Langkahnya tampak lemah
tidak seperti selalu. Tegap dan berkeyakinan. Jiwanya rungsing bila memikirkan
bagaimana lagi cara untuk berbicara tanpa bertelingkah dengan isterinya. Bukan
mudah menawan hati isterinya itu. Betul kata Qalif. Hati Qaseh bukan mudah
untuk dimiliki. Dia bukan lelaki yang pandai bermain kata-kata. Juga tidak
pandai menggoda hati wanita.
Arief mengeluh panjang.
Ramai gadis-gadis yang cuba mendampinginya kerana kedudukan dan statusnya.
Perkenalannya dengan mereka hanya atas urusan business semata-mata. Tidak lebih
dari itu. Berlainan sekali dengan gadis yang berjaya mencuri hatinya, tidak
langsung memandang pada status yang dia ada sekarang. Malahan dia pula yang
perlu berusaha keras untuk menawan hati isterinya itu. Besar harapannya moga
satu hari nanti perasaan sayang dan cinta berputik untuknya.
Renungannya jauh di langit
biru yang terang. Beberapa tompokan awan putih kelihatan. Fikirannya mula
melayang jauh menyingkap kembali memori bersama arwah Qalif. Teman tempatnya
berkongsi masalah. Seperti adiknya juga yang menjadikan arwah Qalif tempat dia
mencurahkan perasaan dan berkongsi cerita.
"Eh Qal, ada benda
tercicir..."
Terhenti langkah Qalif, dia
berpaling melihat Arief yang sudah membongkok mengambil sekeping gambar yang jatuh
ke lantai. Ketika itu mereka dalam perjalanan ke fakulti.
Lama renungan Alief melekat
pada sekeping gambar itu. Wajah gadis di sisi Qalif menjadi perhatiannya.
"Awek kau ke?"
soalnya tanpa berselindung lagi. Perasaan ingin tahu tiba- tiba berkocak di
jiwa.
Qalif mengambil gambar yang
dihulurkan Arief. Bibirnya tersenyum nipis. Pertanyaan Qalif dibiarkan
tergantung seketika. Redup renungan Qalif pada gambar itu bagai memberi jawapan
pada pertanyaannya. Jelas terpancar di raut wajah sahabatnya itu kala sepasang
matanya hanya tertacap pada sekeping gambar itu.
“Ini adik aku,” beritahu
Qalif setelah seketika menyepi.
"Adik?" soal Arief
seperti tidak percaya. Entah kenapa hatinya terasa lapang dengan jawapan yang
terbit dari bibir sahabatnya itu.
"Dialah satu-satunya
adik yang aku ada," sambung Qalif lagi. Foto itu ditatap seketika sebelum
disimpan kembali dalam diarinya.
Arief hanya menyepi.
"Jomlah gerak, kita dah
lambat ni." ajak Qalif memecah lamunan Arief.
"Okey, jom."
Dia melihat sahaja foto itu
diselitkan dalam diari sahabatnya itu. Wajah manis itu bagaikan melekap di
ruang matanya. Fikirannya terus melayang pada seraut wajah itu yang tiba-tiba
memberi debaran di hatinya.
Sejak itu, perhatiannya
sering terganggu apabila sesekali Qalif membuka cerita perihal gadis yang telah
berjaya menjentik naluri kecilnya. Perasaan teruja dan ingin tahu sentiasa
berkobar di dada. Pelik! Tapi itu yang dirasakan saat itu. Walaupun belum
bersua muka tetapi dia begitu tetarik dengan seraut wajah itu.
“Apa yang kau tenung sampai
nak cium album tu." Tegur Qalif sambil meletakkan mug di atas meja. Kemudian
melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan Arief.
Tersentak Arief. Cepat-cepat
dia mengangkat wajah beralih pandang dari album gambar milik Qalif yang menjadi
tatapannya sedari tadi. Dia terjumpa album itu ketika mengemas rak buku di
ruang tamu rumah sewa mereka.
Arief tersengih malu. Dia
mencapai mug yang berisi neslo panas kegemarannya lalu dihirup perlahan. Renungan
Qalif tidak diendahkan. Dia kembali menatap wajah yang mengisi album itu. Matanya
bagai melekap pada wajah yang dalam diam telah mencuri hatinya. Jiwanya terasa tenang menghayati setiap
tingkah dan gaya gadis itu. Tanpa sedar bibirnya melirik senyum.
"Kau minat kat adik aku
ya?"
Arief terkedu. Tidak
disangka tingkahnya dapat dihidu oleh sahabatnya itu.
"Cantik adik kau,"
puji Arief. Tidak dijawab pertanyaan
Qalif itu.
Qalif melirik senyum.
"Aku sayang sangat kat
adik aku. Aku harap satu hari nanti dia akan bertemu jodoh dengan suami yang baik,
boleh menjaganya dan memberi kasih sayang yang tiada penghujungnya,” luah Qalif
dalam renungan yang panjang.
