“Aku dah jumpa perempuan tu, Zack.”
Terbangun Zakri dari tempat duduknya teruja dengan berita
yang disampaikan oleh sahabatnya, Amir. “Kau pasti perempuan yang sama macam
dalam gambar tu?” soal Zakri inginkan kepastian.
“Aku pasti! Alamat yang kau bagi pun aku memang pasti
betul. Tapi aku tengok ada seorang lelaki selalu dengan perempuan tu. Kacak bergaya
orangnya. Kereta pun hebat. BMW X6 tu bro. Siapa diorang ni Zack?”
“Nanti aku citer kat kaulah. Sekarang, apa yang penting
kau follow ke mana saja diorang pergi. Tapi jangan sampai diorang perasan pulak.
Ingat tu!!” Zakri mula mengatur perancangan.
“Okay, tapi sampai bila aku nak jadi spy ni Zack. Kau
ingat senang ke? Aku takut juga orang kampung perasan. Aku kan orang luar.
Kalau ada orang tanya aku nak jawab apa?”
“Kau kelentonglah apa pun. Takkan itu pun nak kena aku
ajar.”
“Kau cakap senanglah Zack, cuba kau yang buat.”
“Kalau aku boleh buat memang aku dah buat bodoh.
Masalahnya diorang tu kenal aku. Kau ni nak masalah kita selesai ke tak nak?!”
Tekan Zakri mulai berang.
“Mestilah nak.”
“Kalau nak, buat apa yang aku suruh. Kerja senang macam
tu pun nak merungut lebih.”
“Okaylah, kalau ada apa-apa berita aku update kau,” suara
di hujung talian semakin mengendur. Hendak tak hendak tugas yang diarahkan oleh
Zakri perlu dilakukan demi menyelesaikan masalah mereka yang semakin meruncing.
“Ingat apa yang aku pesan tadi. Jangan biarkan rancangan
kita gagal kali ini. Ingat tu, Mir.”
“Yelah...”
Talian dimatikan. Mundar mandir dia berjalan sambil
menggenggam telefon bimbitnya. Benak fikirkannya sedang merangka-rangka
strategi untuk berjumpa dengan Qaseh tanpa pengetahuan lelaki itu. Bahaya jika
kelibatnya dijejaki, silap langkah peristiwa setahun yang lalu akan berulang
lagi. Bagai hendak patah tulang riuknya dikerjakan lelaki berbadan tegap itu.
Kali ini dia perlu melakukannya dengan lebih teliti. Dia kenal Qasel bagaimana
orangnya. Sekali gertak pasti akan diturutkan saja kemahuannya. Tanpa sedar
bibirnya menarik senyum. Masalah antaranya dengan Mr Tan akan selesai tidak
lama lagi. Dia perlu membayar hutangnya sebelum Mr Tan bertindak lebih jauh
lagi.
“Kamu nak ke mana pulak ni!”
Suara lantang Puan Samsiah mengejutkan Zakri. Kelibat
Elyana bersama beg pakaian di tangan menarik perhatian Zakri. Di susuli mamanya
di belakang adiknya itu. Riak tegang jelas terpamer di raut wajah Puan Samsiah.
“Ish... mama jangan sibuk boleh tak? Yana bukan nak
pindah terus dari rumah ni. Yana nak tinggal rumah kawan dua tiga hari aje.”
“Mama tak benarkan!”
“Mama boleh tak jangan masuk campur hal, Yana. Yana dah
besar la mama.”
Zakri hanya menjadi pemerhati sedari tadi.
“Kau ingat mama tak tahu kamu berkawan dengan budak-budak
liar tu!”
“Budak-budak liar mana? Mama jangan nak tuduh kawan-kawan
Yana macam tu. Yana tahu diorang macam mana,” sela Elyana menafikan tuduhan
mamanya itu.
“Eh Yana, kau ingat mata mama ni buta. Mama pernah nampak
kawan –kawan kau tu bergaduh dekat belakang lorong kedai tu. Apa nak jadi
dengan kau ni Yana berkawan dengan budak-budak samseng.”
“Itu bukan salah kawan-kawan Yana, diorang tu yang cari
pasal dulu. Takkan nak biarkan aje. Sudahlah ma, Yana dah lambat ni. Kawan Yana
dah tunggu tu.”
