Tuesday, April 2, 2013

Tika Hati Berbicara bab 23




“Qaseh tanya sikit boleh?” Qaseh bersuara sambil mulutnya mengunyah perlahan.


“Banyak pun boleh sayang...” jawab Arief sambil menyuap potongan pizza ke dalam mulut. Kemudian dia mengambil secebis potongan pizza yang telah dipotong kecil lalu disuakan ke arah mulut Qaseh. “Cuba sayang rasa pizza baru ni, sedap.”  

Tergamam Qaseh dengan tindakan Arief itu. Hendak tidak hendak dia membuka mulut. Cukup bersahaja tingkah Arief membuatkan dia selesa di samping lelaki itu.  

Selesai membeli barang tadi, Arief mengajak Qaseh makan tengahari memandangkan waktu telah berganjak keangka 12.30 tengahari. Perutnya juga sudah mula berlagu. Mereka memilih untuk makan di Pizza Hut sahaja.

“Apa comot ni...” Tiba-tiba jari Arief menyentuh tubir bibir Qaseh lantas mengelap bibir itu yang tercalit sedikit sos.

Qaseh terkedu namun semerta dia berlagak biasa. Wajah selamba Arief direnungi seketika. Entah kenapa berat pula butir bicara yang ingin diajukan kepada Arief. Sudah lama dia ingin bertanya tetapi tidak terluah di bibirnya.

Apabila Qaseh hanya menyepi, mengundang rasa hairan Arief. “Tadi cakap nak tanya... kenapa tiba-tiba senyap aje?”

Qaseh menggigit bibir.  Memerah otak memikir susun atur kata supaya pertanyaannya tidak janggal diperdengaran Arief.

“Kita tak pernah bercakap pasal keluarga abang.” Gugup bicara Qaseh. Apatah lagi melihat wajah Arief sudah berubah riak. Mulut yang ligat mengunyah kini sudah berubah rentak perlahan.

Walaupun diri sedar tidak berhak untuk dia mengetahui keluarga Arief tetapi sekurang-kurangnya dia berhak untuk mengetahui tentang kedudukannya di mata keluarga Arief. Adakah selama ini mereka mengetahui kewujudannya di sisi Arief. Apa yang diketahui hanyalah dari mulut abang Malik sahaja. Itu pun secara kasar. Mama dan kakak sulung Arief telah berangkat ke Australia setahun yang lalu kerana menguruskan cawangan perniagaan di sana. Selepas mereka diijabkabulkan, Arief kerap juga ke sana. Menurut abang Malik, cawangan baru sudah tentu banyak kerja yang perlu diuruskan. Tapi takkan keluarganya tidak terlintas untuk pulang ke Malaysia sekali sekala. Kalau mereka pulang ke Malaysia pun, hendakkah mereka bertemu dengan menantu yang mungkin tidak wujud di mata dan hati mereka? Persoalan demi persoalan memerangkap jiwanya.

“Abang pernah beritahu mama dan kak Tikah kat Australia kan.”

“Itu Qaseh tahu, abang pernah beritahu masa kita baru kahwin dulu.”

 “Keluarga abang tahu pasal Qaseh?” Keadaan hening seketika tanpa bicara antara mereka. Masing-masing seperti kelu untuk berbicara. Pandangan Arief tampak serba salah. Kemudian dia menggeleng perlahan sebagai  jawapan pertanyaan  Qaseh itu.

Qaseh menghela nafas. Dia mengetap bibir. Melirik senyum seketika sebelum mati dibawa perasaan yang terkilan di jiwa. Memang betullah sangkaannya selama ini. Kewujudannya di sisi Arief mungkin hanya sementara. Mungkin sebab itu tidak perlu mendapat restu daripada keluarganya. Untuk apa kata-kata sayang kalau hubungan ini sememangnya hanya sementara. Ataupun kata-kata sayang itu hanya mainan katanya. Mainan lelaki yang menjadi idaman gadis di luar sana. 

“Abang belum bersedia untuk beritahu mereka. Sayang pun tahu kan perkahwinan kita terlalu mendadak. Abang takut keluarga abang tak boleh terima. Lagipun masa tu mama dan kak Tikah tengah sibuk nak ke Australia.”

Bagai sembilu menghiris mendengar ungkapan yang meluncur dari bibir Arief. Tidak mengendahkan pandangan Arief, dia menyambung suapan ke mulut. Mengapa hatinya terasa terluka?

“Apa akan jadi kalau suatu hari nanti keluarga abang tahu pasal kita dan mereka tak merestuinya,“ tanya Qaseh setelah beberapa ketika menyepi.

“Jangan risau, abang akan terangkan segalanya pada mereka bila tiba masanya. Abang percaya mereka akan faham,” kata Arief cuba menyakinkan Qaseh.

