“Morning
Sayang,” ucap Arief. Pipi Qaseh dicium sekilas. Tersentak Qaseh. Dia yang ingin
menuang air ke dalam cawan terkaku. Anak matanya beralih pandang pada seraut
wajah Arief yang tampak ceria dan bersahaja.
“Assalamualaikum,”
ucap Qaseh sambil menuang air ke dalam cawan.
“Oppsstt!
Waalaikumussalam...” jawab Arief tersengih panjang menyedari keterlanjuran
diri. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Teringat bibit-bibit indah pagi
tadi hatinya berbunga riang. Terjaganya dari tidur anak matanya menyapa seraut
wajah yang tampak polos dalam pelukannya. Ketika itu juga Qaseh terjaga dan
saat mata bersatu tiada kata yang dapat diungkapkan dari bibir masing-masing.
“Hai...”
sapa Arief memecah kebisuan antara mereka. Senyuman nipis terukir di bibirnya.
Namun Qaseh hanya membisu. Apabila menyedari keadaan mereka yang begitu rapat,
Qaseh menjarakkan diri tetapi Arief lebih pantas merapatkan tubuh mereka
kembali membuatkan wajah Qaseh merona merah.
“Bestnya
tidur dapat peluk orang tu...” usik Arief. Bibirnya tersengih panjang.
“Abang jangan
nak melebih-lebih. Dah pukul berapa ni... tak pasal-pasal terlepas subuh
pulak nanti.” Qaseh menolak kuat tubuh Arief dan akhirnya dia
berjaya melepaskan diri dari rangkulan suaminya itu.
Arief
menjeling sekilas jam dinding. Dia baring mengiring sambil tangan menongkat
kepala.
“Baru 6.30
yang, sempat lagi kalau.... kalau...."
Arief
tidak menyudahkan katanya. Hanya riak nakal terpamer di raut wajahnya.
Mencerung
mata Qaseh melihat tingkah nakal Arief bersama lirikan senyuman yang tersirat
seribu makna seperti persis penggoda pula gayanya.
"Abang
jangan nak melalut pagi-pagi ni. Bangunlah!" Qaseh menyingkap selimut
tebal dari tubuh Arief lalu ditarik tangan Arief supaya bangkit. Tidak sanggup
melayan perangai Arief yang boleh membuatkan dirinya gelabah tidak menentu.
“Melalut
apanya? Abang nak cakap kalau nak mandi dulu pun sempat lagi. Sayang tu yang
fikir bukan-bukan,” dalih Arief bersahaja.
Kecil mata
Qaseh menahan geram. “Eeiii... pagi-pagi dah kenakan orang. Ingat Qaseh tak
tahu apa yang abang fikirkan tadi.” Bantal di hujung katil dibaling ke arah
Arief.
Arief
tergelak. Pantas tangannya menyambut bantal itu lalu dipeluk erat.
“Apa yang
abang fikirkan?” soal Arief ingin tahu. Tersengih dengan renungan dalam menikam
anak mata Qaseh.
“Eerrr...”
gelabah Qaseh dibuatnya. Tidak sangka kata-kata itu memerangkap dirinya pula.
“Malaslah
nak layan perangai abang ni.”
Qaseh
berpaling ingin turun dari katil namun niatnya terhenti apabila Arief merangkul
lengannya.
“Terima
kasih benarkan abang tidur bertemankan pelukan sayang. Abang dah mula rasa
rindu." Lembut bicara terbit dari bibirnya.
Qaseh
terpaku. Lemah rasa segala urat sendi mendengar bicara yang terluah dari bibir
suaminya. Begitu menusuk ke jiwa. Tiada ungkapan yang terbit di bibir hanya
pandangan mata menjadi bicara mereka saat ini. Terbuai dengan belaian bicara
yang menggetar rasa.
"Kita solat jemaah ya,” kata
Arief. Tenang wajahnya bersama lirikan senyuman nipis terukir di bibir.
Saat ini Qaseh
hanya mampu mengangguk perlahan. Ketenangan di raut wajah itu memikat hatinya.