“Kau tak dengar ke mama cakap tadi. Mama tak benarkan kau
keluar.” Puan Samsiah cuba menghalang langkah Elyana. Namun Elyana mengatur
langkah juga tanpa mempedulikan kata mamanya itu.
“Zakri! Cuba kamu nasihatkan adik kamu ni sikit. Kamu tu
abang dia.”
“Alah mama bukan tak tahu perangai anak perempuan mama
ni. Nasihat macam mana pun, dia tetap juga buat. Degil nak mampus.”
Tajam pandangan dilemparkan pada Zakri yang berwajah
selamba itu. “Eh, kau jangan nak sibuklah. Perangai aku ikut suka akulah. Kau
ingat perangai kau tu bagus sangat!”
Zakri mencemik. Bukan dia tidak tahu perangai Elyana,
pantang ditegur sikit mudah sahaja melenting. Dimanjakan sangat adiknya sebab itu
naik lemak. Sejak bapa tirinya meninggal, apa yang dilakukan oleh adiknya itu semuanya
betul. Mama selalu menangkan Elyana. Dulu dia sering menyokong perancangan adiknya
itu untuk mengenakan Qaseh. Segala apa yang dirancang diikutkannya saja. Tetapi
sejak akhir-akhir ini sikap adiknya itu semakin menjadi-jadi. Duit yang
diperolehi dari lelaki itu semakin habis dikikis oleh adiknya itu. Sedikit pun mama tidak berkira
kalau Elyana yang meminta kalau dia semuanya dikira hutang. Betul-betul tidak
adil!
Tiba-tiba telefon bimbit Elyana berbunyi. Segera Elyana
menjawab panggilan itu. “You tunggu sekejap. I keluar sekarang.” Talian terus
dimatikan. Tanpa mempedulikan Puan Samsiah yang semakin menyinga, Elyana menyambung
langkah ke arah pintu utama.
“Jangan pergi Yana!!”
“Kawan Yana dah lama tunggu tu. Yana kena pergi.”
“Siapa kawan kamu tu?”
“Mama tak payah tahulah siapa kawan Yana tu... Ish mama
ni banyak tanyalah, rimaslah Yana.” Elyana cuba meleraikan tangan Puan Samsiah
yang berpaut kejap di lengannya.
“Lepaslah mama!” Elyana merentap tangannya dan akhirnya
pautan tangan Puan Samsiah terlerai jua. Elyana pantas mengatur langkah keluar
dari rumah. Walaupun Puan Samsiah menjerit memanggilnya tetapi tidak dihiraukan
Elyana dan dia terus melangkah ke arah kereta yang menunggunya di luar pagar
rumah.
Zakri hanya meninjau ke arah kereta itu dari dalam rumah.
Dia seperti pernah melihat kereta itu sebelum ini. Apabila cermin di bahagian
pemandu diturunkan. Wajah Zakri berubah riak. Jefri. Susuk tubuh adiknya yang
melangkah laju ke arah kereta itu dipandang cuak. Hatinya meronta-ronta ingin
menahan Elyana. Tetapi kakinya seolah terpaku untuk melangkah. Berlegar-legar
di fikirannya, antara perasaan gentar untuk berhadapan dengan lelaki yang sudah
lama mencarinya selama ini dengan perasaan seorang abang yang cuba
menyelamatkan maruah adiknya.
Sudahnya dia hanya memandang Elyana meloloskan diri ke
dalam perut kereta lelaki itu. Kemudian laju kereta itu bergerak di atas jalan
raya.
Bagaimana Elyana boleh terjerat dengan ‘bapa ayam’ itu. Lelaki
itulah yang menjadi orang tengah semasa dia hendak menjual Qaseh untuk
dijadikan pelacur dulu.
*******
Qaseh menyusun pinggan mangkuk yang sudah siap dilap di
tepi dinding.Bertungkus lumus dia bersama Najihah mengelap pinggang mangkuk
yang dikeluarkan dari dalam almari untuk kenduri malam ini.
“Jihah, nampak abang Arief dengan Ijat tak?”
