meja yang di duduki oleh Datuk Rahim tadi. Ketika itu Datuk Rahim juga sedang memandangnya. Dia mengangguk perlahan sebagai isyarat rancangan telah terlaksana.



5 comments:

Kak Sue said...

... Qaseh cuba fikirkan apa yang Hani cakap tu betul .... Arief cuba ambil hati dan buat Qaseh jatuh hati pada suami sendiri ok... Arief sebenarnya Qaseh perlukan masa dan hanya Arief ja yang boleh meyakini Qaseh tentang rahsia hati Arief padanya ..... TRY YOUR BESTTTTT

NurAtiZa said...

Best..... hati dah berbunga dah ni.... #^_^

strawberry.chocolate81 said...

ala la la sweet3....sambung agi kak gee...nakal la si arief ni...tahan je la qaseh oiii...

Zalida said...

sweetnya bila dalam hati masing2 ada cinta kan? Qaseh jgn tunggu lama2 ya. thanks gee...

k.hlyly said...

Best nye cite ni TAHNIAH writer. Tp jgn lh lame sgt nk smbg tak sabar nk tahu pekembngn selanjutnye harap Arief dpt cairkn hati Qaseh .