Arief
tersenyum senang. Dia bergerak turun dari katil. Sebelum berlalu pergi sempat
dahi isterinya dikucup sekilas. Tiada kata yang mampu diungkapkan, hanya
sinaran mata menjadi bicara mengalun irama indah di jiwa.
Tanpa sedar
Arief melirik senyum. Melarikan anak mata memandang isterinya yang leka
menyusun roti bakar di atas piring.
“Tolong
letakkan kaya, Yang,” pinta Arief. Tingkahnya tampak manja. Qaseh yang baru
melabuhkan punggung di kerusi mengalih pandang pada suaminya. Perasaan pelik
cuba disembunyikan. Namun diturutkan juga kehendak Arief lantas mengambil roti
bakar yang dihulurkan Arier. ‘Sebelum ini tak ada pula nak tolong buat semua
ni. Boleh aje letak sendiri.’ Ngomel Qaseh dalam diam.
“Nak campur peanut butter sikit tak?” soal Qaseh.
"Apa-apa aje, kalau sayang yang buat mesti abang makan.”
Berkerut
dahi Qaseh. “Abang okay?” soal Qaseh.
“Of course
I am okay, sayang...”
Qaseh
hanya mampu menggeleng dengan tingkah Arief itu.
“Pergi
kerja dengan apa?” soal Arief. Sepasang matanya terusan menatap wajah
isterinya.
“Teksi,”
jawab Qaseh ringkah. Roti yang telah disapukan kaya bercampur mentega kacang
dihulurkan kepada Arief yang sudah berubah riak.
“Qaseh,
please...” Tersandar Arief di kerusi. Dia menghela nafas panjang.
“Nanti apa
pula kata kawan pejabat kalau Qaseh bawa kereta tu. Lagipun petang nanti Qaseh
nak pergi tengok kereta. Mungkin dah siap. ”
“Malik tak
beritahu kereta Qaseh dah tak ada kat bengkel.”
Berkerut
wajah Qaseh. “Abang Malik tak beritahu apa pun. Mana pula kereta tu?”soal Qaseh
hairan.
“Dah
jual,” jawab Arief dengan riak selamba.
Membuntang
mata Qaseh.
“Siapa
suruh jual?!” Perasaan terkejut tidak dapat dibendung lagi.
“Abang,”
jawab Arief sepatah sambil menyumbat roti ke dalam mulutnya.
“Kenapa
jual?!”tanya Qaseh. Giginya diketap menahan geram.
“Sebab
kereta tu atas nama abang. Suka hati abang la nak jual.” Selamba sahaja
jawapannya.
Kecil mata
Qaseh menatap wajah bersahaja Arief.
Perasaan geram dan marah meluap-luap dalam dada.
“Ikut suka
abanglah nak buat apa pun.” Qaseh bingkas bangun.
“Eh, nak
ke mana? Makan pun belum lagi.”
“Dah
kenyang.”
“Oh...
dah kenyang ya. Tengok muka abang pun
boleh kenyang kan. Kalau tak nak makan
tak apa tapi temankan abang makan.”
“Abang
makan sorang-sorang, Qaseh nak pergi kerja.”
“Nak pergi
dengan apa?”
“Qaseh dah
panggil teksi.”
“Abang dah
cancel.”
Pantas
Qaseh beralih pandang pada Arief yang sedang mengunyah roti dengan riak
bersahaja. “Abang cancel!”
Arief
hanya mengangguk mengiayakan.
“Macam
mana abang tahu nombor teksi tu.”
“Bukan
susah sangat kalau teksi tu yang Qaseh selalu naik.”
Mencerlang
mata Qaseh menikam wajah Arief. “Abang ni memang jenis suka memaksa orang kan,”
tekan Qaseh. Perasaan geram dan tidak puas hati jelas terpamer di wajahnya.
“Wowowow...
pagi-pagi tak elok naik angin, yang. Boleh dapat darah tinggi nanti. Abang jugak yang susah,” kata Arief berbaur
usikan. Bersahaja reaksinya sambil menghirup juice oren yang telah disediakan
oleh isterinya.