"Kau agak-agak aku
memenuhi calon adik ipar pilihan kau tak?” tiba-tiba soalan itu yang meluncur
keluar dari bibir Arief.
Terhambur tawa Qalif.
"Ada hati nak jadi adik
ipar aku," kata Qalif sambil tersenyum sinis.
"Kenapa? Okay apa aku
ni. Kalau dari segi rupa bukan aku nak puji diri sendiri. Kau pun sedia arif.
Aku pun bukan spesis buaya darat dan tembaga juga. Dari segi perangai, takkan
kau tak kenal aku kan," ujar Arief sambil menjongketkan keningnya beberapa
kali.
"Kau ingat adik aku
pandang rupa paras ke? Bukan senang nak tawan hati adik aku tu. Lagi satu si
Natasya tu kau nak letak mana? Dia tu dah lama tergila-gilakan kau."
Wajah Arief mengendur keruh.
Dia mengeluh panjang. "Aku anggap Tasya tak lebih dari seorang kawan. Aku
pun tak tahu macam mana lagi nak terangkan pada Tasya. Dia seolah-olah tak
boleh nak terima antara kami hanyalah sahabat."
"Aku tengok dia terlalu
mengharapkan cinta kau."
Berat keluhan Arief.
"Aku kalau boleh tak
mahu sakitkan hati dia tapi aku juga tak boleh menipu diri sendiri. Kau tahu
kan papa Tasya dengan papa aku kawan baik. Mereka merancang nak jodohkan kami.”
“Habis tu kau setuju?” soal
Qalif ingin tahu.
“Aku belum beritahu papa aku
apa-apa lagi. Aku nak cuba berbincang dengan Tasya dulu. Aku harap dia faham.”
“Berat kes kau ni.”
“Entahlah Qal. Buntu aku...”
keluh kesah terbit dari bibirnya. Runsing bila memikirkan hal itu.
“Tapi Tasya tu cantik apa?
Korang pun dah lama berkawan. Lagipun kau tak ada makwe lagi. Apa salahnya korang cuba selami hati
masing-masing. Mana tahu cinta boleh berputik di hati kau tu...”saran Qalif
cuba menenangkan fikiran sahabatnya yang mulai kusut.
“Masalahnya aku anggap dia sebagai
kawan aje bro. Tak lebih dari tu. Lagipun aku rasa hati aku dah tersangkut kat
seseorang.”
“Hah! Siapa?” Teruja Qalif
bertanya.
“Nantilah, sampai masa nanti
aku beritahu.”
Lamunan Arief sedikit demi
sedikit melayang pergi kala telinganya menangkap bunyi ketukan di pintu biliknya.
"Masuk."
Sebaik mendengar arahannya,
daun pintu terbuka. Malik melangkah masuk dan mengucapkan salam beserta selamat
pagi kepada Arief yang sudah berpaling mengadapnya.
"Malik, petang nanti
kau tolong ambil Qaseh. Aku pun tak tahu
macam mana lagi cara nak pujuk dia guna kereta tu,” arah Arief. Keluhan halus
terbit dari bibirnya.
Malik melirik senyum nipis. Tahu
benar dia dengan sikap Qaseh. Bukan mudah untuk memujuknya jika dia tidak
berpuas hati dengan sesuatu perkara.
“Encik Arief bukan tak tahu
perangai Qaseh,” balas Malik.
Arief mengeluh. “Sebab aku
tahu perangai dialah aku tak nak terlalu
memaksa. Aku nak dia tahu apa yang aku buat selama ini sebab aku mengambil
berat hal dia.”
“Mungkin Qaseh memerlukan
sedikit masa lagi. Saya percaya Qaseh akan menerima Encik Arief sebagai suami
dengan seikhlas hatinya satu hari nanti.”
“Aku pun harap begitu juga
Malik.”
Seandai Qaseh dapat menelah
hatinya, sudah pasti dia tidak perlu bersusah payah menawan sekeping hati itu.
Walau apa pun dia mesti melakukan sesuatu supaya hubungan mereka tidak terus
keruh begini.
Arief menghela nafas
panjang. “Aku nak kau bawa aku ke satu tempat."
Berkerut dahi Malik.
"Ke mana?"
Arief tidak menjawab. Dia
bangkit lalu menanggalkan kot yang tersarung di tubuh lantas disangkut di
kepala kerusi. Tali lehernya juga direnggangkan.
Dia melangkah menghampiri
Malik yang masih menanti.
"Nanti aku
beritahu."
Dia berjalan keluar dari
bilik disusuli Malik yang masih tertanya-tanya hala tuju tuannya itu.
Lama Arief berteleku di hadapan sebuah pusara. Usai
mengaminkan doa, perlahan tangannya mengusap lembut batu nisan. Kali terakhir
dia datang ke sini sebulan yang lalu. Bersendirian begini menjadikan ingatannya
terarah kepada arwah sahabatnya itu. Memori silam kembali bermain di ruang
mata.