“Tak nampak pulak akak, mungkin kat belakang kut sebab
tadi nenek mintak tolong kaitkan buah rambutan untuk kenduri malam ni.”
“Dah cukup akak rasa pinggan mangkuk ni. Nanti Jihah
tolong lapkan gelas-gelas tu ya. Akak nak pergi tengok diorang kejap. Nak suruh
angkut kayu api dari dalam bangsal. Kejap lagi dah nak mula masak.”
“Okay kak,” jawab Najihah bersama senyuman di bibir. Itulah
Najihah seorang gadis yang ringan tulang. Tidak lokek dengan tenaga tulang
empat keratnya yang masih muda belia untuk membantu.
Qaseh bangkit lantas berlalu meninggalkan Najihah yang
masih menyusun saki baki pinggan mangkuk yang telah dilap tadi. Di dapur telah
ramai jiran-jiran yang datang untuk membantu menyediakan bahan-bahan masakan.
Begitulah resam berkampung, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Tersenyum
Qaseh melihat gelak tawa usik mengusik antara mereka. Begitu mesra dan akrab
sekali hubungan yang terjalin walaupun tiada pertalian darah antara mereka.
Sudah dianggap seperti saudara sendiri. Sempat Qaseh menyapa mesra dan
bersalaman dengan mereka sebelum dia berlalu keluar dari dapur menuju ke
belakang rumah.
Tertinjau-tinjau Qaseh melihat ke arah pokok rambutan
yang merimbun dengan buah-buahnya yang kemerahan banyaknya. Sayup-sayup suara
Aizat kedengaran dari arah itu.
Dari jauh sudah kelihatan susuk tubuh Aizat yang sedang
mengutip buah rambutan yang telah dikait oleh Arief. Qaseh bergerak menghampiri
mereka yang langsung tidak menyedari kehadirannya.
“Amboi... rajinnya hero-hero ni buat kerja. Ikhlas ke ni
atau nak kena bayar upah.”
“Nama pun kerja akak... mesti ada upah,”selamba Aizat
menjawab. Qaseh menarik muka bosan. “Dah agak dah...”
“Apa upahnya pulak kali ni?”
“Abang janji nak belikan Ijat baju jersi Malaysia, kan
abang.”
Arief mengangguk sambil tersenyum.
“Tak ikhlas buat kerja la ni...”
“Mana tak ikhlas akak, ikhlas ni... upah tu kira macam nak
cepat siapkan kerja aje... lebih upah lebih cepat siap kerjanya kak...”jawab
Aizat tersengih-sengih pada Qaseh yang sudah membuntang matanya.
“Ada saja jawabnya ya. Nanti tolong akak ambil kayu api
dari dalam bangsal. Akak punya tak ada upah-upah. Besar pahala kalau tolong
dengan ikhlas tanpa mengharap apa-apa balasan tau.”
“Akak ni... Ijat tolong ikhlas la... tapi baju tu...
janji tetap janji kan abang,” tanya Aizat tersengih panjang pada Arief yang menjadi
pemerhati sahaja sedari tadi.
“Abang dah janji kan... pasti abang tunaikan. Ijat tolong
bawa masuk rambutan ni, yang lain tu biar kak Qaseh pulak yang kutip.”
“Eh, napa Qaseh pula yang kena kutip. Banyak ni... kena minta
upah jugak kalau macam ni.”
“Nak upah juga ya... jangan risau... untuk sayang, abang
bagi yang special punya,” jawab Arief bersama senyuman nakal di bibir sambil
mengedip matanya pada Qaseh.
“Hah... tengok muka dah tahu... mesti upah yang
bukan-bukan,” sela Qaseh.
Bakul yang telah penuh dengan buah rambutan diberikan
kepada Aizat. “Aizat tolong letak kat dapur ya,” beritahu Qaseh. Aizat hanya
mengangguk lantas berlalu pergi bersama bakul yang sarat dengan buah rambutan
itu.
Qaseh mula mengutip buah rambutan yang jatuh di tanah dan
dimasukkan ke dalam bakul yang masih kosong.
“Banyak lagi ke?” tanya Qaseh sambil mendongak ke atas.
“Penuhkan bakul tu cukuplah.”
“Nanti boleh bawa balik bagi kat kawan-kawan office.
