Friday, March 28, 2014

Tika Hati Berbicara Bab 27



"Qaseh!"
Pantas Qaseh berpaling ke arah datangnya suara itu. Lebar senyuman kala mata menangkap lambaian Zuraida padanya.
"Sorry aku lambat sikit," ucap Qaseh sambil menarik kerusi di hadapan Zuraida.
"Bukan sikit lagi ni. Janji pukul 10.00 datangnya pukul 10.30," sela Zuraida. Panjang muncungnya.
"Sorry la sayang. Banyak kerja tadi."
Berkerut dahi Zuraida. "Kerja apa hari minggu ni. Takkan kerja kut hari minggu."
"Bukan kerja pejabat. Kerja rumah."
"Owh. Lupa pulak aku, kau dah kahwin. Suami kau izinkan tak keluar dengan aku ni?"
"Kalau dia tak izinkan aku tak ada depan kau sekarang."
"Aku dah order tadi."
"Okay, aku ikut aje."
"Kau bahagia Qaseh?" Raut wajah sahabatnya itu ditatap lama.
Perlahan keluhan terbit di bibir lalu tubuh disandar di kerusi. "Entahlah Aida, susah aku nak cakap."
"Macam mana kau boleh kahwin dengan dia? Kan mak tiri kau tunangkan kau dengan Borhan."
"Susah aku nak terangkan sebab segalanya berlaku tanpa ku jangka. Selepas kemalangan tu, lelaki itu sering muncul bila aku dalam kesusahan. Keluarga tiri aku paksa aku jual tanah  kat kampung. Kalau aku tak ikut cakap diorang, nenek yang menjadi mangsanya. Tiba-tiba Arief muncul menyelamatkan keadaan. Nenek sangkakan Arief adalah Borhan. Jadi nenek mintak kami kahwin cepat. Aku waktu tu buntu, tak tahu nak buat apa. Arief pun terima sahaja cadangan nenek. Aku minta dia berterus terang dengan nenek tapi dia tak sanggup. Demi nenek aku sanggup buat apa saja. Nenek pun tak sihat masa tu. Aku tak mahu nenek bertambah susah hati. Arief dah banyak tolong kami. Aku terhutang budi dengannya."
“Kau terima Arief sebagai suami kau?”
Qaseh mengeluh. Pertanyaan Zuraida dibiarkan sepi seketika. Dia buntu. “Sesiapa pun yang menerima nasib yang sama macam aku pasti dalam dilema. Entah kenapa naluri aku dapat merasakan Arief menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku.” Walaupun dia mengakui perasaan sayang mula berputik pada lelaki itu tetapi perasaan curiga tetap ada membayanginya.
“Maksud kau?” tanya Zuraida tidak mengerti.
Qaseh menarik nafas panjang sebelum bersuara. Tubuhnya dirapatkan ke meja. “Bukan mudah untuk aku terima semua ini, Aida. Arief begitu mudah setuju dengan permintaan nenek untuk kahwin dengan aku. Takkan kerana rasa bersalah dia sanggup buat apa sahaja untuk aku. Aku rasa pelik.” Tersandar Qaseh di kerusi. Hubungannya dengan Arief sering menimbulkan kebuntuan dalam benak fikiran. Tiada siapa yang mengerti jauh di sudut hati dia khuatir Arief tidak ikhlas dengan perkahwinan mereka. 
“Mungkin Arief sememangnya ditakdirkan untuk kau. Kau jangan lupa tentang jodoh, Qaseh. Kalau sudah ditakdirkan dia adalah jodoh kau. Kau larilah ke mana pun. Dia pasti akan kembali dekat dengan kau. Kita tak tahu perancangan Allah kepada kita..”
“Tapi nikah kahwin bukan perkara main-main Aida.”
Zuraida menghela nafas. Tubuh dirapat ke meja. Tangan Qaseh digenggam lembut. "Aku tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi aku gembira tengok keadaan kau sekarang dari dulu. Walaupun kau masih tidak dapat terima Arief  tapi aku tahu jauh di sudut hati kau nama Arief sudah terpahat di situ kan? Arief Hakimi adalah suami kau yang sah, Qaseh. Apa pun sebab korang kahwin yang penting sekarang kebahagiaan rumahtangga kau. Cari kebahagiaan tu. Jangan biarkan diri kau dibelenggu dengan perkara yang akan menyebabkan hati kau dengan Arief semakin jauh. Aku percaya Arief sayangkan kau.”
 Panjang helaan nafas terbit dari bibir Qaseh. "Sayangkah dia kat aku?" bisik Qaseh perlahan melontar persoalan yang sering bermain di minda.
“Kau kena yakin dengan diri sendiri. Semai perasaan sayang antara korang berdua. Bajai dengan persefahaman dan kepercayaan. Aku yakin kebahagian milik korang berdua.”
Qaseh membalas erat genggaman sahabatnya itu. Entah mengapa setiap ungkapan itu memalu lembut hatinya.




