TEASER 1
Ayuni tersedar saat terasa ada sentuhan lembut di bahunya.
Perlahan mata dibuka. Wajah Danial yang tersenyum nipis menyapa pandangan.
“Kita dah sampai,” beritahu Danial sambil tersenyum
nipis.
Ayuni meliarkan pandangan ke luar. Mereka kini berada di
kawasan tempat letak kereta R&R. Mata Ayuni kembali beralih ke arah Danial
yang masih merenungnya.
“Sorry, saya tertidur. Kesian awak drive sorang-sorang.” Malunya...
tebal rasa muka. Boleh pulak dia tertidur.
Danial melebarkan senyuman.
“Saya tak kisah, asalkan awak dengan saya. Jadi driver
awak seumur hidup pun saya sanggup.” Nakal senyuman yang terlirik di bibir
Danial.
Ayuni juling mata ke atas. ‘Oh... sweet talker!’
“Tapi saya lagi suka kalau awak tertidur.”
Ayuni kerut dahi.
“Kenapa pulak?”
“Sebab saya boleh tengok awak puas-puas.” Danial sudah
tergelak-gelak.
“Danial!” Bulat mata Ayuni. Bibir diketap rapat. Spontan
beg tangan di atas riba diayun mengenai bahu Danial. Geram dengan tingkah
Danial yang sering mengusiknya.
“Aduh...” Danial mengaduh sambil sebelah tangan
mengusap-usap bahu. Namun, bibir masih tidak lekang dengan senyuman. Wajah
memuncung Ayuni mencuit hati. Apatah lagi dengan jelingan itu yang mampu
membuatkan jantungnya berdegup lebih laju daripada biasa.
“Tak baik pukul bakal suami. Kalau dah kahwin nanti,
jangan buat macam ni, tak cium syurga.”
Ayuni mencebik.
“Siapa nak kahwin dengan awak?”
“Awaklah! Siapa lagi? Selagi awak tak setuju, selagi tu
saya akan terus berusaha.”
“Malaslah layan awak ni. Lagi layan lagi menjadi.”
“Kita solat dan makan dulu ya sayang. Lepas ni kalau nak
sambung tidur pun tak apa,” kata Danial sambil tersenyum-senyum.
“Elok juga tu... saya pun dah lapar sangat ni. Rasa macam
nak makan orang aje,” balas Ayuni. Matanya melirik tajam sebelum melangkah
keluar dari kereta.
Danial tergelak. Dia turut melangkah keluar dari kereta.
Sebaik kereta dikunci, liar pandangannya mencari kelibat Ayuni. Mana pulak dia
ni? Takkan laju benar jalan.
“Saya kat belakang awak ni.”
Teguran itu hampir membuatkan Danial terloncat.
Diusap-usap dadanya meredakan rasa terkejut.
“Bila pulak awak ada kat belakang saya?”
“Mana nak sedar, asyik gelakkan orang. Tolong buka bonet
kereta saya nak ambil telekung,” arah Ayuni seraya berpaling membawa langkah ke
arah belakang kereta.
Terasa dengan kata-kata itu, Danial hanya tersenyum
sumbing.
TEASER 2
Ayuni benar-benar gelisah. Tidak tahu mahu melakukan apa
lagi bagi menghilangkan kegelisahannya daripada terus menyapa dan bergalau dalam fikiran. Niatnya ingin pulang agak lewat kerana hendak menghabiskan kerja-kerja
yang tertangguh. Tetapi satu kerja pun tidak jalan saat jiwanya sedang
tertekan. Masanya banyak dihabiskan dengan melayan perasaan. Dia betul-betul
kurang senang dengan situasi yang mula menghantui fikirannya kini.
“Kau nak dengar citer hot tak?”
“Citer apa?”
“Aku syak Encik Danial ada hubunganlah dengan PA baru dia
tu. Hari-hari aku tengok datang kerja sama-sama. Balik kerja pun macam tu.”
“Pandailah kau ni! Tak elok buat fitnah tau. Tahu kat
Encik Danial, mampus kau kena tendang dari syarikat ni.”
“Aku tak fitnah. Kalau kau tak percaya, cuba tanya Tini.
Dia pun ada nampak. Kalau diaorang tak ada apa-apa takkan boleh datang balik
kerja sama-sama? Habis tu Cik Zara macam mana pulak? Setahu aku, girlfriend
Encik Danial, Cik Zara.”
“Biarlah diaorang. Tak ada kena mengena dengan kita pun.
Tak payahlah ambil tahu.”
“Aku bukan nak ambil tahu... cuma nak cerita kat kau aje.”
