“Assalamualaikum abang Malik...”sapa Qaseh
lantas membuka pintu kereta di sebelah pemandu.
“Waalaikumussalam...” jawab Malik dengan
senyuman.
“Qaseh ada nak ke mana-mana ke?” soal
Malik apabila kereta mula bergerak meninggalkan
pejabat Qaseh.
Qaseh diam seketika. “Malam ni Encik Arief
tak makan malam kat rumah. Katanya ada appoinment kat luar. Qaseh ingat nak ke
rumah abang Malik jumpa Hani.”
Berkerut dahi Malik. “Nak jumpa Hani?”
“Kenapa? Tak boleh?” tanya Qaseh kembali
sekadar bersenda.
“Bukan tak boleh. Saja tanya...” jawab
Malik tahu Qaseh bergurau dengannya.
“Hari tu Hani ada call minta tolong Qaseh
tengok-tengokkan gubahan hantaran. Bulan depan kan majlis akad nikah.”
“Encik Arief tahu Qaseh nak jumpa Hani.”
Qaseh menggeleng perlahan.
“Abang Malik boleh hantarkan, tapi
beritahu Encik Arief dulu.”
Qaseh diam seketika sebelum mengambil
telefon bimbit dari dalam tas tangannya. Tidak lama dia menunggu panggilan
bersambung.
“Assalamualaikum...” ucap Qaseh sebaik
mendengar suara Arief di talian.
“Waalaikumussalam...”jawab Arief tenang.
Kemudian dia diam menunggu bicara Qaseh.
“Boleh bercakap ke ni?”soal Qaseh khuatir
panggilannya mengganggu Arief.
“Sayang kat mana ni?”soal Arief tidak
menjawab pertanyaan Qaseh.
“Dalam kereta.”
“Dengan abang Malik?”
“Ya...” malas nada suaranya. Dalam diam
terselit rasa geram terhadap Arief . Pagi tadi berkali-kali Arief berpesan
supaya menunggu abang Malik menjemputnya.
Suara Arief tergelak kecil menyapa telinga
Qaseh. Memuncung mukanya.
“Ada apa sayang call abang,” tanya Arief apabila Qaseh hanya membisu.
Qaseh menoleh sekilas ke arah Malik di
sebelah..
“Qaseh nak ke rumah Hani kejap, boleh?”
lembut Qaseh bersuara meminta izin.
“Nak buat apa ke rumah Hani?” soal Arief.
“Hani minta tolong tengokkan gubahan
hantarannya. Boleh ya?” beritahu Qaseh.
Sudah beberapa kali Hani menghubunginya.
Ingin bertanya pendapatnya mengenai gubahan hantaran yang telah separuh
disiapkan. Dia tidak mahu menghampakan permintaan Hani yang sudah dianggap
seperti adiknya sendiri. Dia memang rapat dengan keluarga abang Malik. Ketika
Arief ke luar negara, dia banyak menghabiskan masa dengan keluarga abang Malik.
Sejak itu mereka semakin rapat terutama Hani yang sangat memahami dirinya.
“Lama ke?” soal Arief lagi.
“Tak ada lama sangat. Mungkin dalam pukul
10.00 Qaseh balik. Abang pun ada appoinment malam ni. Balik awal pun tak ada
apa nak buat.”
“Sunyi ya abang tak ada?” pertanyaan yang
membuatkan Qaseh mati bicara.
“Boleh tak?” tanya Qaseh. Dibiarkan
pertanyaan Arief tidak berjawab.
“Okay, abang izinkan. Tapi jangan lewat
sangat balik. Nanti abang rindu,” kata Arief bersama usikan di hujung kata.
“Hhm...” Itu sahaja yang mampu dibalas.
Malas melayan kata Arief yang mengusik perasaan.
“Biar Malik yang hantar dan ambil. Jangan
memandai nak naik teksi. Kalau engkar abang tak izinkan pergi rumah Hani,”
tegas suara Arief di hujung talian.
Memuncung Qaseh mendengar kata suaminya
itu. Arief seperti dapat membaca rancangan yang bermain di mindanya. Memang dia
berniat ingin balik dengan menaiki teksi sahaja. Menyusahkan abang Malik pula
terpaksa berpatah balik menghantarnya.
“Sayang dengar tak?” suara Arief
kedengaran di hujung talian apabila Qaseh hanya menyepi.
“Dengar....” malas sahaja Qaseh menjawab.
“Macam tak ikhlas aje bunyinya...”
“Tapi kesian kat abang Malik nak kena
patah balik pulak.”
“Itu sayang jangan risau
“Kalau Qaseh degil tak payah pergi rumah Hani. Terus balik rumah aje.” Tegas suara Arief menembusi anak telinga Qaseh.
Terdiam dia seketika.
“Yelah... balik dengan abang Malik nanti.”
“Kan senang kalau macam ni...”
“Ermm....”
