Assalamualaikum,
Salam Ramadhan dan selamat menjalani ibadah puasa buat semua pengunjung blog Rencah Kehidupan geemus :D
Moga ibadah kita di bulan mulia ini mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.... amin....
Buat semua pengikut citer THBR sedikit sambungan kisah Arief dan Qaseh....
Terima kasih kerana sudi mengikuti citer ini. Sokongan anda sangat saya hargai...
Terima kasih kerana sudi mengikuti citer ini. Sokongan anda sangat saya hargai...
Selamat Membaca & Semoga Terhibur... ;D
**********BAB 14***********
Usai menjemur kain di ampaian, langkah di atur mendaki
anak tangga utama rumah. Qaseh berpaling sekilas pada Najihah dan Aizat yang sedang
menyusun kepingan asam keping di atas pangkin kayu di halaman. Ketika kakinya
menapak di anak tangga yang terakhir, suara Najihah mencecah anak telinganya. “Akak!”
Qaseh menoleh
mencari wajah Najihah yang memandangnya dengan senyuman di bibir. “Ada apa Jihah?” tanya Qaseh.
“Nanti akak nak
pergi pekan, kan. Jihah nak ikut boleh? Ada barang Jihah nak beli,” beritahu
Jihah.
“Ijat pun nak ikut jugak,” sampuk Aizat di sebelah
kakaknya.
“Okey, boleh tolong akak bawakan barang-barang untuk
kenduri nanti.”
“Ini kena mintak upah kak... berat tu...”
“Amboi... Ijat bukan main lagi ya... sikit-sikit nak
upah. Okay tak apa... nanti akak bagitau abang Arief minta tambang kat Ijat
buat duit minyak,”kata Qaseh terselit gurauan.
“Minta apa?” tersentak Qaseh apabila suara itu begitu
hampir menyapa telinganya.
Dia yang terkejut dek sapaan itu tidak dapat mengimbangi
badannya.
“Aarrrgghh...” Matanya
tertutup rapat disaat tubuhnya terasa ingin melayang jatuh. Namun, pautan kemas
di pinggang membuka kembali kelopak matanya dan wajah Arief menyapa pandangan.
Terlalu dekat sehingga dia dapat merasai desas nafas yang terhembus.
Terpana Qaseh dengan keadaan itu. Pandangan mereka
bersatu. Tiada kata
yang dapat menafsirkan perasaan mereka tika ini. Hanya mata menjadi bicara
hati. Qaseh terus terkaku menanggapi
pandangan Arief yang menusuk ke anak matanya. Redup renungan itu menggoda nalurinya.
Disaat itu degupan jantungnya berdetak hebat. Sehebat degupan yang dirasainya
kini apabila tapak tangannya terdampar di dada bidang lelaki itu. Merasai setiap
detik degupan bagai bersatu dengan denyutan nadinya.
Berada dalam dakapan lelaki itu memutik satu perasaan
bahagia di jiwanya. Belum pernah dia berperasaan begini. Sentuhannya sentiasa
menjentik satu perasaan halus di lubuk hatinya. Apakah perasaan yang terlindung
di hati ini sebenarnya? Namun, kehadiran lelaki ini yang tidak diduga sentiasa
mematahkan setiap perasaan yang mula bercambah. Keyakinan itu lenyap dibawa
arus curiga dengan keikhlasan yang ditaburkan. Apatah lagi bibir itu belum
pernah mengungkapkan kata cinta untuknya.
Pandangan Qaseh jatuh pada bibir merekah lelaki itu. Bibir
yang mencuri pandangannya dikala mengukir senyuman. Menawan. Ungkapan yang
selalu berbisik di sanubarinya. Semakin lama wajah Arief semakin mendekat
padanya. Qaseh sedar akan tingkah Arief itu. Dia bergerak menjauh sambil
berdehem kecil.
“Awak...”akhirnya suara Qaseh perlahan meluncur di bibir.
“Sampai bila nak merajuk dengan abang ni.”
“Mana ada merajuk...” berkerut kening Qaseh menafikan
kata Arief. Walaupun pada hakikatnya rajuk di hati masih ada pada lelaki itu.
