Saturday, October 20, 2012

Tika Hati Berbicara bab 18





“Morning Sayang,” ucap Arief. Pipi Qaseh dicium sekilas. Tersentak Qaseh. Dia yang ingin menuang air ke dalam cawan terkaku. Anak matanya beralih pandang pada seraut wajah Arief yang tampak ceria dan bersahaja.
“Assalamualaikum,” ucap Qaseh sambil menuang air ke dalam cawan.
“Oppsstt! Waalaikumussalam...” jawab Arief tersengih panjang menyedari keterlanjuran diri. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Teringat bibit-bibit indah pagi tadi hatinya berbunga riang. Terjaganya dari tidur anak matanya menyapa seraut wajah yang tampak polos dalam pelukannya. Ketika itu juga Qaseh terjaga dan saat mata bersatu tiada kata yang dapat diungkapkan dari bibir masing-masing.
“Hai...” sapa Arief memecah kebisuan antara mereka. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Namun Qaseh hanya membisu. Apabila menyedari keadaan mereka yang begitu rapat, Qaseh menjarakkan diri tetapi Arief lebih pantas merapatkan tubuh mereka kembali membuatkan wajah Qaseh merona merah.
“Bestnya tidur dapat peluk orang tu...” usik Arief. Bibirnya tersengih panjang.
“Abang jangan nak melebih-lebih. Dah pukul berapa ni... tak pasal-pasal terlepas subuh pulak  nanti.” Qaseh  menolak kuat tubuh Arief dan akhirnya dia berjaya melepaskan diri dari rangkulan suaminya itu.
Arief menjeling sekilas jam dinding. Dia baring mengiring sambil tangan menongkat kepala.
“Baru 6.30 yang, sempat lagi kalau.... kalau...."
Arief tidak menyudahkan katanya. Hanya riak nakal terpamer di raut wajahnya.
Mencerung mata Qaseh melihat tingkah nakal Arief bersama lirikan senyuman yang tersirat seribu makna seperti persis penggoda pula gayanya.
"Abang jangan nak melalut pagi-pagi ni. Bangunlah!" Qaseh menyingkap selimut tebal dari tubuh Arief lalu ditarik tangan Arief supaya bangkit. Tidak sanggup melayan perangai Arief yang boleh membuatkan dirinya gelabah tidak menentu.
“Melalut apanya? Abang nak cakap kalau nak mandi dulu pun sempat lagi. Sayang tu yang fikir bukan-bukan,” dalih Arief bersahaja.
Kecil mata Qaseh menahan geram. “Eeiii... pagi-pagi dah kenakan orang. Ingat Qaseh tak tahu apa yang abang fikirkan tadi.” Bantal di hujung katil dibaling ke arah Arief.
Arief tergelak. Pantas tangannya menyambut bantal itu lalu dipeluk erat.
“Apa yang abang fikirkan?” soal Arief ingin tahu. Tersengih dengan renungan dalam menikam anak mata Qaseh.
“Eerrr...” gelabah Qaseh dibuatnya. Tidak sangka kata-kata itu memerangkap dirinya pula.
“Malaslah nak layan perangai abang ni.”
Qaseh berpaling ingin turun dari katil namun niatnya terhenti apabila Arief merangkul lengannya.
“Terima kasih benarkan abang tidur bertemankan pelukan sayang. Abang dah mula rasa rindu." Lembut bicara terbit dari bibirnya.
Qaseh terpaku. Lemah rasa segala urat sendi mendengar bicara yang terluah dari bibir suaminya. Begitu menusuk ke jiwa. Tiada ungkapan yang terbit di bibir hanya pandangan mata menjadi bicara mereka saat ini. Terbuai dengan belaian bicara yang menggetar rasa.
        "Kita solat jemaah ya,” kata Arief. Tenang wajahnya bersama lirikan senyuman nipis terukir di bibir.
Saat ini Qaseh hanya mampu mengangguk perlahan. Ketenangan di raut wajah itu memikat hatinya.
Arief tersenyum senang. Dia bergerak turun dari katil. Sebelum berlalu pergi sempat dahi isterinya dikucup sekilas. Tiada kata yang mampu diungkapkan, hanya sinaran mata menjadi bicara mengalun irama indah di jiwa.
Tanpa sedar Arief melirik senyum. Melarikan anak mata memandang isterinya yang leka menyusun roti bakar di atas piring.
“Tolong letakkan kaya, Yang,” pinta Arief. Tingkahnya tampak manja. Qaseh yang baru melabuhkan punggung di kerusi mengalih pandang pada suaminya. Perasaan pelik cuba disembunyikan. Namun diturutkan juga kehendak Arief lantas mengambil roti bakar yang dihulurkan Arier. ‘Sebelum ini tak ada pula nak tolong buat semua ni. Boleh aje letak sendiri.’ Ngomel Qaseh dalam diam.