“Dalam surau pun nak bergosiplah kau ni. Lebih baik kau
pergi solat, dapat pahala dari duk menambah dosa.”
Ayuni yang ketika itu berada di luar pintu surau tidak
jadi melangkah masuk. Apa yang mampu dia buat saat itu, hanya mendiamkan diri.
Dia tidak mengenali gadis-gadis itu kerana mereka di jabatan berlainan. Lagipun
dia masih baru di sini.
Kalau diikutkan rasa hati, memang dia mahu terangkan
kedudukan yang sebenar. Menafikan atas tuduhan itu. Tapi apa gunanya, mulut
tempayan mampu dia tutup, tetapi mulut manusia bukan boleh ditutup pun. Malah,
semakin dinafikan, akan bertambah pula cerita yang ditokok tambah.
Sudahnya, dia
angkat kaki berpatah balik ke tempatnya. Kejap lagilah dia solat. Tidak
mampu dia hendak berhadapan dengan mereka yang sibuk memperkatakan tentang
dirinya.
Ayuni mendengus perlahan. Sudahnya dia bangkit kemaskan
meja, dan beg tangan dari dalam laci diambil. Lebih baik dia balik saja. Ayuni
terus berlalu pergi tanpa memberitahu Danial terlebih dulu seperti
kebiasaannya.
“Yuni!” panggil Danial.
Tidak perlu berpaling, dia sudah tahu siapa pemilik suara
itu. Ayuni tidak mengendahkan suara itu.
“Ayuni Aisya!” tegas nada suara Danial memaksa Ayuni
menghentikan langkahnya.
“Nak apa?” tanya Ayuni seraya berpaling ke belakang.
Tubuh Danial yang begitu dekat dengannya menarik kaki Ayuni mengundur setapak
ke belakang. Apatah lagi sepasang mata Danial tajam menikam pandangannya.
“Ikut saya,” arah Danial serius.
“Tak nak! Saya nak balik,” balas Ayuni. Dia berpaling
ingin berlalu pergi, namun Danial lebih cepat merampas beg tangannya. Segalanya
berlaku agak pantas membuatkan Ayuni tergamam.
‘Kenapa dengan dia ni? Sudahlah hari ni asyik nak
marah-marah saja. Semua yang aku buat, ada saja yang tak kena,’ degus Ayuni dalam
hati. Masuk ke pejabat pagi tadi, Danial terus saja masuk ke bilik. Sedikit pun
tidak berpaling ke arahnya. Sepanjang hari ini, seksa jiwa raganya menghadap
wajah serius Danial yang boleh disamakan dengan singa. Silap sikit pun dah nak
melenting marah.
“Kenapa tak tunggu saya?”
Ayuni mengeluh panjang.
“Saya segan hari-hari awak ambil dan hantar saya. Awak
tahu tak, orang dah mula cakap pasal kita?”
“Biarlah diaorang
nak cakap apa pun. Kita tak buat salah apa-apa pun.”
“Senang saja awak cakap.”
Ayuni mendengus tidak puas hati.
“Jom, saya hantar
awak balik.”
“Tak payah, saya boleh balik naik teksi.”
Danial menghela nafas dalam. Geram jugak dia dengan
perangai Ayuni. Degil! Tapi, yang degil inilah yang dia tergila-gilakan.
“Baliklah,” ujar Danial seraya melangkah ke arah
keretanya.
“Beg...” Belum sempat Ayuni menyudahkan kata, Danial
sudah jauh ke depan meninggalkannya. Macam mana dia nak balik tanpa beg
tangannya. Nak bayar tambang teksi dengan apa? Takkan dengan air liur kut?
Ayuni mengeluh berat. Mahu tidak mahu, dia terpaksa membawa
langkah ke arah kereta lelaki itu. Dia mula tidak senang dengan pandangan orang
sekeliling, dan juga berhadapan dengan Danial yang suka memendam rasa marah
buat helaan nafasnya terasa tidak lepas dari rongga hidung. Danial sudah
meloloskan diri ke dalam kereta. Kaku di tempat memandu menunggu dia masuk ke
dalam kereta. Dari sisi, jelas riak bersahaja di raut wajah itu.
Dengan perasaan geram, Ayuni membuka pintu kereta di
sebelah penumpang. Kasar dia melabuhkan punggung di kerusi. Berdentum kuat
bunyi pintu kereta ditutup menyebabkan Danial berpaling ke arahnya. Ayuni buat
tidak tahu. Hanya menutaskan pandangan ke hadapan.
“Kut ya pun marahkan saya, jangan pintu kereta tu jadi
mangsa.”
Ayuni hanya mendiamkan diri. Sambil berpeluk tubuh, dia
membawa pandangan ke luar.