“Habis tu kenapa nak berawak-awak lagi dengan abang? Dah
sedap-sedap panggil abang hari tu. Sayang kena ingat perjanjian kita... denda
tetap kena denda ya.”
“Siapa yang cari pasal dulu? Boleh tak lepaskan saya. Budak-budak
tu pandang kita la...”
“Nope, kalau sayang terus merajuk dengan abang. I won’t
let you go...”
“Jangan nak mengada kat atas tangga ni boleh tak.”
Arief mempamerkan riak selamba. Keningnya terjongket
bersama senyuman nipis di bibir. Kemudian sebelah tangannya beralih pada tangan
Qaseh yang masih melekap di dadanya. Qaseh tersentak. Dia cuba menarik
tangannya tapi Arief menggenggam kuat. Sudahnya dia merelakan tangannya berada
dalam genggaman lelaki itu. Arief meletak kembali telapak tangan Qaseh di
dadanya.
“Cuba sayang rasa degupan jantung abang. Kalau sayang nak
tahu degupan ini sentiasa berombak kuat bila abang ada dekat dengan sayang.
Abang pun tak tahu kenapa? Mungkin sayang ada kuasa buat jantung abang berdebar
macam ni agaknya,” tenang bisikan itu terungkap dari bibir Arief. Memandang
sepasang mata Qaseh yang merenunginya sedalam-dalamnya. Seolah meluahkan perasaan
yang tersimpan kejap selama ini. Andai dia berterus terang, dapatkah Qaseh menerimanya
dengan seikhlas hati tanpa ada perasaan curiga.
Dia tidak mahu Qaseh terus berprasangka dengan perkahwinan
mereka. Sesungguhnya dia ikhlas menerima Qaseh kerana cinta yang lahir dalam
jiwanya sejak dulu lagi. Bukan kerana amanat dan janjinya pada Qalif. Tapi
kerana cinta yang dianugerahkan oleh Allah padanya. Cinta yang sentiasa
berdetik kala bertemu dengan pendamping hidupnya. Terlalu indah perancangan
Yang Maha Kuasa sehingga tidak tergapai akal manusia. Dia berharap Qaseh juga
akan berperasaan sepertinya suatu hari nanti. Menerimanya sebagai suami yang
dicintai sepenuh hati.
“Ehem, ehem...”
Suara dehaman itu menyedarkan Arief dan Qaseh yang
terkaku dek terbuai dengan perasaan sendiri. Qaseh tertunduk malu dan wajahnya
mula menampakkan rona merah. Pautan tangan Arief masih tetap kukuh di pinggang dan
tangannya. Tiada tanda-tanda Arief akan meleraikannya.
“Nasib baik abang Arief sempat sambut, kalau tidak dah
tergolek kak Qaseh tadi. Macam tengok citer hindustan pulak, kan Ijat,” kata Najihah
sambil tersengih panjang melihat tingkat Arief dan Qaseh.
“Haah... bila hero selamatkan heroin lepas tu ada adegan
main-main mata kan kak Jihah. Macam abang ngan akak tiba-tiba jadi patung kat
atas tangga tu.”
Keningnya terjongket-jongket sambil tersengeh-sengeh.
Malu Qaseh dibuatnya bila tingkah mereka menjadi tontonan
Najihah dan Aizat. “Awak... malu la dengan budak-budak tu,” Qaseh cuba
meleraikan pelukan itu.
“Nope! Before you call me, a...bang...”
Qaseh menghela nafas sambil menggeleng perlahan. Wajah Arief
yang tersengeh-sengeh padanya direnungi lama. Terpaku Arief dengan renungan
Qaseh pada sepasang matanya. Renungan yang penuh menggoda nalurinya. Bagai
terhenti jantungnya berdetik kala kedua tangan itu melekap di pipinya.
“Cik abang pengarang jantung hati sayang... boleh tak
lepaskan sayang sekarang. Lepas ni kita nak kena pergi beli barang. Kalau
sekarang belum bergerak pukul berapa kita nak balik. Kalau melayan perangai
abang ni tak berlauk kenduri malam ni,” lembut tutur kata yang terlontar dari
bibir Qaseh membuatkan Arief terpaku sejenak.