“Nak campur peanut butter sikit tak?” soal Qaseh.
"Apa-apa aje, kalau sayang yang buat mesti abang makan.”
Berkerut dahi Qaseh. “Abang okay?” soal Qaseh.
“Of course I am okay, sayang...”
Qaseh hanya mampu menggeleng dengan tingkah Arief itu.
“Pergi kerja dengan apa?” soal Arief. Sepasang matanya terusan menatap wajah isterinya.
“Teksi,” jawab Qaseh ringkah. Roti yang telah disapukan kaya bercampur mentega kacang dihulurkan kepada Arief yang sudah berubah riak.
“Qaseh, please...” Tersandar Arief di kerusi. Dia menghela nafas panjang.  
“Nanti apa pula kata kawan pejabat kalau Qaseh bawa kereta tu. Lagipun petang nanti Qaseh nak pergi tengok kereta. Mungkin dah siap. ”
“Malik tak beritahu kereta Qaseh dah tak ada kat bengkel.”
Berkerut wajah Qaseh. “Abang Malik tak beritahu apa pun. Mana pula kereta tu?”soal Qaseh hairan.
“Dah jual,” jawab Arief dengan riak selamba.
Membuntang mata Qaseh.
“Siapa suruh jual?!” Perasaan terkejut tidak dapat dibendung lagi.
“Abang,” jawab Arief sepatah sambil menyumbat roti ke dalam mulutnya.
“Kenapa jual?!”tanya Qaseh. Giginya diketap menahan geram.
“Sebab kereta tu atas nama abang. Suka hati abang la nak jual.” Selamba sahaja jawapannya.
Kecil mata Qaseh menatap wajah bersahaja Arief.  Perasaan geram dan marah meluap-luap dalam dada.
“Ikut suka abanglah nak buat apa pun.” Qaseh bingkas bangun. 
“Eh, nak ke mana? Makan pun belum lagi.”
“Dah kenyang.”
“Oh... dah  kenyang ya. Tengok muka abang pun boleh kenyang kan. Kalau tak nak makan tak apa tapi temankan abang makan.”
“Abang makan sorang-sorang, Qaseh nak pergi kerja.”
“Nak pergi dengan apa?”
“Qaseh dah panggil teksi.”
“Abang dah cancel.”
Pantas Qaseh beralih pandang pada Arief yang sedang mengunyah roti dengan riak bersahaja. “Abang cancel!”
Arief hanya mengangguk mengiayakan.
“Macam mana abang tahu nombor teksi tu.”
“Bukan susah sangat kalau teksi tu yang Qaseh selalu naik.”
Mencerlang mata Qaseh menikam wajah Arief. “Abang ni memang jenis suka memaksa orang kan,” tekan Qaseh. Perasaan geram dan tidak puas hati jelas terpamer di wajahnya.
“Wowowow... pagi-pagi tak elok naik angin, yang. Boleh dapat darah tinggi nanti.  Abang jugak yang susah,” kata Arief berbaur usikan. Bersahaja reaksinya sambil menghirup juice oren yang telah disediakan oleh isterinya.
Qaseh menjeling tajam. Tidak dihiraukan kata-kata itu.
“Tak apa, Qaseh boleh panggil teksi lain.”
Terhenti kunyahan di mulutnya. “Boleh tak jangan degil sangat!” suaranya sedikit keras.
Ketegasan Arief mendiamkan Qaseh. Wajahnya masam mencuka.
“Duduk dulu... kejap lagi abang hantar,” arah Arief. Suaranya seperti tadi.
Dalam keterpaksaan Qaseh melabuhkan punggung di kerusi.  Wajah Arief langsung tidak dipandangnya.
Arief hanya memandang sahaja wajah Qaseh yang memuncung masam. Senyuman yang ingin terbit dari bibir disimpan kejap. Dalam membantah Qaseh tetap menurut. Sikap itu yang selalu mencuit hatinya. Menyambung niatnya ingin terus mengusik.
“Tak baik bermasam muka depan rezeki, yang...”
Arief cuba menarik perhatian Qaseh yang membisu seribu bahasa sahaja. Terasa rindu pula ingin mendengar suara isterinya itu. Panjang pula muncungnya.
Qaseh melirik sekilas ke wajah Arief. Senyuman nipis yang terukir di bibir menambah geramnya. Tiada langsung riak bersalah terpamer di raut wajah itu. Sewenang-wenangnya mengambil keputusan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Dulu dia yang berkeras mahukan kereta itu walaupun Arief ingin membeli kereta baru untuknya. Sekarang dijual pula kereta itu.
Arief mengambil sekeping roti bakar lalu disapukan kaya diatasnya lantas dihulurkan kepada Qaseh. “Makan dulu, lepas ni abang hantar. Petang nanti Malik ambil sebab abang ada appointment,” beritahu Arief cuba memancing rajuk isterinya.