Qaseh
menjeling tajam. Tidak dihiraukan kata-kata itu.
“Tak apa,
Qaseh boleh panggil teksi lain.”
Terhenti
kunyahan di mulutnya. “Boleh tak jangan degil sangat!” suaranya sedikit keras.
Ketegasan
Arief mendiamkan Qaseh. Wajahnya masam mencuka.
“Duduk
dulu... kejap lagi abang hantar,” arah Arief. Suaranya seperti tadi.
Dalam keterpaksaan
Qaseh melabuhkan punggung di kerusi.
Wajah Arief langsung tidak dipandangnya.
Arief
hanya memandang sahaja wajah Qaseh yang memuncung masam. Senyuman yang ingin
terbit dari bibir disimpan kejap. Dalam membantah Qaseh tetap menurut. Sikap
itu yang selalu mencuit hatinya. Menyambung niatnya ingin terus mengusik.
“Tak baik
bermasam muka depan rezeki, yang...”
Arief cuba
menarik perhatian Qaseh yang membisu seribu bahasa sahaja. Terasa rindu pula
ingin mendengar suara isterinya itu. Panjang pula muncungnya.
Qaseh
melirik sekilas ke wajah Arief. Senyuman nipis yang terukir di bibir
menambah geramnya. Tiada langsung riak bersalah terpamer di raut wajah itu. Sewenang-wenangnya mengambil keputusan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.
Dulu dia yang berkeras mahukan kereta itu walaupun Arief ingin membeli kereta
baru untuknya. Sekarang dijual pula kereta itu.
Arief
mengambil sekeping roti bakar lalu disapukan kaya diatasnya lantas dihulurkan
kepada Qaseh. “Makan dulu, lepas ni abang hantar. Petang nanti Malik ambil
sebab abang ada appointment,” beritahu Arief cuba memancing rajuk isterinya.
“Abang tak
payah susah-susah, Qaseh boleh balik sendiri.”
“Nope,
mulai sekarang abang tak mahu Qaseh balik sendiri atau orang lain hantarkan kecuali
dengan izin abang.”
“Ni kenapa
tiba-tiba nak jadi detaktor pulak. Sebelum ni abang tak pernah nak paksa Qaseh.
Abang pun tak kisah apa yang Qaseh buat,” sela Qaseh tidak berpuas hati dengan
sikap Arief.
“Sejak
dulu lagi abang kisah tapi isteri abang
ni tak pernah ambil tahu,” balas Arief terselit sindiran halus. Walaupun dia
tahu Qaseh pandai menjaga diri tetapi biarlah hari ini dia menjelaskan bahawa
selama ini dia mengambil berat dengan perhubungan mereka dan dia ingin
isterinya tahu hubungan yang terjalin bukan disebabkan keadaan semata-mata.
Qaseh
tersenyum sinis sambil menggeleng perlahan. “Kenapa abang tiba-tiba berubah?”
“Sebab
abang nak mengubah perhubungan kita lebih baik dari sebelum ni. Abang tak mahu
hubungan kita semakin keruh. Abang nak hubungan kita seperti suami isteri yang
lain. Suami isteri yang bersama menyemai rasa kasih sayang dan punyai anak-anak
yang akan menambahkan seri rumahtangganya.” Lancar dan serius luahan kata-kata
Arief.
“Anak!
Abang nak anak dengan Qaseh. Dulu abang juga yang cakap perkahwinan kita hanya
sementara dan ikatan perkahwinan ini hanyalah semata-mata hendak menebus rasa
bersalah abang pada Qaseh. Dan mungkin juga rasa simpati abang pada insan yang
terumbang ambing hidupnya seperti Qaseh. Hari ni tiba-tiba abang nak membina
masa depan dengan Qaseh pula. Abang cakap apa ni?”
Bagai
dihiri-hiris rasa hatinya bila mengenangkan kisah hidupnya yang lalu. Tidak
semena-mena kelopak matanya terasa panas. Namun, cuba ditahan agar tidak
tumpah. Terlalu perit dan pedih rasa itu
menjalar dalam dirinya saat ini.