Terjongket kening Qaseh melihat mata Arief terpaku
di wajahnya. Pipi Arief ditepuk
perlahan.
“Abang....” panggilnya lembut.
“Aduh... boleh luruh jantung abang kalau macam ni,”kata
Arief sambil tangannya melekap di dada.
“Mengada,” kata Qaseh lantas menarik hidung mancung
Arief.
Mengeringai Arief mengaduh sakit sambil mengusap-ngusap batang hidungnya.
Meletus tawa Aizat dan Najihah kedengaran di halaman. “Tu la abang... kan
dah kena...” kata Najihah dengan tawa yang masih bersisa.
“Abang kamu ni la Jihah... suka usik akak.”
“Usik-usik sayang akak.” Aizat pula mencelah.
Tersengeh-sengeh bersama kening yang dijongket beberapa kali pada Arief dan
Qaseh.
Mengecil mata Qaseh memandang Aizat. “Amboi... bukan main
lagi dia ya. Dah habis belum kerja tu? Kalau dah habis, cepat pergi siap, tadi
kata nak ikut. Kalau lambat kena tinggal.”
“Jihah tak terlibat akak.”
“Habis tu yang kak Jihah gelak jugak tu kenapa? Tak
terlibat konon.”
Mati sengihan di bibir Najihah mendengar kata adiknya
itu. “Takkan gelak pun tak boleh... mengadalah kau ni Ijat, jom pergi siap
cepat. Tak pasal-pasal kena tinggal nanti. Kami pergi siap dulu ya abang,
akak.” Najihah turun dari pangkin sambil
menarik tangan Aizat yang masih tersengeh-sengeh itu.
Sebaik Najihah dan Aizat berlalu pergi. Pandangan mata mereka
kembali bertaut. “Usik pada yang sayang kan...” perlahan tutur kata Arief
bersama senyuman nakal terukir di bibir.
“Nakal ya sekarang.”
“Nakal pada yang sayang...”jawab Arief sambil mengelipkan
matanya pada Qaseh. Senyuman menawan terukir di bibir. Menggeleng Qaseh dengan
tingkah Arief. “Okay abang sayang... tak jadi apa kalau melayan abang ni...” Pipi
Arief ditepuk perlahan. Qaseh ingin berlalu pergi namun Arief memaut kembali
pinggangnya. Terhenti langkah Qaseh.
“Thanks sayang...” ucap Arief. Dahi Qaseh dikucup lembut.
Terpana Qaseh. Sepasang matanya merenungi wajah Arief
yang dihiasi senyuman nipis di bibir. Tidak terluah ungkapan di bibirnya.
“Sayang pergi siap dulu. Abang tunggu kat bawah,” kata
Arief apabila Qaseh hanya membisu seribu bahasa. Perlahan pautan di pinggang Qaseh
terlerai dan sebelum dia berlalu pergi
sempat tangannya mencuit lembut hidung Qaseh yang masih terpaku di situ.
Tidak tahu hendak bereaksi bagaimana, Qaseh melemparkan
senyuman nipis buat Arief sebelum mereka sama-sama melangkah. Arief mengatur
langkah turun ke halaman. Manakala Qaseh membawa langkah ke biliknya.
Pintu bilik di tutup rapat. Tubuhnya tersandar di dada
pintu. Dahi yang dikucup Arief tadi disentuh lembut. Perlahan tangannya beralih
ke dada merasai debaran yang terus berombak bagai tiada penghujung. Ya Allah,
perasaan apakah ini? Mengapa kucupan itu begitu menusuk ke lubuk hatinya.
Melahirkan perasaan yang belum pernah dirasakan sebelum ini. Cintakah itu?
**********
“Encik Arief bercuti, Datuk,”beritahu Malik.
“Bercuti?Tapi kenapa saya tak diberitahu?” soal Datuk
Rahim kembali. Nadanya kedengaran tegang.
“Maaf Datuk, Encik
Arief ada perkara peribadi yang perlu diselesaikan. Sebab itu, Encik Arief
tidak mahu sesiapa tahu di mana dia berada.”