“Abang tak payah susah-susah, Qaseh boleh balik sendiri.”
“Nope, mulai sekarang abang tak mahu Qaseh balik sendiri atau orang lain hantarkan kecuali dengan izin abang.”
“Ni kenapa tiba-tiba nak jadi detaktor pulak. Sebelum ni abang tak pernah nak paksa Qaseh. Abang pun tak kisah apa yang Qaseh buat,” sela Qaseh tidak berpuas hati dengan sikap Arief.
“Sejak dulu lagi abang  kisah tapi isteri abang ni tak pernah ambil tahu,” balas Arief terselit sindiran halus. Walaupun dia tahu Qaseh pandai menjaga diri tetapi biarlah hari ini dia menjelaskan bahawa selama ini dia mengambil berat dengan perhubungan mereka dan dia ingin isterinya tahu hubungan yang terjalin bukan disebabkan keadaan semata-mata.
Qaseh tersenyum sinis sambil menggeleng perlahan. “Kenapa abang tiba-tiba berubah?”
“Sebab abang nak mengubah perhubungan kita lebih baik dari sebelum ni. Abang tak mahu hubungan kita semakin keruh. Abang nak hubungan kita seperti suami isteri yang lain. Suami isteri yang bersama menyemai rasa kasih sayang dan punyai anak-anak yang akan menambahkan seri rumahtangganya.” Lancar dan serius luahan kata-kata Arief.
“Anak! Abang nak anak dengan Qaseh. Dulu abang juga yang cakap perkahwinan kita hanya sementara dan ikatan perkahwinan ini hanyalah semata-mata hendak menebus rasa bersalah abang pada Qaseh. Dan mungkin juga rasa simpati abang pada insan yang terumbang ambing hidupnya seperti Qaseh. Hari ni tiba-tiba abang nak membina masa depan dengan Qaseh pula. Abang cakap apa ni?”
Bagai dihiri-hiris rasa hatinya bila mengenangkan kisah hidupnya yang lalu. Tidak semena-mena kelopak matanya terasa panas. Namun, cuba ditahan agar tidak tumpah. Terlalu perit dan pedih rasa  itu menjalar dalam dirinya saat ini.
Arief mengeluh berat. Roti yang dihulur tadi masih  tidak disambut lalu diletakkan kembali di atas piring. Melihat raut keruh wajah isterinya mengundang rasa kesal di hatinya.
Berat helaan nafas terhembus. Arief menarik kerusi dekat dengan Qaseh. Lantas tangan isterinya ditarik perlahan dan digenggam lembut. Walaupun Qaseh cuba menarik tetapi genggamannya tetap kukuh. Perlahan tangan itu dikucup.
Terpegun Qaseh. Ternyata tingkah Arief seakan menyiram rasa salju di hatinya. Dia menunduk menutaskan pandangan pada genggaman yang erat itu.
“Kenapa kita jadi begini?” Perlahan kata itu terluah dari bibir Arief.
Qaseh mengangkat muka. Pandangan mereka bersatu seketika sebelum Arief menyambung bicara.
“Abang tak mahu lagi Qaseh kenang kisah lalu. Biarkan ia berlalu dari hidup Qaseh. Abang berjanji selagi ada hayat di dunia ini, abang akan cuba yang terbaik untuk sayang lupakan kisah lalu. Kita mulakan hidup baru dan beri peluang pada hati masing-masing.” Suaranya seperti merayu. Memohon agar isterinya itu memberi ruang pada perhubungan mereka.
Qaseh menghela nafas panjang.
“Mana mungkin begitu mudah untuk melupakan apa yang telah berlaku. Mungkin lukanya telah tiada tetapi parutnya tetap ada dan akan terus kekal di jiwa ini selamanya. Abang tak  alami apa yang Qaseh rasa. Sakitnya terlalu dalam dan perit.”
Dia menghela nafas sebelum menyambung bicara. “Peluang apa yang ada pada perhubungan kita. Qaseh tidak mahu menaruh harapan pada perhubungan yang kabur dan tiada hala tuju yang pasti. Mungkin selama ini Qaseh banyak berprasangka pada abang tapi Qaseh tak mampu menolak perasaan itu. Dan Qaseh tak nampak ke mana arah hubungan kita selepas ini,” luah Qaseh. Wajahnya sugul.
Arief mengeluh berat. “Berputus asa sebelum berusaha bukan prinsip abang. Sayang akan terus kekal menjadi milik abang selamanya.” Serius tutur kata Arief menegaskan kata-katanya. Sepasang mata hitamnya merenung dalam-dalam wajah redup isterinya. Tiada lagi bicara yang terluah, hanya kesepian menemani mereka di meja makan itu. 