Arief
mengeluh berat. Roti yang dihulur tadi masih
tidak disambut lalu diletakkan kembali di atas piring. Melihat raut
keruh wajah isterinya mengundang rasa kesal di hatinya.
Berat
helaan nafas terhembus. Arief menarik kerusi dekat dengan Qaseh. Lantas tangan
isterinya ditarik perlahan dan digenggam lembut. Walaupun Qaseh cuba menarik
tetapi genggamannya tetap kukuh. Perlahan tangan itu dikucup.
Terpegun
Qaseh. Ternyata tingkah Arief seakan menyiram rasa salju di hatinya. Dia
menunduk menutaskan pandangan pada genggaman yang erat itu.
“Kenapa
kita jadi begini?” Perlahan kata itu terluah dari bibir Arief.
Qaseh
mengangkat muka. Pandangan mereka bersatu seketika sebelum Arief menyambung
bicara.
“Abang tak
mahu lagi Qaseh kenang kisah lalu. Biarkan ia berlalu dari hidup Qaseh. Abang
berjanji selagi ada hayat di dunia ini, abang akan cuba yang terbaik untuk
sayang lupakan kisah lalu. Kita mulakan hidup baru dan beri peluang pada hati
masing-masing.” Suaranya seperti merayu. Memohon agar isterinya itu memberi
ruang pada perhubungan mereka.
Qaseh
menghela nafas panjang.
“Mana
mungkin begitu mudah untuk melupakan apa yang telah berlaku. Mungkin lukanya
telah tiada tetapi parutnya tetap ada dan akan terus kekal di jiwa ini
selamanya. Abang tak alami apa yang
Qaseh rasa. Sakitnya terlalu dalam dan perit.”
Dia
menghela nafas sebelum menyambung bicara. “Peluang apa yang ada pada
perhubungan kita. Qaseh tidak mahu menaruh harapan pada perhubungan yang kabur
dan tiada hala tuju yang pasti. Mungkin selama ini Qaseh banyak berprasangka pada
abang tapi Qaseh tak mampu menolak perasaan itu. Dan Qaseh tak nampak ke mana arah hubungan kita selepas ini,” luah Qaseh. Wajahnya sugul.
Arief
mengeluh berat. “Berputus asa sebelum berusaha bukan prinsip abang. Sayang akan
terus kekal menjadi milik abang selamanya.” Serius tutur kata Arief menegaskan
kata-katanya. Sepasang mata hitamnya merenung dalam-dalam wajah redup isterinya. Tiada lagi
bicara yang terluah, hanya kesepian menemani mereka di meja makan itu.
akan bersambung :)
sudi2kan komen :) terima kasih banyak yang sudi komen karya-karya gee di sini. Gee sangat2 hargainya. Memberi semangat untuk gee terus menulis, menulis dan terus menulis. THANKS ALL. Muahhhh <3>3>
9 comments:
apa masaalah sebenar arif sebenarnya..??? jadi tanda tanya !!!!
Sukanya..ada n3 baru
CEPATLAH SAMBUNG YA TQ.
sweet nye ariff ni...
nk lg
Alahai qaseh jgn nanti arief merajuk sakan baru qaseh nak nyesal..
perghhhhhh....lamanya kak gee kite tuunggu qaseh n arieff nih...masuk gua ke? hihhi...tp dah dapat nih pendek la plak...tp okies skit dari xde langsung....okies la kak gee ape2 pon kite nak n3 lagi okies...Chayok3!!!!
syahdu ne perasaan dlm bait2 yg arief luah kan wat si isteri...namun jgn lah semudah tu qaseh menyerah kan ruang hati!!!give arieff lesson first qaseh...pastu u catch up cinta n kasih hubby u for ever n ever!!!hehe geram gak ngan sikap arieff dek....
Qaseh cubalah terima Arief seadanya.... Insyallah boleh..... Ingatlah apa-apa pun Qaseh mesti hormat dan taat pada Arief sebagai suami .... banyak pahalanya.... sekurang-kurangnya mencuba x salah janji halal.....
memang besstt... nak lagi.. bila mau sambung..
Post a Comment