“Awak pembantu peribadi dia takkan tak tahu.” Lontaran
suara Datuk Rahim sedikit meninggi. Perasaan tidak puas hati dengan tindakan
Arief mula bertandang dalam dirinya. Sepatutnya Arief tidak boleh sewenang-wenangnya
mengambil cuti panjang tanpa pengetahuannya.
“Maaf Datuk.”
Malik tetap dengan pendiriannya. Tidak akan sesekali
membuka mulut kepada Datuk Rahim. Bosnya itu sudah berpesan kepadanya supaya
tidak memberitahu sesiapa dimana dia berada terutama Datuk Rahim.
“Awak boleh keluar sekarang,” arah Datuk Rahim. Jelas
riak serius di raut wajah Datuk Rahim.
Malik mengangguk sedikit kepada Datuk Rahim sebelum melangkah
keluar.
Datuk Rahim mendengus kasar. Sejak akhir-akhir ini dia
perasan dengan perubahan Arief. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan daripada
pengetahuannya. Arief sudah banyak berubah. Mereka sering bertingkah pendapat.
Apa saja cadangan yang diutarakan sering kali ditolak oleh Arief.
Tindakannya menjual 20% daripada 50% syer syarikatnya dua
tahun yang lalu kepada Arief mula membibit penyesalan dalam diri. Kerana salah
percaturan, syarikat yang ingin
ditubuhnya sendiri tidak berjalan dengan lancar apabila projek yang ingin
ditawannya telah jatuh ke tangan orang lain. Walaupun berbagai cara telah
dilakukan termasuk sogokan yang bukan sedikit jumlahnya, namun projek itu
terlepas juga ke tangan musuhnya, Datuk Ridzuan.
Sejak dia sibuk dengan urusan syarikat barunya, segala
urusan Syarikat Perkasa Jaya diserahkan kepada
Arief. Syarikat Perkasa Jaya adalah titik usaha antara dia dan arwah papa
Arief. Namun, dia mengambil alih
sepenuhnya urusan syarikat apabila sahabatnya itu pergi menyambut panggilan Ilahi.
Ketika itu Arief masih dalam pengajian. Setelah Arief berjaya menamatkan
pengajiannya, bermulalah usahasama dengan anak muda itu menerajui syarikat
seperti yang diamanahkan oleh arwah papa Arief.
Dia akui sejak Arief mula mengambil alih syarikat, banyak
perubahan yang telah dibuat oleh anak
muda itu. Ternyata bukan calang-calang orangnya kerana Arief bijak mengatur
strategi menaikkan kedudukan Perkasa Jaya sebaris dengan syarikat-syarikat
besar yang lain. Walaupun syarikat mengalami masalah ketika Arief
mengambil alih tetapi segala masalah itu telah dapat diselesaikan
dengan baik.
Dia tidak mahu Perkasa Jaya lenyap dari genggaman tangannya. Arief
pernah menyuarakan hasrat untuk membeli 30% lagi syernya sekiranya dia tidak
berminat lagi untuk terus menerajui Perkasa Jaya. Adakah Arief telah menghidu
penubuhan syarikat barunya? Perkara itu terus berlegar-legar dalam benak
fikirannya sehingga hari ini. Dia perlu mengatur perancangan supaya hak milik Perkasa Jaya terus berada dalam genggamannya.
Mengapa tiba-tiba Arief mengambil cuti panjang? Setahunya
Arief begitu komited dengan kerjanya. Arwana Jaya melebihi segalanya. Perkara
peribadi apa yang penting sangat? Persoalan demi persoalan berlegar di fikiran
Datuk Rahim. Wajah gadis yang menemani Arief disuatu tengahari di sebuah hotel
kembali bermain di mindanya. Mereka
tampak mesra sekali. Hatinya berdetik sesuatu. Adakah gadis itu kekasih hati
Arief?
Tidak pula dia mendengar desas desus Arief sudah
mempunyai kekasih. Ahli perniagaan yang berjaya seperti
Arief apatah lagi kacak dan bergaya sudah pasti akan menjadi buruan wartawan
untuk menghiasi berita-berita sensasi di dada akhbar. Dia akan siasat siapa
gadis itu di samping Arief. Kali ini tidak akan dibiarkan rancangannya gagal
lagi. Tekad Datuk Rahim.
akan bersambung :)
akan bersambung :)