akan bersambung :)

sudi2kan komen :) terima kasih banyak yang sudi komen karya-karya gee di sini. Gee sangat2 hargainya. Memberi semangat untuk gee terus menulis, menulis dan terus menulis. THANKS ALL. Muahhhh <3>

Friday, October 5, 2012

Tika Hati Berbicara bab 17



 Setelah beberapa ketika kesepian menemani mereka, Qaseh mengambil fail di atas meja. Dia bingkas bangkit sambil mencapai tas tangannya.
“Nak ke mana?” tanya Arief turut bangun.  
“Qaseh datang sini bukan nak jumpa abang tapi Encik Khalid,” jawab Qaseh lantas mengorak langkah ke arah pintu.
Arief pantas menyambar tangan Qaseh dan memaksa Qaseh mengadapnya.
“Abang nak apa lagi?!”soal Qaseh geram. Tajam renungan matanya menikam wajah Arief. Geram dengan sikap Arief yang lebih suka berdiam diri. Mengapa Arief tidak mahu memahami perasaannya?
“Masalah kita belum selesai lagi.”
“Macam mana nak selesai kalau abang lebih suka diam daripada beritahu Qaseh hal sebenar. Abang tahu tak sejak kita kahwin hati Qaseh tak pernah tenang. Kehadiran abang dalam hidup Qaseh penuh dengan tanda tanya. Mengapa abang nak kahwin dengan Qaseh padahal kita tak ada apa-apa hubungan? Kenapa abang tak cuba faham kehendak hati Qaseh?” luah Qaseh panjang lebar.
“Stop it! Abang tak mahu Qaseh ungkit lagi soal tu!” tegas suara Arief membuatkan Qaseh terkedu. Renungan tajam Arief ditatap lama.
 “Okay, fine!” Qaseh terus berpaling ingin berlalu pergi tetapi pegangan Arief terus melekap di lengannya.
“Lepaskan Qaseh!”
“No! Abang takkan lepaskan. Selagi Qaseh terus bersikap dingin dengan abang. Abang takkan lepaskan.”
“Abang nak Qaseh layan abang macam mana? Macam tak ada apa-apa yang berlaku. Qaseh bukan hipokrit macam abang!”
Tegang raut  wajah Arief membalas renungan tajam Qaseh. “Jangan terlalu lancang bila berbicara. Kalau abang hipokrit abang takkan beritahu perasaan abang pada Qaseh. Walaupun abang tahu Qaseh tidak ada perasaan pada abang. Abang cuma nak kita berbaik seperti dulu. Tidak ada persengketaan. Bukan bermasam muka macam ni.”
“Please abang, jangan paksa Qaseh buat perkara yang Qaseh sendiri tak boleh nak kawal. Kalau abang berada tempat Qaseh tentu abang tahu  apa yang Qaseh mahukan. Qaseh hanya mahukan penjelasan dan kebenaran. Susah sangat ke abang nak faham.”
Arief hanya diam seribu bahasa. Renungannya tiba-tiba berubah redup.
Qaseh menghela nafas. “Abang takkan beritahu kan,” lemah suara Qaseh berbaur kecewa. Sikap Arief betul-betul menguji kesabarannya. Terseksa rasa hati dengan kesepian Arief.
“Qaseh nak jumpa Encik Khalid sekarang. Rasanya tak ada apa lagi nak kita cakapkan,” kata Qaseh. Dia cuba meleraikan pegangan Arief.
Namun Qaseh tersentak apabila Arief mengambil fail yang dipegangnya lantas mengatur langkah ke meja kerja. Kemudian Arief mencapai gagang telefon.
“Khalid, dokumen Bersatu Setia sudah ada pada saya,” ujar  Arief sebaik talian bersambung.
Qaseh memasang telinga. Setiap butir bicara Arief menyapa perdengarannya. Qaseh melarikan pandangan kala sepasang mata Arief tidak lepas pada wajahnya.