“Kenapa dengan kamu ni Zakri? Baru sekarang nampak batang hidung. Mana kamu pergi?” tanya Puan Samsiah sebaik Zakri melangkah masuk ke dalam rumah.
“Zakri tak ke mana pun ma. Zakri banyak kerja.”
“Tapi takkan sampai nak jenguk mama pun tak ada masa.” ujar Puan Samsiah tidak puas hati. “Sudahlah adik kamu pun tak balik-balik. Bila mama telefon memanjang aje sibuk. Mama tak faham betul dengan korang berdua ni. Apa yang disibukkan sangat?” leter Puan Samsiah.
Zakri melabuhkan punggung di sofa. Dia memicit-micit kepalanya. Tiba-tiba kepalanya pening mendengar leteran mamanya. Zakri hanya berdiam diri. Ada tujuan lain yang ingin dibincang dengan mamanya. “Entahlah ma. Yana tu dah besar panjang, mama tak payahlah risau. Tahulah dia jaga diri. Takkan mama tak tahu perangai keras kepala anak kesayangan mama tu.”
“Kamu bercakap macam tak risau langsung dengan adik kamu tu. Kalau jadi apa-apa kat adik kamu macam mana? Sekarang ni macam-macam boleh jadi. Mama takut adik kamu tu berkawan dengan orang yang bukan-bukan.”
“Nantilah Zakri cuba cari si Yana.” Zakri mula bosan. Dia pula yang dipersalahkan.  
“Hhm... ma. Zakri ada hal nak cakap dengan mama sikit.”
“Kamu nak cakap apa?”
Teragak-agak Zakri hendak bersuara. “Zakri nak pinjam duit sikit.”
“Pinjam duit. Kamu nak buat apa dengan duit tu?”
“Zakri nak bayar hutang ma.”
“Hutang? Kamu berhutang dengan along ke Zakri?” teka Puan Samsiah.  
Zakri hanya membisu. Serba salah hendak menjawab pertanyaan Puan Samsiah. Sudah pasti dia akan dimarahi sebentar lagi. Tapi dia tidak ada pilihan. Kuncu-kuncu Mr Tan sudah mula mencarinya.
“Betul ke kamu berhutang dengan along,” tanya Puan Samsiah inginkan kepastian. Suara Puan Samsiah kembali meninggi. “Jawab Zakri, mama tanya kamu ni.” Puan Samsiah mula geram apabila Zakri hanya membisu.
“Zakri terpaksa ma... waktu tu Zakri perlukan duit untuk kembangkan perniagaan. Tapi tak sangka pulak perniagaan Zakri tak menjadi. Zakri tak mampu nak bayar hutang dengan along tu. Sebab tu Zakri nak pinjam duit mama.”
“Kenapa kamu bodoh sangat Zakri! Takkan kau tak tahu akibatnya berhutang dengan along. Silap haribulan nyawa kamu melayang,” tengking Puan Samsiah.
“Mama tolonglah Zakri, ma. Kuncu-kuncu along tu dah mula cari Zakri.”
“Berapa banyak kamu hutang dengan along tu?”
“Lima puluh ribu,” tergagap-gagap suara Zakri.
Membuntang luas mata Puan Samsiah. “Lima puluh ribu!! Apa yang kau buat dengan duit sebanyak tu! Kau memang sengaja menempah maut Zakri.”
“Tolonglah Zakri, ma. Zakri terdesak sangat sekarang. Along tu dah kejar Zakri. Diorang ugut kalau tak bayar hujung bulan ni, nyawa Zakri jadi gantinya. Mama sanggup tengok Zakri kena bunuh.”
“Mama mana ada duit sebanyak tu, Zakri.”
“Takkan mama tak ada.”
“Kamu tak ingat dulu kamu pernah minta kat mama. Kamu kata pinjam tapi sampai sekarang pun kamu tak bayar-bayar lagi. Mana mama ada duit lagi.”
“Habis tu macam mana mama? Kat  mana Zakri nak cari  duit lagi?” Zakri resah. Kini dia menemui jalan buntu. Cuma satu sahaja yang terlintas di benak fikirannya kala ini. Qaseh!



10 comments:

Anonymous said...

as salam hai kak gee....knp ciput sngat x puas baca hehe.nak n3 yg panjang ye ;-)

Unknown said...

best 3x.

Gee Muszisya said...

Anonymous : waalaikumussalam... cipuk ya...hehe...nanti kgee smbg lg, ok ;)

Gee Muszisya said...

baby mio : tq :)

seed169 said...

BEST .....1000X

Gee Muszisya said...

seed169 : thanks...1000x :)

Unknown said...

Nak lagi . Tak puas lerr . hehe :)

Unknown said...

cerita ni best!.. xsabar nak baca masa dia orang tgh bahagia, ada baby
.. hihihi...

あいだ said...

Novel ni dah ada di puasa ran ke?

Julian K said...

This is ggreat