“Arief kalau aku minta kau
buat sesuatu, kau sanggup?” soal Qalif. Dalam renungan Qalif padanya.
“Buat apa?” Tiba-tiba
debaran bertamu dalam dadanya.
“Tolong tengok-tengokkan
adik aku...”jawab Qalif. Suaranya kedengaran serius.
Arief melirik senyum.
“Kenapa pulak kau suruh aku
tengok-tengokkan adik kau? Lain la kalau minta aku kahwin dengan adik kau, nak
juga aku,” jawab Arief terselit gurauan sambil tersengih-sengih. Raut wajah
manis itu kembali bertamu di ruang matanya. Saat matanya terpandang pada
sekeping gambar yang tercicir dari diari Qalif telah mengundang satu perasaan
dalam dirinya. Raut wajah Nur Qaseh Qalisya tidak pernah lenyap dari dalam
ingatannya saat pertama kali matanya menatap wajah itu.
Qalif tersenyum hambar
mendengar gurauan sahabatnya itu. Namun riak mendung jelas di balik wajah itu.
“Sejak dia tinggal dengan keluarga tiri kami,
adik aku dah banyak berubah. Walaupun adik aku tak pernah merungut tapi aku
tahu dia tak bahagia. Adik aku bukan jenis suka mengadu. Kalau dia boleh pendam
dia akan pendam perasaan dia sorang-sorang. Aku nak balik tengok adik aku.
Risau aku sejak abah aku meninggal, dia dah banyak berubah. Lebih suka
menyendiri. Tadi aku call pun suara dia macam baru lepas menangis aje,” kata
Qalif meluahkan rasa kebimbangannya.
"Kau nak balik malam ni
jugak ke? Hujan lebat ni. Tunggu reda sikit dulu."
"Kalau nak tunggu reda
pukul berapa aku sampai nanti."
"Hati-hati Qal."
Qalif hanya mengangguk.
Sebelum keluar Qalif kembali berpaling memandang sahabatnya dengan raut wajah
sayu.
"Rief, kalau apa-apa
jadi kat aku, kau tolong tengok-tengokkan adik aku ya. Anggaplah dia seperti
adik kau sendiri,” pesan Qalif lagi. Renungannya serius dan dalam membuatkan
Arief mula tidak sedap hati.
"Apa kau merepek ni?
Insya-Allah tak ada apa-apa. Boleh ke kau percayakan aku ni, dari adik angkat
silap-silap terangkat pula nanti,” jawab
Arief cuba menceriakan keadaan. Riak keruh di wajah sahabatnya itu mengundang
kerisauan dalam dirinya.
Qalif tersenyum nipis. "Kau
tu ramai peminat, susah adik aku nanti."
"Hey, aku ni jenis yang
setia tau. Kalau aku cinta seseorang selamanya aku akan cinta tau."
"Ye la tu.... okaylah
aku dah lambat ni."
"Hati-hati bro.”
Masih segar di ingatannya
pesanan Qalif dan dia tidak menyangka malam itu merupakan pertemuan terakhir
mereka apabila dia menerima berita sahabatnya itu terlibat dalam kemalangan
yang telah meragut nyawanya.
Dari jauh, dia melihat wajah
sayu Qaseh buat pertama kalinya. Entah mengapa, dia tiada kekuatan untuk
mendekati gadis itu. Sabar sayang... serunya perlahan seolah-olah mahu
menghembuskan kekuatan ke dalam tubuh yang kelihatan lemah dan lesu itu.
Hatinya turut merintih mengenangkan Qaseh terpaksa menghadapi dugaan ini. Pesanan
terakhir arwah Qalif kembali bermain-main di mindanya. Mampukah aku? Bagaimana
perasaan sayang dan cinta yang telah mula berputik di sudut hatinya ini?
Arief meraup muka. Berat
keluhan terbit dari bibirnya mengingatkan peristiwa yang terpancar di layar
ingatan. Dia telah cuba tidak mengendahkan pesanan terakhir sahabatnya itu tetapi takdir telah menemukannya dengan
Qaseh kembali. Dia seperti tidak percaya Qaseh yang terdampar di jalan raya
malam itu. Kala itu rasa penyesalan datang bertimpa-timpa dalam diri membiarkan
Qaseh bersendirian mengharungi hidup dengan keluarga tiri yang tidak pernah
menerimanya. Mulai saat itu, dia telah bertekad tidak akan melepaskan Qaseh
dari hidupnya lagi.
"Maafkan aku Qif, aku tak mampu melawan perasaan aku. Aku terlalu
cintakan dia...” rintih Arief menahan rasa
menghimpit jiwa.
akan bersambung :)
sorry pendek aje n3 ni...terima kasih yang sudi melontarkan komen... gee sangat2 hargainya... ^___^