Sebaik ganggang kembali pada tempatnya, Arief melangkah merapati Qaseh yang tidak berganjak dari tadi. Qaseh membalas renungan Arief yang berdiri di hadapannya. Pandangan yang menusuk hingga ke dasar yang mencairkan hatinya yang membeku.
“Datang tadi dengan apa?” soal Arief.
“Teksi,” jawab Qaseh acuh tak acuh sahaja.
“Kenapa tak tunggu abang pagi tadi?”
Qaseh terdiam seketika. “Qaseh tak nak ganggu abang, mesti abang penat driving semalam,” jawab Qaseh mencipta alasan.
Arief tersenyum sinis. “Bukan sebab nak lari dari abang.”
“Terpulang nak fikir apa pun.” Qaseh mati akal. Arief seperti dapat membaca fikirannya.
“Jom abang hantar balik,” ajak Arief.
“Qaseh boleh balik sendiri,” tolak Qaseh membakar kembali perasaan Arief.
“Qaseh nak abang ajak cara lembut atau cara kasar?” soal  Arief cuba menenangkan hatinya dengan kedegilan Qaseh yang seperti tiada penghujung.
“Abang  jangan nak ugut-ugut Qaseh,” sela Qaseh tidak senang dengan cara Arief yang sentiasa mahu dia mengikut katanya.
“Pilihan di tangan sayang...” bersahaja Arief bersuara. Keningnya dijongket memandang Qaseh yang mencuka memandangnya.
Qaseh melirik pandang pada Arief. Riak selamba Arief menjentik perasaan. Apatah lagi melihat lirikan senyuman nipis yang terukir di bibir lelaki itu. Cepatnya dia berubah angin. Tadi bukan main marah macam nak makan orang aje rupanya.
“Abang nak buat apa kalau Qaseh tak nak ikut jugak,” soal Qaseh mencabar.
Terjongket kening Areif. “You will see...” jawab Arief senang. Riak wajahnya seperti tiada kesan dengan kata-kata Qaseh tadi.
Qaseh menjongket kening. Raut bersahaja terpamer di raut wajahnya seperti mencabar kata-kata Arief itu.
Namun, seketika cuma apabila Arief semakin menghampirinya bersama renungan yang menusuk menggetar nalurinya. Qaseh bergerak menjauh tetapi Arief terlebih dahulu merangkul pinggangnya.
Sepasang mata Qaseh menangkap pandangan mata Arief yang terarah pada bibirnya. Semakin lama semakin mendekat ke wajahnya.
“Okay, okay... Qaseh ikut,”akhirnya kata mengalah terbit dari bibir Qaseh. Terhenti  tingkah Arief. Senyuman nipis terukir di bibir Arief. Anak matanya terusan menatap wajah Qaseh tanpa jemu.
Qaseh mengerut dahi, hairan dengan kesepian Arief. Arief menggeleng perlahan.
‘Ya Allah, hanya Kau yang Maha Mengetahui betapa cinta dan sayangku padanya. Aku akan terus bersabar dan berusaha untuk memiliki hatinya walaupun aku tahu bukan mudah untuk menawan hatinya. Kau bantulah aku Ya Allah. Bukankanlah pintu hatinya untuk menerima cintaku.’ Bisik hati Arief. Renungannya dalam seolah meluahkan kata hati dalam diam pada Qaseh yang memandangnya dengan riak tanda tanya.
Sebelum dia meleraikan pelukan di pinggang Qaseh, sempat bibirnya melayang di pipi Qaseh. “Thanks sayang...” ucap Arief sambil melepaskan rangkulannya di pinggang Qaseh lalu bergerak ke arah meja kerjanya.
Membuntang mata Qaseh. Tidak terluah kata-kata dari bibirnya, susuk tubuh Arief hanya dipandang tanpa berkedip. Terasa aturan degupan jantungnya tidak menentu saat ini. Tangannya perlahan menekan dada merasai debaran yang berkocak hebat.
Anak matanya tidak beralih melihat gerak gaya Arief. Bermula dari Arief mengemas beberapa dokumen di atas meja dan dimasukkan ke dalam briefcase sehinggalah Arief mencapai kot yang tersangkut di kerusi. Begitu berkarisma dan mempesona. ‘Ya Allah, apa kena dengan kau ni Qaseh, tiba-tiba segala tingkahnya menarik di mata kau tiba-tiba. Jangan-jangan kau dah jatuh hati pada suami kau ni tak?’
Qaseh seperti tersedar dengan bisikan kata hatinya. ‘Aku jatuh cinta dengan dia? Oh, tidak... tak mungkin aku jatuh cinta dengannya. Mungkin aku tertarik dengan gaya dan karisma yang ada padanya. Siapa yang tidak suka tengok lelaki hensem seperti dia kan? Takkan itu sudah dikatakan cinta?’ Qaseh menggeleng perlahan tanpa sedar, tidak menyedari tingkahnya diperhatikan Arief.
“Kenapa?” soal Arief hairan.
Qaseh menarik senyum nipis sambil menggeleng. “Tak ada apa.”
"Jom." ajak Arief lantas menggenggam tangan Qaseh.
"Tak pegang tangan tak boleh ke?" soal Qaseh menurut langkah Arief. Kurang senang melihat tangannya dalam genggaman Arief. Khuatir dengan mata-mata di luar sana yang pastinya menimbulkan seribu tanda tanya di benak fikiran mereka. Apatah lagi Arief adalah bos mereka, sudah tentu setiap inci tingkah laku menjadi perhatian pekerjanya.
"Tak boleh," jawab Arief ringkas. Sebaik Arief membuka pintu, wajah Rita menerpa pandangan mereka. Riak tanda tanya jelas terpamer di raut wajah itu.
"Rita, saya nak keluar. Any call for me just take the message," pesan Arief sebelum berlalu pergi. Qaseh sempat membalas pandangan Rita yang terpinga-pinga dengan keadaan yang terlalu pantas itu.
Sekali lagi dia menggaru kepala. Sudahnya Rita hanya melihat susuk tubuh Arief dan Qaseh hingga hilang dari pandangannya.