“Mungkin perpisahan yang akan menjadi pengakhiran hubungan kita.”

Arief terpampan. Tajam renungannya menikam wajah Qaseh tanpa secalit senyuman. “Abang tak suka Qaseh cakap macam tu.” Tegas dan serius nadanya.

“Tapi tak mustahil perkara itu akan berlaku.” Dalam gusar Qaseh masih mahu berbalas kata. 

“Kenapa sayang seperti meminta perpisahan. Kalau empat puluh kali sayang sebut, tak mustahil ia akan berlaku. Mengapa mesti membayangkan sesuatu yang tidak baik pada hubungan kita.” Mati seleranya. Garpu dan pisau sudah mendarat di atas pinggan.

“Qaseh bukan meminta tetapi memikir hala tuju hubungan kita.”

“Hala tuju bagaimana yang Qaseh harapkan?” soal Arief kembali. Serius wajah Arief merenungi Qaseh yang hanya membisu seribu bahasa.

“Qaseh tak tahu...” perlahan suaranya meluahkan rasa yang berlingkar di jiwa. Sungguh dia tidak tahu.  Dia tidak mahu terlalu meletak harapan yang tinggi pada hubungan ini,  takut  akan kecewa dikemudian hari. Namun, di sudut hati yang dalam dia tidak mahukan perpisahan kerna dia seperti dapat merasakan Arief telah meletakkan dirinya di satu sudut yang istimewa di hati lelaki itu.  Dia rasa disayangi dan dihargai. Tetapi mampukah  dia merobohkan tembok curiga dan prasangka yang telah lama terbina  terhadap Arief selama ini. Baginya untuk mengukuhkan sesuatu perhubungan perlulah dianyami dengan keikhlasan supaya tidak mudah lerai andai dugaan datang menguji.

Arief mengeluh panjang. Tubuhnya tersandar di kerusi.

“Jawapan sayang selalu mengecewakan abang. Tidak bolehkah sesekali sayang berbohong. Hati abang rasa bagai ditikam-tikam lumat.” Keruh wajah Arief. Pandangan dilarikan ke arah lain. Kenikmatan yang dirasai tadi bagaikan tenggelam dek rasa kecewa yang semakin mendarat di hati.

“Qaseh tak bermaksud nak mengecewakan abang tetapi itulah hakikat yang sebenar apa yang Qaseh rasakan. Hubungan kita terlalu banyak likunya. Terlalu banyak perkara yang tidak jelas.”

Berat keluhan terbit dari bibir Arief. Sesak dadanya dihimpit perasaan yang meresah di jiwa. Mungkin ini balasan padanya kerana menyembunyikan kebenaran selama ini. Takut pada bayang-bayang  telah menggantung dirinya sendiri. Kini dia terperangkap dengan masalah yang dia sendiri ciptakan. Mampukah Qaseh menerimanya tanpa ada rasa curiga lagi. Menerima cintanya yang telah lama tersemat di hati. Mempercayai cinta yang datang tanpa dipinta telah membuatkan dirinya seperti seorang lelaki yang memuja cinta dalam diam.  Sanggup melakukan apa saja asalkan cinta hatinya dimiliki.

“Rif...” sapa seseorang membuatkan mereka berdua tersentak.

“Hey Mal, bila kau balik Malaysia?”ceria suara Arief bersama riak terkejut. Jamal, sahabat sekuliahnya yang menimba pengalaman di Dubai sebaik mendapat tawaran bekerja di sana. Jamal agak rapat dengan dia dan arwah Qalif.

“Dua minggu lepas.”

Mereka berjabat tangan mesra.  Jelas kegembiran terpamer di raut wajah dua sahabat lama itu.

“Lama tak jumpa kau. Last kita jumpa reunion empat tahun lepas kan. Lama betul.”

“Ha’ah masa tu aje nak jumpa kawan-kawan lama.”

“Kau apa khabar sekarang, Mal? Berapa orang anak sekarang?” tanya Arief. Empat tahun lalu semasa perjumpaan reunion,  isteri Jamal baru melahirkan anak sulung.

“Dah nak masuk dua anak aku. Kau macam mana pulak? Dah jumpa pengganti?” bisik Jamal tersenyum-senyum pada Arief. Sesekali anak matanya dilirikkan pada Qaseh yang hanya diam di tempat duduknya. Hanya arwah Qalif dan Jamal tahu sejarah perhubungannya dengan Natasha.

Soalan Jamal hanya disambut dengan lirikan senyuman. Cukup bermakna untuk ditafsirkan oleh Jamal. “ Aku kenalkan isteri aku, Qaseh Qalesya.”

“Sayang, ini Jamal kawan abang masa belajar dulu.”