“Okay... dengar macam orang di sana dah
merajuk. Abang pun tak tahu macam mana nak pujuk sebab kalau depan mata senang
sikit nak pujuk. So take care, yang. I
will alway miss you,” ucap Arief sebelum talian dimatikan.
Telefon bimbit masih melekap di telinganya walaupun
suara Arief sudah lenyap dari talian. Dadanya tiba-tiba berdetak. Mengapa
bicara Arief sering kali mengusik nalurinya? Kala itu hatinya mula terasa
sesuatu.
“Apa kata Encik Arief?” soal Malik apabila
Qaseh senyap sahaja.
“Encik Arief izinkan,” jawab Qaseh.
Sedikit terpinga-pinga.
“Bukan abang Arief,” usik Malik sambil
tersengih.
Merona merah wajah Qaseh. Dia menggigit
bibir menahan malu yang bermukim dalam diri. Sudah tentu abang Malik terdengar
perbualan tadi.
“Kenapa tak naik kereta tu?”
Qaseh hanya diam.
“Dah lama Encik Arief beli kereta tu untuk
Qaseh. Masa mula-mula beli kereta kancil, Encik Arief memang tak setuju. Kereta
second hand ni banyak masalah,”sambung Malik apabila Qaseh hanya membisu.
“Itu aje yang Qaseh mampu masa tu...”
Malik mengeluh perlahan. “Encik Arief kan
nak tolong bayarkan.”
“Tapi Qaseh tak boleh terima. Dah terlalu
banyak Qaseh terhutang budi dengan Encik Arief.”
“Encik Arief tidak pernah minta dibalas.
Dia ikhlas. Lagipun Qaseh kan isterinya.”
Qaseh tersenyum hambar. “Abang Malik kan
tahu sebab apa kami kahwin.”
Malik terdiam. Mati akalnya apabila
persoalan itu yang sering terbit dari bibir Qaseh. Dia tahu Arief mencintai
Qaseh sepenuh hati. Dalam diam Malik mengeluh. Selama bekerja dengan Arief
sebagai pembantu peribadi tidak pernah dia melihat sinar bahagia di raut wajah
majikannya itu. Namun, sejak berkahwin dengan Qaseh, segalanya telah berubah.
Dia tahu Arief bahagia walaupun Qaseh belum menerima Arief dalam hidupnya. Tapi
dia percaya, cinta Arief akan terbalas jua satu hari nanti.
*********
Kedatangan Qaseh disambut ceria oleh Hani.
“Akak... rindunya...” Lantas kedua pipi Qaseh dicium.
“Akak pun rindu jugak... lama tak
borak-borak panjang dengan Hani,” jawab Qaseh tersenyum ceria.
“Sorry akak balik kampung, tak dapat nak
tolong Hani buat gubahan hantaran. Sunyi aje... mak Hani mana?”tanya Qaseh.
Meliar pandangan Qaseh di ruang tamu yang sederhana luasnya. Adik beradik Hani
yang lain juga tidak kelihatan.
“Adik-adik biasalah petang-petang macam ni
buat aktiviti luar. Mak pergi rumah jiran sebelah. Kejap lagi balik la tu. Akak
datang dengan apa? Tak nampak pun kereta akak?”
Terjengok-jengok Hani di luar rumah tidak
kelihatan pula sebiji kereta di hadapan rumahnya.
“Abang Malik yang hantar.”
“Habis tu mana abang tak nampak pun?
Kereta akak mana?”
“Katanya ada hal. Kereta akak dah tak
ada.”
Berkerut dahi Hani. “Dah tak ada?”
“Panjang citernya. Tapi malas nak citer.
Sakit hati!”
“Jomlah akak, Hani tunjukkan hantaran yang
Hani dah buat. Mana tau boleh hilang sakit hati akak tu,” kata Hani sambil
menarik tangan Qaseh masuk ke biliknya.
“Hani buat sendiri ke ni?” soal Qaseh
sebaik matanya dijamu dengan deretan hantaran yang telah siap digubah.
Hani menggangguk mengiayakan pertanyaan
Qaseh itu. “Cantik tak kak?” tanya Hani inginkan pendapat Qaseh tentang gubahan
hasil tangannya sendiri. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.
“Mestilah cantik. Pandai Hani buat. Tangan
Hani memang ada seni dan kreatif,” puji Qaseh ikhlas.
Tersenyum lebar Hani mendengar pujian itu.
Pandangan Qaseh beralih arah pada seraut wajah Hani yang tampak berseri-seri.
Terserlah kegembiraan di wajahnya. Begitu teruja dengan mahligai yang bakal
dibina bersama insan tersayang yang telah lama bertakhta di hati. Hatinya
tiba-tiba dikalung pilu. Tidak bagi dirinya. Hari bahagia yang sering berlagu
di hati pengantin baru amat berbeza baginya. Wajahnya dipalit senyuman palsu
untuk menutupi rasa hati yang berkalung luka. Malahan persiapan perkahwinan
semuanya diuruskan oleh Arief. Dia hanya perlu duduk di atas pelamin sahaja.