Mati langkah Qaseh apabila Arief tiba-tiba berhenti di pintu utama. Hampir Qaseh terlanggar tubuh Arief yang berhenti secara mengejut itu. Qaseh cuba menarik tangannya dari genggaman Arief yang melekap kuat. Namun, semakin dia cuba leraikan semakin kuat terasa cengkaman Arief di tangannya. Perasaan malu mula menyelinap dalam diri apabila beberapa pasang mata mencuri pandang ke arah mereka.
Belum sempat Qaseh menarik nafas yang sedikit semput kerana mengikut langkah panjang Arief sekali lagi dirinya terdorong ke hadapan apabila Arief menarik tangannya dan berhenti di hadapan sebuah kereta. Wajah Qaseh berubah sedikit berseri kala melihat susuk tubuh Malik keluar sebelah pemandu kereta itu.
Tidak lepas pandangan Qaseh pada raut wajah Malik yang tenang tetapi tetap tampak tegas. Sekilas Malik beralih pandang pada Qaseh yang beriak wajah seperti meminta pertolongan. Namun, Malik melarikan anak matanya ke wajah Arief. “Semuanya saya sudah uruskan, Encik Arief,” kata Malik sambil menyerahkan kunci kereta pada Arief.
“Terima kasih, Malik,” balas Arief lantas bergerak membuka pintu kereta hadapan sebelah penumpang. 






Tanpa bicara wajah Arief seperti mengarahkan Qaseh masuk ke dalam kereta itu. Seketika wajah Arief ditatap sebelum Qaseh melangkah masuk ke dalam kereta. Saat punggungnya mencecah kerusi anak matanya meliar memandang keadaan dalam kereta itu yang tampak baru. ‘Ini kereta yang mana pulak tak pernah nampak pun.’ Bisik hati Qaseh. Kala terdengar pintu sebelah pemandu terbuka, pantas tubuh disandarkan di kerusi. Cuba beriak biasa walaupun debaran di dada tidak pernah surut.
Kemudian hanya kesepian menemani mereka sepanjang perjalanan.