Mesti diorang tanya nanti, takkan tak ada apa-apa dari kampung. Lagi-lagi kalau
diorang tahu musim buah macam ni.”
“Yang, jauh sikit berdiri tu... jatuh buah rambutan atas kepala
karang. Siapa yang susah? Abang jugak...”
“Jauh dah ni...” jawab Qaseh masih mendongak sambil
bercekak pinggang.
“Berdiri kat situ kenapa, nak tolong sambut buah rambutan
tu ke?” perli Arief.
“Banyak bunyi pulak dia, cepatlah cik abang oii... banyak lagi buah yang nak kena kait ni...”
balas Qaseh pula.
Arief menggeleng perlahan. Tingkah Qaseh kekadang ada
degilnya. Batang buluh panjang terus di hala ke tangkai rambutan yang agak
lebat buahnya. Apabila dipastikan tangkai rambutan berada dicelahan bilah
gunting, Arief menarik kuat tali gunting itu. Dalam usahanya untuk memutuskan
tangkai rambutan itu, tiba-tiba telinganya menangkap suara Qaseh yang mengaduh.
Kini pandangannya beralih arah pada Qaseh.
“Kenapa?”tanya Arief apabila melihat Qaseh sedang
menggosok-gosok mata kirinya.
“Macam ada benda masuk dalam mata,”jawab Qaseh.
Jarinya masih menggosok-gosok kelopak matanya sambil dikedipkan beberapa kali.
Arief pantas menyandarkan batang buluh di dahan pokok
rambutan lalu menghampiri Qaseh.
“Jangan gosok nanti merah mata tu.”
Tangan Qaseh dialihkan. Kedua tangan Arief melekap lembut
di wajah Qaseh.Menyentuh perlahan kelopak mata Qaseh. Qaseh terpaku kala wajah
Arief begitu hampir di wajahnya. Sepasang mata Arief yang tertacap pada anak
matanya dan kala bibir Arief meniup perlahan ke dalam matanya bagaikan melayang
perasaannya saat ini. Tidak berkedip mata Qaseh. Anak matanya terus tertacap
pada wajah Arief yang beriak kerisauan. Sentuhan lembut di wajahnya bagaikan
sedang membelai perasaannya. Sungguh! Sungguh hatinya tersentuh saat ini.
“Dah okay sikit?” tanya Arief. Sepasang mata Qaseh masih
terpaku pada wajah Arief.
“Qaseh...”lembut suara Arief menyapa telinga Qaseh
mengalirkan satu perasaan yang cukup mendalam ke lubuk hatinya.
Qaseh mengedipkan matanya beberapa kali apabila dirinya
tersedar. Terbawa-bawa perasaannya sebentar tadi. Terlalu sukar untuk
diungkapkan. Terlalu payah untuk dinilai dan ditelah perasaan itu.
“Ha..ah, dah okay sikit,” gugup Qaseh menjawab. Dia
menjarakkan diri namun ke dua tangan Arief lebih pantas melekap di pinggangnya.
Qaseh terpana. Anak matanya kembali bertemu pada sepasang
mata Arief yang terusan merenungnya. Pandangan yang sukar ditafsirkan. Begitu mendalam merantai
jiwanya.
“Sayang nak tahu sesuatu?” suara Arief lembut mencecah
anak telinga Qaseh membawa debaran yang mencengkam rasa. Qaseh hanya membalas
dengan pandangan sebagai jawapan soalan Arief itu.
“Abang rasa abang tengah sakit sekarang.”
Berubah wajah Qaseh. Riak terkejut jelas terpamer di raut
wajahnya. “Abang sakit apa?”
Arief mencapai tangan Qaseh dan di letakkan di dadanya.
“sejak akhir-akhir ni fikiran abang asyik terbayangkan
wajah seseorang. Setiap masa wajahnya berada di ruang mata abang. Entah
penyakit apa yang menyerang hati abang ni?”
Berkerut dahi Qaseh. Perasaan tidak senang mula
menjalar dalam diri. “Siapa?” soal
Qaseh.
“Sayang,”kata Arief. Kedua tangannya menyentuh lembut
pipi Qaseh.
Qaseh terpana. Wajah Arief ditatap tanpa berkedip.