Qaseh menunduk tanda hormat bersama senyuman manis terukir di bibir. Jamal juga menunduk membalas namun keningnya berkerut sedikit tatkala benak fikirannya terlintas sesuatu lantas dia berpaling memandang Arief. “Eh, dia bukan...”

“Kau join tak reunion kat PD bulan depan?” pantas Arief memintas kata Jamal yang ingin berkata sesuatu. Dalam pada itu, riak wajah Arief seperti memberi isyarat pada sahabatnya itu.

Terpinga-pinga Jamal menjawab pertanyaan Arief itu. “Hah,  ha’ah aku join. Kau join tak?” soal Jamal kembali.

“Aku join. Dah confirm dengan admin.”

“Jangan lupa bawa wife kau sekali. Mesti ramai yang terkejut,” bisik Jamal,  tersenyum penuh makna.

Bahu Jamal ditumbuk perlahan. Arief menggeleng mendengar kata  usikan itu. Bibirnya turut tersenyum membalas.

Qaseh hanya memandang dua sahabat itu bergurau senda. Apa yang dibualkan tidak diketahui butir bicaranya. Gelak tawa mereka juga sesekali menarik perhatian orang lain.   Sudahnya Qaseh menyambung suapan pizza ke mulutnya.

Sebaik Jamal berlalu pergi, Arief kembali duduk. Senyuman masih tidak lekang di bibir.

“Minggu depan kawan-kawan lama abang masa belajar dulu buat reunion kat PD. Qaseh ikut abang ya.”

Qaseh hanya diam membisu.

“Sayang,” panggil Arief apabila Qaseh tidak berkata apa.

“Abang tak kisah ke?”

Berkerut dahi Arief. “Nak kisah apa, Qaseh kan isteri abang.”

“Tiba-tiba kahwin. Kenduri pun tak berjemput.”

“Abang beritahu mereka nanti, kita kahwin mengejut.”

“Ada pulak macam tu.”

“Betullah, kita kahwin mengejut. Tak sempat nak jemput. Lain kali kalau abang buat kenduri lagi abang jemput semua kawan-kawan abang.”

“Lain kali? Ada lain kali ke?”

“Ya, lain kali,” jawab Arief bersungguh. Hairan pula apabila Qaseh beria-ia tanya.

“Maksudnya... abang ada hati nak kahwin lagi?” soal Qaseh. Tiba-tiba menyelinap rasa cemburu dalam dirinya.

Meletus tawa Arief. “Kenapa? Cemburu kalau abang kahwin lain. Kalau sayang tak layan abang betul-betul mungkin abang kahwin lain,” kata Arief sekadar menguji.

“Tak kuasa nak cemburu-cemburu ni.”

“Habis tu macam berangin aje tadi.  Cemburu la tu...”

Qaseh diam. Tidak mengendahkan renungan dan sengihan nakal yang terlakar di wajah itu.

“Mana ada...”

“Yes, you are...”

“No! I am not jelous, okay,” nafi Qaseh lagi. Serba tidak kena dibuatnya. Ketara benarkah sikapnya tadi. Aduh... kenapa dengan kau ni,Qaseh. Tapi betulkah aku cemburu?

Arief hanya menjongket kening sebelah. Riak tidak percaya dengan kata Qaseh terpamer jelas di wajah. Lebar senyuman terukir di bibirnya. Dia suka perubahan itu yang memberi satu erti padanya. Bukankah cemburu itu tandanya sayang. Dia yakin satu hari, cinta itu pasti dapat digapainya.  

10 comments:

seed169 said...

hehehe...
rindu kat arief dan qaseh...
mesti ada suprise masa reunion nanti...

strawberry.chocolate81 said...

uit ade bibit2 cemburu dah 2...Arief sila berusaha dengan gigih lagi

Kak Sue said...

Akhirnya timbul juga Qaseh dan Arief...
Arief semasa pergi PD nanti berterus teranglah dengan Qaseh ... jangan sampai Qaseh dapat tahu dari orang lain... tentu hati lagi sakit....

Unknown said...

nak lg.

zjirha said...

lepas ni bagi deras sikit n3 arief n qasih ya!!.. rindu sgt kat mereka ni.. berselang bulan baru dpt jumpa...

Anonymous said...

betul...lama benar nak nunggu pkembangan qaseh dgn arif ni. tak sabar nk tau apa jadi seterusnya.

-ct payung

Anonymous said...

Rindu sngat2 gan qaseh n arif.....kak gee bg la n3 cpt2......x sabar nak tau kisah slangjutnya.....hehehe

Anonymous said...

bila nak sambung, lama dah tungu,

Anonymous said...

bila nak terbit novel ni...lama dah tunggu..

Anonymous said...

Hi Gee , aka arthi dah x sabar nak tahu kisah Qesah ngan Arrief. Apasal lama sgt bab 24. Bila nak buat versi cetak pulak.