************






 “Kita buat apa datang sini?” soal Qaseh hairan apabila Arief memberhentikan kereta di tempat parking di Taman Tasik Titiwangsa.
“Jom teman abang jalan-jalan.”
Arief membuka pintu kereta dan melangkah ke luar. Saat matanya dihidangkan dengan pemandangan tasik dengan pepohon yang menghijau merendang, panjang helaan nafas terhembus. Leka seketika dia menikmati kebesaran ciptaan Ilahi itu.
Qaseh memerhati seketika tingkah Arief sebelum dia turut melangkah keluar dari perut kereta. Perlahan kakinya diatur menghampiri Arief. Menyandarkan tubuh di badan kereta bersebelahan Arief. Angin-angin sepoi bahasa yang bertiup terasa damai menghembus halus ke sanubari.  
“Tenang rasanya kat sini kan, sayang.”
“Ermm...” jawab Qaseh turut mematungkan pandangannya di tengah tasik.
“Cantik tak kereta ni sayang?” tanya Arief tiba-tiba.
“Hah!” terpinga-pinga wajah Qaseh mendengar soalan yang tidak dijangkanya. Kenapa soal kereta pula yang ditanyakan oleh Arief?
“Abang tanya cantik tak kereta ni?” ulang Arief lagi.
Qaseh mengalihkan pandangan ke kereta yang menjadi tempat sandarannya itu. Kereta Ford Fiesta Sport yang tampak sporty dan menarik dari segi reka bentuknya. Jenis kereta ini lebih diminati oleh golongan muda. Tidak dinafikan dia juga tertarik dengan kereta ini apatah lagi melihat rekaan dalaman yang tampak elegan dan eksklusif.
“Cantik, kereta baru abang ke ni?”
“This car is yours...” kata Arief. Perlahan kunci kereta diletakkan dalam genggaman isterinya.
Lama mata Qaseh terpaku pada kunci kereta itu. Perasaannya bercampur baur.
“Apa tujuan abang sebenarnya?” tanya Qaseh setelah beberapa ketika menyepikan diri.
“Abang tak ada niat apa, memang tanggungjawab abang sebagai seorang suami untuk memenuhi keperluan dan memberi keselesaan kepada isterinya mengikut kemampuan yang ada.”
“Bukan sebab abang nak beli hati Qaseh?”
Tersentap Arief mendengar kata-kata yang terbit dari bibir isterinya. “Sayang cakap apa ni?” Serius suara Arief dengan renungan tajam menikam sanubari.
“Abang jangan anggap Qaseh seperti perempuan-perempuan lain yang senang abang beli dengan harta dan wang ringgit. Qaseh juga ada perasaan dan maruah diri walaupun Qaseh sedar dulu Qaseh tidak mampu untuk membela diri yang senang dijadikan taruhan orang kaya seperti abang. Qaseh sendiri tak tahu mengapa abang nak kahwin dengan perempuan seperti Qaseh. Dan sejak akhir-akhir ni perangai abang dah berubah. Mungkinkah abang rasa tercabar kerana belum miliki tubuh Qaseh.”
Tajam kata-kata itu menusuk mencalar perasaan. “Qaseh!!” Keras suara Arief. Tajam renungan mata menikam wajah Qaseh. Kelihatan rahangnya bergerak-gerak menahan amarah yang menggelegak di dada. “Jangan sangka setiap kali abang keluar dengan perempuan penghujungnya akan ke bilik tidur. Abang tak seteruk dan sehina tu. Kalau abang berperangai begitu sudah lama tubuh Qaseh jadi pemuas nafsu abang!” Luah Arief dengan rasa marah yang meluap-luap.
“Tapi itu yang Qaseh dengar...” lemah suara Qaseh. Dia tertunduk tidak sanggup melihat raut wajah tegang Arief.
“Jangan mudah menilai diri abang jika Qaseh belum betul-betul kenal diri abang yang sebenar. Abang jujur menikahi Qaseh bukan disebabkan nafsu dan keadaan tetapi kerana abang memang cintakan Qaseh.”
“Kenapa itu yang abang sering ulang? Bukan senang untuk Qaseh percaya. Jangan mudah bermain dengan kata cinta abang. Cuba abang tanya pada diri abang sendiri atau mungkin perasaan itu juga sama jika abang bersama dengan perempuan lain. Sudahlah abang, tak guna kita bertekak pasal hal ni. Dan  Qaseh tak harap semua ni.” Kunci kereta bertukar tangan.
“Qaseh nak balik,” kata Qaseh lantas mengatur langkah ke arah pintu kereta sebelah penumpang.
Kusut raut wajah Arief. Rambutnya diusap ke belakang.  ‘Kenapa hubungannya dengan Qaseh semakin meruncing. Bagaimana lagi cara untuknya memulihkan keadaan? Adakah tiada lagi peluang baginya? Ya Allah, Kau bantulah aku.’ Arief meraup muka sebelum melangkah lemah masuk ke dalam kereta.