Melakonkan watak dengan sebaiknya. Tanpa sedar keluhan halus terbit dari
bibirnya.
Keluhan itu menarik perhatian Hani yang
leka membetulkan gubahan yang belum tampak sempurna di matanya. Seraut wajah
murung itu ditenung lama.
“Akak ada masalah ke?” soal Hani.
Tumpuannya kini telah beralih arah pada Qaseh yang sedikit tersentak dengan
pertanyaan Hani itu.
Qaseh hanya tersenyum hambar. “Tak ada
apalah. Muka akak ni nampak macam ada masalah ke?”
“Sebab tu Hani tanya...”
Qaseh hanya diam. Perlukah dia bercerita
tentang gelodak hatinya. Walaupun Hani tahu cerita sebenarnya dibalik
perkahwinannya dengan Arief tetapi dia bersyukur Hani seorang pendengar yang
sangat memahami. Perlukah dia membebankan telinga Hani dengan masalah hatinya
yang seperti tiada penghujung yang pasti.
“Akak ada masalah dengan Encik Arief ke?”
Qaseh menghela nafas. “Hani pun tahu kan
hubungan akak dengan Encik Arief macam mana. Tapi sejak akhir-akhir ni dia dah
banyak berubah.”
Bertambah berkerut dahi Hani. “Berubah?
Berubah macam mana?”
Qaseh diam seketika sebelum menjawab
pertanyaan Hani. “Encik Arief cakap dia sayang akak...” perlahan bicara Qaseh.
Bibir Hani melirik senyum. “Kalau Encik
Arief sayang akak apa masalahnya? Hani pun rasa Encik Arief dah lama sayangkan
akak...”
“Apa yang menyebabkan Hani bersangka
begitu?”
“Mata tidak boleh menipu akak. Mungkin
akak tak perasan selama ini Encik Arief sukakan akak. Hani ingat lagi masa
majlis tunang Hani dulu. Encik Arief asyik sangat tenung akak sampai letak lauk
kat luar pinggang pun tak sedar.” Meletus tawa Hani bila mengingatkan peristiwa
itu.
Qaseh turut ketawa. Ya, dia masih ingat
lagi bagaimana Arief ditegur oleh abang Malik kerana lauk yang diceduk
tertumpah ke luar pinggan. Ketika itu dia duduk bertentangan dengan Arief di
meja makan. Mendengar teguran itu dia juga mengangkat muka memandang ke arah
Arief. Dilihatnya nasi di pinggan Arief masih tidak bersentuh tetapi lauk pula
berselerakan di luar pinggan.
Usikan-usikan mula meniti di bibir mereka
yang juga perasan dengan tingkah Arief itu. Ketika itu Arief hanya mampu
tersenyum malu dan sesekali mata Arief mencuri pandang ke arahnya.
“Keluarga kami dah lama kenal Encik Arief.
Sejak Puan Sri dan kakak abang Arief ke Australia menguruskan cawangan baru di
sana, Encik Arief ada juga datang melawat mak. Masa tu mak sakit. Encik Arief banyak tolong keluarga kami.
Kalau akak nak tahu Encik Arief yang tanggung kos pembedahan jantung mak. Masa
tu abang Malik baru kerja dengan Encik Arief. Abang tak nak beritahu dari mana
dia dapat duit tu. Tapi Hani tak puas hati, takut abang berhutang dengan
‘Along’. Hani paksa abang beritahu hal sebenar,
barulah abang beritahu tapi dengan syarat rahsiakan daripada pengetahuan
mak.”
Qaseh diam mendengar setiap butir bicara
yang terluah.
“Encik Arief memang suka tolong orang,
Hani.”
‘Kahwin dengan akak pun sebab tolong
juga.’ Ungkapan itu hanya bergema di hatinya. Dalam diam dia mengeluh. Tapi
sikap Arief sejak akhir-akhir ini menjentik perasaan halusnya.
“Hani percaya Encik Arief betul-betul
sayangkan akak. Tak salah kalau akak cuba selami hatinya. Beri peluang untuk
mengenal hati masing-masing. Kekadang kita tidak sedar ada perasaan yang telah
lama berputik dalam hati kita. Jangan tutup pintu hati akak hanya kerana
perkahwinan akak dengan Encik Arief dulu tidak seperti yang akan harapkan
seperti orang lain. Perancangan Allah kita tak tahu akak. Kalau Encik Arief
sudah ditentukan jodoh akak, walau sejauh mana akak pergi pasti akan ketemu
jua.”
Qaseh menghela nafas panjang. Dia hanya mampu
membisu seribu bahasa. Bait kata Hani lembut menusuk ke sanubarinya. ‘Benarkah
Arief sayangkannya? Tapi bagaimana pula dengan hatinya? Perasaan curiga dan
prasangka sering mencantas perasaan yang mula berputik di hatinya. Perasaan
yang sukar untuk ditafsirkan. Tapi yang pasti Arief mampu membuatkan jantungnya
berdebar tidak menentu.