“Why I cannot stop thingking about you? Ke mana saja
abang pergi wajah sayang asyik terbayang-bayang. Abang tak boleh simpan lagi
perasaan yang abang rasa ni. Abang tak tahu bila perasaan tu hadir,” kata Arief
menzahirkan apa yang tersirat di hatinya selama ini.Rambut Qaseh yang terjuntai
disisip di telinga. Wajah Qaseh ditatap lembut.
Perasaan itu sudah lama hadir sayang cuma abang tidak
berani meluahkannya. Abang takut sayang tidak dapat menerimanya. Bisik hati
Arief.
Qaseh terpaku seribu bahasa. Ungkapan yang sukar untuk
dijelaskan. Apatah lagi dia sendiri juga merasainya. Namun, dia belum bersedia
untuk berbicara tentang hal itu. Dia juga belum pasti perasaannya yang sebenar.
Qaseh cuba meleraikan pautan tangan Arief namun dicengkam
kemas.
“Sayang tak rasa apa yang abang rasa?” soal Arief penuh
mengharap. Pandangannya terus menikam ke anak mata Qaseh yang cuba melarikan
pandangan.
Qaseh diam lalu tertunduk. Kelu lidahnya. Sukar untuk
menafsirkan perasaannya kala ini. Tapi dia sedar, ada perasaan yang mula
berputik di hatinya tetapi dia takut untuk mengakui sesuatu yang belum ada
kepastian. Apakah kata-kata Arief itu lahir dari lubuk hatinya yang dalam
sedangkan mereka tidak kenal antara satu sama lain sebelum ini? Kehadiran Arief
dalam hidupnya juga penuh tanda tanya. Bagaimana dia hendak meyakinkan dirinya
tentang perasaan Arief terhadapnya? Sesiapa boleh mengungkapkan kata cinta dan
sayang tetapi menzahirkan rasa cinta itu bukan semudah yang terucap.
Dagu Qaseh disentuh lembut membawa pandangan Qaseh
bersatu dengannya. “Kenapa sayang diam?” soal Arief perlahan.
“Terlalu banyak persoalan yang belum terjawab. Qaseh
mahukan kejujuran dalam perhubungan. Tetapi kenapa terlalu banyak rahsia yang
terlindung diantara kita?”
Arief mengeluh. Wajahnya bertukar suram.
“Pentingkah semua tu Qaseh?”
“Bagi Qaseh terlalu penting. Qaseh perlukan keyakinan
supaya tidak ada syak wasangka dalam perhubungan kita. Bagaimana nak memupuk
perasaan sayang kalau dalam hati Qaseh ni penuh rasa curiga.”
“Qaseh tak percayakan abang?”soal Arief serius.
“Bukan macam tu...”
“Habis tu...”
“Mata abang tak boleh menipu. Qaseh dapat rasakan ada
sesuatu yang abang selindungkan dari pengetahuan Qaseh.”
Arief menghela nafas panjang. Dadanya berdebar hebat.
“Abang belum
bersedia.”
“Jadi betul ada sesuatu yang abang rahsiakan dari Qaseh?”
“Please Qaseh... jangan paksa abang.”
Qaseh mengeluh panjang.
“Terpulang pada abang, tetapi pendirian Qaseh tetap sama.”
Qaseh meleraikan pautan Arief dan perlahan berlalu
meninggalkan Arief yang terkaku di situ. Berat hati Arief melepaskannya tetapi
dia buntu untuk menyusun bicara memujuk Qaseh yang begitu menagih penjelasan
daripadanya lalu dia hanya mampu melihat Qaseh melangkah pergi.
Rambutnya diusap ke belakang sebelum dicengkam kuat. Keluhan
berat terlepas dari bibirnya. Arief! Arief! Sampai bila kau nak macam ni?
Kenapa kau takut nak berterus terang?! Bagai ada suara yang berbisik di
telinganya. Sebab aku takut kehilangan dia!! Jerit hati Arief melepaskan
tekanan yang menyendat di dada.
3 comments:
akhirnya...update. thanks cik penulis. dah lama tunggu.
Best cerita ni Gee. Thanks for the new entry.
Best...... #^_^
Post a Comment