*******

 ‘Ya Allah, berilah ketenangan dalam jiwaku ini. Mengapa perasaanku sentiasa gelisah? HambaMu ini terlalu lemah Ya Allah.  Kau bantulah aku Ya Allah. Berilah ketabahan dan kesabaran dalam diriku untuk menempuh segala dugaan. Tunjukkanlah jalan terangMu agar aku tidak jauh dari rahmatMu. Hanya padaMu ku memohon dan berserah diri, Ya Allah Ya Rabbi.” Mohonnya dihujung doa.
Perlahan kedua telapak tangan diusap ke wajah. Helaan nafas terhembus lembut. Kemudian kain telekung ditanggalkan. Qaseh bangun dari tikar sejadah. Kain telekung dilipat lalu disangkut di penyidai kayu. Dia melangkah ke arah meja solek lantas merapikan rambutnya. Anak matanya memandang sekilas jam dinding. Hampir jam 12.00 tengah malam tetapi matanya masih terasa segar.
Qaseh menghela nafas. Dia mengatur langkah ke arah katil. Sejak balik tadi, dia terus berkurung dalam bilik. Perasaan marah pada Arief masih bersisa.
Tiba-tiba  ketukan pintu mengejutkan Qaseh.  
“Sayang... boleh abang masuk.” Suara Arief sayup kedengaran di luar bilik.
Qaseh menyepikan diri tidak menjawab. Cepat-cepat dia baring dan menarik selimut sehingga paras dada. Mengiring membelakangi pintu bilik.
“Abang masuk ya...” suara Arief masih kedengaran dari balik pintu. Qaseh tetap membisu menanti dengan dada yang berdebar-debar. Bunyi daun pintu terbuka membuatkan dada Qaseh semakin berdebar. Apabila terasa dirinya dihampiri, Qaseh pantas memejam rapat matanya. Tubuhnya keras mematung dalam selimut. Pertelingkahan siang tadi membuatkan dirinya belum bersedia untuk berdepan dengan Arief.
Bagaikan hendak pecah debaran dadanya apabila terasa ada tubuh yang berbaring di sebelahnya. Qaseh tetap memejamkan mata rapat. Entah menjadi atau tidak lakonan pura-pura tidurnya itu.
“Buka mata sayang, abang tahu Qaseh belum tidur.” Suara Arief menerpa perdengaran Qaseh bersama cuitan lembut di hujung hidungnya. Perlahan Qaseh membuka mata. Wajah tenang Arief bersama senyuman nipis di bibir menjamu pandangannya.
“Marah lagi?” Lembut Arief bertanya pada Qaseh yang membisu seribu bahasa. Hanya memandangnya tidak berkedip.
“Abang minta maaf. Hari ni kita banyak bergaduh, kan. Sampai abang tak boleh tidur. Boleh tak abang tidur sebelah sayang malam ni?” soal Arief.
Membuntang mata Qaseh dengan pertanyaan Arief itu. Namun belum sempat Qaseh bersuara, Arief terlebih dulu meletakkan jarinya di bibir Qaseh. “Pleaseee...” rayu Arief. Tangan Qaseh diraih dan diletakkan di dadanya.
“Mungkin lepas ni abang tak boleh tidur lena kalau sayang tak ada kat sebelah,” kata Arief sambil mendekatkan tubuhnya di sisi Qaseh. Tangan Qaseh masih melekap kemas di dadanya.  
Qaseh tetap diam membisu seribu bahasa. Kelu lidahnya tersentuh dengan tingkah Arief yang lembut menyapa hati kecilnya. Bagaikan melayang pergi perasaan marah dalam jiwanya.
Suasana terusan menyepi sehingga keduanya terlelap tanpa sedar. Moga mimpi indah menemani tidur meleraikan gelora perasaan yang menyendat jiwa. 


akan bersambung  ^_^ 

dah habis baca jom layan lagu ni  *__*


Babak Cinta


Engkaulah cahaya dalam hidup yang penuh kegelapannya

Rasa kesakitan dalam dada menghilang pabila kau berada

Cintamu kepada aku tak pernah ku rasa sebegitu
Engkau meringankan hati ini, engkau menenangkan jiwa sepi

Aku ingin menjadi pembuka hatimu yang sekian lamanya
Terkunci kerna slalu terluka
Ku ingin menjadi penutupnya

Kau tahu kau disakiti, hatimu sedang kau melindungi
Percayakan pada cinta ini, relakan ia berterbang tinggi

Aku ingin menjadi pembuka hatimu yang sekian lamanya
Terkunci kerna slalu terluka
Ku ingin menjadi penutupnya, babak tentang pencarian cinta
Aku untukmu sepanjang hayat

Aku juga merasa ketakutan oh cinta
Percayakan pada kita oohhh...

Aku ingin menjadi pembuka hatimu yang sekian lamanya
Terkunci kerna slalu terluka
Ku ingin menjadi penutupnya, babak tentang pencarian cinta
Aku untukmu sepanjang hayat
Aku ingin menjadi pembuka hatimu yang sekian lamanya
Terkunci kerna selalu terluka